Telegram Web Link
Peribahasa Melayu menyebut: Makan garam. Atau lazim disebut orang sebagai “banyak makan garam”. Mungkin kurang tepat pada hari ini, memandangkan kanak-kanak sekarang lebih banyak makan 'jajan' yang terkandung lebih banyak garam. Mungkin orang yang telah lama hidup, lebih tepat disebut sebagai “lebih awal makan garam”.

Ternyata banyak sekali faedahnya, berada di samping orang yang jauh lebih berumur itu. Semakin tua umur mereka, semakin besarlah hikmah yang mereka miliki. Apa yang telah mereka rasakan, tidak semuanya dirasai oleh kita. Ada yang pahit, ada yang manis untuk ditelan. Oleh itu, mereka menasihati kita agar langkahnya biarlah jangan terserong.

Kami telah dinasihatkan oleh Tok Ndak Bakar hafizhahuLlah, seorang Ulama' Tua Kedah yang sudah berusia 84 tahun,

“Jangan buat pandang tak pandang nasihat orang tua. Takdak orang tua, takdak orang muda. Orang muda tak boleh nak berlagak pandai dengan orang tua. Kerana, tak munasabah dia itu memiliki lebih banyak pengalaman berbanding orang tua.”

Biarpun masa mereka mungkin sama sekali tidak serupa dengan masa kita pada hari ini. Tetapi setiap kata-kata hikmah daripada mereka, wajar sekali untuk dihalusi dengan penuh teliti.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Dua Satu,
25 Zulkaedah 1441/
16 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
JUMLAH ISTERI BAGINDA ﷺ YANG MULIA

Semasa ziarah ke teratak Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh pada 18 Jun yang lalu, kami bertanya kepada beliau sebuah soalan: “Adakah Sayyidatuna Mariah al-Qibtiyyah RA termasuk dalam kalangan isteri Nabi ﷺ?”

Soalan tersebut merupakan soalan yang sama telah hamba tanyakan kepada Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir HZ di dalam sebuah mimpi pada tiga bulan yang lepas. Dalam mimpi itu, kami duduk di sisi beliau dalam sebuah masjid (mungkin di Mesir). Namun, sayangnya jawapan beliau tidak dapat diingati setelah terjaga daripada tidur.

Maka, kami mengambil peluang untuk bertanya sekali lagi apabila dapat bertemu dengan beliau secara berhadapan. Jawab Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir hafizhahuLlah,

“Sayyidatuna Mariah al-Qibtiyyah RA dimasukkan dalam kalangan jariah Nabi ﷺ, tetapi bukannya isteri. Semua isteri Nabi ﷺ berjumlah seramai 11 orang. Kalau termasuk dengan Sayyidatuna Raihanah RA, maka akan jadi seramai 12 orang.”

Bahkan, secara berbetulan Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir HZ juga telah menjawab soalan tersebut secara tidak langsung di dalam sebuah kitab yang bertajuk, “al-Jawāhir al-Lu'luiyyah fi Alfiyah al-Sīrati al-Nabawiyyah”. Syair tersebut mengandungi 1004 rangkap dan selesai dikarang oleh beliau pada 14 Syawal 1441 semasa tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.

Jawapan itu disebutkan pada rangkap 804 sehingga 814 dalam “Bab Pada Menyatakan Tentang Isteri-Isteri Baginda ﷺ” seperti berikut:

“Bilangan isteri Nabi yang tercinta, dua belas jika Raihānah dikira (804). Khadījatul Kubrā isteri yang pertama, tidak diduakan semasa hidupnya (805). Setelahnya Saudah isteri yang berjasa, yang ketiga Āishah satunya yang dara (806). Hafsah anak 'Umar sahabat mulia, isteri yang keempat dikahwin Baginda (807).”

“Zainab bintu Khuzaimah isteri kelima, Ummul Masākīn digelar kepadanya (808). Ummu Salamah bintu Abī Umayyah, isteri keenam Baginda RasuliLlāh (809). Zainab bintu Jahshin banyak bersedekah, yang kelapan isterinya Juwairiyah (810). Raihānah dibilang termasuk isteri, ini yang terkuat di sisi Wāqdī (811).”

“Ummu Habībah isteri yang mulia, Safiyyah bintu Huyay wanita Syurga (812). Yang terakhir dikahwininya Baginda, Maimūnah bintul Hārith wanita mulia (813). Beruntung mereka dipilih Nabinya, dapat bersama di dunia dan di sana (814).”

Berdasarkan kepada 11 rangkap di atas, dapat disimpulkan bahawa 11 orang isteri Sayyiduna Rasulullah ﷺ ialah:

1. Sayyidatuna Khadijah Al-Kubra bintu Khuwailid RA ( خ )
2. Sayyidatuna Saudah bintu Zamaʼah RA ( س )
3. Sayyidatuna Aishah bintu Abu Bakar as-Siddiq RA ( ع )
4. Sayyidatuna Hafsah bintu 'Umar al-Khattab RA ( ح )
5. Sayyidatuna Zainab bintu Khuzaimah (Ummul Masākīn) RA ( ز )
6. Sayyidatuna Hindun bintu Abī Ummayah (Ummu Salamah) RA ( ه )
7. Sayyidatuna Zainab bintu Jahshin RA ( ز )
8. Sayyidatuna Juwairiyah bintu al-Harith RA ( ج )
9. Sayyidatuna Ramlah bintu Abu Sufyan (Ummu Habībah) RA ( ر )
10. Sayyidatuna Safiyyah bintu Huyay RA ( ص )
11. Sayyidatuna Maimūnah bintu al-Hārith RA ( م )

(FAEDAH:) Kesemua isteri Baginda ﷺ dapat diringkaskan pangkal nama mereka, menjadi akronim « خس مع جزر صحه » yang bermaksud “Salad Bersama Lobak Menyihatkan”. Dengan adanya akronim ini, telah memudahkan kita semua untuk mengingati setiap daripada nama mereka yang mulia.

Akronim ini seperti yang telah disampaikan kepada kami oleh Tuan Guru Ustaz Yusuf Awang rahimahuLlah semasa beliau hidup (makamnya terletak di Kompleks MATIN) dan al-Allamah Shaykh Dr. Hisyam Kamil Hamid al-Azhari hafizhahuLlah.

Syukur Alhamdullilah, Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir HZ juga telah mengijazahkan Musalsal Tasbih kepada hamba sebelum berangkat pulang. Sanad tersebut telah bersambung kepada al-Allamah Shaykh Abdul Aziz Kabbarah rahimahuLlah (Iskandariah).

Sanad Musalsal Tasbih itu juga telah bersambung kepada Abuya Kiyai Ahmad Syaʼrani bin Toyyib al-Martapurayi hafizhahuLlah (Banjarbaru), yang merupakan murid kepada al-Allamah Musnid ad-Dunya Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani rahimahuLlah.

Akhirnya, didoakan juga semoga dipermudahkan oleh Allah ta'ala ata
s segala urusan pembinaan AzZawiyah AnNasiriyyah - Official. Ia merupakan sebuah pusat pengajian yang dipimpin secara langsung oleh Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari HZ di Pedu, negeri Kedah Darul Aman.

Nama Zawiyah tersebut diambil bersempena dengan nama al-Marhum Ayahanda Shaykh Nazrul HZ. Kami menjadi saksi atas segala amal kebajikan dan khidmat al-Marhum yang sangat besar dalam meraikan tetamu. Semoga Allah ﷻ melimpahkan rahmat ke atas beliau dengan seluas-luasnya.

Moga-moga Zawiyah Nasiriyyah ini juga akan mengalirkan pahala yang berkekalan buat beliau dan menjadi sebuah pusat pengajian yang bermanfaat buat umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Dua Lima,
30 Zulkaedah 1441/
20 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
FAEDAH MEMBACA HAUQALAH

Pada Muqaddimah kitab Safinatu an-Najā, Shaykh Salim bin Sumair al-Hadhrami raḥimahuLlāh (wafat tahun 1271H), telah menghabiskan kata-katanya dengan menulis lafaz Hauqalah, « لا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم » sebelum memasuki kepada Fasal 1.

Berkenaan lafaz Hauqalah ini, terdapat beberapa faedah yang sangat besar. Antara yang telah disebutkan oleh Guru Mulia Ustaz Muhammad Adlin Nasri al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh ialah:

[ Mudah Faham, Mudah Belajar, Mudah Elak Maksiat ]

Berkata oleh al-Allamah Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani raḥimahuLlāh di dalam kitab Kāsyifatu as-Sajā, syarah bagi Safinatu an-Najā tentang makna lafaz Hauqalah,

أي لا تحول عن معصية الله إلا بالله ولا قوة على طاعة الله إلا بعون الله

“Maksudnya tidak ada kemampuan menghindari maksiat kecuali dengan pertolongan Allah ﷻ. Dan tidak ada kekuatan melakukan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah ﷻ.”

Ringkasnya, dalam apa perkara sekalipun, kita sangat memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ. Kami turut dipesan oleh Guru Mulia Ustaz Adlin Nasri al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh agar,

“Baca sehari bagi cukup 100 kali. Baca sebanyak 50 kali pagi, 50 kali petang atau sebagainya, asalkan cukup. Faedahnya kita akan mudah buat ketaatan. Mudah nak mengaji, sebab mengaji pun termasuk dalam buat ketaatan. Faham jadi mudah. Belajar jadi mudah.”

Sayyiduna Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Para sahabat berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

As-Syahid Syeikh Dr. Saʼid Ramadhan al-Buti raḥimahuLlāh menyebut, mengapa disebutkan di dalam ayat kelima Surah al-Fatihah, « إِيَّاكَ نَعۡبُدُ » kemudian diikuti dengan « وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ » kerana menunjukkan kita ini sangat lemah dan berhajatkan kepada bantuan Allah ﷻ.

Menurut beliau, tidak cukup sekadar beribadah, tetapi perlu juga memohon bantuan dari Allah agar terus dapat beristiqamah dalam ibadah. Seperti kata Shaykh Ibnu Atoillah as-Sakandary rahimahuLlah: Nikmat itu terdiri daripada dua iaitu, "Nikmat Mewujudkan Ibadah" ( نعمة الإيجاد ) dan "Nikmat Berterusan" ( نعمة الإمداد ) dalam ibadah melalui bantuan daripada Allah ﷻ.

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

[ Menumbuhkan Tanaman di Syurga ]

Semasa peristiwa Isrā' dan Miʼrāj, Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام di Langit Ketujuh. Antara pesanan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Baginda ﷺ ialah,

مر أمتك فلتكثر من غِراس الجنة، فإن تربتها طيبة، وأرضها واسعة، قال: لاحول ولا قوة الا بالله العلي العظيم

Maksudnya: “Perintahkanlah umatmu agar mereka memperbanyak menanam tanaman Syurga, sesungguhnya tanah Syurga itu sangat subur dan buminya luas. Nabi Ibrahim عليه السلام membaca: « لا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم » (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar).”

# Kisah terperinci tentang setiap peristiwa dalam Isrā' dan Miʼrāj, boleh dirujuk daripada kitab seumpama: “Kifayatu al-Muhtaj” karangan al-Allamah Shaykh Daud Abdullah al-Fathani raḥimahuLlāh, atau “al-Anwaru al-Bahiyah” karangan al-Allamah al-Habib Abuya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki raḥimahuLlāh ataupun sebagainya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam pengajian daurah atas talian bagi kitab Fiqh, Safinatu an-Najā bersama Guru Mulia Ustaz Adlin Nasri al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh, boleh daftar segera dengan al-Fadhil Ustaz Wan Ahmad Zuhairi ḥāfiẓahuLlāh:

https://wa.me/60135884285?text=Minat%20Join%20Safinah
https://wa.me/60135884285?text=Minat%20Join%20Safinah
https://wa.me/60135884285?text=Minat%20Join%20Safinah

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti
Hari Seratus Dua Enam,
30 Zulkaedah 1441/
21 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
40 HARI SELAWAT TAFRIJIYAH

Semasa musim haji 29 tahun yang lalu, telah berlaku sebuah peristiwa yang sangat menarik ke atas Tuan Guru Haji Abdullah Bukit Lada ḥāfiẓahuLlāh ketika beliau ingin menunaikan ibadah haji.

Pada tahun 1991, Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh telah dipertanggungjawab untuk memimpin 113 jemaah bagi menunaikan haji. Bersama rombongan tersebut pada ketika itu ialah al-Marhum Ustaz Hassan Syukri raḥimahuLlāh (beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS, meninggal tahun 2010).

Segala urusan visa untuk ke sana, telah dikendalikan oleh pihak mereka sendiri. Perlu untuk diketahui bahawa—sebelum tahun 1991, para jemaah masih lagi dibenarkan oleh kerajaan Malaysia untuk pergi menunaikan haji; sama ada melalui urusan persedirian (Pasport Merah) atau Tabung Haji (Pasport Hijau). Maka, ramailah juga yang pergi ke Tanah Haram secara persendirian.

Malangnya, perkara tersebut sudah tidak dibenarkan lagi pada tahun yang Tuan Guru Haji Lah HZ mahu melaksanakan haji. Tetapi, makluman mengenai perkara tersebut tidak sampai kepada pengetahuan rombongan Tuan Guru Haji Lah HZ. Menyebabkan, mereka semua telah ditahan kerana tidak mempunyai pasport haji berwarna hijau.

Tuan Guru Haji Lah HZ, al-Marhum Ustaz Hassan Syukri RH berserta kesemua 113 jemaah mengambil keputusan untuk duduk sementara di Markas PAS Taman Melewar (Gombak). Dengan harapan, semoga sekatan yang telah dikenakan terhadap mereka itu akan ditarik balik dalam masa yang terdekat.

Semua orang yang bersama Tuan Guru Haji Lah HZ pada waktu itu, sudah sangat bimbang dan takut jika tidak dapat menunaikan haji.

Ketika itulah, Tuan Guru Haji Lah HZ berpesan kepada jemaah untuk mengamalkan Selawat Tafrijiyah bersama-sama. Moga-moga dengan keberkatan berselawat kepada Sayyiduna Rasulullah ﷺ, akan dimudahkan segala urusan dan hajat yang dicita-citakan.

Berikut adalah Selawat Tafrijiyah yang sangat berkat:

اللهم صلِّ صلاةً كاملةً، وسلّم سلامًا تامًّا على سيدنا محمّد، الذي تنحلُّ به العقد وتنفرجُ به الكرب، وتُقضى به الحوائجُ، وتُنالُ به الرغائب وحسن الخواتيم، ويُستسقى الغمام بوجهه الكريم، وعلى ءاله وصحبه في كل لمحة ونفس بعدد معلوم لك

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat dengan selawat yang menyeluruh dan kurniakanlah salam dengan salam yang sempurna ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad ﷺ yang dengannya (selawat itu) dapat merungkai segala ikatan, melepaskan segala kesukaran, melunaskan segala hajat, tercapai segala perkara yang diingini dan kematian yang baik, serta diturunkan hujan (yang menjadi rahmat) disebabkan wajahnya yang mulia. (Begitu juga selawat dan salam ini diberikan) ke atas ahli keluarga Baginda ﷺ, para sahabatnya di dalam setiap kerdipan mata dan nafas dengan setiap bilangan yang diketahui olehMu.”

Setiap hari mereka akan membaca Selawat Tafrijiyah, sehinggalah cukup tempoh sebulan dan 10 hari secara berterusan. Menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 40 hari. Kata Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh,

“Cukup 40 hari sampai durian pun boleh luruh!”

Kemudian, datanglah khabar yang mengatakan bahawa pihak Saudi telah memanggil kumpulan 113 orang tersebut untuk menunaikan haji. Waktu mereka dipanggil, ada lebih kurang seminggu lagi sebelum semua orang mengerjakan ibadah yang besar itu. Jika lewat daripada itu, semua panggilan haji bakal ditutup.

Demikianlah sedikit daripada kisah mengenai keberkatan Selawat Tafrijiyah yang diamalkan oleh Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh. Dengan berkat selawat yang disampaikan kepada Sayyiduna Rasulullah ﷺ, telah memudahkan segala-galanya bi izniLlāh.

# Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020:

1) Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1617672121733419&id=100004719398393

2) Guru Mulia Shaykh Toha al-Hamadi ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3197856163630568&id=100002186488506

3) Tuan Guru Shaykh Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1594449280722370&id=100004719398393

4) Tuan Guru Pak Teh Mad ḥāfi
ẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1601539200013378&id=100004719398393

5) Tuan Guru Haji Lah Bukit Lada ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1621110134722951&id=100004719398393

6) Tuan Guru Haji Bakar Kubang Pisang ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1605135302987101&id=100004719398393

7) Tuan Guru Baba Azhari Gulau ḥāfiẓahuLlāh
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1602355589931739&id=100004719398393

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Dua Sembilan,
3 Zulhijjah 1441/
24 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
CATATAN JAULAH TELUK INTAN

1️⃣ Menara Condong Teluk Intan. Di dalam daerah ini juga, terletaknya Makam Tuan Guru Haji Sufian rahimahuLlah (terletak di Kampung Durian Sebatang). Selain itu, berhampiran dengan Menara Condong juga terdapat Madrasah al-Ihsaniah. Pusat pengajian tersebut telah didirikan pada tahun 1901M oleh Syeikhul Islam Pertama bagi negeri Perak, iaitu Shaykh Muhammad Salleh al-Minangkabawi rahimahuLlah.

2️⃣ Menghampiri kawasan yang paling hujung Selatan Negeri Perak: Beting Beras Basah (Bagan Datuk, Perak) merupakan kawasan yang mula-mula sekali dipijak oleh Sultan Perak Pertama, iaitu Sultan Mudzaffar Shah I RH. Baginda merupakan anak pertama kepada Sultan Mahmud Shah RH (mangkat tahun 1530M), iaitu Sultan Melaka yang terakhir sebelum negeri tersebut dijajah oleh pihak Portugis. Manakala, anak kedua kepada Sultan Mahmud Shah RH ialah Sultan Alauddin Riayat Shah II RH (berkerajaan di Johor). Kedudukan kawasan ini terletak di tepi pantai. Namun, pasirnya berseluk dan tidak seputih seperti yang ada di Pantai Timur; oleh kerana kawasan Pantai Barat terlindung dengan kepulauan Sumatera, Indonesia.

3️⃣ Kedudukan pantainya juga yang agak terpencil daripada manusia dan berada di tepi hutan paya, menyebabkan ia menjadi tempat bertandang bagi makhlus halus, lebih-lebih lagi jin kafir. Sewaktu hendak pulang, Baba pesan dekat kami semua agar cepat berjalan. Manakala, beliau pula memilih untuk berjalan dari belakang sekali. Ambe perasan perbuatan Baba itu, namun tidak berani untuk mempersoal tindakannya. Sejurus setelah menaiki kereta, adik perempuan ambe yang paling bongsu tanya; kenapa Baba bertindak sedemikian? Lalu, jawab beliau, sebab tadi semasa hendak pulang, beliau 'nampak' ada makhluk yang ikut sekali. Jadi, beliau tunggu di belakang dan menyuruh kami berjalan dahulu.

Akhirnya Baba ada beritahu, “Tadi ada perasan tak ada bau macam hanyir dan busuk? Dia ada dekat situlah tadi.”—masuk tempat orang, jangan buat lebih kurang.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tiga Satu,
5 Zulhijjah 1441/
26 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
JUALAN AMAL KURMA MADINAH

Pihak Zawiyah Nasiriyyah membuka jualan Kurma Ajwa Madinah.

Beli sambil menyumbang untuk pembangungan Pusat Pengajian Zawiyah Nasiriyyah yang dipimpin oleh Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari hāfizhahuLlāh.

FREE POSTAGE bagi tempahan untuk 1kg dan ke atas, sehingga 30 Julai 2020.

HARGA PROMOSI ke seluruh Malaysia :
RM 90.00 = 1 Kg
RM 30.00 = 250 g

Untuk sebarang tempahan Kurma Ajwa Madinah boleh PM saya:

http://www.wasap.my/60199171615/Kurma_ajwa+ZawiyahNasiriyyah

-----------------------

Terkini, pada 24 Julai 2020, sudah selesai urusan membeli tanah yang berjumlah RM 50,000 dan masih memerlukan RM 150,000 untuk kos anggaran keseluruhan tambak tanah.

NOTA: Boleh juga terus menyumbang melalui akaun:

552022640013
MAYBANK
RUWAQ NASIRIY MANAGEMENT

WAJIB maklumkan resit kepada untuk tujuan rekod ;
01119259884
Ustaz Soleh
Timb. Mudir Zawiyah
http://www.wasap.my/601119259884/ZawiyahNasiriyyah

Marilah sama-sama kita bantu pusat pengajian ini, mudah-mudahan kita menjadi ianya menjadi bukti cinta kita kepada Allah dan Baginda Nabi ﷺ di akhirat kelak.
__________________________________________

Alamat Zawiyah ;
Lot 2313, Kampung Pinang, Pedu, Kedah.

Facebook - Like - Follow First 👇🏻

https://www.facebook.com/ZawiyahNasiriyyah/
https://www.facebook.com/UstNazrulNasir/
9 NASIHAT TOK AYAH ISA GERIK

Tok Ayah Haji Isa Gerik ḥāfiẓahuLlāh sudah berusia 94 tahun, tetapi masya-Allah masih sihat tubuh badan. Bahkan, setiap waktu, beliau akan solat berjemaah di masjid. Solat tarawihnya 20 rakaat!

Guru Mulia Ustaz Haji Yussaine Yahya ḥāfiẓahuLlāh pernah memberitahu bahawa, Tok Ayah Isa merupakan merupakan khadim kanan kepada Pak Da Eil raḥimahuLlāh di Makkah. Beliau juga pernah menjadi tukang sikat rambut dan tukang urut kepada gurunya.

Alhamdulillah, dalam ziarah yang lalu, Tok Ayah Isa Gerik ḥāfiẓahuLlāh sudi mengijazahkan dua bacaan doa untuk diamalkan. Beliau juga telah menyampaikan beberapa nasihat yang dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Perintah solat nombor satu. Solat pula mesti berjemaah. Kemudian, dirikan di masjid atau di surau. Begitulah keadaan orang Islam yang sejati. Tapi, kalau solat pun tidak, Islam lagu mana?

2. Masuk waktu, berhenti daripada buat kerja. Pergi jemaah, nak buat seorang tak aci. Amal solat berjemaah itu kerja kita. Tak boleh tinggal. Kena pergi awal, tak acilah kalau pergi orang sudah angkat takbir. Solat Zohor, sebelum pukul 1.00 tengah hari, kena sampai dah dekat tempat solat. Kurang-kurang, setengah jam kena datang awal. Nak ambil wuduk lagi, nak masuk masjid.

3. Duduk sedia di saf. Aci boleh di saf yang pertama.

4. Solat sunat yang paling utama ialah solat tahajud di malam hari. Kita jangan duk tidur selalu.

5. Dapat isteri, pimpin ajar buat amal. Jangan orang tina bangun dua rakaat dah solat tahajud. Suami tidur kroh-kroh lagi.

6. Solat Dhuha jangan ditinggal. Baca doa Dhuha. Rezeki kita bukan setempat.

7. Jangan ke masjid sahaja pakai kopiah serban. Nak pergi ke pekan tak pakai pun. Buang kopiah, lagu tu tak mau. Aci boleh pakai selalu, jangan dibuang. Itu alamat orang mukmin yang soleh.

8. Kita tak boleh ikut zaman ni. Kurang-kurang pakai kopiah sahaja, apabila tak ke masjid. Bukan nanti nak ke masjid sahaja baru nak pakai. Kalau ke masjid, lebih lagi kena pakai.

9. Taubat jangan tinggal, sentiasa perbaharui taubat kita setiap hari.

[ Doa Pertama ]

يَا رَبَّنَا سَلِّمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kesejahteraan ke atas kami.”

Kata Tok Ayah Isa ḥāfiẓahuLlāh: Makna " سَلِّمْ " ialah sejahtera buat amal, termasuklah perbelanjaan dunia. Semuanya dapat daripada kurniaan Allah ﷻ.

[ Doa Kedua ]

اللهم اغْفِرْ لِأُمَّةِ مُحَمَّدٍ وارْحَمْهُمْ رَحْمَةً عَآمَّة

Maksud yang disebutkan oleh Tok Ayah Isa ḥāfiẓahuLlāh: “Ya Allah, ampun oleh Engkau bagi umat Nabi Muhammad ﷺ dan merahmati mereka dengan rahmat yang umum.”

Umat Nabi Muhammad ﷺ dalam doa tersebut, termasuklah kita semua sekali. Pesan beliau lagi, “Jangan pula mengaku umat Nabi ﷺ, tapi tak solat pun. Tak kenal masjid pun. Siapakah tok imam, tok siak pun tak kenal!”

Mudah-mudahan di Mahsyar, kita berkumpul dengan Sayyiduna Rasulullah ﷺ, Khatamu al-Nubuwah. Kita semua ingin masuk ke Syurga sekali. Di bawah Junjungan Mulia Nabi Muhammad ﷺ.

Maksud " رحمة عآمة " itu termasuklah juga solat yang khusyuk. Bukan apabila angkat takbir Allahu Akbar, mari teringat pokok kayu, mari teringat buah durian dan perkara-perkara yang lain.

Rakaman Amalan Doa : https://youtu.be/XdqhbHg_cqc

# Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah di negeri Perak pada 11 Julai sehingga 13 Julai 2020.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tiga Dua,
7 Zulhijjah 1441/
27 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/05 08:32:03
Back to Top
HTML Embed Code: