Telegram Web Link
Jumaat tiba lagi dan kita terus mencari kesempatan yang Allah SWT berikan untuk beribadat seikhlasnya dan semampunya.

Selagi kudrat masih kuat, semangat untuk berubah menjadi lebih baik akan terus kita pegang dan usahakan.

Semoga diberi peluang untuk memasuki Ramadan dan beramal dalamnya.

اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان 🤲🏻
Panjatkan doa dan munajatmu di senja Jumaat. Buat dirimu dan seluruh yang dicintai.

اللهم انصر إخواننا في فلسطين
اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان
Ramadan kian menghampiri menandakan pesta IBADAH akan bermula tidak lama lagi.

Bagi yang belum menyelesaikan qadha puasa, segerakan lah. Bagi yang belum mula tilawah al-Quran, mulakan lah. Bagi yang punya rezeki lebih, berinfaq lah.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ : كَانَ الْمُسْلِمُوْنَ إِذَا دَخَلَ شَعْبَانُ انْكَبُّوْا عَلَى اْلمصَاحِفِ فَقَرَؤُهَا وَأَخْرَجُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ تَقْوِيَّةً لِلضَّعِيْفِ وَالْمِسْكِيْنِ عَلَى صِيَامِ رَمَضَانَ

Diriwayatkan dari Anas berkata “bahawa umat Islam ketika masuk bulan Sya’ban, maka senantiasa membaca al-Quran dan mengeluarkan zakat hartanya, sebagai bantuan untuk orang miskin dalam menghadapi puasa” (Al-Hafidz Ibnu Rajab al-Hanbali, Lathaif al-Ma’arif 1/138)

#Syaaban
#Amalan
#Ramadan

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ahlan wa Sahlan wa Marhaban ya Ramadan

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ

Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”

Kita usaha sehabis baik kali ini InsyaAllah. Semoga Ramadan tahun ini menjadi yang terbaik buat kita dan menjadikan kita insan yang lebih baik 🤲🏻

رمضان كريم
Selamat Menyambut Ramadan

Ramadan kembali lagi. Ramadan menyediakan orang beriman yang merindukan suasana pesta ibadah. Ramadan adalah anugerah istimewa yang hanya diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW. Bulan yang penuh barakah dan kebaikan. Bulan digandakan ganjaran amal kepada mereka yang beramal sehingga melebihi 1000 bulan. Bulan penuh rahmat dan keampunan.

Orang yang melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan dengan sempurna akan diberi keistimewaan memasuki syurga melalui pintu Ar-Rayyan. Hadis Nabi SAW:

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ" متفقٌ عليه.

Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: ”Di mana kah orang yang berpuasa? Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melainkan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya. (HR Bukhari, no. 1896).

Menjadi tanggungjawab untuk setiap Muslim menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini dengan jiwa taqwa untuk melipat gandakan amal soleh bagi meraih taqwa. Antara yang boleh dilakukan adalah:

1. Mengikhlaskan niat melakukan amal soleh
2. Melaksanakan ibadat puasa di tingkatan khusus
3. Berusaha menghidupkan malam dengan solat-solat sunat seperti solat tarawih dan witir
4. Mempertingkatkan bacaan al-Quran
5. Bersedekah setiap hari
6. Perbanyakkan zikir harian
7. Perbanyakkan doa sepanjang berpuasa khususnya waktu sebelum berbuka dan di waktu sahur
8. Jaga solat berjemaah dan dilaksanakan di masjid khususnya bagi lelaki
9. Latih sifat sabar
10. Azam bersungguh-sungguh agar ibadat puasa, menghidupkan malam serta sedekah yang dilakukan benar-benar menjadi penghapus dosa-dosa kita

Pohon jambu batangnya basah
Dipanjat sesudah hujan reda
Puasa Ramadan penuh barakah
Waktu untuk mendulang pahala.

Ramadan: Bangunkan Jiwa Taqwa

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan Bangunkan Jiwa Taqwa

Ramadan datang dan pergi setiap tahun dan kita telah melaluinya puluhan tahun. Mari kita renungkan sejenak adakah puasa Ramadan yang berlalu itu telah berjaya membangunkan jiwa takwa seperti mana yang Allah mahukannya ianya terhasil seperti dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183 . Maka atas matlamat taqwa itulah difardhukan ibadah puasa.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa

1. Fadhilah as-Syeikh Darwis Mustafa Hasan  dalam kitabnya “حقيقة الصوم”   menyatakan bahawa hakikat  puasa ialah untuk mencapai martabat taqwa.   Bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.  Dan, wasilah (jalan) bagi mencapai ketaqwaan itu, bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi proses pengislahan,  pembersihan  dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah SWT dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya

2.   Ustaz Said Hawwa juga di dalam kitabnya “ الاسلام”  menjelaskan bahawa as-saum (ibadah puasa) adalah antara rukun (prinsip asas) dalam din Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat taqwa. Ini bererti. Antara jalan utama untuk mencapai takwa ialah dengan berpuasa.

3. Kenapakah taqwa sangat fokuskan, ini kerana taqwa itu adalah suatu akhlaq yang Allah SWT letakkan atasnya kejayaan bagi seorang muslim Ketika di dunia dan untuk kehidupan di akhirat kelak. Firman-Nya dalam ayat 17 surah at-Thur:

إِنَّ ٱلۡمُتَّقِينَ فِي جَنَّٰتٖ وَنَعِيمٖ

Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga dan nikmat

4. Dalam bulan Ramadan ini untuk mencapai sifat taqwa tersebut maka perlulah beramal sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  Contohnya, qiyamullail, zikrullah, doa, tilawah al-Qur’an, solat sunat tarawih, istighfar, i’ktikaf di masjid, infaq fisabilillah, menghidupkan sepuluh malam akhir, mencari lailatul qadr serta amalan-amalan lain yang disyari’atkan.

5. Bagi yang berusaha bersungguh-sungguh menjaga puasanya, maka puasanya merupakan pembersihan rohaniah dari daki cintakan dunia.  Puasanya juga berupaya untuk mendidiknya daripada menjadi tamak terhadap dunia seperti gila kuasa dan pangkat, bakhil, tamak ,sombong, melakukan pembaziran dan suka bermewah-mewah. Inilah hasil takwa yang berjaya dibangunkan.

Ayuh, mari kita bangunkan jiwa takwa dengan bersungguh-sungguh pada tahun ini. Mungkin Ramadan tahun ini adalah Ramadan terakhir untuk kita.

Akhirnya mari kita renungkan kata-kata Dr Abdullah Nasih Ulwan  dalam kitabnya “Menuju Ketaqwaan“ menjelaskan bahawa cukuplah taqwa dengan segala kelebihan dan keberkesanannya.  Sesungguhnya taqwa merupakan pemancar kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat ialah dengan cara mengajak masyarakat kepada taqwa.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Anugerah Ramadan

Tahukah kita apakah antara anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita selaku umat Nabi Muhammad SAW dan ianya tidak dianugerahkan kepada umat lain?

Tidak lain ialah Anugerah Ramadan dan keistimewaan yang ada di dalamnya. Mereka yang melaksanakan ibadat di dalam bulan Ramadan ini akan memperoleh pelbagai kelebihan dan keistimewaan.

Pelbagai gelaran diberikan untuk bulan Ramadan berdasarkan anugerah kelebihan dan keistimewaan bulan tersebut, antaranya:

1. Saiyidus Syuhur (Penghulu Sekalian Bulan)
2. Syahrul Maghfirah (Bulan Keampunan)
3. Syahrul Rahmah (Bulan dibuka pintu rahmah)
4. Syahrul Mubarak (Bulan penuh barakah atau kebaikan)
5. Syahrul Syiam (Bulan berpuasa)
6. Syahrul Sadakah / Jud (Bulan menderma / Murah hati)
7. Syahrul Quran (Bulan al-Quran)
8. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran)
9. Syahrul Taqwa (Bulan Taqwa)
10. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan dan bebas dari api Neraka)

Pelbagai kelebihan dan keistimewaan ini khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Alangkah ruginya jika kita membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

عَن عَبْدِ الرَّحْمَن بْنِ عَوْف رَضِي الله عَنهُ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ شَهْر فَرَضَ اللهُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ صِيَامَهُ وَسَنَنْتُ لَكُمْ قِيَامَهُ فَمَنْ صَامَهُ وَقَامَهُ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا خَرَجَ مِنَ الذُّنُوبِ كَيَوْم وَلَدَتْهُ أُمُّهُ.

Daripada Abdul Rahman bin ‘Auf RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Ramadan, bulan di mana orang Islam difardhukan berpuasa oleh Allah dan aku sunnahkan melakukan qiam (solat tarawih) pada malamnya. Sesiapa berpuasa dan qiamnya dilakukan penuh keimanan dan keikhlasan maka dihapus dosa-dosanya sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya. (HR Ibnu Majah No: 1101)

Bulan yang didalamnya ada satu malam yang barang siapa beribadat pada malam tersebut, ganjarannya melebihi 1000 bulan! Iaitu malam lailatul qadar.

Bangunkan jiwa taqwa dengan bersungguh-sungguh menyambut kedatangan bulan istimewa ini dengan melipatgandakan amal soleh. Mungkinkah Ramadan tahun ini terakhir buat kita?

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Membazir sahabat syaitan

Salah satu sifat negatif yang sangat ketara pada umat Islam pada bulan Ramadan ialah sifat membazir. Termasuklah membazir wang dan makanan. Jumlah makanan yang dibuang pada bulan Ramadan semakin meningkat. Berduyun-duyun umat Islam pergi bazar Ramadan dengan membelanjakan wang berlebihan untuk membeli pelbagai juadah yang akhirnya makanan tersebut tidak dapat dihabiskan . Allah melarang keras amalan melakukan pembaziran. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 26-27 :

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا) ٢٦ (إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ٢٧

Maksudnya: Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. 
(Al-Isra’: 26-27)


Pengajaran ayat :

1. Ibnu Mas’ud mengatakan bahwa istilah tabzir (تبذر) bermaksud membelanjakan harta bukan pada jalan yang benar. Manakala Qatadah mengatakan, tabzir adalah membelanjakan harta di jalan maksiat kepada Allah, jalan yang tidak benar, serta untuk kerosakan.

2. Jangan boros dalam membelanjakan harta. Pembaziran atau pemborosan merupakan sifat yang tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini keji oleh Allah.

3. Rasulullah pernah menasihat sahabat yang sedang berwuduk . Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا السَّرَفُ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”


4. Bagaimanakah cara kita hendak mengelakkan diri dari melakukan pembaziran? Antara amalan yang boleh dibuat ialah memasak makanan sendiri di rumah , membuat anggaran belanja makanan harian serta makan makanan yang sihat , seimbang serta berkhasiat. Sekiranya kita oleh berdisiplin mematuhi diet pemakanan seperti yang dianjurkan oleh pakar pemakanan, kita akan selamat dari melakukan pembaziran.

Ayuh, mari kita bangunkan jiwa takwa dengan mengawal nafsu makan yang melampau agar kita lebih fokus untuk menambah pelbagai amal ibadah seperti membanyakkan solat sunat, berzikir , tilawah al-Quran dan lain-lain lagi. Pasakkan dalam hati kita bahawa kita tidak mahu berkawan dengan syaitan yang suka menyesatkan manusia.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Manfaat Berpuasa

Dari segi Bahasa, perkataan Ramadan diambil dari kata akar ramada yang membawa maksud panas yang membakar. Kata Imam al-Qurtubi: Dinamakan Ramadan kerana ia seakan membakar dosa melalui amal-amal soleh. Ibadat puasa Ramadan membakar dosa-dosa. Rasulullah SAW dalam sabdanya menyebutkan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Dari segi kesihatan, apabila seseorang berpuasa dalam tempoh sekitar 12 hingga 13 jam sehari, tubuh badan seseorang memerlukan tenaga yang berterusan.  Apabila berpuasa, badan akan kekurangan sumber tenaga dari glycogen yang telah digunakan dahulu. Oleh itu badan perlu membakar lemak sebagai sumber tenaga. Ini boleh menyebabkan berat badan turun.
Puasa dari segi kesihatan memberikan berbagai manfaat. Antaranya:

1.  Merehatkan usus setelah bekerja terus menerus selama 11 bulan
2.  Membantu membakar lemak dalam badan yang boleh menyebabkan berat badan turun.
3.  Berpuasa boleh mengurangkan keradangan kronik di dalam badan.
4.  Berpuasa berupaya menurunkan kolesterol LDL dan triglyceride dan menaikkan kolesterol HDL
5.  Berpuasa boleh menurunkan kadar insulin resistance.
6.  Ada kajian yang menunjukkan bahawa berpuasa menyebabkan sistem immune lebih mantap dan berupaya melawan sel-sel kanser.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan bulan melatih kesabaran


Bulan Ramadan adalah bulan tarbiyah. Antara sifat yang hendak kita pupuk dan diamalkan dalam kehidupan seorang muslim ialah sifat sabar. Tidak kurang 90 kali kata-kata sabar disebut dalam al-Quran. Sifat sabar mudah disebut tetapi sangat sukar dilaksanakan. Oleh itu orang yang bersabar diberi ganjaran yang besar oleh Allah. Firman Allah dalam surah Al-Zumar ayat 10 :

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

1. Kehidupan manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk, maka mintalah pertolongan daripada Allah dengan menunaikan solat serta sifat sabar. Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar
(Al-Baqarah:153)

2. Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya.

3. Darjat sabar yang paling tinggi ialah sabar terhadap ketaatan, bererti apabila mahu melakukan ketaatan hendaklah menyabarkan diri melaksanaknnya agar terus istiqamah.

4. Cabaran pada bulan Ramadan adalah sabar untuk melakukan ketaatan untuk meningkatkan ibadah seperti melakukan qiam Ramadan, tilawah al-Quran, bersedekah dan ibadah lain.

5. Rasulullah adalah insan yang sangat tinggi sifat sabarnya apaabila berhadapan dengan pelbagai ujian serta tentangan dalam menyampaikan dakwahnya. Baginda sentiasa membalas kejahatan dengan kebaikan. Orang beriman sangat dikagumi sifatnya :

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Rasulullah bersabdaAlangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin, jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya. (Riwayat Muslim)

Jadikan Ramadan tahun ini sebagai bulan yang paling baik untuk kita kerana berjaya memupuk sifat sabar. Boleh menahan diri dari kemarahan yang melampau hingga membuat tindakan yang boleh mencederakan hati, fizikal serta yang paling dahsyat ada yang menyebabkan kehilangan nyawa.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan Bulan Keampunan

Bangunkan jiwa taqwa dengan mendapat keampunan melalui  ibadat Ramadan. Syahrul Maghfirah (Bulan Pengampunan) merupakan satu daripada nama bulan Ramadan. Pelbagai mekanisma disediakan untuk membersihkan dosa sehingga kita keluar daripada Ramadan nanti menjadi orang yang bersih daripada dosa atau kembali menjadi fitrah.

Antara mekanisme yang disediakan sebagai penghapus dosa di bulan Ramadan:

1.  Ibadat Puasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

2.  Solat Malam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain)  kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

3.  Bersedekah

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Puasa merupakan benteng dan sedekah dapat meleburkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api  (HR Ahmad  no 5231)

4.  Waktu Sahur

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَنَزَّلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni‘” (HR Bukhari no.1145)

5.  Menghidupkan Malam Lailatul Qadar

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada malam Lailatul Qadar dengan (penuh) keimanan dan pengharapan (pahala), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni" (HR Bukhari No: 1901)

6.  Zakat Fitrah

Ibnu Abbas RA berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

“Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah, sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa serta dari perbuatan atau ucapan lagha, juga sebagai makanan bagi orang miskin” (HR Abu Daud No: 1609)

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ...وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانَ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ

"Menyesallah dan rugilah .. menyesallah dan rugilah ... Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah saw: “Orang yang masuk ke bulan Ramadhan hingga ke penghujung bulan tetapi dosanya tidak diampunkan." (At-Tirmizi No 3545 dengan sanad Hassan) .

Pelbagai mekanisme disediakan Allah SWT Tuhan Yang Maha Pengampun. Banyakkan memohon keampunan Allah. Hendaklah kita berharap dan berusaha melakukan amal ibadah sebaik mungkin agar dosa-dosa kita diampunkan Allah terutama disepanjang Ramadhan ini.

Bulan Ramadhan adalah medan untuk menyucikan dosa.

Mulai dari solat, puasa, sedekah, ibadah Lailatul Qadar sehinggalah zakat fitrah menjadi penyuci dosa bagi kita yang berpuasa. Semoga kita diampuni disepanjang Ramadhan ini. Aamiiin

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Mahu bersahur atau tidak?

Ada orang telah siap makan sebelum tidur malam dengan beranggapan dia telah bersahur. Adakah benar fahaman dan amalan sebahagian orang ini? Apakah hikmat dan rahsia Rasulullah sangat menggalakkan dan menghukumnya sebagai sunat muakkad bagi yang bangun bersahur apabila mahu berpuasa.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu bersahur bermula pada tengah malam. Imam al-Nawawi menyebutkan, waktu bersahur adalah di antara tengah malam dan terbitnya fajar. Terdapat ulama yang berpendapat masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam. Maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air. 

1. Bersahur adalah sunnah yang paling besar dan tidak ditinggalkan oleh Rasulullah. Bersahur juga adalah bertujuan untuk mmembezakan antara puasa kita dengan penganut agama lain.. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Nabi SAW bersabda :

إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya :” Pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur.”
Riwayat Abu Daud (2343)

2. Sangat rugi jika kita tidak bersahur kerana di dalamnya ada keberkatan. Rasulullah memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur. Ini terbukti melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya :” Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

3. Rasulullah melewatkan bersahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Tidak digalakkan untuk bersahur awal, sebaliknya disunnahkan melewatkannya. Kata Zaid bin Thabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ " قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4. Seseorang itu masih boleh untuk makan sebelum azan subuh berkumandang. Ini merujuk kepada firman Allah :

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

(maksudnya): "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.

5. Rasulullah akan memakan kurma Ketika bersahur Kurma mengandungi banyak khasiat.
Kurma merupakan pilihan makanan yang tepat untuk sahur. Buah ini mengandung kalori, serat, dan karbohidrat yang cukup untuk memberikan tenaga pada tubuh. Kita akan merasa kenyang lebih lama saat mengambilnya kerana kurma termasuk sumber karbohidrat kompleks

Kesimpulannya, sangat rugi sekiranya seseorang itu mengambil ringan untuk meninggalkan bersahur sama ada puasa sunat apatah lagi puasa fardu bulan Ramadan.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan bulan adanya solat sunat Tarawih

Setiap daripada kita pasti memahami dan mengetahui bahawa solat sunat Tarawih hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. Mereka yang jarang menunaikan solat sunat lain pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merebut peluang mendapatkan ganjaran pahala menunaikan solat sunat Tarawih.

Ramadan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT bagi mereka yang mendirikan malam-malamnya dengan penuh kesungguhan dan pengharapan. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu”.
Riwayat Muslim

Mendirikan malam pada bulan Ramadan yang dimaksudkan dalam hadis di atas merupakan solat sunat Tarawih.

Tarawih memberi maksud sebagai istirahat dan ini kerana kebiasaan mereka yang melakukannya dengan memanjangkan berdiri kemudian beristirahat pada setiap kali empat rakaat. Umat Islam disunatkan untuk melakukannya secara berjemaah. Solat sunat Tarawih dilakukan secara berjamaah sejak Khalifah Umar al-Khattab menjadi khalifah.

Di sana ada beberapa persoalan berkaitan solat Tarawih :

1. Berapakah jumlah rakaat solat sunat Tarawih. Menurut mazhab Syafi’e dan jumhur ulama, bilangan rakaat tarawih adalah dua puluh rakaat berserta sepuluh salam tidak termasuk solat sunat witir. Walau bagaimana pun solat seseorang itu tetap sah dan diterima jika mengerjakannya kurang daripada dua puluh rakaat. Dari sudut ganjaran pahala, ia tetap mendapat ganjaran pahala solat sunat tarawih mengikut kadar bilangan rakaat yang dilakukan.

2. Bolehkah kita qada’ solat tarawih dan sunat witir jika kita tertinggal. Imam al-Nawawi menyebut secara umum bahawa sunat qada solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat). Teks asalnya seperti berikut:

وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ

Maksudnya: “Jika luput waktu solat sunat yang telah ditetapkan waktunya, maka sunat untuk qada menurut pandangan yang muktamad”.
Begitu juga solat sunat witir boleh diqada’. Rasulullah bersabda :

مَنْ نَامَ عَنْ الْوَتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُوتِرْ إِذَا ذَكَرَهُ أَوْ اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sehingga terlepas waktu solat Witir atau terlupa menunaikannya, maka lakukanlah apabila dia mengingatinya atau setelah dia bangun daripada tidur”.
Riwayat al-Tirmizi (465)

3. Adakah digalakkan kaum wanita menunaikan solat tarawih di masjid. Tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah, tetapi Islam tidak melarang mereka pergi ke masjid terutamanya untuk solat berjemaah pada bulan Ramadan dengan syarat selamat daripada fitnah. Tambahan syarat wanita yang telah berkahwin perlu mendapat keizinan suami, tidak tabarruj dan sentiasa menjaga adab.
Rasulullah SAW bersabda:

لا تمنعوا إماءَ الله مساجدَ الله، ولكن لِيَخرُجْنَّ وهنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.”
Riwayat Abu Daud

Mari kita berlumba-lumba untuk memperbanyakkan solat sunat pada bulan yang penuh barakah ini terutamanya solat sunat tarawih.

Tidak perlu berdebat sama ada untuk melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat. Laksanakanlah mengikut kemampuan masing-masing dengan penuh keikhlasan dengan hanya mengharapkan rahmat Allah serta keampunanNya.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Peluang doa dimakbulkan pada bulan Ramadan

Sebagai seorang hamba yang fakir, kita sentiasa berhajat kepada bantuan dan pertolongan Allah. Allah sentiasa menunggu dan ternanti-nanti hambaNya berdoa memohon sesuatu padaNya. Firman Allah


وَاِذَا سَاَلَكَ عِبَادِيْ عَنِّيْ فَاِنِّيْ قَرِيْبٌ ۗ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِۙ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِيْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِيْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ

Maksudnya :
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku Kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.
(al-Baqarah : 186)

Ada 3 waktu bagi orang yang berpuasa Allah makbulkan doanya :

1. Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]

Sepanjang hari orang berpuasa adalah waktu terbaik untuk berdoa. Carilah waktu yang sesuai untuk kita berdoa.

2. Waktu sahur atau sepertiga malam adalah waktu dikabulkannya doa dan waktu paling utama untuk melakukan ibadah lainnya seperti solat tahajud.

Pada bulan Ramadhan, umat Islam yang bangun bersahur dapat memanfaatkan waktu tersebut untuk berdoa dan beribadah, Rasulullah SAW telah bersabda :

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

"Rabb kita tabaraka wa taala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, "Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni." [HR. Bukhari, no. 1145 dan Muslim, no. 758].

Waktu bangun untuk bersahur, ambillah masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk beribadah sebelum makan bersahur, merayu dan berdoalah dengan hati yang khusyuk. Elakkanlah waktu bersahur menghabiskan masa untuk membaca atau menghantar sebarang info di media sosial.

3. Ketika berbuka puasa . Allah SWT akan mengabulkan doa orang yang berbuka puasa seperti sabda Rasulullah Saw berikut:

إِنَّ للصَائِم عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya : "Sungguh orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabulkan dan tidak akan ditolak tatkala berbuka puasa. " [HR Ibnu Majah no. 1743]

Pada bulan Ramadan hendaklah kita banyakkan berdoa untuk memohon keampunan serta dibebaskan dari azab api neraka terutama pada sepuluh malam terakhir. Sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis :

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Janganlah kita melepaskan peluang untuk memperbanyakkan berdoa pada saat bulan Ramadan ini terutama pada 10 malam yang terakhir. Ini kerana bagi orang yang berpuasa pasti melalui ketiga-tiga saat ini. Apabila berdoa yakinlah bahawa Allah akan memperkenankan doa kita pada saat dan waktu yang tepat dan terbaik untuk hambaNya.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Keutamaan berlapar bagi orang berpuasa

Telah pun berlalu kita berpuasa selama 12 hari dalam keadaan cuaca yang panas pada tahun ini. Pasti dalam keadaan cuaca seperti ini akan merasakan kehausan dan kelaparan lebih dari biasa. Adakah Allah mahu menzalimi hambaNya dengan berlapar dalam tempoh 14 jam dan mungkin lebih bagi negara tertentu. Ada hikmah yang besar mahu dianugerahkan oleh Allah pada hamba-hambaNya di saat kelaparan. Rasa lapar itu adalah salah satu bentuk ujian oleh Allah pada hambaNya untuk menguji keimanan.

firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” ( Al-Baqarah :155)

Imam al-Ghazali ada menyatakan di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin  manfaat apabila perut kosong atau lapar.

Pertama, lapar dapat membersihkan hati dan meningkatkan kecerdasan. Menurut Al-Ghazali, rasa kenyang boleh membutakan hati dan mengepulkan ‘asap-asap’ di otak seseorang yang menyerupai mabuk sehingga memenuhi seluruh ruang dalam otak tersebut. Hal tersebut kemudian menyebabkan seseorang lambat dalam memahami sesuatu atau biasa dikenal dengan lola. (Ihya`, Jil. 3, h. 105)

Kedua, lapar dapat membuat hati menjadi lembut dan bersih yang menjadi lebih mudah untuk merasakan nikmatnya ketekunan dalam berzikir dan manfaatnya. Bagi Al-Ghazali, ini merupakan sebuah keistimewaan, mengingat betapa banyak orang yang lisannya berzikir namun hatinya tidak menghadirkan apa yang sedang diucapkan oleh lisan, yang mana hal ini bisa jadi disebabkan karena kerasnya hati. (Ihya`, Jil. 3, h. 106)

Ketiga, lapar dapat menyingkirkan kesombongan, perasaan bahagia, dan kekufuran yang menjadi awal dari perbuatan zalim dan membuat seseorang melalaikan ketetapan-ketetapan Allah. Bagi Al-Ghazali, tidak ada hal yang lebih efektif yang membuat seseorang dapat menaklukan hal-hal negatif tersebut daripada rasa lapar. (Ihya`, Jil. 3, h. 106)

Keempat, lapar dapat membuat seseorang tidak melupakan cubaan dan azab Allah, serta tidak melupakan mereka yang menerima ujian. Bagi Al-Ghazali, orang yang kenyang seringkali lupa terhadap nasib mereka yang diuji dengan kelaparan. Orang yang cerdas, ketika ia menyaksikan orang yang sedang diuji dengan kesusahan, ia menjadi ingat akan betapa susahnya nasib seseorang di akhirat, seperti rasa haus yang dialami saat di padang mahsyar atau laparnya penghuni neraka. (Ihya`, Jil. 3, h. 107)

Kelima, lapar dapat membuat seseorang mampu menaklukan syahwat maksiat dan mampu mengontrol nafsu ammarah (nafsu yang mendorong seseorang kepada hal negatif), dan inilah manfaat yang paling besar dari rasa lapar. Karena, bagi Al-Ghazali, akar dari perbuatan maksiat adalah syahwat dan kekuatan untuk memenuhinya, dan keduanya bersumber dari makanan. Sehingga, dengan mengurangi makan, maka seseorang sedang melemahkan syahwat dan kekuatan tersebut. (Ihya`, Jil. 3, h. 107)

Selain kelima hal tersebut, manfaat lain dari lapar adalah membuat seseorang tidak mudah mengantuk sehingga dapat ‘begadang’ untuk menghidupkan malam; menjadi lebih tekun beribadah; membuat badan lebih sehat dan terhindar dari penyakit baik fisik maupun hati; meminimalisir pengeluaran untuk bahan makanan; dan memungkinkan seseorang untuk dapat menyisihkan sebagian makanan yang kemudian disedekahkan kepada yang membutuhkan. (Ihya`, Jil. 3, h. 108-110)

Di samping manfaat yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali di atas, ada lagi banyak kelebihan berpuasa saat berlapar dari sudut kesihatan. Antaranya boleh memelihara diri dari pelbagai penyakit yang merbahaya serta boleh menurunkan berat badan jika menjaga pemakanan saat berbuka dan bersahur.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan bulan Kembali kepada fitrah

Setiap anak cucu Adam dilahirkan dengan fitrah serba suci dan bersih ibarat sehelai kain putih tanpa ada sebarang tompok kekotoran. Masa berlalu hari demi hari, melalui pelbagai fasa dan ujian kehidupan, maka titik-titik serta tompok hitam semakin bertambah akibat kelalaian dan dosa seseorang. Allah telah mengurniakan anugerah agung setiap tahun pada hambaNya, iaitu anugerah Ramadan untuk membersihkan diri serta Kembali pada fitrah.

Setiap ibadah dalam Islam sememangnya mahu mengembalikan fitrah seperti mula dilahirkan. Tetapi pasti berbeza dengan bulan Ramadan. Allah memberi ruang selama sebulan, ibarat berada dalam kem motivasi yang penuh dengan disiplin, semangat berlumba-lumba dan mahu mencapai objektif program.

Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan persoalan fitrah ini. Antaranya ialah firman Allah SWT:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ

Maksudnya: (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. (Surah al-Rum: 30)

Begitu juga hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ
يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Fitrah secara ringkasnya bermaksud asal kejadian manusia yang Allah SWT jadikan manusia di atasnya, yang dengan kesuciannya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam. Jiwa manusia asalnya bersih tiada sifat dengki, tamak, gila kuasa serta tunduk pada hawa nafsu.
Antara sifat yang boleh dipupuk kembali untuk disuburkan ialah :

1. Mendidik hati untuk bersifat ihsan dan pemurah. Bersedekah pada bulan Ramadan dapat mencuci, menghilangkan sifat kedekut serta mementingkan diri sendiri. Kita akan memberikan yang terbaik kerana memahami Allah menyukai sifat ini. Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.
(Surah Ali-Imran: 92)

2. Membersihkan hati dengan membanyakkan memohon keampunan dengan beristighfar dan bertaubat kerana Allah itu Maha pengampun. Allah Ta’ala berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az Zumar: 53).

Dengan bertaubat, hati menjadi lebih tenang dan bersih. Ini akan mendorong seseorang untuk melakukan pelbagai amal ibadah dan kebaikan.

3. Meningkatkan rasa kehambaan pada Allah. Pada bulan Ramadan kita akan berusaha untuk memelihara solat fardu agar lebih sempurna dan khusyuk. Bukan itu sahaja, solat sunat rawatib, solat dhuha dan solat tarawih akan dlakukan tanpa gagal setiap hari. Tempoh sebulan sebagai latihan diharapkan akan berterusan pada bulan-bulan lain untuk diteruskan secara istiqamah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengdirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]

Kesimpulannya, Allah mahu membentuk hambaNya pada bulan Ramadan untuk kembali menjadi manusia yang fitrah. Bukan sahaja menyihatkan jiwa dan rohani, bahkan kesihatan fizikal apabila berjaya mengekang pelbagai bentuk hawa nafsu untuk terus kekal sihat.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Menghidupkan malam di bulan Ramadan

Waktu malam pada bulan Ramadan berbeza dengan bulan-bulan lain. Apatah lagi tidak lama lagi kita akan memasuki fasa 10 malam terakhir yang terdapat di dalamnya malam lailatul qadar. Terdapat hadis Rasulullah yang menekankan tentang amalan menghidupkan malam pada bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]
Terdapat juga dalam Riwayat lain Rasulullah bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa menghidupkan malam lailatul qadar dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari-Nya, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampuni, barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dalam keadaan iman dan mengharapkan pahala dari-Nya maka dosanya yang telah berlalu akan diampuni”. (HR. Bukhari).

Dalam Riwayat ini ada menyebut menghidupkan malam lailatul qadar.

Apakah yang boleh difahami dari hadis di atas :
1. Hendaklah bersungguh-sungguh untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan termasuk pada malam Lailatul Qadar.

2. Ganjaran mereka yang menghidupkan malam bulan Ramadan amat besar bagi sekiranya dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT. Hukumnya adalah sunat muakkad.

3. Allah akan menghapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.

4. Al-Hafiz Ibn Hajar menerangkan makna “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan” adalah kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadan) dengan bersolat..

5. Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadan adalah dengan solat Tarawih.

6. Solat sunat dan solat tarawih ini adalah hanya sebahagian dari pelbagai ibadah yang boleh dilakukan untuk menghidupkan malam. Membaca al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa adalah antara ibadat lain yang boleh dilakukan.

7. Satu lagi amalan yang telah dibuat oleh Rasulullah ialah beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Terdapat hadis riwayat Imam Bukhari menyatakan :

  عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dari Abdullah bin Umar ra berkata: “Rasulullah saw rutin melakukan i’tikaf pada 10 hari terakhir dari Ramadan”. (HR. Bukhari).  

Jangan kita lepaskan peluang tawaran istimewa daripada Allah untuk kita mendapatkan pahala berlipat ganda serta keampunanNya. Sangat rugi sekiranya kita boleh berjaga malam untuk melakukan perkara yang tidak bermanfaat apatah lagi berjaga untuk perbuatan maksiat serta sia-sia.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
5 golongan yang rugi di bulan Ramadan

Setiap mukmin mengharap balasan yang baik daripada amalnya, mengharap semua ‘perniagaannya’ didunia mendatangkan untung besar di akhirat.

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita berlumba-lumba mempertingkatkan amal ibadah, kerana padanya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran yang terbaik. Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadan, tetapi tidak memperolehi keampunan Allah.

Dalam sebuah Hadis ,ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin” - [HR Ibn Hibban 907].

Antara golongan yang rugi di bulan Ramadan ialah:
1. Bangun sahur tanpa meminta keampunan Allah
Waktu sahur merupakan satu waktu yang sangat penting bagi orang puasa, selain itu ia adalah waktu terbaik meminta keampunan dan dijanjikan keampunan oleh Allah.
Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 17: (maksud) …….dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
Sangat rugilah bagi mereka yang meninggalkan Istighfar pada waktu tersebut.

2. Menunggu waktu berbuka tanpa meminta doa kepada Allah
Waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan doa adalah pada ketika hendak berbuka puasa tetapi ramai dalam kalangan kita yang mengabaikan waktu terbaik ini.
Sabda Rasulullah: Sungguh orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabulkan dan tidak akan ditolak tatkala berbuka puasa. - [HR Ibn Majah 1743]

3. Menghabiskan waktu siang dengan tidur
Tidur tidaklah membatalkan puasa tetapi kata para ulama’ bahawa orang yang menghabiskan waktu siang dengan tidur merupakan orang yang rugi, kerana mungkin mereka yang tidur tidak melakukan ibadah seperti solat wajib dan sunat dan lain2 ibadah, maka puasa mereka hanyalah lapar dan dahaga.
Sabda Rasulullah saw (maksud) : Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar dahaga dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain hanya sekadar bangun malam.

4. Tidak membaca Al-Quran
Bulan Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kehidupan. Rasulullah saw sentiasa membaca Al-Quran dan apabila sampai di bulan Ramadan baginda akan melipat gandakan bacaan tersebut. Demikian juga para salaf, diceritakan bahawa Imam Syafie mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali setiap hari di bulan Ramadan.
Firman Allah di dalam Surah Faatir ayat 29 (maksud) Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.
Orang yang selalu membaca al Quran tidak akan rugi.

5. Tidak bersedekah
Sepatutnya puasa mendidik jiwa kita belas kasihan kepada golongan fakir miskin, mereka menahan lapar kerana tidak mempunyai makanan.
Diriwayatkan bahawa (maksud): Rasulullah adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. - [HR Muslim 4268]

Sama-sama kita meniru kebaikan-kebaikan yang diajar oleh Nabi SAW ini. Wallahu a'lam.

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
17 RAMADAN

Peristiwa agung pada tarikh hari ini membawa perubahan signifikan terhadap perkembangan dakwah Rasulullah SAW di semenanjung tanah Arab. Hingga ke hari ini kita masih dan sentiasa kenang kisah bersejarah ini.

1) Nuzul al-Quran

Mukjizat yang diturunkan pada malam al-Qadr menjadi Rahmat teragung buat seluruh umat manusia. Rasulullah SAW yang diutus sebagai pelengkap pembawa risalah daripada Allah SWT mengajar dan menyucikan jiwa-jiwa manusia dengan ayat-ayat suci al-Quran yang merupakan panduan utama umat manusia.

2) Ghazwah Badr

Peperangan badar yang menjadi peperangan pemula kepada berkembangnya dakwah Islam dan sumber kekuatan umat Islam. Kisah ini melambangkan keteguhan iman yang membentuk peribadi-peribadi yang bukan sahaja kuat fizikal akan tetapi spiritual.

Mari kita kembali merenung Sirah hebat ini untuk bekalan Ramadan berbaki!

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
Ramadan Bulan al-Quran

Maqasid nuzul Al-Quran (tujuan penurunan al-Quran) bukan sekadar untuk dibaca semata-mata walaupun membacanya merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan oleh nabi SAW:
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

Turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia Dan akhirat.

Allah SWT nyatakan dalam Al-Quran:

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ

Maksudnya: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran dimana al-Quran itu menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan pembeza antara hak dan batil" (al-Baqarah: 185)

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud:

كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

Maksudnya: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Sod: 29).

Selamat meneruskan budaya menghidupkan al-Quran pada bulan Ramadan yang mulia ni!

#NuzulQuran

https://www.tg-me.com/kapsul_tazkirah
2024/05/21 13:05:02
Back to Top
HTML Embed Code: