Telegram Web Link
MEMBACA SIRAH RASULULLAH ﷺ DARI KARYA TGHH

Antara ratusan karya penulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang حفظه الله تعالى, kami sangat gembira untuk membuat beberapa ulasan daripada buku beliau yang berjudul, "Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah Jilid 3". Buku tersebut telah kami dapatkan pada tahun 2016 di kedai buku Jendela Ilmu, Kuala Terengganu.

1. Menariknya, buku ini juga merupakan sekuel yang ketiga, lanjutan daripada siri-siri "Fiqh Harakah 1" dan "Fiqh Harakah 2" yang terdahulu. Termasuklah buku bagi Jilid Kedua siri tersebut, yang masih di dalam pengajian Kuliah Dhuha pada secara mingguan pada setiap hari Jumaat di Masjid Rusila, Marang. Bezanya pada Musim Corona ini, Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى telah menyampaikan kuliah kepada kita secara atas talian ("online"). Namun begitu, kemanisan tatkala mendengar syarahan Tuan Guru Ayah Chik, masih sangat jelas terasa, seolah-olah beliau sedang berkuliah secara langsung di hadapan.

2. Buku ketiga dari siri Fiqh Harakah ini, telah memuatkan Sirah Rasulullah ﷺ bermula daripada empat (4) peristiwa penting yang berlaku sebelum Peperangan Mu'tah seperti Pembukaan Fadak, Wadi Al-Qira, Gerakan Ketenteraan (Tahun Ketujuh) dan Umrah Qadha, sehinggalah berakhir dengan peristiwa yang paling menyedihkan buat umat, iaitu kewafatan Sayyiduna Rasulullah ﷺ  (Rabi'ul Awal Tahun Kesebelas). Kesetiap peristiwa ini, telah disusun dengan baik sekali bersama dengan ibrahnya masing-masing oleh Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى.

3. Kemudian, terdapat sekurang-kurangnya empat (4) siri peperangan yang besar telah disentuh di dalam buku ini. Antaranya ialah Peperangan Mu'tah, Fathul Makkah, Peperangan Hunain dan Peperangan Tabuk. Kesemua peperangan tersebut telah disertai oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ, melainkan satu iaitu ketika pertempuran di Mu'tah (Jamadil Awal Tahun Kelapan bersamaan dengan tahun 629 M). Di dalam peperangan itulah, telah masyhurnya kisah kesyahidan tiga (3) orang sahabat kanan Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang menjadi panglima perang Mu'tah iaitu, pertama anak angkat kesayangan Baginda ﷺ yang bernama Sayyiduna Zaid bin Harithah رضي الله عنه. Kedua, Sayyiduna Ja'afar bin Abi Talib رضي الله عنه dan ketiga, Sayyiduna Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه.

4. Di dalam peristiwa Fathul Makkah pula, Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى telah menyebutkan bahawa Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah berada di Makkah selama sembilan belas (19) hari. Operasi tersebut telah dibahagikan kepada empat (4) sayap yang utama. Pertama, dari sayap Utara yang diketuai oleh Sayyiduna Zubair al-Awwam رضي الله عنه. Kedua, dari sayap Barat yang diketuai oleh Sayyiduna Sa'ad bin Ubadah رضي الله عنه. Ketiga, dari sayap Tenggara diketuai oleh Sayyiduna Abu Ubaidah رضي الله عنه. Keempat, dari sayap Selatan yang diketuai oleh Sayyiduna Khalid al-Walid رضي الله عنه. Peristiwa yang sangat besar ini telah berlaku di dalam bulan Ramadhan pada Tahun Kelapan Hijrah.

5. Manakala, Peperangan Hunain pula adalah lanjutan daripada peristiwa Fathul Makkah. Ia telah berlaku pada bulan Syawal Tahun Kelapan Hijrah. Medan peperangan yang paling utama berlaku di Hunain, kemudian telah berpecah kepada tiga (3) kawasan, iaitu Thaif (bandar yang ketiga terbesar selepas Makkah dan Madinah), Lembah Autos dan Nakhlah. Seterusnya yang terakhir ialah Peperangan Tabuk yang berlaku pada Tahun Kesembilan Hijrah. Di mana, peristiwa tersebut telah dirakamkan dengan begitu banyak sekali di dalam Surah at-Taubah. Tentu sahaja, kisah yang sangat terkenal ialah berkenaan kisah tiga (3) orang sahabat yang ditegur oleh Allah Ta’ala dan Rasulullah ﷺ kerana tidak ke medan Tabuk.

6. Kesimpulannya, Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى telah menghidangkan sebuah penulisan berkenaan Sirah Rasulullah ﷺ yang sangat teratur buat kita semua. Beliau bukan sahaja telah menulis sebuah buku sejarah, bahkan berjilid-jilid lagi karya beliau telah berada di pasaran dan perpustakaan. Selayaknya, beliau diangkat sebagai ilmuwan negara, bahkan antarabangsa.

Semoga Allah Ta’ala terus memanjangkan usia Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى dalam kebe
rkatan.

#DudukMengaji
#KoleksiTerbaikTGHH
#PPUBookReview

اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Empat,
16 Sya'ban 1441/
10 April 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
ADAB DI DALAM MAJLIS ILMU

Kami ada mendengar jika tidak silap daripada kalam Guru yang mulia, Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari hafizhahullah bahawa:

Jika di dalam majlis pengajian ilmu, guru-guru ada menyebutkan seumpama "moga-moga" ataupun "semoga" atau sebagainya yang membawa makna harapan dan doa, maka sebagai adab seorang penuntut ilmu, kita menjawab doa tersebut dengan mengucapkan "amin".

Faedah: Ia merupakan doa yang sangat barakah di dalam majlis yang penuh dengan barakah, kerana makhluk lain turut berdoa ketika itu, termasuklah makhluk yang tidak pernah melakukan dosa seumpama para malaikat.

Kami juga ada mendengar dari sebahagian Guru-Guru yang lain (hafizhahumullah) bahawa, tatkala doa sedang dibacakan oleh Guru di dalam majlis pengajian ilmu, maka jangan segan untuk mengangkat tangan berdoa. Ringankan tangan untuk menadah, sekalipun tatkala Guru menyebut "moga-moga", "semoga" dan seumpamanya.

Faedah: Kiblat bagi solat menghadap ke Ka'abah. Manakala, Kiblat bagi doa pula menghadap ke arah langit. Maka, jangan memberatkan tangan kita ketika berdoa, jangan berasa segan untuk mengangkat tangan. Lihat sahajalah di dalam majlis para Masyaeikh dan Habaib yang mulia sebagai contoh, tatkala Guru mereka berdoa, penuh sekalian tolibul ilmi akan menadah tangan untuk berdoa.

Berkata juga sebahagian para Ulama bahawa, tatkala kita melihat orang Soleh menadah tangan, maka angkatlah tangan bersama dengan mereka. Kami menambah, tentulah Guru yang Mulia itu lebih diutamakan lagi.

Tatkala melihat Guru sedang menadah tangan, maka sebagai penuntut ilmu, angkatlah tangan sekali bersama dengan mereka. Bahkan, terlebih diutamakan lagi untuk berdoa sekiranya majlis pengajian ilmu tersebut dihadiri oleh ramai orang.

Faedah: Berkata Guru Mulia Ustaz Fayyadh As-Sanaki al-Yamani hafizhahullah seperti yang telah disebutkan oleh para Ulama bahawa, tidak berdoa oleh 40 orang yang berdoa, melainkan dikabulkan salah seorang daripada mereka oleh Allah (yang menjadi asbab doa semua orang turut dikabulkan).

Juga disebutkan oleh para Ulama bahawa, tidak akan berhimpun 40 orang yang beriman, melainkan terdapat salah seorang daripada mereka ialah Wali Allah.

اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Empat,
16 Sya'ban 1441/
10 April 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
UNIVERSITI DALAM TRADISI KEILMUAN ISLAM

Kuliah yang sangat bermakna ini telah disampaikan oleh Guru Mulia Ustaz Syed Muhammad Muhiyuddin Al-attas hz. Beliau merupakan alumni Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies of Islam, Science and Civilization, Universiti Teknologi Malaysia (RZS-CASIS, UTM). Sekalung ucapan apresiasi diberikan kepada Jabatan Kajian dan Intelektual Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2020 (JKI-GAMIS), di atas penganjuran wacana bagi Siri Kedua Intelegensia Mahasiswa Islam ('ILM).

1. Guru yang mulia telah memulakan sesi kuliah beliau, dengan menyebut tentang definisi "Pemikir yang Agung" atau "Pemikir yang Ulung". Guru Mulia Professor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud hz ketika mengarang berkenaan biografi Guru Mulia Professor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas hz, beliau telah menulis sebuah definisi "Pemikir yang Agung", seperti yang pernah disampaikankan oleh gurunya, Al-Marhum Professor Fazlur Rahman rh (1919-1988). Makna yang disebutkan oleh beliau ialah, seorang pemikir yang hebat itu lahir daripada daya cipta ("creativity") dari dirinya dan hasil renungannya yang tajam, kemudian dia telah menemukan sebuah gagasan (konsep) agung yang baharu, di mana terdapat rangkaian maknawi yang dapat difahami peranan setiap satunya. Contoh yang disebutkan oleh Guru yang mulia seperti seorang tokoh ahli falsafah dari Yunani yang bernama Plato. Beliau ialah penulis bagi sebuah mahakarya yang berjudul "Republic".

2. Namun, definisi itu telah diperhalusi dengan lebih teliti oleh Guru Mulia Professor Al-Attas hz. Beliau berkata bahawa, jika makna "Pemikir yang Agung" itu hanya disempitkan kepada orang yang menemukan sesuatu idea atau gagasan yang baharu sahaja, maka ia akan mengenepikan peranan para Nabi dan Rasul ("al-Anbiya'i wa al-Mursalin") di dalam sejarah tamadun Islam. Ini kerana, gagasan yang dibawa oleh mereka itu bukan suatu perkara baharu semata-mata, ia merupakan wahyu yang disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, Guru Mulia Professor Wan Mohd Nor hz menambah baik definisi tersebut dengan mengatakan bahawa, tidak menjadi satu kemestian untuk seorang "Pemikir yang Agung" itu merujuk kepada generasi yang menemukan sebuah gagasan yang baharu, tetapi boleh jadi seseorang itu telah menemukan gagasan yang lama, namun gagasan tersebut tidak diendahkan oleh masyarakat sehingga akhirnya mereka menemukan krisis yang sangat besar dalam kehidupan.

3. Seorang pemikir ("Mufakkir") juga adalah seorang yang memperbaharui semangat keagamaan ("Mujaddid") atau para Ulama' warisan para Nabi ("al-Ulama' Warisatu al-Anbiya"). Menurut tradisi keilmuan Islam, akar kepada ilmu adalah berpunca daripada wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala yang agung. Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah diajarkan beberapa ayat terawal daripada Surah al-'Alaq sebagai wahyu yang pertama. Ia telah melahirkan sebuah peradaban Islam yang luhur. Kuncinya adalah melalui perantaraan ilmu dan pendidikan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam ayat yang pertama Surah al-'Alaq,

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ

Maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)".

4. Setiap pendidik itu pada asalnya juga datang daripada seorang penuntut ilmu ("tholibu al-ilmi"). Namun, di sana Guru Mulia Professor Wan Mohd Nor hz mengajak kita semua untuk merenung, mengapa para sahabat رضى الله عنهم أجمعين tidak dikenali sebagai "murid" atau "tholib" atau "pelajar", tetapi lebih dikenali sebagai orang yang mendampingi ("sahabat")? Jawapannya kerana, mereka ialah orang yang paling rapat, paling dekat dan paling penting dalam peranan penyebaran ilmu yang telah disampaikan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

5. Antara perkara yang perlu dilazimi oleh seorang penuntut ilmu adalah, duduk bersama dengan para Sarjana yang memiliki banyak pengalaman ("jalisu al-Kubara"), banyak bertanya kepada para Intelektual yang mengamalkan ilmunya ("sailun Ulama"), dan banyak bergaul dengan para Ulama' yang diberikan hikmah ("khalitu al-Hukama"). Hikmah adalah prasyarat kepada adab. Para Hukama' juga merupakan dari kalangana para Ulama', namu
n mereka itu diberi hikmah secara khusus oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Baqarah pada ayat yang ke-269,

يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Maksudnya: "Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

6. Berbalik kepada definisi "Pemikir yang Agung" itu tadi, idea yang ditemukan oleh orang tersebut, tidak semestinya idea yang baharu. Contohnya, seperti yang sering disebutkan oleh Guru Mulia Professor Al-Attas hz bahawa, idea yang telah runtuh kini, yang menjadi punca utama kepada krisis di dalam tamadun umat Islam ialah masalah keruntuhan adab ("Loss of Adab"). "Kitaran" atau "Rantaian Ganas Tiga Serangkai" terbahagi kepada yang pertama, iaitu kekeliruan dalam ilmu. Kedua, keruntuhan adab. Ia berlaku di dalam sebuah masyarakat yang tiada sistem. Kesannya, sesuatu perkara itu tidak dapat diletakkan pada tempatnya yang sebenar. Akhirnya, Rantaian Ganas Ketiga ialah berlakunya kerosakan kepimpinan. Lahir pemimpin yang palsu, bukan hanya sekadar pada skop politik sahaja, bahkan termasuk juga di dalam mana-mana amanah kepimpinan.

7. Makna sebenar tentang konsep universiti ada disebutkan oleh Guru Mulia Professor Al-Attas hz di dalam buku beliau yang bertajuk, "Islam and Secularism" dan "The Concept of Education in Islam". Universiti adalah sebuah tempat yang melahirkan manusia yang universal. Disebutkan "kuliyah" kerana ia merupakan sebuah medan untuk mengajar ilmu yang bersifat menyeluruh ("kulli"), bukannya yang bersifat sempit ("particular"). Ia mendekatkan manusia kepada mengenal Tuhannya. Sejarah awal penubuhan universiti adalah untuk mengkaji idea-idea luhur. Berkata Guru yang mulia, "idea-idea luhur" itu antara umpamanya ialah, ilmu yang berkaitan dengan ketuhanan ("theology"), perubatan ("medicine") dan perundangan ("law"). Universiti pada awalnya memang sebuah tempat yang mencerminkan keperibadian insan. Ini kerana, menurut Guru Mulia Professor Al-Attas hz, universiti itu sendiri telah berpunca daripada Tamadun Islam.

8. Dalam Tamadun Barat pula, telah wujud "Sistem Patristik" yang merupakan jelmaan daripada Hellenista Kristian. Bermula dari Zaman Pertengahan ("Mediaeval Age"), pihak Barat mula menterjemahkan karya-karya dari dunia Islam. Ada juga daripada kalangan masyarakat Kristian yang bernaung di bawah pemerintahan Islam, mereka belajar daripada guru-guru orang Islam. Universiti merupakan cerminan imej bagi seorang individu. Manakala, fakulti-fakulti bagi individu tersebut ialah jentera atau sebahagian daripada kaki dan tangan kepada bahagian teras ("core") diri, iaitu yang dinamakan sebagai roh ("soul"). Telah berkata Guru Mulia Professor Al-Attas hz, ntuk memastikan perkara tersebut dapat dijalankan, di sana mesti wujudnya seorang manusia yang sempurna ("Insanu al-Kamil"), iaitu sudah semestinya beliau ialah Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Namun, di dalam tradisi pengajian Barat, "Insanu al-Kamil" tidak juga muncul-muncul sejak dari dulu sehinggalah ke hari ini.

9. Sedangkan di dalam Tradisi Keilmuan Islam pula, perkara yang menjadi punca pendidikan adalah, bermula daripada Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang telah diberikan wahyu oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sayyiduna Rasulullah ﷺ pernah bersabda bahawa, Baginda ﷺ telah dididik secara langsung oleh Allah ("Addabi Rabbi"). Betapa sempurnanya pentarbiyahan yang telah diterima oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Al-Imam Al-Ghazali rh di dalam kitabnya yang bertajuk, "Ihya' Ulumuddin" juga ada menyebutkan bahawa sesuatu adab yang dilahirkan secara zahir merupakan perkara yang tersimpan di dalan diri, dan itulah yang menjadi punca keindahan di dalam Islam. Maka, kita perhatikan bagaimanakah akhlah Sayyiduna Rasulullah ﷺ? Soalan ini pern
ah diajukan oleh para sahabat kepada Sayyidatuna Aisyah ra. Kemudian, dijawab oleh beliau bahawa, akhlak Rasulullah ﷺ itu adalah seumpama al-Quran. Baginda ﷺ merupakan penyataan daripada al-Quran itu sendiri daripada sudut keinsanan.

10. Selain daripada Ilmu Fardhu Ain, al-Imam Al-Ghazali rh juga telah memasukan Ilmu Fardhu Kifayah di dalam pembahagian ilmu ("Classification of Knowledge") di dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Ia termasuklah ilmu perubatan dan kejuruteraan yang akan membangunkan Tamadun Islam. Namun, pembahagian seperti ini tidak ada di dalam tradisi Barat. Kemudian, Guru yang mulia ada menyebutkan bahawa, peranan universiti pada hari ini, mungkin boleh diambil alih oleh beberapa golongan, sekurang-kurangnya dinyatakan oleh beliau terdapat tiga (3) golongan. Pertama, orang yang mengaut keuntungan di dalam pasaran. Kedua, orang yang tidak jelas tentang apakah itu peranan universiti yang sebenarnya. Ketiga, orang yang terpengaruh dengan pandangan Sekularisme dari Barat. Pandangan Sekularisme ini ialah satu faham yang menafikan perananan wahyu, peranan "Insanu al-Kamil" dalam asuhan agama dan peranan Fardhu Ain di dalam ilmu. Akhirnya, ilmu telah disempitkan hanya kepada aspek pasaran sahaja, atau aspek hal ehwal ekonomi sahaja, atau aspek politik sahaja, atau kepada aspek kemasyarakatan semata-mata tanpa terdapat unsur pembinaan diri terhadap penuntut ilmu.

11. Kemudian, Guru yang mulia turut menyebutkan berkenaan apakah peranan seseorang yang disebutkan sebagai mahasiswa itu. Ketika berada di zaman mahasiswa, saat itulah mereka perlu mengembangkan beberapa perkara. Antaranya adalah banyak membaca dan mempelajari bagaimana untuj membentuk cara pembacaan yang betul. Kemudian, mengkaji sejarah peradaban. Seterusnya, menghidupkan budaya ilmu dan membentuk persahabatan dalam usaha menghidupkan budaya tersebut. Mereka mesti mengetahui apakah niat yang sebenarnya untuk menuntut ilmu. Pesan Guru yang mulia, apabila kita tiada makna diri yang hakiki, maka kita akan menghabiskan masa untuk mendapatkan segulung ijazah semata-mata. Tetapi akhirnya, kita langsung tidak mendapat kesan daripada ilmu, melainkan daripada kesan yang berbentuk zahiyah sahaja.

12. Kami juga ada bertanyakan beberapa soalan kepada Guru yang mulia, antaranya ialah adakah Barat yang mengambil faham Sekularisme di dalam konsep ilmu itu, boleh disebutkan sebagai tamadun juga? Lalu, Guru yang mulia telah menyebutkan beberapa faktor yang menjadi asas kepada sesebuah tamadun. Ini seperti yang disebutkan oleh Guru Mulia Professor Al-Attas hz di dalam buku beliau yang bertajuk, "Risalah Untuk Kaum Muslimin". Di antara faktornya ialah, penguasaan terhadap alam tabi'e. Inilah yang difahami oleh Barat, iaitu kecanggihan di dalam bidang industri dan teknologi. Daripadanya lahir istilah "Civilization" yang bermaksud, keadaan sesuatu kehidupan dalam suasana bandar. Seterusnya ialah, penguasaan akal dan jiwa, yang merangkumi keseluruhan aspek Intelektual dan rohani. Faktor itu tidak ditekankan sama sekali oleh Barat dan terdapat di dalam Tamadun Islam.

13. Peradaban Barat telah melalui proses pensekularan yang cukup lama. Ia telah bermula sejak dari abad yang ke-17 dan abad yang ke-18 iaitu pada Era Pencerahan ("Age of Enlightenment") lagi. Pada dasarnya, Barat juga telah mendapat suntikan daripada agama seperti Yahudi, Kristian dan termasuklah juga Islam. Tetapi, akhirnya tapaknya ("foundation") telah pun dirobohkan oleh mereka sendiri. Barat telah memisahkan antara peranan akal dan wahyu. Akhirnya, tamadun Barat telah jatuh ("declined") seperti yang diakui sendiri oleh tokoh-tokoh dari Barat seperti Arnold (1822-1888) dan Toynbee (1889-1975). Tamadun Barat jatuh kerana mereka telah menyalahi makna ilmu itu sendiri. Makna ilmu seperti yang disebutkan oleh Guru Mulia Professor Al-Attas hz ialah, ketibaan makna ke dalam jiwa ("the arrival of meaning into the soul"). Kemudian, disebutkan juga oleh al-Imam Al-Haddad rh (wafat pada 1720), di dalam kitabnya yang bertajuk, "Da'watu at-Tammah" bahawa, selagi seseorang itu belum mengikuti Sunnah Baginda ﷺ dengan seba
ik mungkin dan dia belum berusaha untuk menyempurnakan diri dari sudut penyucian hati dan ibadah, selagi itulah dia belum layak digelar sebagai penuntut ilmu ("tholibu al-ilmi"). Alangkah besar sekali akan makna ilmu dan penuntut ilmu dalam Tradisi Peradaban Islam.

14. Antara isi yang sangat penting telah disebutkan oleh Guru yang mulia adalah berkenaan "Belenggu Kejahilan Bahasa". Terdapat sebuah soalan yang diajukan bahawa, bagaimanakah kaedah untuk menajamkan fikiran? Kemudian, Guru yang mulia telah memulakan dengan menyebut definisi pemikiran (al-fikr) menurut al-Imam Al-Ghazali rh. Maksudnya adalah menggabungkan dua perkara yang tidak diketahui menjadi satu perkara yang diketahui. Menurut Guru Mulia Professor Al-Attas hz pula, ia bermaksud pergerakan jiwa daripada satu makna kepada satu makna yang lain. Namun, untuk memastikan pergerakan itu berjalan dengan baik, mestilah mereka itu terlebih dahulu memperbaiki bahasa. Inilah tradisi ilmu yang terdapat di dalam Islam, dengan memperkukuhkan ilmu Nahu ("grammar") terlebih dahulu. Inilah juga yang diamalkan oleh Barat pada Zaman Pertengahan. Kita mestilah memperbaiki bahasa, tidak kiralah sama ada Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

15. Berkata Guru yang mulia bahawa, "Belenggu Kejahilan Bahasa" itu telah menyebabkan kesamaran dan kekeliruan, lantas bagaimana akal mahu bergerak dengan pantas? Malangnya, pada hari ini hanya difokuskan kepada bahasa kuantiti (nombor). Sekalipun terdapat pandangan seperti Galileo Galilei (1564-1642) yang menyebut bahawa, bahasa alam itu adalah dalam matematik. Namun, perkara yang berkait dengan metafizik dan agama mesti melalui juga ikatan bahasa yang hebat. Kita mesti mewujudkan satu tabiat membaca karya-karya Ulama' yang agung. Lihatlah bagaimana mereka menyusun kata-kata, seperti Shaykh Nuruddin al-Raniri rh (wafat pada 1658), Shaykh Abdul Somad al-Palembangi rh (wafat pada 1832), Shaykh Daud Abdullah al-Fathoni rh (wafat pada 1847) dan banyak lagi.

16. Sebagai penutup, Guru yang mulia memberi nasihat kepada semua penuntut ilmu khususnya dalam konteks mahasiswa, agar mengembangkan potensi diri dengan sebaik mungkin. Fahami semula apakah makna agama, ilmu, insan, kebahagiaan dan seumpamanya dengan benar. Bagi mereka yang sudah terlepas zaman universiti dalan erti kata yang sebenarnya, tidak usah mengalah. Teruslah wujudkan budaya ilmu, kerana kita semua telah dituntut untuk belajar sejak dari buaian sehingga ke liang lahad. Ada sebahagian Ulama' yang telah memulakan pengkajian yang serius ketika pertengahan usia. Tidak ada yang mustahil, jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkan budaya ilmu.

اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Lima,
17 Sya'ban 1441/
11 April 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
SYARAH KHULASAH FAHAM ILMU
(SIRI 5)

Sekarang, Guru Mulia Ustaz Khalid Ismail hz sudah memasuki kepada Bab 4 "Khulasah Faham Ilmu" yang bertajuk "Kenapa Orang Cenderung Kepada Ilmu Khilaf". Guru Mulia Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah hz telah menyentuh di dalam buku tersebut mengenai perbahasan yang penting, berkenaan persoalan khilaf dan perkara yang berkaitan dengan perdebatan.

1. Guru yang mulia berpesan bahawa, bayangkan jika seseorang itu tersilap dalam memilih ilmu, maka dia akan mendapat kerugian yang sangat besar. Menghabiskan masa dengan ilmu yang tercela, juga merupakan suatu kecelaan. Maka, al-Imam Al-Ghazali rh telah menyusun silibus pengajian ilmu kepada tiga (3) tahap iaitu tahap asas ("elementary"), pertengahan dan lanjutan ("advanced").

2. Nasihat Guru yang mulia bahawa, kerangka ini akan dapat dicapai apabila dipelajari dengan adab dan mengikut tahap yang sesuai. Perkara ini disebutkan supaya kita tidak terlalu gopoh ("eager") untuk mempelajari Ilmu Fardhu Kifayah sebelum daripada menguasi Ilmu Fardhu Ain. Pada hari ini, ramai orang apabila sudah tua, baru hendak bermula kembali dengan Ilmu Fardhu Ain. Oleh itu, jangan kita tertipu dengan tuntutan dunia, sehingga tidak sempat waktu untuk menguasai Ilmu Fardhu Ain.

3. Ilmu itu pada hakikatnya tersangatlah luas. Sedangkan, umur kita pula terlalu pendek. Generasi awal Islam ("as-Sabiquna al-Awwalun") hidup di dalam sebaik-baik kurun seperti yang disebutkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Mereka adalah manusia serba boleh ("all-rounder") dan manusia yang berpengetahuan tinggi ("encyclopedic men"). Amat jauh sekali perbezaan di antara, zaman yang kita sedang hidup pada hari ini dengan zaman dahulu. Bagaimana ibadah mereka, kualiti dan kuantiti, semuanya tidak sama untuk dibandingkan.

4. Bagi seorang penuntut ilmu, sekurang-kurangnya mereka perlu melalui beberapa pengajian yang asas di dalam enam (6) ilmu yang berikut, iaitu Ilmu Bahasa Arab, Ilmu Tafsir, Ilmu Hadith, Ilmu Fiqh, Ilmu Kalam dan Ilmu Khilafiyah. Namun, apa yang berlaku kini ialah kita terlalu membesar-besarkan persoalan khilafiyah di dalam kehidupan seharian kita. Sedangkan, itu semua sudah pun selesai dibincangkan oleh para Ulama' di masa silam.

5. Mengapa kita cenderung kepada Ilmu Khilafiyah? Sudahlah kita hidup di akhir zaman ("Mutaakhirin"), bahkan kita hidup di zaman kebanyakkan pemimpin ("umara"), bukanlah dari kalangan Ulama' (pemimpin dilantik daripada kalangan manusia yang jahil). Terdapat dua (2) kategori manusia yang disebutkan sebagai "Mathlubin" dan "Tholibin".

a) Pertama, "Mathlubin" merujuk kepada golongan umara' yang mengejar Ulama'. Tambahan daripada Guru yang mulia, al-Imam Al-Ghazali rh ada menyebutkan bahawa, terdapat golongan "Mathlubin", iaitu mereka yang terdapat di akhir zaman nanti, Ulama' yang suka mendekati golongan pemerintah dengan tujuan untuk kepentingan diri mereka atau untuk tujuan duniawi, bukan untuk menasihati golongan pemerintah ke arah kebaikan. Sebaliknya, mereka diperalatkan oleh pemerintah untuk sesuatu projek, tidak kiralah sama ada mereka diperalatkan; atau mereka sendiri yang menyukai untuk diperlakukan sedemikian ke atas diri mereka. Alangkah hinanya Ulama yang sedemikian kerana tidak ada maruah diri. Demikianlah maksud "Mathlubin".

b) Kedua, "Tholibin" pula merujuk kepada golongan Ulama' yang mengejar umara. Mereka mengejar kedudukan dunia, dan mereka inilah yang disebutkan oleh al-Imam Al-Ghazali rh, sebagai Ulama' yang jahat ("Ulama' Su`"). Tambahan daripada Guru yang mulia, adapun "Tholibin" ialah mereka sendiri yang mencari pemerintah untuk tujuan keduniaan juga. Bukan pemerintah yang pergi mencari mereka, tetapi sebaliknya mereka sendiri yang menawarkan diri mereka untuk menjadi orang suruhan pemerintah atau "balaci", demi mendapatkan sedikit habuan yang dijanjikan. Asalkan apa saja tindakan yang dilakukan oleh pihak yang berwajib itu, disokong kuat oleh para Ulama' yang seperti ini. Hal ini dilakukan juga demi untuk survival dan agar dapat menjadikan mereka itu kekal relevan di dalam masyarakat. Golongan "Thalibin" ini lagilah hina
dan rendah akhlaknya, jika dibandingkan dengan Ulama' jenis "Mathlubin".

6. Sedangkan, tambahan daripada Guru yang mulia, generasi yang hidup dalam kurun awal Islam termasuk di dalam kategori yang lain pula. Sebab itu, golongan Khulafa' al-Rasyidin itu, walaupun mereka menjadi pemimpin dan pemerintah, tetapi asal-usul mereka tetap ialah Ulama'. Mereka tidak ingin menjadi pemimpin atas tujuan keduniaan, tetapi atas amanah yang dipertanggungjawab kepada mereka. Mereka tidak mencari populariti atau kemasyhuran duniawi, tetapi atas amanah sebagai hamba dan khalifah Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas muka bumi ini. Perkara itu semua, bukanlah mereka yang mencarinya. Kita mahukan para Ulama' seperti al-Imam Malik rh yang sangat tegas dengan prinsipnya. Kalau mahu belajar, seorang murid yang perlu mencari guru, bukan guru yang pergi mencari murid. Inilah seperti yang diperintahkan oleh Khalifah Harun al-Rashid rh, supaya al-Imam Malik rh datang ke istana Khalifah bagi tujuan mengajar.

7. Al-Imam Al-Ghazali rh telah memberi lapan (8) panduan sebagai sekurang-kurang syarat untuk mengadakan perdebatan, antaranya ialah:

a) Jangan berdebat tentang Ilmu Fardhu Kifayah, sebelum selesai menguasi Ilmu Fardhu Ain terlebih dahulu. Nasihat Guru yang mulia, jangan kita terlalu ghairah dengan Fardhu Kifayah, sebelum kita beres Fardhu Ain. Tambahan daripada Guru yang mulia, contohnya ialah orang yang meninggalkan solat dengan alasan mengusahakan industri pakaian bagi membolehkan orang Islam mempunyai pakaian. Justeru itu, ia telah membolehkan orang Islam menunaikan solat, padahal dirinya sendiri pun tidak solat. Al-Imam Al-Ghazali rh menyifatkan mereka ini sebagai "penipu".

b) Jangan mengabaikan tuntutan Fardhu Kifayah yang lebih utama sebelum berdebat. Contohnya ialah tuntutan menyeru kepada kebaikan ("amar ma'ruf") dan mencegah kemungkaran ("nahi munkar"). Tambahan daripada Guru yang mulia, contohnya seperti keutamaan membantu orang yang dalam kelaparan dengan orang yang belajar ilmu berbekam. Mana satukah yang lebih penting daripada yang penting? Manakah yang sepatutnya didahulukan? Fardhu Kifayah ada tingkatannya. Fardhu Kifayah yang bertaraf tinggi mestilah didahulukan berbanding daripada taraf yang lebih rendah. Misalnya, solat jamaah, atau solat jenazah, atau ilmu faraid mestilah diutamakan terlebih dahulu daripada Fardhu Kifayah seperti mempelajari ilmu perubatan. Begitu juga menjaga Fardhu Ain mestilah didahulukan daripada perkara Sunnah seperti bersugi. Adapun, orang yang melakukan Sunnah dengan mengabaikan amalan Fardhu Ain adalah, seumpama orang yang membaca Al-Quran, tanpa terlebih dahulu menyucikan najis pada qubul dan duburnya serta berwuduk. Tidakkah perbuatannya itu, boleh dianggap sebagai bodoh dan tolol?

c) Hanya golongan Mujtahid sahaja yang layak berdebat. Pesan Guru yang mulia, mereka juga bukanlah dari golongan "Mujtahid Jadian" ataupun "Mujtahid Tiruan". Jika panduan ini tidak diikuti, maka akan terdapat sekurang-kurangnya dua (2) kesan buruk yang akan berlaku iaitu, pertama ilmu tidak akan sampai dan kedua menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat.

d) Mestilah isu yang akan diperdebatkan itu, berpijak di atas bumi yang nyata. Isu tersebut tidak boleh isu yang bersifat andaian ("prediction"). Tambahan dari Guru yang mulia, seperti kebanyakan kalangan pendebat yang suka berdebat dengan isu yang popular semata-mata, berbanding daripada isu pokok atau dasar yang menjadi penyelesai problems solving dlm masyarakat.

e) Mesti dilakukan secara tertutup dalam kalangan ahli ilmu. Namun, pada hari ini, perdebatan telah dilakukan secara terbuka kepada orang ramai. Sedangkan, tidak semua yang memahami isu yang berlaku. Bukan sekadar masyarakat jadi keliru, bahkan pendebat juga akan timbul perasaan ingin menunjuk-nunjuk ("riya") kehebatan dirinya. Mereka mencari kemasyhuran melalui perdebatan yang tidak ada suasana kasih sayang ("muhibbah").

f) Pendebat mesti bersifat tawadhu' ("humble"). Analoginya seumpama, seseorang yang telah tersesat jalan dan ingin mencari jalan pulang. Contohilah akhlak Sayyiduna Umar Al-Khattab ra
yang menerima teguran, sekalipun ia datang daripada seorang perempuan. Contohilah akhlak Sayyiduna Ali Abi Talib kw yang terbuka dalam menerima teguran. Tidak ada perkara yang perlu dimalukan, jika seseorang itu mengatakan, "ya, saya telah silap". Malangnya, pada hari ini, kita terlalu ego untuk ditegur. Orang lain tidak layak untuk menegurnya. Bahkan menolak dengan angkuh lalu berkata, "kau siapa? Aku siapa?".

g) Jangan menjadi orang yang suka mencari alasan berpusing-pusing. Tidak boleh ada tipu muslihat ("hanky-panky") di dalam perdebatan. Mesti wujud perasaan berlapang dada dan tidak berdendam.

h) Debat tersebut dilaksanakan dalam kalangan ilmuwan sahaja supaya ia menjadi sebuah perbincangan yang sihat.

8. Demikianlah panduan yang disebutkan oleh al-Imam Al-Ghazali rh bagi syarat untuk melaksanakan perdebatan. Jika tidak dituruti, nescaya ia akan menjadi sebuah perdebatan yang tidak mendatangkan faedah sama sekali. Manusia lebih gemar untuk menimbulkan polemik. Ini kerana, dengan perbuatan tersebut mereka akan cepat menjadi terkenal. Benarlah pepatah Arab ada menyebutkan bahawa,

خالف تعرف

Maksudnya: "Buatlah perkara yang pelik, nescaya anda akan cepat dikenali."

9. Tambahan dari Guru yang mulia, al-Imam Al-Ghazali rh telah menutup perbincangan pada tajuk ini dengan membahagikan para ilmuan itu kepada tiga (3) bahagian. Pertama, ilmuan yang menghancurkan dirinya dan orang lain. Mereka ialah ilmuan yg cintakan dunia. Kedua, ilmuan yang membahagiakan dirinya dan orang lain. Mereka ialah ilmuan yang menyeru manusia kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan menjauhi duniawi. Ketiga, ilmuan yang menghancurkan dirinya, tetapi membahagiakan orang lain. Mereka ialah orang yang menyeru manusia kepada akhirat dan pada zahirnya seolah-olah mereka menolak duniawi. Akhirnya, Guru yang mulia mengajak kita semua untuk merenung dengan sedalam-dalamnya. Oleh itu, nilaikanlah pula diri kita semua berada di mana? Ikhlaskah kita dalam menuntut ilmu?

10. Sebagai kesimpulannya, Guru yang mulia telah menyebutkan dua (2) perkara yang penting di dalam sesi wacana kali ini. Pertama, berkenaan dengan perbahasan kadar terpuji ilmu. Kedua, berkenaan dengan panduan bagi syarat-syarat untuk melaksanakan perdebatan mengikut kerangka Islam yang sebenar. Wallahua'lam.

اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Enam,
18 Sya'ban 1441/
12 April 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
Sanah helwah diucapkan buat Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى.

Semoga Guru kita dipanjangkan umur di dalam restu Allah ﷻ, dimurahkan rezeki, dileraikan segala simpulan, dilepaskan dari segala kesusahan, dikabulkan segala hajat, tercapai segala keinginan, diberi Husnul Khatimah dan dicurahkan hujan rahmat dengan berkat Sayyiduna Nurul Musthofa Rasulullah ﷺ.

Sekaligus, mendapat kebahagian di dunia dan khususnya di akhirat insya-Allah.

Amin.

#Semalam merupakan hari kelahiran Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Jufri حفظه الله تعالى pada tanggal 16 April.

#Tulat pula merupakan hari Maulid Kekasih yang Maha Agung, Sayyiduna Rasulullah ﷺ pada tanggal 20 April.
Pesan nasihat daripada Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى sepanjang Majlis Maulid Akbar Sayyiduna Rasulullah ﷺ dari tahun 2016 sehingga 2019 di MATIN, Perlis dan Ma'had As-Syatirie, Kedah.

Berkata oleh Guru yang mulia,

"Tidak boleh seseorang itu mengakui untuk mencintai Laila, sedangkan Laila tidak pernah mengakui bahawa dia mencintai orang tersebut. Kita mengaku bahawa kita mencintai seseorang, namun adakah cinta itu tadi dibalas? Tetapi cinta seseorang kepada Nabi ﷺ itu sudah dibalas awal oleh Rasul."

Berkata juga oleh Guru yang mulia,

Lambang kecintaan kepada Nabi ﷺ ialah dengan memperbanyakkan berselawat kerana,

من أحب شيأ اكثرذكره

((Siapa yang mencintai sesuatu, pasti akan memperbanyakkan menyebut tentangnya.))

Juga telah disebutkan oleh Al-Allamah Al-Muhadith Syeikh Dr. Mahmud Husin bahawa,

"Orang yang selalu menyebut akan nama kekasihnya, kelak pasti dia akan datang bertamu kepadanya..."

Sanah helwah Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari
(Syaikhul Ruwaq Jawi, Mesir merangkap Naib Mudir MATIN, Perlis)

اللهم بارك لنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Tiga Satu,
23 Sya'ban 1441/
17 April 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/14 04:56:36
Back to Top
HTML Embed Code: