Telegram Web Link
banyak realiti kehidupan yang boleh kita pelajari. Santai bukan maksudnya hanyut.

Abdul Mu'izz Muhammad
9 September 2020.
MEMAHAMI, APAKAH ITU DA'WAH?

Berikut beberapa pautan tulisan-tulisan yang diharapkan dapat mencerahkan minda kita di sekitar permasalahan-permasalahan da'wah semasa. Kefahaman yang tuntas amat mustahak, apatah lagi sekarang kita bergelut dengan pelbagai fahaman yang sedang terbentang di lapangan umat. Hari ini, ramai yang memikirkan soal instrumen-instrumen baharu da'wah hingga terlupa akan nadi utama da'wah, iaitu ilmu.

Memurnikan Feqh Da'wah.

Konsep-konsep asas yang perlu difahami oleh para penda'wah. Ia bersifat mendidik, menginspirasikan umat & memiliki jatidiri yang kukuh.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1682565781774191&id=100000623571778

Tips Penulisan Da'wah.

Pena & da'wah tidak dapat dipisahkan. Ia adalah pendekatan yang efektif sejak zaman berzaman. Kini, kita berpeluang menulis mesej-mesej da'wah di media sosial.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3113303645367057&id=100000623571778

Tips Pengucapan Da'wah.

Kefasihan berkata-kata bukan dengan retorik-retorik indah tanpa pertimbangan ilmu & integriti terhadap nilai da'wah. Sebaliknya ia sarat dengan sifat kebertanggungjawaban.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2757012970996128&id=100000623571778

Menilai Semula Sinisme Dalam Berda'wah.

Mengulas berkenaan budaya interaksi secara keji yang turut mempengaruhi segmen da'wah. Gagasan-gagasan da'wah yang murni berpotensi menjadi rosak, kerana sikap jahil segelintir golongan jahil yang ingin berda'wah.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2135998273097604&id=100000623571778

Gelora Pop Islamisme.

Pasca 2001, pendekatan politik serba longgar Post Islamism kelihatan bergandingan dengan pendekatan da'wah serba longgar Pop Islamism. Kedua-dua doktrin ini berdiri di atas asas yang sama, iaitu mengutamakan sokongan manusia secara pragmatik.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3524305777600173&id=100000623571778

Ketulenan Da'wah Kreatif Sunan Kalijaga.

Ramai yang menggunakan sejarah Sunan Kalijaga bagi menjustifikasikan idea Pop Islamisme, tanpa pemahaman mendasar terhadap falsafah da'wah secara tulen yang digagaskan oleh Sunan Kalijaga. Ternyata da'wah itu sifatnya mandiri, bukan menumpang nilai pihak lain secara pragmatik.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3378311122199640&id=100000623571778

Istiqamah Dengan Objektif Da'wah.

Istiqamah tidak boleh dipisahkan dengan ilmu. Implikasi dari cuba berda'wah tanpa persediaan ilmu yang cukup, menyebabkan seseorang itu hanyut dengan arus massa.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3373496279347791&id=100000623571778

Mungkin jika timbul persoalan-persoalan baharu yang menuntut kepada respon semasa, senarai tulisan ini akan dikemaskinikan. Semoga bermanfaat & mencerahkan semua.

Abdul Mu'izz Muhammad
14 September 2020.
"Mana mungkin, anda dapat melihat diri anda di permukaan air yang menggelegak. Demikianlah juga, anda tidak akan dapat melihat realiti ketika anda sedang marah. Ambillah masa bertenang terlebih dahulu. Kemudian barulah tentukan tindakan, agar anda tidak menyesal kelak"

Berfikir panjang itu ibadat. Bertindak atas dorongan emosi itu dungu. Kerap mempamerkan kemarahan itu menghilangkan wibawa.

Abdul Mu'izz Muhammad
24 Sepember 2020.
PERATURAN & KEWIBAWAAN.

Keberkesanan sesebuah peraturan bergantung kepada wibawa yang dimiliki oleh si pelaksana peraturan. Dalam konteks negara, pihak pemerintah mesti menunjukkan komitmen yang serius bagi mempertegaskan peraturannya.

Sikap double standard hanya akan menghilangkan wibawa pihak pemerintah & menyebabkan sesebuah peraturan sukar diikuti oleh rakyat secara rela. Malah perilaku melanggar peraturan yang membabitkan pembesar-pembesar kerajaan, hanya akan memakan diri mereka sendiri.

Saat kewibawaan mula diragui, maka peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh mereka akan mula menjadi bahan mainan rakyat. Kecuaian tersebut pasti akan dimanfaatkan oleh pihak pembangkang & sememangnya ia amat dinantikan.

Apabila membicarakan soal kemaslahatan semua, maka pertimbangan moral amat mustahak untuk difahami. Ia adalah nilai universal, merentasi sempadan kepercayaan rakyat yang pelbagai ragam.

Oleh kerana itu topik kewibawaan di dalam Islam, terkait dengan qudwah. Sementara adil tanpa mengamalkan double standard pula, amat akrab dengan taqwa. Semoga barisan hadapan KKM terus diberikan kekuatan & diganjari pahala yang berganda.

Abdul Mu'izz Muhammad
7 Oktober 2020.
NABI SURUH MINIMAKAN PERGERAKAN SAAT DILANDA BENCANA.

Nabi berpesan:

سَتَكُوْنَ فِتَنٌ القاعِدُ فِيْها خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ والقائمُ فيها خيرٌ من المَاشِي والماشِي فيها خير من السَّاعِي. مَنْ تَشَرَّفَ لَها تَسْتَشْرِفْهُ وَمَنْ وَجَدَ مَلْجَأً أَوْ مَعَاذاً فَلْيَعِذْ بِهِ

"Akan berlakunya fitnah, orang yang duduk lebih baik dari orang yang berdiri. Orang yang berdiri ketika itu lebih baik dari orang yang berjalan. Orang yang berjalan ketika itu lebih baik dari orang yang berlari. Barangsiapa yang berdepan dengan fitnah tersebut, maka hendaklah dia menghindarinya. Dan barangsiapa yang mendapati tempat kembali atau tempat berlindung darinya, maka hendaklah dia berlindung" - hr Bukhari & Muslim.

• Kalimah fitnah di dalam hadith memiliki pelbagai maksud, termasuklah merujuk kepada bencana penyakit yang merebak.

• Nabi menyuruh kita agar pasif, minimakan pergerakan. Dalam konteks wabak Covid-19 hari ini, ternyata ia adalah satu kaedah pencegahan yang berkesan agar ia tidak cepat merebak.

• Kesedaran ini bergantung kepada sikap ketelusan masing-masing terhadap kepentingan bersama.

• Perlu bersedia mengorbankan kepentingan diri sendiri. Sekarang bukan waktu untuk berjalan-jalan, bergerak merentasi negeri & bersosial dengan skala yang besar.

• Ternyata Islam bukan sekadar mengajar doa berlindung dari bencana. Bahkan Islam turut mengajar praktis hidup secara sejahtera yang dapat menyelamatkan semua manusia.

Inilah penyelesaian dari Islam.

Abdul Mu'izz Muhammad
6 Oktober 2020.
PENCERITAAN SURAH KUDA PERANG YANG PENUH SENSASI.

Senario kehidupan masyarakat jahiliyyah gemar bercerita seputar topik kepentingan harta, peperangan, kuda perang & status sosial. Allah menurunkan surah al-'Adiyat bagi menarik perhatian masyarakat ketika itu agar terpanggil mendengar mesej dari wahyu.

Haiwan Yang Luar Biasa.

Al-'Adiyat bermaksud kuda perang yang gagah ditunggangi oleh para pahlawan dalam peperangan. Said Qutb menjelaskan betapa surah al-'Adiyat sarat dengan elemen penceritaan yang amat sensasi.

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا • فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا • فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا • فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا • فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا

"Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah. Dan kuda yang memercikkan api dari derapan kakinya. Dan kuda yang menyerbu pada waktu pagi. Lalu menerbangkan debu-debu. Maka menyerang ke tengah-tengah kumpulan musuh" - al-'Adiyat 1-5.

Surah ini menggambarkan suasana kuda-kuda yang berlari pantas dengan dengusan nafasnya yang kencang. Derapan kakinya mengeluarkan percikan api ketika melancarkan serangan di awal pagi. Aksi tersebut menaikkan debu yang berkepul-kepul.

Laras bahasa yang digunakan dalam surah ini agak keras, berdentam-dentum sesuai dengan senario peperangan. Lantas Allah mengaitkan pula plot perihal kuda dengan tabiat keingkaran manusia yang kufur terhadap nikmat Allah.

Cerita Dunia Untuk Berfikir Soal Akhirat.

إِنَّ الإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ • وَإِنَّهُ عَلَى ذَلِكَ لَشَهِيدٌ • وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ • أَفَلا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ • وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ • إِنَّ رَبَّهُم بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّخَبِيرٌ

"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar kepada Tuhannya. Dan sungguh dia (manusia) sendiri menyaksikannya. Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar melampau. Maka tidaklah dia mengetahui realiti sebenar apabila kubur dibongkarkan nanti. Dan apa yang tersimpan di dalam dada akan didedahkan. Sesungguhnya Tuhan mereka ketika itu Maha Teliti terhadap perhitungan ke atas mereka" - al-'Adiyat 6-11.

Setelah menarik minat orang ramai agar mendengar perihal kuda yang bersifat keduniaan, Allah membawa mereka agar berfikir pula soal akhirat. Dari kuda sebagai simbol status sosial, kepada pertimbangan nasib di kubur.

Allah mengingatkan bahawa manusia menolak kebenaran bukan kerana mereka tidak dapat melihat hakikat kebenaran. Sebaliknya mereka berpaling dari kebenaran kerana sangat terikat dengan kepentingan dunia.

Disebabkan itu Allah mulakan surah ini dengan menceritakan perihal dunia yang digemari oleh semua orang. Di sebalik kepentingan-kepentingan dunia itu, Allah menyuruh manusia agar berfikir panjang kerana kehidupan masing-masing akan dihitung oleh Allah di akhirat.

* Hingga kini manusia mengangkat simbol kuda sebagai lambang kegagahan & ketangkasan. Logo Ferrari & Ford Mustang adalah kuda. Bunyi enjin Harley Davidson jenis Shovelhead pula mirip seperti bunyi derapan kaki kuda.

Abdul Mu'izz Muhammad
12 Oktober 2020.
MUDAHANAH.

لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ

"Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka" - al-Anfal 63.

Al-Quran telah mengingatkan, bahawa wang ringgit tidak akan menyatukan hati manusia. Sebaliknya jika disoroti dari sejarah, kerana dunialah manusia berkonflik sampai bila-bila. Bahkan perebutan sedemikian semakin meruncing ketika zaman fitnah melanda.

Justeru jika ingin membicarakan soal penyatuan ummah, selamatkanlah jiwa umat dari anutan faham kebendaan. Ia barah yang menghinakan umat. Jujurlah dengan agenda melestarikan Islam, bukan demi perut masing-masing.

Jika persepakatan itu bermula dari pertimbangan untung rugi kebendaan, penipuan & penganiayaan sesama sendiri, maka ia tidak akan dapat meraih redha & berkat dari Allah. Malah itu bukanlah tabiat kemenangan Islam, walau apa pun slogan-slogan murni yang diangkat.

Kita selalu mengingatkan bahana strategi musuh, iaitu pecah & perintah. Tetapi jika benar-benar jujur menyelak sejarah, strategi lapuk seperti itu tidak akan berjaya melainkan dengan adanya sikap lapuk manusia yang berpanjangan gilakan dunia.

Abdul Mu'izz Muhammad
15 Oktober 2020.
KEMPEN ISRAEL MENENTANG SYRIA.

Pada Mac 2019, AS mengisytiharkan tanah tinggi Golan sebagai milik Israel. Golan merupakan lokasi strategik serta menjadi perebutan panjang antara Israel & Syria sejak 1949. Pengisytiharan tersebut rentetan dari lemahnya keadaan Syria, akibat perang proksi yang menghancurkan semua pihak.

Hari ini Golan menjadi akses utama bagi Israel menyerang Syria. Dalam propaganda-propaganda Zionis, mereka menggambarkan kebimbangan mereka terhadap pakatan Syria-Iran & Hamas-Hezbollah yang kini sedang berpengkalan di Syria.

Lalu Israel membingkaikan plot supaya Syria dijadikan sebagai medan perang mereka secara langsung, atas alasan menyekat pengaruh Iran di rantau tersebut. Agenda memangsakan Syria dirangka, setelah Zionis berjaya mengukuhkan pakatan "Sunni-Israel" yang telah dimulakan momentumnya sejak 2016. Ia adalah lanjutan dari momokan "Shia Crescent" sejak 2004. Projek normalisasi Israel adalah hasilnya.

Ini antara senario yang perlu difahami. Ia sebagai 'clue' di sebalik tragedi pembunuhan mufti Damsyik, Syeikh Adnan al-Afyuni yang memiliki hubungan dengan Basyar al-Asad. Dengan mencerap senario yang telah dijelaskan, kita akan dapat memahami siapakah sebenarnya yang berkepentingan dalam tragedi tersebut. Bukan kumpulan-kumpulan Islam, sebaliknya Israel.

Malangnya seperti biasa, sesama umat Islam bertikam lidah dengan terus melangsungkan sentimen antara mazhab. Sentimen tersebut masih laris dilanggan. Dalam situasi serumit ini, adalah tidak patut kita bermain serkap jarang. Sebahagian besarnya berpunca dari tidak terdedah dengan situasi sebenar terhadap apa yang telah & sedang diplotkan oleh Israel.

Abdul Mu'izz Muhammad
23 Oktober 2020.
"ANDAINYA KAMI SEMPAT BERSAMA NABI"

Ungkapan-ungkapan penuh kerinduan yang menyatakan harapan agar dapat bertemu Nabi, bukanlah suatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah menjadi cakap-cakap dalam kalangan generasi terkemudian selepas para sahabat.

Ikrar Ingin Menunjung Nabi.

Imam Ibnu Hisyam yang terkenal dengan kitab sirahnya, ada menceritakan dialog Huzaifah bin al-Yaman dengan penduduk Kufah. Ia juga turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad & Imam Muslim.

Ceritanya, terdapat seorang lelaki meluahkan angan-angan, alangkah bahagianya jika mereka sempat sezaman dengan Nabi.

يا أبا عبدِ اللهِ رَأيتُم رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ وصَحِبتُموهُ؟ قال: نَعَمْ يا ابنَ أخي قال: فكيف كُنتُم تَصنَعونَ؟ قال: واللهِ لقد كُنَّا نَجهَدُ قال: واللهِ لو أدْرَكْناهُ ما تَرَكْناهُ يَمْشي على الأرضِ، ولَجَعَلْناهُ على أعْناقِنا

"Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Huzaifah), adakah kalian pernah melihat Rasullah & sempat mendampinginya?". Huzaifah menjawab: "Ya wahai anak saudaraku". Lelaki itu bertanya lagi: "Maka bagaimana pengalaman kalian?". Huzaifah menjawab: "Demi Allah, kami berjuang bersama baginda". Lelaki itu berkata: "Demi Allah, andainya kami sempat bersama baginda, kami tidak akan biarkan baginda berjalan kaki di atas tanah. Sebaliknya kami pasti akan menjunjung baginda di atas leher-leher kami"

Ungkapan lelaki itu persis seperti yang dibayangkan-bayangkan oleh umat Islam hari ini. Rasa teringin menyambut Nabi & melunasi keperluan-keperluan hidup baginda.

Tidak Semudah Itu.

Setelah mendengar hajat penuh kerinduan lelaki tersebut, Huzaifah mula menceritakan berkenaan situasi getirnya bersama Nabi. Kita boleh membayangkan Huzaifah sebagai 'orang lama' yang menggambarkan pengalaman sebenarnya.

Huzaifah menceritakan pada suatu malam ketika peperangan Ahzab sedang berlangsung, Nabi meminta kesanggupan kepada para sahabat untuk menjalankan misi bahaya. Nabi bertanya:

مَن رَجُلٌ يَقومُ فيَنظُرَ لنا ما فَعَلَ القَومُ يَشرُطُ له رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنَّه يَرجِعُ أدخَلَه اللهُ الجَنَّةَ. فما قام رَجُلٌ

"Siapa sanggup menjalankan tugas mengintip untuk mengetahui apa yang sedang dibuat oleh kaum (tentera Ahzab)?" Nabi mensyaratkan pelaksana tugas tersebut agar menyelinap & pulang dengan selamat. "Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang itu ke dalam syurga (dalam riwayat yang lain, orang itu akan menemaniku di dalam syurga)"

Setelah mendengar permintaan Nabi itu, tiada siapa yang bangun menyatakan kesanggupan. Huzaifah menceritakan, sememangnya ketika itu mereka dalam keadaan yang sangat takut. Ditambah lagi dengan suasana yang terlalu sejuk & kondisi mereka yang tersangat lapar.

Setelah Nabi mengulangi permintaan itu, tetap tidak ada seorang pun yang berani menyahut. Lantas Nabi mengarahkan Huzaifah agar menjalankan tugas tersebut. Huzaifah berkata:

فلمَّا لم يَقُمْ أحَدٌ دَعاني رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فلم يكُنْ لي بُدٌّ مِن القيامِ حين دَعاني

"Tatkala tiada siapa yang bangun menyatakan kesanggupan, Rasulullah pun menyuruh aku menjalankannya. Maka ketika itu tiada sebarang alasan, melainkan aku perlu bangun menyahut seperti yang diminta oleh Nabi"

Dengan penuh berkat, Huzaifah menjalankan tugas tersebut dengan jayanya. Jika kita membaca hadith ini selanjutnya, kita akan dapat melihat kelicikan Huzaifah mengintip & sememangnya itulah antara bakat Huzaifah yang cukup dihargai oleh Nabi.

Kesimpulan.

Hadith yang telah diceritakan oleh Huzaifah di atas, menggambarkan kepada kita beberapa realiti:

• Bersama dengan Nabi bukan bermaksud hidup kita sentiasa kondusif. Sebaliknya seringkali teruji & ujian-ujian tersebut hanya boleh dilepasi dengan iman. Betapa dahsyatnya ujian ketika mendampingi Nabi, hingga ke satu tahap para sahabat memilih untuk diam dari menyahut permintaan Nabi.

• Huzaifah menggambarkan pengalaman generasinya mendampingi Nabi dengan penuh komitmen. Bukan dengan gimik & slogan yang indah semata-mata. Sekaligus Huzaifah mengajar kita bahawa rujukan yang paling tepat untuk menyayangi Nabi, adalah dengan menjadikan para sahabat sebagai contoh utama.

Abdul Mu'izz Muhamma
d
25 Oktober 2020.
RELEVANKAH KONSEP KERAJAAN PERPADUAN UNTUK MEREDAKAN POLITIK NEGARA?

Dengan kecamuk politik yang kelihatan semakin melarat hari ini, mungkinkah idea Kerajaan Perpaduan boleh disemak semula? Ia merupakan konsep pemerintahan tanpa pembangkang yang boleh mengurangkan politicking sesama parti-parti politik.

Idea Kerajaan Perpaduan menjadi hangat setelah ia disuarakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada tahun 2008. Ketika itu PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat. Malangnya idea tersebut tidak disambut dengan wacana yang objektif.

Lantas ia disalah tafsir sebagai usaha PAS ingin menyertai UMNO. Sedangkan konsep Kerajaan Perpaduan dilihat efektif bagi meredakan krisis politik buat sementara waktu. Akhirnya TGHH menarik balik cadangannya setelah mendapat kecaman yang hebat dari rakan-rakan parti komponen PR.

Pada Februari 2020, Tun Mahathir turut cuba mengetengahkan idea Kerajaan Perpaduan dengan alasan untuk mengembalikan kestabilan negara. Namun ia dilihat meragukan parti-parti politik yang lain setelah melihat cadangan tersebut memberi kuasa penuh kepada PM membentuk kabinet tanpa nisbah kekuatan parti-parti politik.

Sekiranya diamati realiti politik hari ini, masing-masing tidak memiliki majoriti yang kukuh. Tiada siapa dapat menjamin permainan lompat-melompat akan berakhir. Persepakatan sesama parti politik pula tidak lagi berlandaskan pertimbangan ideologi. Sebaliknya lebih tertumpu kepada perebutan kuasa semata-mata.

Jika kita melihat sejarah idea Kerajaan Perpaduan diangkat, adalah ketika pemerintahan negara berada dalam keadaan rapuh. Pada masa yang sama, terpaksa berdepan dengan cabaran yang memerlukan kerjasama semua blok politik.

Kini Malaysia bukan sahaja berdepan dengan musibah kerenah politikus-politikus yang tidak pernah 'cuti', bahkan ancaman Covid-19 yang masih belum berakhir. Kedua-dua musibah tersebut amat memberi kesan kepada ekonomi negara secara langsung. Maka barangkali Kerajaan Perpaduan adalah antara formula yang boleh disemak kembali bagi memulihkan kestabilan negara.

Abdul Mu'izz Muhammad
26 Oktober 2020.
MENGAPA PERANCIS LANCANG TERHADAP ISLAM?

Perancis tidak sunyi dari siri-siri provokasi terhadap agama Islam. Terkini, seorang guru bernama Samuel Paty telah memaparkan kartun yang menghina Nabi, dalam sesi pembelajarannya berkenaan nilai kebebasan mengekspresi sikap terhadap agama.

Lantas Anzorov, seorang pemuda muslim berbangsa Chechnya bertindak membunuh guru tersebut. Sebagai bayaran membela maruah Nabi, pemuda itu maut ditembak oleh pihak polis Perancis sebanyak 9 das tembakan.

Peristiwa pembunuhan tersebut menambah ketegangan beragama di Perancis, yang telah sedia mendukung propaganda Islamofobia. Persoalannya, mengapa siri-siri provokasi seumpama ini berlaku di Perancis?

Asas Negara Perancis.

Revolusi Perancis 1799 adalah peristiwa penting dalam abad pencerahan Eropah. Ia membentuk identiti negara sekular era moden yang mendukung lunas-lunas liberal. Bahkan tidak keterlaluan, jika dikatakan Perancis sebagai kiblat bagi konsep negara sekular yang pekat.

Konsep tersebut bukan sekadar menginspirasikan negara-negara Barat. Bahkan Uthmaniyyah turut menjadikan Perancis sebagai ikutan melalui projek Tanzimat 1839 mereka. Langkah tersebut jugalah yang menjadi faktor jahanamnya Uthmaniyyah dari dalam.

Melalui proklamasi negara Perancis selepas berhasil meledakkan revolusi 1799, maka muncullah cogan kata yang menjadi dasar sebuah negara liberal-sekular:

• Liberte: Kebebasan

• Egalite: Kesamarataan

• Fraternite: Persaudaraan

Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah di dalam kitabnya yang berjudul Kawasyif Zuyuf telah mendedahkan secara agak panjang, bagaimana revolusi tersebut didalangi oleh kelompok-kelompok elit Yahudi. Kesempatan tersebut turut digunakan untuk menghapuskan nilai-nilai & eksistensi agama dalam negara.

Imej agama Kristian yang buruk kerana banyak terkait dengan skandal kezaliman-kezaliman politik, membentuk negara Perancis baharu yang prejudis terhadap agama. Mereka melihat agama sebagai anasir yang selama ini telah memangsakan kehidupan mereka.

Dari pengalaman politik itu, melahirkan kecenderungan-kecenderungan atheis. Protes terhadap aturan-aturan & simbol agama yang dianggap penuh kepalsuan, menjadi sebahagian dari corak kehidupan di Perancis.

Sekular Garis Keras.

Ahmet T. Kuru dalam kajiannya berkenaan ideologi-ideologi negara yang bertajuk Secularism & State Policies Toward Religion, telah mengklasifikasikan bahawa Perancis sebagai negara sekular bergaris keras (assertive secularism). Ia adalah tahap sekular yang tersangat pekat, berbanding negara-negara Barat lain termasuk Amerika.

Ciri sekular garis keras yang turut disebut sebagai Laicite, antaranya adalah:

• Melarang simbol-simbol agama dibawa masuk ke dalam masyarakat awam. Perancis cukup terkenal dengan diskriminasi ke atas praktis Islam seumpama larangan memakai hijab.

• Berpegang dengan logik bahawa menunjukkan imej agama di ruang publik, adalah bermaksud ancaman terhadap penganut agama-agama lain.

• Negara wajar bersikap agresif melarang simbol-simbol agama, sebagai pencegahan dari ianya tersebar.

• Warga negaranya diberi ruang untuk mengkritik, malah menghina agama atas nama kebebasan.

Maka dengan ideologi negara seumpama ini, tidak hairanlah provokasi-provokasi terhadap agama diberi ruang yang cukup bebas. Komik satira Charlie Hebdo bukan semata-mata gemar menghina agama Islam, bahkan agama-agama lain turut menjadi mangsa mereka.

Kesan Kolonialisme.

Perancis terlibat dengan penjajahan dalam tempoh masa yang panjang membabitkan banyak negara-negara umat Islam Afrika Utara seperti Algeria, Tunisia & Morocco. Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama, ramai orang-orang Islam dari negara jajahan Perancis berpindah ke Perancis untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di negara penjajah tersebut.

Selepas Perang Dunia Kedua pula, perpindahan orang-orang Islam dari Afrika Utara berlaku lagi secara besaran-besaran atas tujuan yang sama. Iaitu sebagai tenaga buruh bagi menampung keperluan industri Perancis. Jika diamati, asalnya ia adalah bentuk 'perhambaan' baharu tetapi akhirnya akan memakan diri Perancis sendiri.

Pada pertimb
angan awal pembuat dasar Perancis, perkembangan tersebut boleh dikawal dengan undang-undang. Seawal 1905 telah digazetkan undang-undang bahawa negara menjamin kebebasan beragama, asalkan ia tidak dibawa ke ruang publik.

Perkembangan Islam di Perancis.

Namun jangkaan mereka meleset, kerana umat Islam telah diajar supaya menampilkan imej Islam & bergaul dengan masyarakat. Pada 1985 tertubuhlah Federasi Muslim Perancis.

Maka organisasi muslim muncul bagaikan cendawan di Perancis. Peningkatan angka organisasi Islam mencecah lebih dari 1500 & masing-masing pula memiliki masjid mereka tersendiri untuk melunasi keperluan beraktiviti.

Sekalipun perkembangan ini jika di atas kertas hanya berlaku secara tertutup, tetapi hakikatnya kesan da'wah itu tetap berlaku. Kini populasi muslim mencecah 10% dari keseluruhan rakyat Perancis.

5 tahun dahulu hanya 7.5%. Bayangkan dalam tempoh 5 tahun sahaja, populasi masyarakat muslim di Perancis berkembang sebanyak 2.5%. Ia amat pesat.

Lantas menempatkan Perancis sebagai negara Eropah yang paling ramai memiliki rakyat dalam kalangan orang Islam. Penambahan angka populasi umat Islam di Perancis dijangka akan terus meningkat.

Apatah lagi dengan krisis perang saudara di Asia Barat, menambahkan lagi migrasi orang-orang Islam ke Perancis. Maka perkembangan ini dianggap sangat mencabar ideologi negara yang sangat menghalang agama di bawa ke ruang publik.

Islamofobia Perancis.

Kempen Islamofobia di Perancis agak signifikan untuk diamati kerana ia disebarkan secara agresif. Propaganda-propaganda yang amat provokatif subur & seakan mendapat perlindungan negara.

Sebelum peristiwa pembunuhan Samuel Paty - Anzorov pun, Presiden Perancis, Emmanuel Macron terlebih dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam sebagai agama pengganas yang mengancam keselamatan global. Ada juga yang berpandangan, itu merupakan kempen politiknya untuk mendapatkan keyakinan rakyat menjelang pemilihan akan datang.

Para pengkaji & jurnalis di negara-negara Barat yang lain, telah mula giat mewacanakan & menimbulkan keraguan terhadap Islamofobia yang disedari sebagai agenda diskriminasi ke atas Islam. Sebaliknya selaras dengan ideologi Perancis, Islamofobia masih dianggap sebagai kempen yang wajar bagi menangani perkembangan Islam di sana.

Fobia terhadap kehadiran orang luar atau xenofobia sangat tepat untuk menjelaskan situasi Perancis. Dengan penambahan angka umat Islam yang terus meningkat, ia semakin merangsang kempen Islamofobia agar dijalankan dengan lebih giat & agresif.

Promosi.

Kita mengambil pengajaran selepas dari peristiwa 9/11, menyaksikan semakin ramai rakyat Amerika memeluk Islam. Mengapa semakin Islam diburukkan, semakin ramai masyarakat Barat memeluk Islam?

Masyarakat Barat yang berfahaman liberal sangat menjunjung nilai rasional & berfikir secara kritis. Tabiat tersebut akan mendorong mereka mengkaji sesuatu perkara, jika perkara tersebut digambarkan dengan gambaran-gambaran yang melampau.

Lantas agenda memburuk-burukkan Islam secara dangkal, membuatkan masyarakat Barat berfikir & mengkaji. Ia bermula dengan simpati. Akhirnya propaganda Islamofobia berubah menjadi promosi ke atas Islam. Maka tidak peliklah populasi umat Islam di Perancis semakin bertambah hingga ke hari ini.

Pedoman Politik Bernegara Menurut al-Quran.

Ideologi negara Perancis yang memberikan kebebasan ekstrim hingga ke tahap boleh menista agama, pasti akan memakan diri mereka sendiri. Implikasinya akan berlaku konflik yang menggugat kestabilan Perancis sendiri. Jika mereka katakan sanggup berhadapan dengan risiko itu, persoalannya sampai bila? Allah berfirman:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ

"Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batasan secara tanpa ilmu" - al-An'am 108.

Jika kita melihat dari perspektif ini, fahamlah kita mengapa al-Quran melarang umat Islam agar jangan memaki agama lain secara dangkal, kerana ia tidak akan melahirkan suasana negara yang harmoni
. Malangnya golongan liberalis esktrim seumpama yang ada di Perancis, tidak memahami logik tersebut.

Sudah pastilah tindakan-tindakan provokasi yang mereka lancarkan akan mengundang tindak balas di luar kawal. Akhirnya menimbulkan kekacauan yang tidak menguntungkan kestabilan sosial, politik & ekonomi mereka sendiri.

Abdul Mu'izz Muhammad
29 Oktober 2020.
CABARAN HARI INI.

Kini adalah era persaingan idea. Bukan persaingan title, apatah lagi bukan zaman sekadar tunjuk perasaan begitu sahaja. Budaya civil society adalah berdialog & berdebat. Ia memerlukan pengetahuan & keyakinan.

Pendekatan sedemikian berkesan membina pengaruh & sokongan rakyat. Sesiapa yang dilihat rasional hujahnya, maka dialah yang dianggap benar walaupun dia dikira sebagai minoriti.

Justeru pembudayaan ilmu sangat mustahak. Untuk membentuk keyakinan mestilah dikikis tabiat bertaqlid buta, kerana ia tidak akan membuatkan seseorang benar-benar yakin dengan pegangan yang diikutinya.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat kewajaran konsep ini. Cukuplah kita melihat apa yang diusahakan oleh Nabi ketika bergelut dengan perang pemikiran sewaktu baginda menjalani fasa da'wah di Makkah.

Selain memiliki akhlak yang memukau, keterbukaan Nabi dalam berdialog menyebabkan masyarakat merasa serba tercerah. Lalu dapat membina keyakinan mereka, bahawa Islamlah sebagai jalan hidup yang serasi dengan fitrah manusia.

Abdul Mu'izz Muhammad
1 November 2020.
SAYANGI NABI DENGAN MENJIWAI AL-QURAN.

Usaha mengambil berkat dari barang-barang peninggalan Nabi, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan umat Nabi yang menyintai Nabi. Ada yang memilih untuk mengambil berkat dari artifak, replika & simbol yang merujuk kepada baginda.

Ada pula yang tidak bersetuju dengan cara tersebut, bukan kerana disebabkan mereka tidak menyintai Nabi. Sebaliknya mereka mempersoalkan keabsahan & kaedah yang digunakan. Semua golongan yang disebutkan di atas, adalah umat Nabi yang menyintai Nabi.

Akhirnya ia menjadi polemik yang tidak produktif lalu melarat menjadi sentimen berpanjangan. Sepatutnya kita menumpukan fokus kepada penghayatan al-Quran. Ia adalah sebenar-benar peninggalan Nabi. Bahkan baginda sememangnya diutuskan untuk mewariskan buat kita al-Quran. Kitab itulah sebenarnya titik penyatuan bagi semua umat Islam.

Apabila tengok al-Quran, terkenangkan Nabi. Baginda juga diibaratkan sebagai al-Quran yang berjalan di atas muka bumi. Selama 23 tahun Nabi berjuang bersusah payah untuk memastikan kita dapat menikmati al-Quran. Bahkan dalam senarai mukjizat Nabi, al-Quranlah sebagai mukjizat kubra yang kekal bersama umat hingga berlakunya kiamat.

Nikmat teragung yang menjadi sumber ilmu & inspirasi ini jangan dilupakan. Al-Quran adalah kalam Allah yang direalisasikan oleh Nabi dalam segenap kehidupannya. Adapun golongan yang terunggul untuk dibuat contoh dalam menyintai Nabi, adalah para sahabat. Mereka adalah sebaik-baik generasi.

Abdul Mu'izz Muhammad
5 November 2020.
EMPATI TERHADAP RAKYAT.

Selain dari mengikuti polemik politik Perak, kita perlu mencermati isu-isu berkaitan survival hidup rakyat secara realistik. Sedar atau tidar, lebih kurang 2 minggu ini harga minyak naik sebanyak 6 sen. Kenaikan harga barang pasti menyusul. Gardenia pun sudah naik harga.

Isu prosedur pengeluaran KWSP masih meresahkan rakyat. Malangnya keresahan mereka dituduh sebagai mengada-ngada kononnya ingin bermewah pula. Di sini terlihat jurang berfikir antara elitis & rakyat bawahan yang benar-benar tersepit.

Begitu juga isu kartel daging haram yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Sudah pasti ia sangat mencabar aspirasi kerajaan hari ini yang menjunjung semangat Melayu-Islam. Tekanan-tekanan hidup hari ini menggandakan angka masalah depresi yang serius dalam kalangan rakyat.

Perkembangan pendidikan bagi anak-anak sekolah serta persoalan tahap umat yang sudah lama berjauhan dengan aktiviti agama perlu diperhalusi bersama. Ia membabitkan kualiti spiritual yang terkait rapat dengan penyediaan modal insan. Terutamanya di kawasan-kawasan bandar yang berdepan dengan cabaran survival hidup.

Banyak lagi masalah berangkai yang sangat dekat dengan realiti rakyat bawahan. Kelak, undi mereka juga yang akan ditagih. Empati terhadap rakyat bermaksud berkeupayaan untuk menjiwai situasi masalah sebenar yang dialami oleh rakyat.

Abdul Mu'izz Muhammad
6 Disember 2020.
METAFORA AL-QURAN: ORANG BERIMAN IBARAT POKOK YANG BERMANFAAT.

Al-Quran kaya dengan seni bahasa yang mendatangkan nikmat kefahaman yang luar biasa. Dalam menceritakan kualiti hidup orang-orang beriman, al-Quran mengibaratkan mereka seperti benih. Lalu menjadi pokok yang kukuh.

Benih.

Dalam ayat terakhir surah al-Fath yang bertemakan sifat kemenangan Islam, Allah telah mengisytiharkan sifat-sifat golongan beriman layak dianggap bersama perjuangan Nabi. Syeikh Sa'id Hawwa dalam tafsirnya menjelaskan:

"Ayat ini menjelaskan kriteria-kriteria gerakan yang layak beroleh perlindungan, pertolongan & kemenangan dari Allah... Mereka mestilah terdiri dalam kalangan kelompok yang menyatakan kebenaran atas dorongan iman, beramal soleh, bersatu, berjuang, komited, berketerampilan baik sebagai cerminan ibadat yang diamalkan, ruku' serta sujud, bersifat rahmat sesama orang beriman & keras dengan golongan yang kafir"

Selanjutnya Allah menyatakan ibarat bagi golongan beriman, bagaimana perjuangan mereka bermula & apakah hasilnya.

ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِى ٱلْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْـَٔهُۥ فَـَٔازَرَهُۥ فَٱسْتَغْلَظَ فَٱسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ ٱلْكُفَّارَ

"Demikianlah sifat-sifat mereka yang telah diungkapkan dalam Taurat & begitu juga yang diumpakan dalam Injil. Iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya. Kemudian tunas itu semakin kuat lalu membesar & tegak lurus di atas batangnya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya, kerana Allah ingin menimbulkan perasaan tidak senang hati pada orang kafir" - al-Fath 29.

Sememangnya terdapat riwayat ketika pembukaan Syam, golongan-golongan Nasrani menyaksikan sifat para sahabat. Mereka mengaku betapa serupanya kriteria yang ada pada para sahabat jika dibandingkan dengan perkhabaran yang terkandung di dalam Injil.

Imam Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya mengulas kenapa pengikut-pengikut Nabi disifatkan seperti benih? Allah ingin menggambarkan perkembangan gerakan pengikut Nabi yang bermula dalam keadaan lemah sehingga beransur-ansur menjadi kuat sempurna.

Jika kita melihat tabiat da'wah para Nabi pun, pengikut-pengikut mereka diawali dengan golongan-golongan lemah yang tiada kepentingan duniawi terlebih dahulu. Kemudian baru disusuli oleh golongan pembesar setelah da'wah tersebut berkembang & berpengaruh.

Apabila diumpamakan sebagai benih, adalah terlalu sukar untuk dihapuskan. Jika ada yang beranggapan ia akan mati jika dibenamkan ke dalam tanah, maka mereka silap. Bahkan dengan tindakan itulah yang menyebabkan benih-benih tersebut terus hidup & membesar.

Pokok Yang Kukuh & Berjasa.

Seterusnya kita melihat pegangan orang-orang beriman yang bakal membentuk jati diri mereka. Allah berfirman:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَآءِ• تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

"Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah telah membuat perumpamaan tentang kalimah yang baik seperti pohon yang baik. Akarnya teguh & cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah memberi perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supay mereka selalu beringat" - Ibrahim 24-25.

Kalimah yang baik mengandungi beberapa maksud. Imam Ibnu Kathir menyatakan ia adalah kalimah syahadah. Darinya membentuk kualiti tauhid yang menjadi jati diri orang-orang beriman.

Syeikh al-Qaradhawi pula menaqalkan tafsiran bagi kalimah yang baik merujuk kepada al-Quran, kerana ia akan memandu manusia ke jalan yang benar.

Manakala Said Qutb mengatakan kalimah yang baik itu bermaksud mesej kebenaran. Jika ingin dirumuskan, semua tafsiran yang telah disebutkan sebenarnya berkongsi maksud yang saling berhubung. Iaitu prinsip kebenaran orang beriman mestilah berpandukan al-Quran, lalu membentuk jati diri tauhid yang kukuh.

Adapun maksud cabangnya menjulang ke langit, Syeikh al-Qaradhawi menyatakan bahawa sifat ajaran yang benar mestilah
2025/06/29 15:57:38
Back to Top
HTML Embed Code: