Telegram Web Link
elakinya itu tinggi. Maka berlarutanlah pergaduhan mereka. Perkara ini amatlah tidak baik.

Tiga bulan pertama perkahwinan bagi Cikgu Malek, ialah proses berkenalan beliau dengan isteri. Beliau tidak bercinta sebelum berkahwin. Beliau berkahwin dulu, baru bercinta kemudiannya.

[ Nasihat Ketujuh: Buat Abnaul Harakah ]

Kenapa Rasulullah SAW berkahwin pada usia 25? Kerana ia merupakan tarbiyah terbaik bagi seorang lelaki. Umur 25 ini merupakan kemuncak bagi seorang lelaki.

Sebelum melangkah ke fasa itu, persiapkan segala kelengkapan diri. Sama ada daripada segi ekonomi dan sebagainya. Lebih-lebih lagi pada persiapan ilmu. Ini kerana anak lelaki bakal menjadi seorang ketua keluarga. Ini tidak, diri sendiri pun tak terbimbing, mana mungkin mahu membimbing pula orang lain!

Cikgu Malek mengakhiri kalamnya dengan menasihati kepada kami,

"Anak-anak muda, kalau boleh teruskanlah suasana seperti ini. Kekalkanlah untuk duduk bersama dengan jemaah. Barulah kita semua akan terus kuat!"

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Jerteh, Besut
10 Julai 2016

(Kemaskini: 4 Jun 2020)
https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
TANDA KITA CINTA KEPADA NABI

Antara empat (4) tanda kita cinta kepada Rasulullāh صلى الله عليه وسلم seperti yang disebutkan oleh Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri حفظه الله تعالى ialah:

1. Kita teringin nak jumpa dengan Nabi صلى الله عليه وسلم. Setiap malam, dia akan tertunggu-tunggu bilakah masanya dia akan dapat bertemu dengan Nabi صلى الله عليه وسلم.

2. Mentaati segala perintah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Satu hari Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda bahawa, "Setiap umatku akan masuk ke dalam Syurga, kecuali mereka yang enggan.."

Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullāh صلى الله عليه وسلم, siapakah mereka yang enggan itu?

Kemudian dijawab oleh Baginda صلى الله عليه وسلم, "mereka ialah orang yang menderhaka kepadaku.."

3. Mengamalkan Sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Lalu kita muhasabah, pada diri kita ini ada berapa banyakkah sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم yang melekat? Satukah, sepuluhkah, seratuskah ataupun lebih?

Tuan Guru Shaykh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari حفظه الله تعالى pernah berpesan;

Antara Sunnah Rasulullāh صلى الله عليه وسلم itu yang tidak akan ditinggalkan oleh para pencinta Nabi ialah, mereka hanya akan memakai baju berwarna putih sahaja pada hari Juma'at.

4. Mengagungkan Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Tidak ada yang dapat melebihi para sahabat dalam mengagungkan Baginda صلى الله عليه وسلم. Kita hari ini dapat melihat Athar (janggut, rambut, cebisan baju dan sebagainya). Para pencinta Nabi صلى الله عليه وسلم pasti akan memandangnya dengan penuh kemuliaan.

Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri حفظه الله تعالى melontarkan sebuah persoalan, "Kenapa kita bergelut sangat nak mencium Hajarul Aswad?"

Kemudian dijawab oleh beliau, "...kerana Rasulullāh صلى الله عليه وسلم juga pernah meletakkan bibirnya yang mulia pada Hajarul Aswad itu dahulu..."

Semoga Allāh سبحانه وتعالى mengurniakan kepada kita nikmat melihat keindahan wajahnya Rasulullāh صلى الله عليه وسلم. Sekaligus terpegun sehingga terlupa akan kesakitan sakaratul maut...

Wallāhua'lam.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyīd Al-Kintī

Alor Setar,
18 Rabi'ul Akhir 1440/
25 Disember 2018

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
MURID PAK DA ‘EIL YANG MASIH HIDUP

Tuan Guru Baba Ismail sepanjang menuntut ilmu di Makkah dahulu merupakan anak murid kepada; Pak Da 'Eil (pengarang kitab Bakurah Amani), Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (pengasas kepada Madrasah Darul Ulum), Syeikh Abdul Qadir Mandili (pengarang kitab Penawar Bagi Hati) dan ramai lagi ulama' yang agung.

Beliau menetap di dalam sebuah perkampungan Felcra di daerah Padang Besar, Perlis. Tidak jauh daripada itu, terdapat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Uniciti Alam Sg. Chuchuh dan sempadan masuk ke negara Thailand. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Mulia Ustaz Fauzi kerana sudi mengenalkan kami kepada Tuan Guru Baba Ismail.

Terlalu banyak kalam mutiara yang disampaikan oleh beliau kepada kami petang tadi. Insya-Allah sekiranya tiada aral yang melintang, kami akan sertakan sebuah penulisan yang khusus berkenaan pertemuan ziarah ini. Tuan Guru Baba Ismail hafizhahullah telah memberi 3 nasihat buat seluruh penuntut ilmu, yang kami rangkumkan nasihatnya seperti berikut;

(1.) Penuntut ilmu kena ada niat nak cari ilmu sebanyak-banyaknya. Baba Ismail sendiri bernikah pada umur 28 tahun selepas pulang dari Makkah, manakala gurunya Al Marhum Shaykh Yasin Al-Fadani bernikah pada umur 40 tahun. (2) Kedua, dalam pelajaran, kita kena ikhlas dalam menuntut ilmu. (3) Ketiga, sedekah tidak boleh ada hari yang kosong, kena buat selalu setiap hari sehingga menjadi amalan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Padang Besar,
28 Rejab 1439/
15 April 2018

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
MURID PAK DA ‘EIL YANG MASIH HIDUP (2)

Sudah 63 tahun dua orang ulama yang bersahabat ini telah terpisah, sehinggalah disatukan kembali oleh Allah pada hari ini. Kali terakhir mereka berjumpa adalah ketika di Makkah pada tahun 1955. Kedua-dua mereka telah mencapai usia 87 tahun sekarang.

Tuan Guru Baba Ismail (yang berada di tengah) seorang yang sangat alim dalam Nahu dan Sorof. Manakala, Tuan Guru Hj. Mat Husin pula seorang sangat alim dalam ilmu Tarikh Islam (pengajian sejarah). Pada tahun 1955, Tuan Guru Baba Ismail dan Tuan Guru Hj. Mat bin Husin meneruskan pengajian mereka berdua ke Makkah.

Namun tidak lama kemudian, Tuan Guru Hj. Mat bin Husin pula menyambung pengajiannya ke Mesir. Tuan Guru Haji Mat Husin merupakan anak kepada Al Marhum Tuan Guru Haji Husin Pondok Langgar. Al Marhum Tuan Guru Hj Hussin Pondok Langgar juga bersahabat baik dengan Al Marhum Tuan Guru Ustaz Fadzil Noor.

Mereka (Tuan Guru Hj Hussin dan TGFN) juga pernah bersama-sama bermusafir ke Turki pada suatu ketika dahulu. Waktu itu, Parti Refah baru nak ditubuhkan oleh Al Marhum Profesor Erbakan. Tuan Guru Hj Hussin Langgar merupakan pengasas kepada Pondok Raudhatul Ulum. Kini merupakan Maktab Mahmud Pokok Sena.

Ketika tahun 1955, terdapat 4 orang anak Kedah yang mengaji sekawan di Darul Ulum Makkah, iaitu (1) Tuan Guru Baba Ismail, (2) Tuan Guru Hj. Mat Husin, (3) Tuan Guru Hj. Said Pendang dan (4) Tuan Guru Ayub Tualang.

Anak Kelantan pula terdapat 7 orang, termasuklah Al Marhum Tuan Guru Ustaz Yahya Othman (penulis kitab Amal Jama’i). Anak Indonesia lagi ramai kata Tuan Guru Baba Ismail. Atas satu tahun pengajian daripada Baba Ismail ketika di Darul Ulum, antaranya ialah Al Marhum Tuan Guru Hj. Salleh Sik. Seorang yang sangat alim dalam ilmu tauhid.

CERITA AWALNYA

Pada mulanya, Guru Mulia Ustaz Fauzi membuat carian di internet tentang Pondok Langgar Hj. Hussin. Ustaz dapat tahu bahawa, ada seorang anak beliau (Hj. Mat Hussin) yang pencen dari Maktab Mahmud (1986).

Apabila ditanya kepada pihak Maktab Mahmud Pokok Sena, mereka telah memberi nombor telefon cucu beliau, Ustaz Maher. Kemudian Guru Mulia Ustaz Fauzi dapat menghubunginya dan meminta alamat rumah ayahnya. Maka terjadilah pertemuan mahabbah ini.

Alangkah hebatnya ukhuwah mereka berdua. Terus diimbau saat-saat manis kenangan menuntut ilmu 63 tahun yang dahulu ketika di kota Tanah Suci Makkah.

Pesan Tuan Guru Hj Mad Hussin satu sahaja, "Koi lama, koi habis... (semakin lama, semakin berkuranganlah para ulama…)" Semoga Allah memanjangkan umur kedua-dua ulama yang mulia ini.

PERSOALAN TENTANG TAKDIR

Ketika dalam perjalanan pulang, kami sempat bertanya kepada Baba Ismail tentang satu persoalan tentang takdir. Jawapan daripada Baba Ismail cukup ringkas dan padat,

"Semua telah ditetapkan oleh Allah di Luh Mahfuz. Cuma nak ubah atau tidak itu bukan kerja kita. Allah akan menghapuskan apa yang Dia kehendak dan Allah tetapkan apa yang Dia kehendak. Itu kita tak boleh nak kata apa. Itu kerja Allah."

Lalu Baba Ismail membacakan ayat ke-118 dari Surah al-Maidah yang maksudnya cukup indah untuk dihayati,

"Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Alor Setar,
5 Syaaban 1439/
21 April 2018

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
11 NASIHAT YANG BERMAKNA

Sudah hampir 8 tahun, kami mendapatkan tunjuk ajar daripada Sang Naqib, Guru Mulia Abang Abu Hasan Ashaari Attafawi hāfizhahuLlāh.

Jika menjadi seorang murid, selamanya tetap murid. Maka, menjadi seorang anak usrah, selamanya tetap anak usrah. Tidak ada yang namanya "bekas guru", begitulah juga tidak ada yang namanya "bekas naqib".

Nasihat-nasihat daripada beliau pada malam tadi, dapat kami simpulkan kepada 11 perkara:

1. Al-Qur'ān mendatangkan banyak misal tentang makhluk, agar kita dapat mengambil pengajaran.

2. Perbanyakkan lisan dengan berselawat, fadhilat orang yang berselawat cukup besar. Mereka diampunkan dosa.

3. Di dalam keluarga@usrah, tidak sepatutnya ada perasaan bersangka buruk dan khianat-mengkhianati.

4. Sesama ahli keluarga, hendaklah bersangka baik, saling memberi manfaat dan kebaikan.

5. Bersahabat hendaklah dengan niat yang ikhlas, agar ikatan persahabatan tersebut terasa manis.

6. Kita berkawan bukan kerana darjat, kedudukan atau harta. Ada yang bekerja kampung juga tetap kita berkawan.

7. Jangan sesekali kita berkawan dengan seseorang atas sebab kepentingan tertentu. Apabila dia sudah tidak menjadi pimpinan jemaah, sudah tidak mahu bersahabat. Kena semak kembali niat.

8. Guru Mulia Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah hāfizhahuLlāh berkata bahawa; "Perbanyakkan sahabat daripada kalangan orang mukmin, kerana mereka mempunyai syafaat di akhirat nanti."

9. Kita juga menumpang syafaat Guru di akhirat kelak, syafaat daripada Guru yang Mursyid, yang membimbing perjalanan seorang salik.

10. Banyakkan mengenali Wali-Wali Allāh di dunia, supaya kita mendapat syafaat Wali-Wali Allāh di akhirat.

11. Itu baru syafaat Wali-Wali Allāh, bagaimana pula dengan syafaat daripada Junjungan Mulia RasuluLlāh SollāLlāhu Alaihi Wasallam? Maka, perbanyakkan selawat.

Semoga kemanisan ukhuwah ini akan terus berkekalan. Didoakan semoga Sidi Afiq Anam yang masih ditahan di hospital, agar cepat sembuh daripada wabak Covid-19.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tiga,
16 Syawal 1441/
8 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
PERIHAL SEBAB CINTA

Dalam buku "Perihal Rasulullah ﷺ", Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hafizhahuLlāh ada menukilkan perkataan Fadhilatus Shaykh Dr. Usamah Sayyid Mahmud al-Azhari hafizhahuLlāh,

"Seseorang jatuh cinta kepada seseorang yang lain kerana tiga sebab. Cantik ( جمال ), sempurna ( كمال ) dan baik budi pekertinya ( إحسان ). Salah satu sebab atau mungkin terkumpul dua sebab, pasti menjadi sebab cinta..."

Sambung Shaykh Usamah hz lagi, "Istimewanya kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad ﷺ, tiga sebab atau perkara ini; (cantik, sempurna dan baik budi pekerti) terkumpul pada diri Baginda ﷺ untuk dicintai."

Kata Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hz, "Kecintaan manusia kepada seseorang telah menyebabkan telinganya dipekakkan dan matanya dibutakan. Seperti kisah para wanita Qibtiy yang terhiris jari ketika memandang Nabi Yusuf عليه السلام."

Namun, telah disebutkan oleh Sayyidatuna Aisyah رضي الله تعالى عنها bahawa, sekiranya para wanita Qibtiy itu masih lagi hidup. Nescaya, hati mereka akan terhiris apabila memandang wajah Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang mulia!

Perumpamaan kecantikan dan kesempurnaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ dengan sekalian Anbiya' disebutkan oleh Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll hz ketika mensyarahkan kitab "Qalbun Salim" bahawa, Baginda ﷺ itu seperti matahari dan para Anbiya' pula seperti bintang di langit.

Kata Guru yang mulia, "Bintang akan kelihatan terang bergemerlapan pada waktu malam. Apabila datang cahaya matahari, habis sirnalah cahaya bintang."

Itu bukan bermakna bintang tidak ada. Tetapi, oleh kerana terlalu cerahnya cahaya matahari pada waktu siang, maka, hilanglah semua cahaya yang selainnya...

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Enam,
20 Syawal 1441/
11 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
PERIHAL SEBAB CINTA (2)

Berkata oleh Tuan Guru Shaykh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani ḥāfiẓahuLlāh, "Jika antum cinta kepada seorang perempuan; atau perempuan kepada seorang lelaki, antum akan mencintai apa yang berkaitan dengan orang itu."

Hakikat kekasihnya ialah perempuan atau lelaki yang dicintai itu tadi. Namun, segala yang berkaitan dengan si dia juga akan turut sama dikasihi.

Serupa para Sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين yang berusaha sedaya upaya untuk mencintai setiap perkara yang dicintai oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Antaranya seperti yang tersebut dalam kitab "Syamāil Muḥammadiyah" karangan al-Imam at-Tirmizi رحمه الله تعالى.

Apabila membaca hadis yang ke-151 sehingga 153, pasti kita akan bertemu dengan beberapa kisah makanan kesukaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Antaranya ialah buah labu ( دُبَّاءٌ ).

Perhatikan bagaimana ahwal para Sahabat dalam mencintai kekasihnya. Ketika Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه mengetahui perkara tersebut, beliau langsung menyukai buah labu seperti halnya keadaan Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه menceritakan,

"Nabi ﷺ menyukai buah labu. Suatu hari, dihidangkan kepada Baginda ﷺ suatu hidangan makanan atau Baginda ﷺ diajak untuk menikmati satu hidangan makanan. Aku mengutip-ngutip labu yang ada dalam hidangan itu, lalu aku letakkan di hadapan Baginda ﷺ kerana aku mengetahui Baginda ﷺ menyukainya."

Dalam hadis yang lain, Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله تعالى عنه juga telah menceritakan bahawa,

"Seorang tukang jahit menjemput Rasulullah ﷺ untuk menikmati makanan yang dimasaknya. Sayyiduna Anas menceritakan, lalu aku pergi bersama Rasulullah ﷺ. Dihidangkan kepada Baginda ﷺ; roti, kuah sup bersama labu di sekitar (makanan di dalam) talam."

Sayyiduna Anas رضي الله تعالى عنه berkata, "Sejak hari itu, berterusanlah aku menyukai labu."

Sahabat menyukai segala perkara yang disukai oleh kekasihnya. Segala yang berkaitan dengan Sayyiduna Rasulullah ﷺ, pasti akan menjadi kecintaan mereka juga.

Demikianlah kata Guru Mulia Ustaz Muhadir Hj Joll ḥāfiẓahuLlāh berkenaan hal keadaan orang yang bercinta. Terdapat sebuah kisah di mana, pada suatu hari orang ramai telah melihat Qais mencium tembok.

Sedangkan bagi Qais, dia sebenarnya sedang mencium tuan kepada tembok tersebut, iaitu Laila. Hatinya sudah dimiliki oleh Laila menyebabkan segala yang berkaitan Laila turut dicintai oleh Qais.

Semoga kita juga dikurniakan perasaan cinta kepada setiap perkara yang dicintai oleh Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ.

Amin.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tujuh,
20 Syawal 1441/
12 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
RINGKASAN JILID KEDUA

Alḥamdulillāh, pada pagi Jumaat yang penuh dengan keberkatan ini Tuan Guru Ayah Chik ḥāfiẓahuLlāh telah mengkhatamkan syarahan bagi kitab "Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid Kedua)".

Kitab tersebut membicarakan Sirah Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ; bermula dari peristiwa Hijrah ke Madinah sehinggalah kepada kisah Sayyiduna Rasulullah ﷺ diracun selepas Perang Khaibar.

Sekurang-kurangnya terdapat beberapa peristiwa yang besar di dalam buku Jilid Kedua ini, antaranya ialah:

1. Perang Badar (tahun 2 Hijrah)
2. Perang Uhud (tahun 3 Hijrah)
3. Peristiwa Birru Ma'unah (tahun 4 Hijrah)
4. Perang Ahzab (tahun 5 Hijrah)
5. Perjanjian Hudaibiyah (tahun 6 Hijrah)
6. Perang Khaibar (tahun 7 Hijrah)

Minggu hadapan bermulalah pengajian kitab yang baharu, Fiqh Al-Harakah bagi jilid yang ke-3. Sekaligus merupakan siri buku yang terakhir pada karangan Ayah Chik terhadap Sirah Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan rahmat ke atas Ayah Chik dan memanjangkan umur beliau buat manfaat seluruh umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ♥️.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tujuh,
20 Syawal 1441/
12 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/13 20:27:51
Back to Top
HTML Embed Code: