Telegram Web Link
SEMOGA PANJANG UMUR

Selamat ulang tahun kelahiran Sang Naqib, Guru Mulia Abang Abu Hasan Ashaari Attafawi ḥāfiẓahuLlāh. Semoga Allah ﷻ memanjangkan usia dalam keberkatan dan mencurah-curahkan hujan rahmat ke atasnya.

Tidak sedikit perkara yang telah saya pelajari daripada beliau. Jika mahu digambarkan peribadinya secara sepintas lalu, maka saya akan katakan bahawa; beliau merupakan seorang yang sangat berpegang kepada prinsip dan setia.

Beliau berperwatakan "Sensing Extrovet", atau ringkasnya boleh disebut sebagai 'Se'.

Kami berkongsi personaliti yang serupa, jika menurut teori STIFIn (yang sampai ke hari ini, saya sebenarnya masih sangsi tentang kebenarannya dan lebih menganggap teori itu sebagai kebetulan sahaja). Antara keperibadian utama bagi orang 'Se' ialah mereka tak akan melupakan sejarah.

Setiap kenangan yang tercipta, akan terpahat kemas di dalam ingatannya. Lebih-lebih lagi kenangan pahit yang memilukan dan melukakan. Justeru itu, mereka belajar daripada pengalaman. Guru kehidupan yang terbaik bagi mereka ialah pengalaman.

Mereka akan menghargai setiap cerita yang berlalu melepasinya. Akan dicatat dengan kemas satu-persatu sekiranya termampu di dalam kertas—atau paling kurang, cukuplah sekadar tersemat di dalam senyuman dan deraian air mata yang disembunyikan.

Abang Abu yang kami kenali dahulu, begitulah Abang Abu yang kami kenali sekarang. Seorang pemuda yang kaya dengan nasihat berharga dan pengalaman yang tidak lokek untuk dicicipkan buat kami yang jalannya baru hendak bertatih.

Orang Sensing yang diperkatakan oleh teori itu; mereka tidak mudah mengalah, rajin dan terkenal dengan pemurah. Sifat-sifat ini merupakan kekurangan yang sangat besar bagi hamba yang menulis, tetapi semuanya terangkum kemas pada batang tubuh Sang Naqib yang dikasihi.

Terima kasih atas segala tunjur ajar selama ini🌹

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Enam,
10 Zulkaedah 1441/
1 Julai 2020
NASIHAT DARI ULAMAʼ TUA KEDAH

Tuan Guru Pak Teh Mad ḥāfiẓahuLlāh (umurnya sudah mencecah 96 tahun), merupakan salah seorang daripada anak murid Pak Da Eil raḥimahuLlāh yang masih lagi hidup.

Pak Teh Mad ḥāfiẓahuLlāh menetap di Kuala Nerang, Kedah. Beliau telah menyebutkan dua ayat Al-Quran sebagai nasihat kepada kami. Satu daripada Surah Ar-Rahman dan keduanya daripada Surah Ali-Imran.

[ Nasihat Pertama: Dua Syurga ]

وَلِمَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ جَنَّتَانِ

Maksudnya: "Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga." [Surah Ar-Rahman, Ayat 46.]

Berkata Pak Teh Mad tentang ayat ini: Allah ﷻ menyediakan dua Syurga. Satu Syurga berada di atas dunia. Manusia boleh makan pagi, tengah hari dan petang. Manusia juga mempunyai tandas (untuk membuang air).

Adapun, Syurga Kedua pula berada di akhirat. Setiap apa yang kita makan, akan bertukar menjadi peluh (yang wangi). Di sana, tiada jamban seperti yang ada di dunia. Arak, susu dan madu—semuanya dijadikan sungai.

[ Nasihat Kedua: Dua Kali Ganda ]

قَدۡ كَانَ لَكُمۡ ءَايَةٞ فِي فِئَتَيۡنِ ٱلۡتَقَتَاۖ فِئَةٞ تُقَٰتِلُ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخۡرَىٰ كَافِرَةٞ يَرَوۡنَهُم مِّثۡلَيۡهِمۡ رَأۡيَ ٱلۡعَيۡنِۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصۡرِهِۦ مَن يَشَآءُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبۡرَةٗ لِّأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ

Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa—dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya)." [Surah Ali-Imran, Ayat 13.]

Berkata Pak Teh Mad tentang ayat ini: Orang Mukmin yang berperang melawan orang kafir, akan diperlihatkan oleh Allah ﷻ kepada orang kafir dengan bilangan dua kali ganda lebih ramai. Sekalipun, jumlah mereka sebenarnya hanyalah sedikit.

Jumlah 100 diperlihatkan seramai 200 orang. Jumlah 10,000 diperlihatkan seramai 20,000 orang. Seperti yang telah berlaku dalam Perang Badar, Perang Uhud dan sebagainya. Orang Islam menang besar, walaupun jumlah musuh lebih banyak sekali ganda.

Perang-perang tersebut juga ada yang berlaku semasa Aidil Fitri dan Aidil Adha. Antara hikmah umat Islam menyambut dua (2) kali raya dalam setahun adalah untuk meraikan kemenangan yang besar pasukan tentera Islam.

Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020. Berikut ialah senarai Ulamaʼ Tua di negeri Kedah yang sempat diziarahi tempoh hari.

1. Tuan Guru Pak Teh Mad ḥāfiẓahuLlāh (96 tahun)
2. Tuan Guru Haji Lah Bukit Lada ḥāfiẓahuLlāh (84 tahun)
3. Tuan Guru Haji Bakar ḥāfiẓahuLlāh (84 tahun)
4. Tuan Guru Baba Azhari Gulau ḥāfiẓahuLlāh (82 tahun)
5. Tuan Guru Haji Sanusi al-Kholidi ḥāfiẓahuLlāh (80 tahun)

Semoga mereka semua dipelihara oleh Allah ﷻ.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tujuh,
12 Zulkaedah 1441/
2 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
EMPAT AMALAN DARI BABA AZHARI GULAU

Tuan Guru Baba Azhari Gulau ḥāfiẓahuLlāh (berumur  82 tahun), merupakan antara Ulamaʼ yang telah berkahwin lambat kerana mujahadah dalam menuntut ilmu. Beliau hanya bernikah pada umur 42 tahun.

Pada tahun 1975, beliau telah pergi ke Makkah ketika berusia 30-an dengan kapal laut. Sebelum itu, beliau menuntut ilmu dengan guru muda di Pasir Tumbuh (Kelantan). Kemudian, belajar dengan guru tua di Pasir Putih (Kelantan).

Baba Azhari hafizhahullah telah menuntut ilmu selama 14 tahun di Makkah. Sebelum beliau ke sana, antara gurunya ialah Maulana Lambak ḥāfiẓahuLlāh (Terengganu). Baba Azhari berpesan supaya jangan tinggalkan empat (4) amalan ini pada setiap hari:

1. Amalkan Basmalah dalam setiap perkara,

بسم الله الرحمن الرحيم

• Faedah amalan ini: Jauh daripada ditelan oleh bumi, jauh daripada berubah wajah ketika dibangkitkan di padang Mahsyar dan banyak lagi.

2. Amalkan doa Nabi Yunus 'Alaihissalām seperti yang tersebut di dalam Surah al-Anbiyaʼ pada ayat 87,

لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَٰنَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِين

Maksudnya: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."

• Faedah amalan ini: Ikan yang menelan Nabi Yunus 'Alaihissalām telah mengeluarkan Baginda dengan selamat ke tebing pantai. Ini seperti yang tersebut pada ayat yang berikutnya di dalam Surah al-Anbiyaʼ bahawa,

فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُۥ وَنَجَّيۡنَٰهُ مِنَ ٱلۡغَمِّۚ وَكَذَٰلِكَ نُـۨجِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya: "Maka, Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)."

3. Amalkan Hauqalah pada setiap hari,

لا حول ولا قوة الا بالله

• Faedah amalan ini: Terlepas daripada kesulitan, Baba Azhari sendiri menceritakan pengalamannya bahawa beliau pernah terselamat daripada kena tangkap dan dimasukkan ke dalam penjara semasa di Makkah.

Baba Azhari ḥāfiẓahuLlāh juga telah menyebutkan kisah yang berlaku ke atas salah seorang sahabat Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Beliau ialah seorang budak muda yang bernama, Sayyiduna Salim رضي الله تعالى عنه.

Pada suatu hari beliau telah ditangkap oleh orang kafir. Lalu, ibu dan ayahnya datang mengadu kepada Sayyiduna Rasulullah ﷺ tentang anak mereka. Kemudian, Baginda berpesan supaya amalkanlah Hauqalah.

4. Amalkan doa yang terdapat di dalam ayat yang terakhir daripada Surah Al-Baqarah,

  رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

TUJUH DOA DALAM SEPOTONG AYAT

Pesan Baba Azhari ḥāfiẓahuLlāh, di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 pada amalan keempat tadi, sebenarnya telah terhimpun tujuh (7) doa yang sangat besar. Berikut adalah potongannya:

[ Doa 1 ] رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ

[ Doa 2 ] رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ

[ Doa 3 ] رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ

[ Doa 4 ] وَٱعۡفُ عَنَّا

[ Doa 5 ] وَٱغۡفِرۡ لَنَا

[ Doa 6 ] وَٱرۡحَمۡنَآۚ

[ Doa 7 ] أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡن
َا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Akhirnya, setelah selesai membaca ketujuh-tujuh doa ini, Sayyiduna Rasulullah ﷺ akan menyebut "amin".

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Lapan,
12 Zulkaedah 1441/
3 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
Forwarded from TUAN GURU ZULKIFLI ISMAIL BQ
Assalamualaikum wrt wbh. InshaAllah malam esok ustaz akan memulakan pembacaan kitab Iktiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaah susunan Kiyai Sirajuddin Abbas. Dalam kitab tersebut terkandung huraian Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan huraian yang memadai tentang aliran dan fahaman yang terkeluar dari kelompok Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Pengajian di bidang akidah ini ustaz lengkapkan dengan huraian mengenai fahaman Sekularisme sebagai ideologi yang menyalahi dasar-dasar Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Dihuraikan melalui pembacaan buku Ancaman Bahaya Sekularisme inshaAllah.

Afwan ustaz sekadar berusaha dengan usaha yang penuh kelemahan dan kekurangan untuk mengingatkan ummat bahawa Sekularisme yang muncul di zaman ini dan cabang-cabangnya adalah bercanggah secara dasar aqidah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam yang didokong oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Ia adalah usaha untuk mengingatkan kepada seluruh pendukung Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang terjebak di dalam pengaruh Sekularisme agar memperbaiki diri dan menjauhi fahaman Sekularisme dan tidak menjadi pengikut kepada para penggiat fahaman tersebut walau apa pun latar belakang mereka. Ia adalah suatu usaha bagi membentengi generasi baru ummat dari bahaya fahaman ini. Semoga ia menjadi usaha yang benar-benar ikhlas yang diterima oleh Allah Tuhan Pencipta semesta alam Yang Maha Sempurna dalam segala perbuatannya dan Maha Bijaksana dalam segala bimbingannya. Mohon Engkau kabulkan permintaan kami yang lemah ini Ya Allah.
Forwarded from TUAN GURU ZULKIFLI ISMAIL BQ
AMALAN SEMBUH DARIPADA PENYAKIT

Selama empat bulan, Tuan Guru Shaykh Sanusi Al-Khalidi ḥāfiẓahuLlāh (berumur 80 tahun) telah ditimpa penyakit dan tidak lalu hendak makan sepanjang tempoh tersebut. Semuanya bermula setelah beliau pulang dari Janda Baik.

Alhamdulillah, pada hari ini, beliau telah dikurniakan kesihatan oleh Allah ﷻ dan kembali berkudrat. Antara soalan yang kami tanya kepada beliau, apakah amalan Tuan Guru agar kembali sembuh. Lalu jawapannya:

1. Amalkan doa Nabi Ayub 'Alaihissalām seperti yang disebutkan di dalam Surah Sod ayat 41,

وَٱذۡكُرۡ عَبۡدَنَآ أَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلشَّيۡطَٰنُ بِنُصۡبٖ وَعَذَابٍ

Maksudnya: "Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)."

2. Amalkan Selawat Burdah yang dikarang oleh al-Imam Muhammad bin Sa'id Al-Busiri raḥimahuLlāh.

• Faedah: Amalan ini juga—dengan izin Allah ﷻ, akan menyembuhkan penyakit Strok. Perkara ini seperti yang telah disampaikan kepada kami oleh Tuan Guru Abuya Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki ḥāfiẓahuLlāh. Beliau telah sembuh daripada strok berkat daripada Selawat Burdah.

NASIHAT DARIPADA SHAYKH SANUSI

Mengaji perlu bertariqat. Ini kerana, syariat itu sendiri terdiri daripada dua perkara iaitu: Syariat Zahir dan Syariat Batin. Perkara yang kedua itu sangat penting untuk melatih diri penuntut ilmu agar sentiasa mengingati Allah ﷻ.

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ

Maksudnya: "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." [Surah Al-Aʼraf, Ayat 205]

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ نَسُواْ ٱللَّهَ فَأَنسَىٰهُمۡ أَنفُسَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik—derhaka." [Surah Al-Hashr, Ayat 19]

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَآ أُعِيدُواْ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمۡ ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِي كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ

Maksudnya: "Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu." [Surah As-Sajdah, Ayat 20]

Sabda Sayyiduna Rasulullah ﷺ,

“جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ “، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: ” أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ “

Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah ﷺ bagaimana kami memperbaharui iman kami?" Baginda ﷺ bersabda: "Perbanyakkanlah mengucap kalimah Lā ilāha illaLlāh". [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Pesan Tuan Guru, usahakanlah agar kita jangan ada satupun detik yang kita terlupa daripada mengingati Allah ta'ala. Bagi Ahli Sufi, mereka akan menghukum diri sebagai murtad sekiranya terlupa mengingati Allah ﷻ.

Sedangkan, semua binatang pula sepanjang masa berzikir kepada Allah ﷻ dengan cara masing-masing. Lembu dan kambing berzikir dengan cara dia. Alangkah malunya manusia yang beraqal ini terhadap binatang...

# Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020. Rumah beliau terletak di Kampung Kubang Jelai, Tokai, Pendang.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Sepuluh,
14 Zulkaedah 1441/
5 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
SABAR DAN TETAPKAN WAWASAN

Nasihat Tuan Guru Tok Ndak Haji Bakar ḥāfiẓahuLlāh,

"Kamu semua kena ada wawasan. Akan datang, nak buat apa? Jangka masa pendek, nak buat apa? Nak kahwin umur berapa? Semua tu kamu kena tahu."

Tuan Guru seorang yang sangat peramah dan suka bergurau dengan anak muda. Dalam gurauannya, terkandung banyak hikmah. Ada pesan-pesan yang sebenarnya sedang dititipkan secara tidak langsung.

لاستسهلن الصعب او ادرك المنى فما انقادت الآمال الا لصابر

Maksudnya: “Semua kesulitan akan aku anggap mudah, sehingga aku mencapai kejayaan. Kejayaan tidak akan datang kecuali kepada orang yang bersabar.”

Kalam tersebut merupakan nasihat Tuan Guru yang dipetik daripada sebuah syair Arab. Ia telah disebutkan juga di dalam kitab "Tuhfatus Saniyah" Syarah Ajrumiyah dan "Syarah Ibnu 'Aqīl 'Alā Alfiyah Ibnu Mālik".

Pesan Tuan Guru: "Nak belajar ke, nak buat kebun ke, nak meniaga ke, mesti kena ada dua perkara ni. Bersungguh-sungguh dan sabar. Beramal, insya-Allah berjaya (dalam setiap perbuatan yang dikerjakan). Sabar itu yang membawa kepada kejayaan."

Beliau merupakan salah seorang Ulamaʼ Tua yang masih lagi hidup di negeri Kedah Darul Aman. Umurnya sudah mencecah 84 tahun dan masih sihat tubuh badan. Tuan Guru menetap di Kampung Kubang Pisang, Pendang.

Alhamdulillah, beliau dikurniakan oleh Allah ﷻ rezeki keluarga yang besar. Anaknya berjumlah seramai 12 orang, manakala cucunya pula seramai 60 orang lebih.

Semasa kami menziarahi Tuan Guru pada tempoh hari pun, ada seorang cucu kecil Tuan Guru yang datang menyambut kehadiran kami dengan penuh ceria.

NASIHAT DARI ORANG TUA

"Jangan buat pandang tak pandang nasihat orang tua. Takdak orang tua, takdak orang muda. Orang tua tak boleh pisah dengan orang muda," demikian antara pesanan daripada Tuan Guru Haji Bakar. Tambah beliau lagi:

1. Orang tua tak boleh tunjuk megah dia kuat
2. Orang muda tak boleh berlagak dia pandai

"Orang muda tak boleh nak berlagak pandai dengan orang tua. Kerana, tak munasabah dia (pada umur mereka yang muda itu) memiliki lebih banyak pengalaman berbanding orang tua."

Memandangkan usia Tuan Guru juga sudah hampir memasuki kepada satu abad, maka beliau telah menyaksikan banyak perkara yang berlaku di Kedah. Ingatan beliau sangat kuat dan dapat ingat satu-persatu.

Kata beliau: "Saya boleh nampak tang tu dulu ada lorong, tang tu lopak, tang tu alur. Tapi kalau cerita ka orang pun, tak ada guna. Suasana 80 tahun dulu, saya boleh cerita semua. Tapi kalau cerita, lapis la tak tau. Pengalaman tu dah tak guna la."

Tuan Guru menyebut; cara orang dulu belajar sangat azab. Beliau sendiri, dulu keluar pagi ke sekolah, petang mengaji Al-Quran. Setiap hari, beliau berjalan kaki sahaja dari Kubang Pisang menuju ke Tobiar (Pendang) untuk belajar. Keluar pagi, balik malam.

Buku-buku dan bekal makanan yang telah disiapkan oleh arwah ibu beliau, akan diletakkan bersama di dalam hamparan kain sebidang (sebagai ganti kepada beg).

Akhirnya, kain itu akan ditanggung pula di atas bahu dengan menggunakan sebatang kayu.

# Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020. Antara guru beliau ialah: Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik raḥimahuLlāh dan Tuan Guru Pak Teh Mad Kuala Nerang ḥāfiẓahuLlāh.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Sebelas,
16 Zulkaedah 1441/
6 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
AKHLAK PEMIMPIN MENURUT SHAYKH SAʼID HAWWA

Shaykh Saʼid Hawwa raḥimahuLlāh (wafat 1989M), telah menggariskan 30 ciri-ciri akhlak seorang pemimpin yang Rabbani. Pertama, diletakkan terlebih dahulu ciri berakal, lebih awal mendahului ciri-ciri yang lain.

Ciri-ciri tersebut telah dinyatakan di dalam kitab "Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amīr". Alhamdulillah, ia telah dijadikan sebagai sebuah silibus bagi Usrah PAS Kawasan Batu Gajah. Kitab yang sangat bermanfaat itu telah dikupas oleh Guru Mulia Ustaz Dr. M Pisol Mat Isa ḥāfiẓahuLlāh.

Akal merupakan kemampuan seseorang untuk mengetahui taklif (tanggungjawab). Dua peranan akal ialah menerima taklif dan melaksanakan taklif. Akal menjadi syarat kepada taklif. Justeru itu, orang gila tidak ada taklif di dalam agama. Shaykh Sa'id Hawwa RH menyebutkan bahawa,

فمَن لم يقم بالتكليف الرباني، فليس عاقلا

Maksudnya: "Sesiapa yang tidak melaksanakan Tanggungjawab Ketuhanan (Taklif Rabbani), maka dia bukanlah orang yang berakal."

Tambah Shaykh Sa'id Hawwa RH lagi, perkara tersebut bertepatan dengan Firman Allah ﷻ berkenaan akal di dalam Surah Al-Mulk ayat 10, Surah Al-Baqarah ayat 171 dan Surah Ar-Raʼdu ayat 19 sehingga 20.

وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِيٓ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ

Maksudnya: Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka." [Surah Al-Mulk, Ayat 10]

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِي يَنۡعِقُ بِمَا لَا يَسۡمَعُ إِلَّا دُعَآءٗ وَنِدَآءٗۚ صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ

Maksudnya: Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya. [Surah Al-Baqarah, Ayat 171]

أَفَمَن يَعۡلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ ٱلۡحَقُّ كَمَنۡ هُوَ أَعۡمَىٰٓۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Maksudnya: Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. [Surah Ar-Ra'du, Ayat 19]

Antara perkara yang disebutkan oleh Shaykh Saʼid Hawwa RH untuk melahirkan pemimpin yang berakal ialah:

1. Tajribah (pengalaman)
2. Malakah dalam berfikir
3. Kemampuan dalam merancang
4. Kebimbangan bacaan hati Ahli Basa'ir
5. Banyak melakukan kajian terhadap sejarah
6. Mengamati perilaku Ahli Akal dan Ahli Siyasah
7. Banyak mengkaji pemikiran orang berpengalaman
8. Banyak bermusyawarah dengan Ahli Raʼyi
9. Mencari mauqif yang terbaik atas semua kemungkinan

Nasihat Guru Mulia Ustaz Dr. Pisol ḥāfiẓahuLlāh, perbanyakkan juga membaca kisah-kisah tokoh pemimpin yang terdahulu, kerana padanya terdapat pengajaran yang besar. Sekalipun kisah tokoh yang telah keluar dari PAS seperti Dato' Asri Muda raḥimahuLlāh (Presiden PAS Keempat). Buku yang ditulis oleh beliau kena baca juga.

Begitulah juga dengan kisah-kisah tentang Dr. Burhanuddin Al-Helmy raḥimahuLlāh (Presiden PAS Ketiga). Beliau dituduh sebagai Komunis dan lama mendekam di dalam penjara—di mana tempat terakhir beliau ditahan adalah di Penjara Batu Gajah (Perak). Akhirnya, beliau meninggal dunia pada tahun 1969, akibat seksaan yang pernah diterima oleh beliau semasa di dalam penjara.

Shaykh Sa'id Hawwa raḥimahuLlāh kemudian menakalkan di dalam kitab beliau, sebuah kalam Ahli Hukama' iaitu:

الأمور تتشابه وهي مقبلة، ولا يعرفها إلا ذوو الرأي، فإذا أدبرت يعرفها الجاهل كما يعرفها العاقل

Maksudnya: "Sesuatu perkara yang saling menyerupai pada masa akan datang, tidak diketahui perkara tersebut melainkan oleh orang yang berakal (Pada awalnya, orang yang jahil akan melihat segala perkara yang berlaku itu sama sahaja semuanya). Maka, apabila perkara tersebut sudah berlalu, barulah akan diketahui o
leh orang yang jahil sepertimana yang telah diketahui oleh orang yang berakal."

Kata-kata tersebut mempunyai makna yang hampir serupa dengan satu kalam yang masyhur daripada al-Imam Hasan Al-Basri raḥimahuLlāh:

إِنَّ هَذِهِ اَلْفِتْنَةُ إِذَا أَقْبَلَتْ عَرَفَهَا كُلُّ عَالِمٍ وَإِذَا أَدْبَرَتْ عَرَفَهَا كُلُّ جَاهِلٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah ini, apabila ia datang maka sudah diketahui oleh setiap yang alim dan jika dia sudah pergi, maka baru diketahui oleh setiap yang jahil.”

Demikianlah besarnya peranan sebuah akal.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tiga Belas,
18 Zulkaedah 1441/
8 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
CEMBURU LAHIR DARIPADA CINTA

Nasihat Tuan Guru Ustaz Haji Zulkifli Ismail ḥāfiẓahuLlāh,

"Ulama' mempunyai perasan "ghīrah" (cemburu) kepada agama. Ghīrah ini lahir daripada cinta. Kita kena ada sifat cemburu terhadap agama. Apabila ada sifat ini, bermakna kita cinta terhadap agama. Bermakna kita cinta kepada Allah ﷻ dan Sayyiduna Rasulullah ﷺ."

Apabila agama Islam tidak diikuti dengan betul, malah dicampur aduk dengan pelbagai fahaman dan aliran, maka terdorong dalam hati Ulamaʼ yang ikhlas untuk mengingatkan umat akan fenomena yang berbahaya dan menunjukkan pegangan agama yang betul.

Macam seorang ayah yang cinta kepada anak perempuan. Si ayah tak benarkan anak perempuannya keluar mendedahkan aurat, sehingga terdedah keselamatannya. Dia boleh dicabul oleh orang yang berniat jahat.

Oleh kerana si ayah tadi mencintai anak perempuannya, maka timbul perasaan cemburu. Kalau terdapat mata-mata yang melihat anak daranya dengan pandangan yang jahat.

Cemburu ini bagi golongan yang beriman kepada Allah ﷻ dan Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Apabila agama Islam digugat, apabila ajarannya ditinggalkan, apabila agama Islam diubah suai dan dilakukan penyelewengan; maka timbul perasaan cemburu dalam hatinya.

Lantas, kata Tuan Guru ia telah mendorong:

1. Ulama' untuk mengarang kitab dan mengajar kepada umat Islam.
2. Orang awam datang menuntut ilmu, untuk memahami ajaran yang betul dan berdakwah kepada masyarakat.

Kiyai Haji Sirajuddin Abbas raḥimahuLlāh (wafat 1980M), telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk, "Iktiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaʼah". Pengarang mengingatkan fenonema yang berbahaya sejak akhir-akhir ini. Terdapat banyak tulisan yang bercanggah dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaʼah yang tersebar di Indonesia.

Pengarang menulis kitab tersebut, sebagai tanda beliau mempunyai sifat "ghīrah". Apabila kita membaca kitabnya, kita juga akan merasai kesungguhan beliau dalam memaparkan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaʼah dengan cara yang sangat terperinci.

Dengan sifat cemburu itu tadi, beliau menempuh segala kesusahan untuk menghasilkan sebuah kitab yang bermanfaat kepada umat. Begitulah hal keadaannya, para Ulama' Islam yang muʼtabar, siddiqīn dan muhsinīn.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tiga Belas,
18 Zulkaedah 1441/
8 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
33 MAKAM AULIYA' PERAK

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah ﷻ atas nikmat menziarahi sekurang-kurangnya 33 Makam para Ulama dan Auliya di seluruh negeri Perak selama tiga hari.

Kemudian, dapat juga bertemu dengan Tok Ayah Haji Isa HZ ( Gerik ), Tuan Guru Haji Sidek Noor HZ ( Beruas ), Guru Mulia Ustaz Din HZ ( Kuala Kangsar ) dan Puan Guru Datin Hajah Khamdah HZ ( Bagan Datok ).

Hari 1: Gerik, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar

1. Tok Ayah Haji Isa Gerik HZ ( Gerik )
2. Syeikh Idris al-Marbawi RH ( Merbau )
3. Tuan Guru Haji Khalid Bin Abdul Rahman RH ( Merbau )
4. Tuan Guru Haji Mohd Salleh Kalipah Juang RH ( Merbau )
5. Syeikh Waliyullah Abdul Kadir RH ( Kuala )
6. Syeikh Waliyullah Abdul Ghani RH (Kuala )
7. Sultan Idris Shah I RH ( Kuala )
8. Sultan Iskandar Shah RH ( Kuala )
9. Raja Ashman RH ( Kuala )

Hari 2: Kuala Kangsar, Manong, Beruas, Parit, Bota

1. Mufti Haji Sya'aya RH ( Kuala )
2. Mufti Haji Ismail Hamzah RH ( Kuala )
3. Prof Dr Zulkfli Ahmad RH ( Kuala )
4. Ustazah Asiah Kamaruddin RH ( Kuala )
5. Tuan Guru Haji Abdul Samad RH ( Kuala )
6. Tok Temong RH ( Kuala )
7. Suami Tok Temong RH ( Kuala )
8. Syeikh Tahir Jalaluddin RH ( Kuala )
9. Tuan Guru Haji Aziz Zakaria RH ( Manong )
10. Tuan Guru Haji Sidek Noor HZ ( Beruas )
11. Ustazah Norizah Hasan RH ( Beruas )
12. Tok Tambak Keramat Pulau Pisang RH ( Bota Kiri )
13. Syeikh Yatim al-Kholidi RH ( Parit )
14. Tuan Guru Haji Yahya Zikri RH ( Parit )
15. Tuan Guru Haji Alang Mat Piah RH ( Parit )
16. Sultan Muzaffar Shah II RH ( Bota )
17. Tuan Guru Haji Yeop Majlis RH ( Bota )

Hari 3: Kuala, Bagan Datok, Teluk Intan

1. Guru Mulia Ustaz Kamaruddin HZ ( Kuala )
2. Puan Guru Datin Hajah Khamudah HZ ( Bagan Datok )
3. Tuan Guru Haji Ghazali RH (Bagan Datok )
4. Tuan Guru Haji Abbas RH ( Bagan Datok )
5. Kiyai Haji Anwar RH ( Bagan Datok )
6. Kiyai Haji Suyuthi RH ( Bagan Datok )
7. Kiyai Haji Mahfuz RH ( Bagan Datok )
8. Tuan Guru Haji Arsyad Muhd Salleh RH ( Bagan Datok )
9. Datuk Haji Hasan Adli RH ( Bagan Datok )
10. Tuan Guru Haji Hamdan RH ( Teluk Intan )
11. Tuan Guru Haji Sufian RH ( Teluk Intan )

Ringkasan perjalanan:

Hari 1: Jalur Hitam
Hari 2: Jalur Biru
Hari 3: Jalur Putih

JazakumuLlahu khairan kathiran Sidna Mubarak Tengku Yusuff hafizhahuLlah dan seluruh Skuad Jaulah Utara atas usaha menjejaki setiap makam di negeri Perak.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Lapan Belas,
23 Zulkaedah 1441/
13 Julai 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/04 04:56:53
Back to Top
HTML Embed Code: