1 Hari 1 Hadis | 22 Ramadan

Meninggalkan Dusta Di Bulan Ramadan

Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan melakukannya, maka tidak ada bagi Allah satu hajat pun pada dia meninggalkan makanan dan minumannya.”¹

¹Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Puasa/Bab Mengumpat Bagi Orang Yang Berpuasa (2/317 Hadis 2362).
1 Hari 1 Hadis | 23 Ramadan

Doa Yang Tidak Ditolak

Orang - orang yang berpuasa dimakbulkan oleh Allah doa - doa mereka, sebagaimana hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa - doa yang tidak ditolak.”¹

¹Diriwayatkan oleh Ibnu Majah di dalam Puasa/Bab Puasa yang tidak ditolak doanya (1/557/ Hadis 1753).
1 Hari 1 Hadis | 24 Ramadan

Sunat Berbuka Dengan Rutab

Sunat berbuka puasa dengan rutab (kurma basah). Sekiranya tiada, sebaiknya dengan tamar (kurma kering). Sekiranya tiada juga, seeloknya berbukalah dengan air kerana di dalam hadis menyatakan:

“Bahawa Rasulullah ﷺ berbuka puasa sebelum solat dengan 3 biji rutab. Jika tiada, Baginda ﷺ berbuka dengan 3 biji tamar. Sekiranya tiada juga, maka Baginda ﷺ berbuka dengan 3 teguk air.”¹

¹Diriwayatkan oleh Abu Daud and Tirmizi
1 Hari 1 Hadis | 25 Ramadan

Anjuran Melakukan Kebaikan Kepada Orang Berpuasa

Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang menyediakan makanan kepada orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa tersebut dan tidak dikurangkan pahala orang yang berpuasa tersebut (yang diperolehinya) sedikitpun.”¹

¹Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi
1 Hari 1 Hadis | 26 Ramadan

Diriwayatkan oleh al - Suyuti di dalam Jami' al Soghir, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesiapa yang berselawat ke atas saya pada waktu pagi sebanyak 10 kali, dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, nescaya dia akan memperoleh Syafa'at saya pada Hari Kiamat kelak.”
1 Hari 1 Hadis | 27 Ramadan

Syafa'at Nabi Muhammad ﷺ Untuk Umatnya Yang Melakukan Dosa - Dosa Besar

Daripada Anas (RA) dan Jabir (RA) meriwayatkan, daripada Rasulullah ﷺ bersabda:

“Syafa'at saya untuk orang - orang yang melakukan dosa - dosa besar dalam kalangan Umat saya.”¹

¹Diriwayatkan daripada Saidina Anas (RA) oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya
1 Hari 1 Hadis | 28 Ramadan

Tunjuk Ajar Nabi Muhammad ﷺ Ketika Bersin

Daripada Abi Hurairah (RA) berkata:

“Rasulullah ﷺ apabila bersin, Baginda ﷺ akan meletakkan tangan atau baju Baginda ﷺ ke mulut Baginda ﷺ dan memperlahankan suara (bersinnya).”

40 Hadis Syafa’at & Kemuliaan Akhlak Nabi Muhammad ﷺ oleh al-Qadhi Yusuf Ibn Ismail al-Nabhani.
1 Hari 1 Hadis | 29 Ramadan

Sifat Tawadhu’ Nabi Muhammad ﷺ

Daripada Ibni Amru (RA) berkata:

“Saya tidak pernah sekali - kali melihat Rasulullah ﷺ makan sambil bersandar dan tidak akan membiarkan dua orang lelaki berjalan di belakang Baginda ﷺ.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad
Ini juga menunjukkan sifat tawadhu’ Baginda ﷺ. Oleh kerana itu, Baginda ﷺ hanya berjalan di tengah - tengah manusia atau di belakang sekali.

40 Hadis Syafa’at & Kemuliaan Akhlak Nabi Muhammad ﷺ oleh al-Qadhi Yusuf Ibn Ismail al-Nabhani
Benarkah al Imam Ibn Kullab bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah sepertimana dakwaan daripada sebahagian golongan?

1) Pertama sekali, kita dan mereka bersepakat bahawa selepas al Imam Abu Hasan al Asy'ari keluar daripada Muktazilah, al Imam berada di atas jalanan al Imam Abdullah bin Said bin Kullab.

2) Tetapi perbezaan kita dengan mereka adalah menetapkan jalanan al Imam Ibn Kullab itu sama dengan jalanan Ulama Salaf ataupun tidak. Oleh kerana itu, mereka mendakwa bahawa perjalanan hidup al Imam Abu Hasan al Asy'ari itu ada tiga marhalah(meninggalkan jalanan Ibn Kullab dan kembali kepada jalanan Salaf)

Apakah pandangan Ulama terhadap al Imam Ibn Kullab?

3) Al Imam Tajudin as Subki di dalam kitab at Tabaqat mengatakan :
وابن كلاب على كل حال من أهل السنة. ورأيت الإمام ضياءالدين الخطيب والد الإمام فخرالدين الرازي قد ذكر عبد الله بن سعيد في آخر كتابه غاية المرام في علم الكلام، فقال ومن متكلمي أهل السنة في أيام المأمون عبد الله بن سعيد التميمي الذي دمر المعتزلة في مجلس المأمون وفضحهم ببيانه.

4) al Imam Jamaluddin al Asnawi di dalam kitab at Tabaqat asy Syafi'iyyah :
كان من كبار المتكلمين ومن أهل السنة

5) Dan banyak lagi pandangan Ulama yang menyatakan bahawa al Imam Ibn Kullab merupakan Ahli Sunnah dan mengikuti jalanan Salaf antaranya al Imam Ibn Hajar di dalam kitab Lisan al Mizan, Ibn Khaldun di dalam Kitab al Muqaddimah yang telah memasukkan al Imam Ibn Kullab daripada pengikut as Salaf dan berada di atas jalan Ahli Sunnah.

6) Maka, beberapa nas yang di datangkan di atas secara jelas menerangkan bahawa al Imam Ibn Kullab merupakan Ulama yang mengikut jalanan as Salaf dan Sunnah.

Apakah sebab mereka mendakwa bahawa al Imam Ibn Kullab bukan mengikut jalanan Salaf dan bukan berada di atas jalanan Ahli Sunnah?

7) Tuduhan tersebut adalah timbul daripada isu berkenaan dengan perbahasan Khalq al Quran. Mereka mengatakan bahawa Ibn Kullab menyalahi jalanan Salaf dalam isu ini.

8) Pandangan al Imam Ibn Kullab terhadap isu al Quran :
إن القرآن الذي تكلم الله به صفة من صفاته لا يجوز عليه الخلق. وإن تلاوة التالي وكلامه بالقرآن كسب له و فعل له. وذلك مخلوق وإنه حكاية عن كلام الله

9) Pandangan al Imam Ibn Kullab ini juga di sokong oleh Ulama lain seperti al Karabisi, Abu Tsur dan Daud Ibn Ali.

10) Manakala pandangan al Imam Ahmad Bin Hanbal berkata :
من قال : لفظي بالقرآن مخلوق فهو مبتدع

11) Oleh kerana itu, para pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal membidaahkan dan mengeluarkan mereka yang berpandangan seperti itu daripada jalanan Sunnah dan as Salaf

12) al Imam Ibn Kullab berpandangan seperti ini kerana beliau masuk dalam perbahasan Ilmu Kalam untuk menolak pandangan pihak musuh. Sedangkan al Imam Ahmad Bin Hanbal tidak suka dengan perbahasan Ilmu Kalam dalam menerangkan perkara yang benar. al Imam Ahmad berada dengan jalanan Ulama Salaf.

13) Selain al Imam Ibn Kullab, terdapat sekumpulan Ulama-Ulama yang hebat juga berpandangan seperti Ibn Kullab. Antaranya adalah Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Harith al Muhasibi dan Muhammad Ibn Nasr al Marwazi.

14) Isu yang berlaku antara Imam Bukhari bersama gurunya az Zuhli adalah masalah Lafaz sehingga al Imam Bukhari mengarang kitab yang berjudul خلق أفعال العباد bagi menyatakan pandangannya tentang masalah Lafaz itu dan menolak orang yang menyalahinya.

15) Kesimpulan daripada perbincangan tentang Ibn Kullab, adakah beliau terkeluar daripada jalanan Salaf ataupun tidak adalah kerana daripada isu Khalq Quran iaitu tentang lafaz tersebut.

16) Sekiranya kita mendalami isu tersebut dan fahami apa yang berlaku di antara dua pandangan tersebut, kita akan dapati bahawa sebenarnya dua pandangan itu saling kuatkan diantara satu sama lain. Dan ada sebab kenapa al Imam Ahmad berpandangan seperti itu dan begitu juga bagi al Imam Ibn Kullab.

Wallahualam.

Sedikit perkongsian daripada hasil pembacaan Kitab أهل السنة الأشاعرة شهادة علماء الأمة وأدلتهم

Musytaq al Ashari
23/04/2024
[SIRI 3 : AHLI SUNNAH WAL JAMAAH]

Benarkah Kitab al Ibanah menjadi bukti bahawa al Imam Abu Hasan al Asy’ari melalui tiga marhalah?

1)Kitab al Ibanah adalah dalil dan hujah mereka yang berpandangan al Imam Abu Hasan al Asy’ari melalui tiga marhalah dalam kehidupannya.

2)Tidak ada keraguan lagi bahawa al Imam Abu Hasan al Asy’ari di dalam kitab ini(al Ibanah) dan penulisan lain yang di nisbahkan kepadanya dengan kaedah dan uslub yang berbeza dalam penulisannya.

3)Dan kebanyakkannya al Imam menggunakan cara jumhur Salaf dalam masalah Mutasyabihat iaitu mengambil pendekatan Tafwidh.

4)Dari kerana itu, sebahagian mereka faham bahawa al Imam Abu Hasan al Asy’ari telah keluar daripada jalanan al Imam Ibn Kullab kepada jalanan Salaf.

5)Pada penulisan sebelum ini, telah saya terangkan tentang al Imam Ibn Kullab bahawa al Imam merupakan Ulama Salaf dan berbeza dalam isu Khalq Quran. Boleh rujuk pada link di bawah :

https://www.facebook.com/share/z9qTV7ABQuecw91E/?mibextid=WC7FNe

6)Imam Ibn Hajar di dalam Kitab Lisan al Mizan ketikamana beliau mengkritik Ibn Nadim yang menyifatkan al Imam Ibn Kullab sebagai Hasywiyah :
يريد من يكون على طريق السلف في ترك التأويل… ويقال لهم : المفوضة

7)Kalam al Imam Ibn Hajar ini sudah mencukupi untuk menjawab dakwaan bahawa al Imam Abu Hasan al Asy’ari keluar daripada jalanan al Imam Ibn Kullab kepada jalanan Salaf sedangkan al Imam Ibn Kullab merupakan Ulama Salaf dan menggunakan pendekatan Tafwidh sepertimana penulisan al Imam di dalam Kitab al Ibanah.

8)Kitab al Ibanah ini sendiri sebenarnya telah menolak dakwaan mereka tersebut(tentang tiga marhalah) kerana penulisan ini mengikut jalanan al Imam Ibn Kullab dan manhajnya(Salaf/Tafwidh). Bagaimana al Imam Abu Hasan al Asy’ari keluar daripada jalanan al Imam Ibn Kullab kemudian mengarang kitab terakhirnya atas manhaj dan jalanan al Imam Ibn Kullab?

9)al Imam Ibn Hajar sebut di dalam kitab Lisan al Mizan :
وعلى طريقته -يعني ابن كلاب- مشى الأشعري في كتاب الإبانة.

10)Dan daripada sini bertambah yakin bahawa al Imam Ibn Kullab berada di atas jalan Salaf as Soleh dan termasuk dalam ulama Salaf kerana Kitab al Ibanah yang dikarang oleh al Imam Abu Hasan al Asy’ari pada akhir hidupnya adalah mengikut manhaj Salaf dan jalan al Imam Ibn Kullab.

11)Hasil penulisan saya tentang isu Tiga Marhalah Imam Abu Hasan al Asy’ari adalah al Imam Abu Hasan al Asy’ari hanya mempunyai dua marhalah sahaja iaitu

Marhalah Pertama : Marhalah al Imam Abu Hasan al Asy’ari berada di atas jalanan Muktazilah

Marhalah Kedua : Kembalinya al Imam Abu Hasan al Asy’ari dari Muktazilah kepada Manhaj Ahli Sunnah/as Salaf as Soleh.

Wallahu’alam

Sedikit perkongsian daripada hasil pembacaan Kitab أهل السنة الأشاعرة شهادة علماء الأمة وأدلتهم

Musytaq
24/4/2024
[SIRI 4 : AHLI SUNNAH WAL JAMAAH]

1) Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini zahir di atas orang yang berpegang kepada manhaj as Salaf as Soleh yang berpegang kepada al Quran, Sunnah-sunnah yang datang daripada Rasulillah صلى الله عليه وسلم serta para Sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم.

2) Dan Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini juga zahir untuk membezakan dengan golongan Ahli Bidaah dan yang menyimpang daripada jalanan Nabi صلى الله عليه وسلم

3) Apabila disebut istilah ini(Ahli Sunnah wal Jamaah) di dalam kitab-kitab para Ulama, maka ia dituju kepada Asya'irah, Maturudiyyah dan Ahli Hadis kerana mereka semua ini mengikuti jalanan yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم, tidak mengubah ajaran Baginda صلى الله عليه وسلم sepertimana yang dilakukan oleh Ahli Bidaah.

4) Kebanyakkan daripada kita, apabila menyebut Asya'irah dan Maturidiyyah, pasti mereka menyangka bahawa kedua kelompok ini berbeza/menyalahi Ahli Hadis. Pada hakikatnya adalah tidak ! kerana kebanyakkan Ahli Hadis yang datang selepas al Imam Abu Hasan al Asy'ari dan Abu Mansur al Maturidi, samada mereka itu akan mengikut jalan Asya'irah atau Maturidiyyah ataupun jalanan mereka sama jalanan Asya'irah dan Maturidiyyah.
5) al Imam Tajuddin as Subki berkata di dalam kitab at Tabaqat :
"هو (يعني مذهب الأشعري) مذهب المحدثين قديما وحديثا"

6) Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menyifatkan tentang al Firqah an Najiyyah(Golongan yang selamat) bahawa mereka ini adalah as Sawad al 'Azham(kelompok yang besar/ramai) daripada umat Islam. Maka sifat tersebut sesuai dengan kumpulan Asya'irah dan Maturidiyyah serta Ahli Hadis kerana mereka ini adalah majoriti dikalangan umat Islam.

7) Dan mereka tidak akan berhimpun di atas kesesatan. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"لا تجتمع أمتي على الضلالة"

8) Imam Tajuddin as Subki sebut tentang Ahli Sunnah wal Jamaah :
"اعلم أن أهل السنة و الجماعة كلهم قد اتفقوا على معتقد واحد فيما يجب ويجوز ويستحيل. وان اختلفوا في طرق والمبادئ الموصلة لذلك"

9) al Imam Abu Ishak asy Syirazi berkata :

"Abul Hasan al Asy'ari adalah Imam bagi Ahli Sunnah, kebanyakkan Ashab asy Syafie berada di atas mazhabnya. Dan mazhabnya adalah mazhab yang benar"

10) al Allamah as Safaraini al Hanbali berkata di dalam Kitab Lawami' al Anwar al Bahiyyah :

Ahli Sunnah wal Jamaah ada 3 kumpulan :
1- al Atsariyyah : Imam mereka adalah al Imam Ahmad Bin Hanbal
2- al Asy'ariyyah : Imam mereka adalah al Imam Abul Hasan al Asy'ari
3- al Maturidiyyah : Imam mereka adalah Abu Mansur al Maturidi

11) al Imam Murtadha az Zabidi sebut di dalam kitab Ithaf Sadah Muttaqin :

"Yang di maksudkan dengan Ahli Sunnah adalah mereka itu daripada 4 kumpulan : Ahli Hadis, Ahli Sufi, Asya'irah dan Maturidiyyah"

12) Ahli Sufi yang disebut oleh al Imam Zabidi adalah golongan yang mengikuti jalanan al Imam Junaid, Ma'ruf Kharkhi, Bisyr al Hafi, Ibrahim Ibn Adham dan seumpama mereka semua).

13) Jika ingin tahu apakah Akidah Salaf, boleh lihat di dalam kitab Akidah Thohawiyyah yang dikarang oleh al Imam Abu Ja'far at Thohawi. Di dalam kitab tersebut juga merangkumi pegangan al Asya'irah kecuali ada beberapa masalah yang berbeza yang tidak membawa kepada Tadhlil(menyesatkan) dan Tafsiq(menfasiqkan).

Wallahu'alam

Musytaq al Ash'ari
27/4/2024
11.11pm
2024/05/05 09:23:37
Back to Top
HTML Embed Code: