Telegram Web Link
اللهم إغفرله ورحمه وعافه واعف عنه

Gambar kenangan raya yang terakhir pada tahun 2018 bersama dengan al-Marhum Tuan Guru Haji Termizi bin Raselan raḥimahuLlāh.

Antara kitab yang pernah diajarkan oleh beliau di Masjid Toh Puan Besar Hatijah Batu Gajah ialah:

1. Mustika Hadis
2. Risalah Tauhid
3. Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
4. Bimbingan Mukmin
5. Jauharul Mauhub
6. Sairus Salikin

Telah kembalinya Tuan Guru Haji Termizi bin Raselan raḥimahuLlāh pada hari Isnin 7 September 2020 Masihi bersamaan dengan 19 Muharram 1442 Hijrah.

Semoga Allah Ta’ala melimpahkan seluas-luasnya rahmat kepada beliau di atas khidmat Tuan Guru menyampaikan ilmu kepada umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Al-Fatihah...

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞
صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞

آمــــــــــــــــــينَُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
PERIHAL BUNGA MELUR

Selalunya, tidak pernah terfikir berkenaan sebuah persoalan ini apabila kaki melangkah masuk ke dalam kawasan perkuburan.

Sehinggalah, pada suatu hari, ketika sedang melawat ke dalam Makam Tuan Guru Haji Salleh Musa raḥimahuLlāh di hujung Selatan Kedah, kita telah terpandang banyak sekali Bunga Melur yang ditanam di sekitarnya.

Kemudian, kita mari tertanya-tanya : Mengapakah lazimnya di kawasan perkuburan itu, banyak sekali ditanam pepohon Bunga Melur? Mengapa bukan bunga-bunga lain yang ditanam?

Adakah sebab warnanya itu putih, lantas mengingatkan kepada para pengunjung akan dekatnya kematian yang menjengah? Seputih kain kafan yang sedang membaluti sekujur badan di atas pembaringan tanah.

Ataupun, adakah sebab baunya itu wangi, lantas membangkitkan suasana pusara yang seringkali sepi daripada kunjungan orang? Kebanyakkan jarang sekali diziarahi, hatta keluarganya – kecuali pada pagi hari raya, barulah tampil akan ia untuk melengkapi adat.

Satu hari, semasa melalui Makam Shaykh Tahir Jalaluddin raḥimahuLlāh di negeri Perak, persoalan ini sekali lagi terbit di dalam akal. Lalu, kita ajukan kepada Abang Tengku Yusuff, oleh kerana kawasan pusara sudah menjadi seperti rumah keduanya.

Jawab Abang Tengku lebih kurangnya begini: Bunga Melur itu banyak ditanam di kubur kerana dia senang dijaga. Kedua, dia tumbuh di atas pokok baunya wangi, jatuh di bawah tanah pun baunya wangi juga.

Setiap bunga ada maksudnya – seperti Bunga Matahari itu disebut oleh pujangga sebagai lambang kesetiaan. Bunga Mawar punya maksudnya dalam berkasih, hatta pada bilangannya itu punya makna yang tidak serupa. Satu maknanya lain, dua maknanya lain pula.

Bilangan bunga juga turut membawa maknanya yang terkhusus. Padanya itu terdapat mesej yang tersirat bagi yang mengetahui.

Setiap bunga yang tumbuh itu, melambangkan maknanya yang berbeza-beza. Begitulah juga pada Bunga Melur, sudah pasti punya akan ia itu falsafahnya yang tersendiri.

[ Nota Hujung: Gambar Bunga Melur ini diambil ketika berada di makam Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik raḥimahuLlāh. Pokok bunga yang sangat lazim ditanam di tanah perkuburan di tempat kita. ]

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tujuh Enam,
22 Muharram 1442/
10 September 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
GELARAN MULIA TUAN GURU

Kita bertanya kepada Guru yang Mulia: Bagaimanakah kalau seseorang yang sudah tersedia maklum dipanggil sebagai tok guru, seperti Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Ayah Chik, tiba-tiba mereka dipanggil sebagai Ustaz Nik Aziz, Ustaz Hadi Awang, adakah ia menunjukkan kepada kurang adab?

Dijawab oleh Guru yang Mulia Shaykh Husainuddin Muhammad Nazrul Abd Nasir al-Jawi al-Azhari hafizhahuLlāh :

Di Malaysia, "Tuan Guru" kebiasaanya dipanggil kepada orang 'Alim yang mempunyai pondok. Di Indonesia, "Kiyai" kebiasaanya dipanggil kepada orang 'Alim yang mempunyai madrasah.

Manakala, panggilan "Habib" adalah umum di Indonesia, yang 'alim barulah akan dipanggil "Ustaz" (berbeza dengan Malaysia: panggilan Habib itu lebih tinggi). Macam Habib Taufiq, beliau dipanggil oleh anak-anak murid sebagai Ustaz Taufiq, kerana adat mereka di sana begitu (gelaran Ustaz menunjukkan kedudukan yang tinggi dalam keilmuan).

Berbeza dengan Malaysia, adat di sini, panggilan "Tuan Guru" lebih tinggi berbanding "Ustaz". Kalau biasanya orang panggil Ustaz, kemudian dipanggil Tuan Guru, itu adalah satu kemuliaan.

Namun, sebaliknya, jika adat kebiasaannya orang panggil Tuan Guru, tiba-tiba dia memanggil Ustaz, itu bermakna tanqis, mengurangkan kedudukannya... Dia tidak mengiktiraf keilmuan orang tersebut. Sepatutnya dipanggil dengan Tuan Guru, bukannya Ustaz.

Sebagai contohnya: Ustaz Salleh, Ustaz Nik Aziz, Ustaz Abdul Hadi, kalau dipanggil begitu, sangatlah tidak sesuai.

Wallahua'lam.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tujuh Lima,
21 Muharram 1442/
9 September 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
NASIHAT MURABBI YANG TERCINTA🌹

Alhamdulillah, pada pagi Jumaat yang berkat, hamba yang sangat fakir ini telah mendapat nasihat yang sangat berharga daripada Guru yang Mulia Ustaz Haji Yussaine Yahya ḥafiẓahuLlāh.

Pertama: Mengaji kena ikhlas. Mengaji urusan dunia, penting juga ikhlas... Dalam semua urusan, ikhlas ini sangat penting. Urusan dunia apabila ada ikhlas, maka jadi ibadah. Apatah lagi urusan akhirat, lebih-lebih akan mendapat berkat daripada Allah Ta’ala.

Syarat nak mengaji ini mesti ikhlas. Bukan mesti syarat otak cerdik. Berapa ramai guru-guru yang kecewa dengan sebab murid yang tak ikhlas? Kemudian, berapa ramai pula guru yang gembira dan dapat manfaat daripada murid yang ikhlas, walaupun mereka asalnya tak cerdik.

Demikianlah Allah Ta’ala meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, demikianlah juga Allah Ta’ala menjadikannya bagi orang yang ikhlas.

Kedua: Jangan tinggal perjuangan PAS... Untuk pegangan kita mengaji pondok, politik jangan tinggal. Paling-paling kurang, dekat pilihanraya kita kena mengundi untuk tentukan kepimpinan negara. Kalau tak, rosak negara, yang teruknya ialah Islam macam zaman PH dulu.

Jangan tinggal perjuangan PAS. Perjuangan tok-tok guru lama. Kedah – Tuan Guru Haji Salleh, Kelantan – Tuan Guru Haji Lah Lubuk Tapak, Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumbuh.. Apa yang berlaku dalam PAS seperti Wahabi tu tak boleh nak elak sebab ahli terlalu ramai, dekat dua juta orang, itu cabarannya yang kita kena kawal.

———

Nasihat tersebut walaupun ringkas, namun sangat halus sekali akan maknanya dan sangat besar sekali akan faedahnya. Semoga Allah Ta’ala merahmati Guru yang Mulia, ahli keluarganya dan sekalian yang berada bersamanya insya-Allahu Ta'ala.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tujuh Tujuh,
23 Muharram 1442/
11 September 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
BELI KITAB TAK AKAN MISKIN!

Mungkin ada yang bertanya,

“Kalau kita membeli kitab, namun tidak dibaca, lalu bukankah lebih baik jika tidak membeli kitab dari awal-awal lagi?”

Persoalan ini juga pernah disebutkan juga oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى.

Maka, jawabnya ialah: Lebih baik membeli kitab daripada tidak membeli langsung. Ini kerana orang yang sudah membeli kitab, sekurang-kurangnya bagi mereka, sudah ada kebarangkalian untuk membacanya walaupun sedikit.

Ini sangat berbeza dengan orang yang tidak membeli apa-apa kitab langsung. Sudah pastinya mereka tidak akan membaca kitab sama sekali oleh kerana mereka tidak memilikinya.

Setiap awal bulan, Pak Teh رحمه الله تعالى akan mengirimkan sejumlah RM300 (lebih kurang 600 Genih pada waktu itu) kepada Guru yang Mulia Shaykh Nazrul حفظه الله تعالى untuk perbelanjaannya di Mesir.

Pada asalnya, beliau cuma hendak menggunakan sebahagian RM50 sahaja. Bakinya bolehlah digunakan untuk makan, minum, pengangkutan dan rumah. Akhirnya, kesemua RM300 telah dihabiskan untuk membeli kitab!

Al-'Allamah Shaykh Ahmad Mamduh حفظه الله تعالى juga terkenal sebagai seorang "Book Maniac". Shaykh Ahmad pernah berpesan bahawa, “Orang yang membeli kitab itu, mereka sama sekali tidak akan menjadi faqir.”

Kalam ini telah dihuraikan oleh Guru yang Mulia dengan makna, “Dunia dan akhirat mereka sama sekali tidak akan miskin!”

Suatu hari, Shaykh Nazrul dan Shaykh Ahmad sempat membeli beberapa buah kitab di Jeddah. Melihat kelakuan Shaykh Ahmad, langsung Sidi Aiman حفظه الله تعالى memberitahu kepada Shaykh Nazrul, “Dia ni kalau duduk di kedai kitab, memang tak kenal orang dah (kerana terlalu asyik dengan kitab).”

Shaykh Ahmad punya amanah dengan duit, beliau bertanya adakah duit sumbangan mereka, hanya untuk makan sahaja atau boleh untuk membeli kitab sekali? Kemudian, Shaykh Nazrul bertanya kepada Guru Mulia Ustaz Haji Yussaine حفظه الله تعالى untuk memberi penjelasan betul-betul.

Lalu, Ustaz Yus menjawab bahawa, tiada masalah duit tersebut digunakan untuk membeli kitab. Barulah, Shaykh Ahmad lega dan membeli kitab bersama dengan Shaykh Nazrul.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Lapan Lapan,
6 Safar 1442/
22 September 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
AMALAN MUSABBA'AT 'ASYARAH

Musabba'at 'Asyarah (( المسبعات العشرة )) merupakan 10 zikir yang dibaca sebanyak tujuh kali. Ia dibaca pada setiap hari, sebanyak dua kali. Iaitu sebelum matahari terbit dan terbenam.

Tempoh untuk mengamalkannya sangat sempit (selepas Subuh dan selepas Asar). Namun, secara puratanya, cukup 15 minit sahaja yang kita perlukan untuk menyelesaikan amalan Musabbaʼat 'Asyarah.

Amalan ini telah diijazahkan oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى, sepertimana yang beliau telah diijazahkan oleh al-'Allamah Maulana Shaykh Nuruddin Dr Ali Jumu'ah حفظه الله تعالى dan al-'Allamah Maulana Shaykh Dr Yusri Rushdi Sayyid Jabr al-Hasani حفظه الله تعالى.

Amalan ini juga seperti yang telah disebutkan oleh al-Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى di dalam kitab Ihya'. Bahkan, disebutkan juga oleh Shaykh Mā'u al-'Aynayn رحمه الله تعالى di dalam kitab Naʼtul Bidayat.

Tertibnya boleh dirujuk di dalam sebuah aplikasi yang bertajuk Al-Siddīqqīyyah al-Syādzulīyyah (( الصديقية الشاذلية )). Kaifiyat bacaannya seperti yang disebutkan oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى ialah:

1. Surah al-Fatihah sebanyak tujuh kali.
2. Surah an-Nas sebanyak tujuh kali.
3. Surah al-Falaq sebanyak tujuh kali.
4. Surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali.
5. Surah al-Kafirun sebanyak tujuh kali.
6. Ayatul Kursi sebanyak tujuh kali berserta (( بسم الله الرحمن الرحيم )).
7. Zikir (( سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم )) sebanyak tujuh kali.
8. Selawat Ibrahimiyah sebanyak tujuh kali berserta (( سيدنا )).
9. Doa (( اللهم اغفرلي ولوالدي وللمؤمنين والمؤمنات والمسلمين والمسلمات الاحياء منهم والأموات )) sebanyak tujuh kali.
10. Doa (( اللهم افعل بي وبهم عاجلا وآجلا في الدين والدنيا والآخرة ما أنت له اهل، ولا تفعل بنا يا مولانا ما نحن له أهل، إنك غفور حليم، جواد كريم، رؤوف رحيم )) sebanyak tujuh kali.

[ Tanbih ]: Disebutkan oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى, seperti yang disebutkan oleh Guru Mulia Ustaz Zuhir Abdullah حفظه الله تعالى, seperti yang telah disebutkan oleh Tuan Guru Haji Yusuf Tobiar حفظه الله تعالى bahawa:

Amalan Musabbaʼat ini hendaklah dilakukan secara berterusan mengikut tertibnya. Sekiranya terputus di tengah-tengah bacaan seperti bercakap ataupun sebagainya, maka, hendaklah diulang kembali dari awal (tertib yang pertama).

[ Tambahan ]: Di dalam amalan Musabbaʼat ini juga, terkandungnya amalan tujuh kali Surah al-Ikhlas. Ini merupakan sebahagian daripada amalan yang telah diijazahkan oleh Cucu Tok Ku Paloh, al-Habib Dato' Ustaz Syed Omar al-Idrus حفظه الله تعالى agar selamat di akhir zaman.

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti

TERTIB ZIKIR DAN MUSABBAʼAT

Tertib zikir yang dibaca oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى di Zawiyah Nasiriyyah pada waktu Subuh:

1. Istighfar sebanyak 10 kali.
2. Zikir (( لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد يحيي ويميت وهو على كل شيء قدير )) sebanyak 10 kali.
3. Zikir (( اللهم أجرني من النار )) sebanyak tujuh kali dengan dhamir (( ي ))
4. Zikir (( اللهم أنت السلام... sehingga selesai )).
5. Surah al-Fatihah.
6. Ayatul Kursi.
7. Membaca Surah at-Taubah ayat 128 dan 129: (( لَقَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٞ رَّحِيمٞ  •  فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ حَسۡبِيَ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۖ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ )).
8. Membaca Selawat: (( صلى الله عليك يا رسول الله )) sebanyak tiga kali.
9. Membaca Selawat: (( جزى الله عنا سيدَنا محمدا صلى الله عليه وسلم ما هو أهله )) sebanyak tiga kali.
10. Membaca Surah al-Ahzab ayat 56: (( إن الله وملائكته يصلون على النبي، يا أيها الذين آمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما )).
11. Membaca Selawat: (( اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى اله )).
12. Membaca Selawat Dhamir: (( اللهم صل عليه )) sebanyak 100 kali.
13. Zikir (( سبحان الله )) sebanyak 33 kali.
14. Zikir (( الحمد لله )) sebanyak 33 kali
.
15. Zikir (( الله أكبر )) sebanyak 33 kali.
16. Zikir (( الله اكبر كبيرا، والحمد لله كثيرا، وسبحان الله بكرة وأصيل، لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد يحيى ويميت، وهو على كل شيء قدير، ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم )).
17. Membaca Musabbaʼat 'Asyarah ( rujuk tertib di atas ).
18. Membaca Al-Quran.
19. Membaca Dalailul Khairat sebagai doa.

Semoga Allah Ta’ala memudahkan kita untuk beramal.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Sembilan Satu,
8 Safar 1442/
25 September 2020
MAZHAB PERKAHWINAN

Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh berpegang kepada mazhab perkahwinan guru beliau – yakni Mazhab Monogami ( beristerikan seorang ). Melalui perkahwinan beliau dengan Ustazah sejak tahun 2010, mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata oleh Allah Ta'ala.

Mazhab tersebut sepertimana yang telah diamalkan oleh guru-gurunya di Mesir seperti: al-'Allamah Shaykh Dr Ali Jumu'ah ḥafiẓahuLlāh, al-'Allamah Shaykh Dr Ahmad Mamduh ḥafiẓahuLlāh, al-'Allamah Shaykh Dr Yusri Rushdi Sayyid Jabr al-Hasani ḥafiẓahuLlāh dan ramai lagi para Masyayeikh yang lain.

• Telah berkata oleh Shaykhun Fattah beliau iaitu, al-'Allamah Shaykh Dr Ahmad Mamduh ḥafiẓahuLlāh bahawa: Kebiasaannya di akhir zaman ini, jika berkahwin lebih daripada seorang, maka besar kemungkinan dia akan semakin jauh daripada Allah Ta’ala. Ini kerana, suami itu disibukkan dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya (namun ia bukanlah mesti lazim bagi semua orang).

• Manakala, bagi al-'Allamah Shaykh Dr Yusri Rushdi Sayyid Jabr al-Hasani ḥafiẓahuLlāh pula, beliau hanya memilih untuk berkahwin seorang lagi selepas daripada setahun isteri pertamanya meninggal dunia. Pertama, kerana ingin mengamalkan Sunnah Nabi – Sayyiduna Rasulullah ﷺ hanya berpoligami, setelah daripada kewafatan Sayyidatuna Khadijah al-Kubra raḍiyaLlāhu 'anha.

Antara sebab beliau memilih untuk bermonogami kerana isterinya juga berketurunan daripada darah daging Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang terpuji. Beliau berpesan bahawa: Hati-hati apabila berkahwin dengan isteri daripada kalangan Ahlul Bayt. Suami hendaklah menjaga mereka dengan bersungguh-sungguh.

Semua perkara ini ditanbihkan oleh Guru yang Mulia, tatkala beliau menyebut tentang biografi pengarang bagi kitab Tafsir Nurul Ihsan. Al-'Allamah al-Qadhi Shaykh Muhammad Sa'id al-Qodahi al-Shafi'iy al-Naqshanbandi raḥimahuLlāh ( wafat 1932 M ) mempunyai 17 orang anak, melalui perkahwinannya dengan tiga orang isteri.

Mazhab perkahwinan berbeza bagi setiap orang. Sebahagian orang, tidak ada masalah jika berpoligami secara serentak. Ramai juga yang bahagia melalui jalan tersebut. Mazhab mana yang mahu dipilih, itu terpulang kepada masing-masing. Namun Guru yang Mulia berkata: Mazhabnya adalah seperti Mazhab Gurunya juga.

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti

[ TAHUN PERNIKAHAN NABI ]

Disebutkan oleh al-'Allamah Shaykh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Azhari ḥafiẓahuLlāh di dalam kitab Al-Mukhtasar fi Sīrati Sayyidi al-Bashar (( المختصر في سيرة سيد البشر )) bahawa, Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah berkahwin dengan setiap orang isteri pada tahun seperti yang berikut:

1. Sayyidatuna Khadijah Al-Kubra bintu Khuwailid raḍiyaLlāhu 'anha ( ketika Nabi berusia 25 tahun )
2. Sayyidatuna Saudah bintu Zamaʼah raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun ke-10 Kenabian )
3. Sayyidatuna Aishah bintu Abu Bakar as-Siddiq raḍiyaLlāhu 'anhumā ( pada tahun 1 Hijrah )
4. Sayyidatuna Hafsah bintu 'Umar al-Khattab raḍiyaLlāhu 'anhumā ( pada tahun 3 Hijrah )
5. Sayyidatuna Zainab bintu Khuzaimah @ Ummul Masākīn raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 3 Hijrah )
6. Sayyidatuna Hindun bintu Abī Ummayah @ Ummu Salamah raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 4 Hijrah )
7. Sayyidatuna Zainab bintu Jahshin raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 5 Hijrah )
8. Sayyidatuna Juwairiyah bintu al-Harith raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 6 Hijrah )
9. Sayyidatuna Ramlah bintu Abu Sufyan @ Ummu Habībah raḍiyaLlāhu 'anhumā ( pada tahun 7 Hijrah )
10. Sayyidatuna Safiyyah bintu Huyay raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 7 Hijrah )
11. Sayyidatuna Maimūnah bintu al-Hārith raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun 7 Hijrah )

• Ini bermakna, Sayyiduna Rasulullah ﷺ hanya berkahwin dengan setiap seorang daripada Ummuhatul Mu'minin, setelah daripada kewafatan Sayyidatuna Khadijah al-Kubra raḍiyaLlāhu 'anha ( pada tahun ke-10 Kenabian) iaitu pada:

a) Tahun yang sama bagi Sayyidatuna Saudah raḍiyaLlāhu 'anha
b) Selepas 4 tahun bagi Sayyidatuna Aishah raḍiyaLlāhu 'anha
c) Selepas 6 tahun bagi Sayyidatuna Hafsah raḍiyaLlāhu 'anha
d) Selepas 6 tahun bagi Sayyidatuna Ummul Masākīn raḍiyaLlāhu 'anha
e) Selepas 7 tahun ba
gi Sayyidatuna Ummu Salamah raḍiyaLlāhu 'anha
f) Selepas 8 tahun bagi Sayyidatuna Zainab bintu Jahshin raḍiyaLlāhu 'anha
g) Selepas 9 tahun bagi Sayyidatuna Juwairiyah raḍiyaLlāhu 'anha
h) Selepas 10 tahun bagi Sayyidatuna Ramlah raḍiyaLlāhu 'anha
i) Selepas 10 tahun bagi Sayyidatuna Safiyyah raḍiyaLlāhu 'anha
j) Selepas 10 tahun bagi Sayyidatuna Maimūnah raḍiyaLlāhu 'anha

# Nota Hujung : Pengajian Mingguan pada setiap hari Jumaat, sudah mula dijalankan di Zawiyah Nasiriyyah, Kedah. Kuliah akan bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi. Guru yang Mulia akan mengajarkan kitab Tafsīr Nūr al-Iḥsān ( Tafsir al-Quran ) dan Lawāqiḥ al-Anwār al-Qudsiyyah ( Tasawwuf ).

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Lapan Belas Hari🌹,
24 Safar 1442/
11 Oktober 2020
Sanah Helwah diucapkan buat Murabbina, Tuan Guru Ayah Chik حفظه الله تعالى.

Semoga Guru kita dipanjangkan umur di dalam restu Allah ﷻ, dimurahkan rezeki, dileraikan segala simpulan, dilepaskan dari segala kesusahan, dikabulkan segala hajat, tercapai segala keinginan, diberi Husnul Khatimah dan dicurahkan hujan rahmat dengan berkat Sayyiduna Nurul Musthofa Rasulullah ﷺ.

Sekaligus, mendapat kebahagian di dunia dan khususnya di akhirat insya-Allah.

Amin.

Pesan Guru yang Mulia : Ramai orang hanya melihat seorang tokoh selepas beliau menjadi Tuan Guru, namun tidak ramai yang memerhatikan bagaimana kehidupannya sebelum beliau menjadi Tuan Guru. Sayugiyanya, dilihat bagaimana juhudnya mereka dalam menuntut ilmu dengan ikhlas, sehingga ilmu mereka itu akhirnya bermanfaat buat seluruh umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

# Khamis Minggu depan merupakan hari Maulid Kekasih yang Maha Agung, Sayyiduna Rasulullah ﷺ pada tanggal 12 Rabi'ul Anwar 1442.
DETIK KEWAFATAN SAYYIDUNA RASULULLAH ﷺ

Ringkasan sirah ini dikongsikan untuk kita kembali mengingati detik kewafatan insan yang paling agung. Juga bersempena dengan masuknya kita ke dalam bulan Rabi’ul Awal yang mulia ini, bulan kelahiran serta wafatnya Sayyiduna Musthofa Rasulullah ﷺ.

Rujukan adalah berdasarkan daripada kitab Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah ( Jilid Ke-3 ) yang ditulis oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ḥafiẓahuLlāh dan ia juga boleh didapati daripada kitab Al-Rahiq al-Makhtum karangan al-'Allamah Shaykh Safiyurrahman al-Mubarakfuri raḥimahuLlāh.

TANDA-TANDA KEWAFATAN
(Isnin, 29 Safar 11H)

1. Kepala Sayyiduna Rasulullah ﷺ terasa sakit dan demam panas selepas pulang dari perkuburan Baqi’
2. Rasulullah memilih untuk menetap di rumah Sayyidatuna Aisyah raḍiyaLlāhu 'anha
3. Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq raḍiyaLlāhu 'anhu dilantik oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ untuk menjadi imam solat jemaah

LIMA HARI SEBELUM WAFAT
(Rabu, 7 Rabi’ul Awal 11H)

1. Kepanasan jasad Sayyiduna Rasulullah ﷺ meningkat semakin tinggi, sehingga Baginda pitam
2. Baginda meminta untuk disiram ke atas jasadnya tujuh kali dengan air daripada beberapa telaga
3. Baginda keluar ke masjid dalam keadaan kepala berbalut

EMPAT HARI SEBELUM WAFAT
(Khamis, 8 Rabi’ul Awal 11H)

1. Keadaan Baginda bertambah tenat. Baginda bersolat juga di masjid sehingga solat Maghrib dengan membaca Surah Al-Mursalat
2. Baginda pitam beberapa kali apabila tiba waktu Isyak
3. Akhirnya, Baginda memerintah Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq raḍiyaLlāhu 'anhu menjadi imam solat Isyak.

TIGA HARI SEBELUM WAFAT
(Jumaat, 9 Rabi’ul Awal 11H)

DUA HARI SEBELUM WAFAT
(Sabtu, 10 Rabi’ul Awal 11H)

1. Sakit Baginda terasa agak ringan
2. Sayyiduna Rasulullah ﷺ keluar ke masjid di waktu Zohor dengan dipapah oleh dua orang sahabat
3. Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq raḍiyaLlāhu 'anhu mengikuti solat Sayyiduna Rasulullah sambil menyaringkan takbir untuk orang ramai

SEHARI SEBELUM WAFAT
(Ahad, 11 Rabi’ul Awal 11H)

1. Sayyiduna Rasulullah ﷺ memerdekakan semua hamba-hamba yang menjadi miliknya
2. Baginda bersedekah sebanyak tujuh dinar yang Baginda ada
3. Baginda memberi hadiah senjatanya kepada kaum muslimin, kecuali perisai yang masih tergadai kepada seorang Yahudi

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti

PADA HARI KEWAFATAN NABI ﷺ
(Isnin, 12 Rabi’ul Awal 11H)

1. [SUBUH] : Sayyiduna Rasulullah ﷺ menyingkap tirai pintu dan memandang ke arah para sahabat yang sedang membetulkan saf solat Subuh, sambil Baginda tersenyum lebar.

2. [DHUHA] : Puteri Baginda, Sayyidatuna Fatimah raḍiyaLlāhu 'anha menangis kesedihan
3. Rasulullah mencium dua cucu kesayangannya, Sayyiduna Hasan raḍiyaLlāhu 'anhu dan Sayyiduna Husain raḍiyaLlāhu 'anhu. Sayyiduna Rasulullah ﷺ mengadu kepada Sayyidatuna Aishah raḍiyaLlāhu 'anha yang dia merasa sakit akibat racun di Khaibar
4. Sayyidatuna Aishah raḍiyaLlāhu 'anha meletakkan kepala Baginda di pangkuannya

5. [SELEPAS GELINCIR MATAHARI] : Baginda bersugi dengan kayu sugi yang digigit dan dilembutkan oleh Sayyidatuna Aishah raḍiyaLlāhu 'anha.
6. Kemudian Baginda mengangkat tangan dan mengisyaratkan jarinya.
7. Kalimah terakhir diulang sebanyak tiga kali, dan tangan Baginda yang diangkat akhirnya jatuh longlai menandakan kewafatan Sayyiduna Rasulullah ﷺ.
8. Sayyiduna Rasulullah ﷺ wafat dengan usia 63 tahun empat hari.
9. Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq raḍiyaLlāhu 'anhu dilantik sebagai khalifah. Ini merupakan ijmaʼ yang pertama dalam Islam.

SEHARI SELEPAS WAFAT

1. Subuh pertama tanpa Sayyiduna Rasulullah ﷺ yang tersayang
2. Sayyiduna Bilal bin Rabbah raḍiyaLlāhu 'anhu menangis sewaktu melaungkan azan Subuh. Semua sahabat turut menangis.
3. Pagi Selasa: Jenazah Baginda dimandikan dan dikapankan
4. Sahabat bergilir-gilir seramai 10 orang untuk solat jenazah

DUA HARI SELEPAS WAFAT

Rabu malam Khamis: Sayyiduna Rasulullah ﷺ dikebumikan oleh Sayyiduna Anas bin Malik raḍiyaLlāhu 'anhu.

(Ringkasan ini selesai ditulis pada 16 Zulhijjah 1439/ 28 Ogos 2018 dan selesai disemak kembali pada 1 Rabi’ul Awal 1440/ 8 November 2018.)

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله و
صحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Batu Gajah,
1 Rabi’ul Awal 1440/
8 November 2018
2025/07/05 20:04:25
Back to Top
HTML Embed Code: