Telegram Web Link
RINGKASAN JILID KEDUA

Alḥamdulillāh, pada pagi Jumaat yang penuh dengan keberkatan ini Tuan Guru Ayah Chik ḥāfiẓahuLlāh telah mengkhatamkan syarahan bagi kitab "Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid Kedua)".

Kitab tersebut membicarakan Sirah Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ; bermula dari peristiwa Hijrah ke Madinah sehinggalah kepada kisah Sayyiduna Rasulullah ﷺ diracun selepas Perang Khaibar.

Sekurang-kurangnya terdapat beberapa peristiwa yang besar di dalam buku Jilid Kedua ini, antaranya ialah:

1. Perang Badar (tahun 2 Hijrah)
2. Perang Uhud (tahun 3 Hijrah)
3. Peristiwa Birru Ma'unah (tahun 4 Hijrah)
4. Perang Ahzab (tahun 5 Hijrah)
5. Perjanjian Hudaibiyah (tahun 6 Hijrah)
6. Perang Khaibar (tahun 7 Hijrah)

Minggu hadapan bermulalah pengajian kitab yang baharu, Fiqh Al-Harakah bagi jilid yang ke-3. Sekaligus merupakan siri buku yang terakhir pada karangan Ayah Chik terhadap Sirah Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan rahmat ke atas Ayah Chik dan memanjangkan umur beliau buat manfaat seluruh umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ♥️.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Tujuh,
20 Syawal 1441/
12 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
NASIHAT PENTING BAGI PENUNTUT ILMU (2)

Alhamdulillah, pada hari ini direzekikan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk menziarahi Tuan Guru Shaykh Abdullah Ridwan al-Lubis ḥafiẓahuLlāh di Masjid Sungai Rokam bersama dengan Sidna Zaiyad Zakaria al-Kampari ḥafiẓahuLlāh.

Setelah itu, berpeluang juga untuk menziarahi Guru Mulia Ustaz Musytaq Al-Ash'ari ḥafiẓahuLlāh di Manjoi, Ipoh. Antara dua nasihat yang sangat penting telah disebutkan oleh beliau pada petang tadi ialah:

[ Pertama: Ziarah Ulama' Selagi Mereka Hidup ]

Usahakan untuk menziarahi seramai mungkin para Ulama' selagi mereka masih lagi hidup. Masa yang ada bagi para sesepuh untuk hidup bersama dengan umat, sudah tidak lama yang masih berbaki.

Ramai dari kalangan mereka sudah meninggal dunia. Hari-hari, kita akan mendapat khabar dan makluman mengenai orang alim yang pergi meninggalkan kita. Sangat rugi, jika tidak pernah mengambil manfaat ilmu daripada mereka ketika masih bernyawa.

Antaranya ialah Tuan Guru Ayah Isa Gerik حفظه الله تعالى. Beliau merupakan antara murid kanan kepada Al-Marhum Pak Da 'Eil رحمه الله تعالى yang masih lagi hidup. Beliau sekarang menetap di Gerik, Perak.

Selanjutnya, yang juga menetap di Perak ialah Maulana Haji Isa Mad Pie حفظه الله تعالى. Beliau merupakan sahabat sepengajian dengan Maulana Lambak حفظه الله تعالى di Darul Ulum Deoband. Sekarang tinggal di Parit.

Itu belum lagi termasuk dengan para Ulama' yang Mastur. Ramai daripada kalangan mereka tidak dikenali oleh orang awam.

[ Kedua: Menyibukkan Diri Dengan Ilmu ]

Penuntut ilmu tidak boleh menyibukkan diri mereka dengan urusan-urusan selain daripada perkara yang berkaitan ilmu. Orang yang menuntut ilmu, telah dijanjikan rezeki oleh Allah kepada mereka. Maka, mereka tidak perlu menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain yang tidak berkaitan.

Penuntut ilmu yang berada pada makam tajrid, tidak serupa dengan masyarakat awam yang berada pada makam asbab. Sangat rugi, apabila mereka mensia-siakan peluang menuntut ilmu dengan sibuk berkerja ataupun berkahwin bukan pada waktunya.

Menjadi masalah yang besar setelah berkahwin, mereka meninggalkan terus daripada mulazamah pengajian ilmu. (Jika sebaliknya, maka tiada masalah. Ini seperti yang telah dilakukan oleh Fadhilatus Shaykh Professor Dr. Ali Jumuah حفظه الله تعالى dan isterinya).

Sebahagian nasihat penting yang disebutkan daripada kitab Syarah bagi Hikam Shaykh Ibnu 'Athoillah As-Sakandari رحمه الله تعالى adalah,

Antara tanda seseorang itu dicabut kemuliaan daripada Allah سبحانه وتعالى adalah, apabila mereka sudah berada pada makam tajrid, lalu mereka menyibukkan diri untuk duduk pada makam asbab.
.
.
.
Alhamdulillah, pada malam Jumaat baru-baru ini, Guru yang mulia telah mengkhatamkan syarahan ke atas kitab "Ta'lim Muta'allim" karangan al-Imam Az-Zarnuji رحمه الله تعالى kepada kami. JazakumuLlāhu khairan atas semuanya.

Terima kasih juga atas hadiah sebuah kitab yang dikarang oleh al-Fadhil Ustaz Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar حفظه الله تعالى. Buku tersebut bertajuk, "Zikir Allah, Allah, Allah: Jalan Menuju Hakikat Dan Ma'rifatuLlah".

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan rahmat kepada Guru Mulia Ustaz Musytaq Al-Ash'ari حفظه الله تعالى atas segala ilmu yang disampaikan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lapan Lapan,
22 Syawal 1441/
13 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
PUISI ALAM MELAYU & ISLAM

Pada permulaan majlis semalam, al-Fadhil Ustaz Dr. Mohd Hilmi Ramli ḥāfiẓahuLlāh ada menyebut berkenaan puisi Melayu telah bermula dengan kedatangan Islam. Maka, tidak syak lagi terdapat hubungan yang sangat rapat di antara puisi Alam Melayu dan Islam.

Perkaitan antara kedua-duanya itu, telah dinyatakan oleh al-Allamah Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ḥāfiẓahuLlāh di dalam karya yang berjudul, "The Origin of The Malay Sha'ir". Beliau telah menobatkan al-Marhum Shaykh Hamzah Fansuri rh sebagai bapa ulung dalam kesusasteraan Alam Melayu.

Menurut al-Fadhil Ustaz Dr. Hilmi Ramli ḥāfiẓahuLlāh, terdapat dua jenis penulisan dalam tradisi ilmiah dan kesarjanaan iaitu: (1.) prosa yang ditulis dalam bentuk yang jelas dan (2.) puisi yang ditulis dalam bentuk metafora.

Karya-karya tasawuf perlu diungkapkan dengan bahasa yang halus. Ia memerlukan sebuah wahana yang sesuai seperti puisi untuk menyampaikan bahasa. Oleh itu, puisi tidak terasing daripada aspek keilmuan.

JALAN PULANG

Buku ketiga yang menghimpunkan puisi ini, telah dinamakan oleh al-Fadhil Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud ḥāfiẓahuLlāh sebagai "Jalan Pulang". Ia merupakan karya yang ketiga selepas daripada "Mutiara Taman Adabi" (2003) dan "Dalam Terang" (2004).

Nasihat beliau, sekiranya menangis apabila membaca bab-bab yang memilukan, maka teruskan membaca sampai ke akhir. Jangan berhenti di pertengahan jalan, kerana di hujung nanti akan diselangi dengan pengharapan.

Metod penulisan dinyatakan sendiri oleh al-Fadhil Prof. Wan bahawa, syair-syair itu dimulakan dengan penyataan masalah ("problem") terlebih dahulu. Kemudian, diakhiri dengan kenyataan optimis. Ini kerana, guru yang mulia ingin mengingatkan kepada kita bahawa jangan sesekali berputus asa—yang termasuk dalam sifat syaitan.

"Pulang" yang dimaksudkan oleh al-Fadhil Prof Wan di dalam tajuk utama karangan puisi ini ialah: (1.) "Pulang" kepada Allāh Ta'āla, yakni kematian dan (2.) "Pulang" kepada kebenaran, seperti yang terakam di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-18,

صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَرۡجِعُونَ

Maksudnya: "Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)."

Manakala, bagi kaedah yang digunakan beliau untuk mempersembahkan puisi ialah kaedah "Double Movement". Perkara yang sama juga pernah digunakan oleh gurunya, iaitu al-Marhum Prof. Fazlur Rahman rh (wafat 1988).

Kaedah tersebut ialah: (1.) gagasan di dalam aqal disampaikan melalui cerita dan keadaan semasa yang spesifik, serta (2.) keadaan semasa yang spesifik dikaitkan kepada konsep atau gagasan di dalam aqal.

Seronok dapat mendengar setiap bacaan puisi dan syarahannya daripada tokoh-tokoh sarjana yang agung. Hadirin pula terdiri dari pelbagai negara seperti Indonesia, Singapura dan banyak lagi.

Semoga dapat diadakan lagi majis seumpama malam tadi dan syarahan lanjutan daripada para guru yang mulia pada masa akan datang insya-Allāh.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Sembilan Puluh,
24 Syawal 1441/
15 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
PESAN ULAMA' DI AKHIR ZAMAN

Nasihat Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh,

"Kalau nak keluar musafir, jangan lebih daripada 3 hari. Duduk rumah selamat atau duduk di pondok. Rumah yang ada suasana masjid sahaja boleh duduk. Kalau tidak ada, maka rumah itu akan terasa panas."

Apa yang kita hadapi sekarang, seolah-olah merupakan persediaan kepada suasana Dajjal akan datang. Ada sebab mengapa Allah takdirkan dalam tempoh PKP sekarang, terdapat ramai anak perantauan yang pulang ke Malaysia.

Tuan Guru berpesan kepada kami agar mengusahakan sebaik mungkin empat (4) perkara berikut untuk diamalkan:

1. Jaga Solat Sunat Qabliyah dan Baʼdiyah, kerana amalan ini akan memudahkan kita untuk bangkit tahajjud.

2. Gabungkan niat Solat Sunat Qabliyah dan Baʼdiyah tadi dengan niat Solat Sunat Hajat.

3. Amal Solat Sunat Dhuha dan gabungkan dengan niat Solat Sunat Hajat.

4. Usahakan supaya istiqamah dengan membaca doa ini,

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا الإِسْتِقَامَة وَحَبِّبْ إِلَيْنَا فِي صَلَاةِ الْجَمَاعَة

SUASANA PKP DAN AKHIR ZAMAN

Antara tanda kiamat hampir tiba, seperti yang telah disebutkan oleh Junjungan Mulia Rasulullah صلى الله عليه وسلم ialah ilmu (agama) akan beransur-ansur hilang. Baginda bersabda yang bermaksud,

"Bahawasanya Allah ta'ala tidak mencabut akan ilmu itu sekaligus dari (dada) umat Islam. Tetapi Allah ta'ala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para Ulama'. Apabila sudah tiada alim Ulama', maka orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka, apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

Sepanjang tempoh PKP juga, kita telah menyaksikan ramai daripada kalangan Ulama' besar yang telah meninggal dunia. Tidak kurang daripada 50 orang Ulama' besar yang telah wafat sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Menggambarkan hal keadaan ini, berkata oleh Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh bahawa,

"Malam-malam sudah semakin gelap daripada cahaya..."

MALAYSIA TEMPAT YANG AMAN

Suatu ketika dahulu, Tuan Guru Shaykh Muhammad Zainul Asri ḥāfiẓahuLlāh pernah menyebut bahawa setiap penjuru Ka'abah menghala ke negara-negara tertentu.

Contohnya, Rukun Yamani menghala ke negara Yaman dan Rukun Iraqi menghala ke negara Iraq. Manakala, bagi penjuru yang terletaknya Hajarul Aswad tidak mempunyai nama yang khusus. Kata Tuan Guru, ia menghala ke Malaysia.

Lalu, beliau telah mengkhabarkan perkara ini kepada Fadhilatus Shaykh Dr. Khalil Ilyas ḥāfiẓahuLlāh. Kemudian, Shaykh Khalil ḥāfiẓahuLlāh membuat kira-kira tentang perkara tersebut. Hasilnya, penjuru Hajarul Aswad memang menghala ke Malaysia, Singapura dan Sri Lanka.

Perkara tersebut seolah-olah memberi suatu isyarat bahawa Malaysia merupakan sebuah tempat yang istimewa. Tuan Guru melanjutkan tausiyah beliau dengan menyebut tentang keunikan di Malaysia.

Islam mudah untuk berkembang dekat kawasan yang tiada konflik. Zaman dahulu, Kerajaan Rom hanya mampu menguasai sehingga ke Syam sahaja. Namun, mereka tidak berjaya sampai ke Makkah dan Madinah.

Kemudian Tuan Guru berkata,

"Allah ta'ala telah sediakan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Pasaipa Dr. Zakir Naik duduk di Malaysia? Sebab di sini aman. Tiada konflik (seperti yang berlaku di negara-negara yang lain)."

Penjajah datang ke tempat kita sehingga bertukarnya nama "Tanah Melayu" kepada "Malaysia". Berkata Tuan Guru, ini merupakan suatu 'penjenamaan semula' agar kita semua tidak mengetahui bagaimana generasi kita yang terdahulu.

Supaya kita semua tidak mengenali jati diri kita sendiri.

RAHSIA TANAH MELAYU

Antara yang disebutkan oleh Tuan Guru juga ialah Tanah Melayu sebenarnya menyimpan rahsia yang cukup banyak. Bangsa Melayu, telah dimasuki oleh Islam melalui jalan yang damai. Bukannya dengan jalan perang.

Islam memasuki ke Tanah Melayu dengan jalan pendakwah. Kedatangan Islam ke tempat kita seumpama air yang mengalir baik arusnya. Apabila seorang Raja itu memeluk Islam, maka seluruh rakyatnya juga memeluk Islam secara beramai-ramai.

Pendakwah datang ke si
ni sebagai pedagang. Namun, mereka bukan berniaga semata-mata. Mereka telah mencontohi Sunnah Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang telah memasuki ke dalam bidang perniagaan.

Bangsa yang berdagang merupakan bangsa yang hebat. Antaranya ialah bangsa Quraisyh sendiri. Mereka tidak akan diganggu oleh perompak kalau keluar berdagang. Kisah mereka ada disebutkan di dalam Al-Quran pada Surah Quraisyh ayat 1 sehingga 4.

لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ (1) إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (2) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (3) ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (4)

Maksudnya: "Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) [1]. (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam) [2]. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini [3]. Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan [4]."

Kemudian, Tuan Guru juga telah menanyakan nama setiap seorang daripada kami yang hadir. Menariknya, sebahagian besar nama kami bermula dengan "Muhammad". Cuma seorang dua sahaja yang bermula dengan yang lain.

Tuan Guru memberitahu bahawa, Malaysia juga terdapat jumlah yang paling ramai yang bernama "Muhammad" di dunia pada hari ini. Ia merupakan suatu kebanggaan yang cukup besar buat kita semua.

Selain daripada Indonesia yang memiliki Wali Songo, di Tanah Melayu juga terdapat "Wali 7". Bahkan, dikatakan juga bahawa Bukit Panau di Kelantan telah menjadi tempat yang pertama buat Wali Songo bersuluk.

Oleh sebab itu, jangan kita buat lebih kurang.

Nota Hujung: Ini merupakan sebahagian daripada catatan nota semasa ziarah ke negeri Kedah pada 18 Jun sehingga 20 Jun 2020. Berikut merupakan senarai Wali 7 dan negeri yang menempatkan makam mereka.

1. Tok Ku Paloh (Terengganu)
2. Tok Kenali (Kelantan)
3. Habib Nuh al-Habshi (Singapura)
4. Tuan Tulis (Negeri Sembilan)
5. Tuan Hussien al-Banjari (Kedah)
6. Shaykh Muhamad Nor al-Kholidi (Selangor)
7. Shaykh Muhammad Said al-Linggi (Negeri Sembilan)

Ke atas mereka semua dicurahkan rahmat Allah ta'ala.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Sembilan Sembilan,
4 Zulkaedah 1441/
24 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
Alhamdulillah khatam bab korban, sembelihan dan aqiqah bersama Guru Mulia Ustaz Muhammad Adlin Nasri al-Azhari ḥāfiẓahuLlāh daripada kitab "Muqaddimah al-Hadramiah" karangan al-Allamah Shaykh Abdullah bin Abdurrahman Bafadhal raḥimahuLlah.

Guru yang mulia juga telah membaca sebahagian daripada kitab "Matlaʼ al-Badrain" karangan al-Allamah Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni raḥimahuLlah sebagai mengambil keberkatan melalui kitab turath Alam Melayu yang sangat besar manfaatnya.

Rancangan asal, kami hendak datang menziarahi rumahnya di Changkat Jering, Perak. Namun, perancangan Allah سبحانه وتعالى ternyata lebih indah dan sempurna. Berbetulan pula jadual Ustaz sangat padat pada minggu ini dan beliau pula dijemput untuk mengisi daurah kitab yang dianjurkan oleh Perkemat Darul Quran (DQ).

Kemudian, Guru yang mulia telah mempelawa kami untuk hadir bertalaqqi di rumahnya. Terima kasih atas penginapan dan segala makanan, tidak kiralah sama ada juadah yang zahir mahupun batin yang telah diberikan kepada kami selama dua hari satu malam.

Sesungguhnya, kami berasa sangat bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالى kerana sudah terlalu lama tidak dapat merasai suasana seperti ini semenjak PKP 100 hari yang lalu. Melainkan segala pengajian dan daurah yang berlangsung secara atas talian sahaja.

Memandang wajah Guru yang mulia secara berhadapan, merupakan salah satu nikmat yang cukup besar bagi seorang murid. Mendengar setiap daripada syarahannya, menjadi manisan bagi aqal yang sedang kehausan.

Semoga Allah سبحانه وتعالى melimpahkan seluas-luasnya rahmat buat Ustaz sekeluarga atas segala layanan yang sangat mesra.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Dua,
7 Zulkaedah 1441/
27 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
RAKAMAN FIQH KORBAN

Perbahasan mengenai korban, aqiqah dan sembelihan daripada Kitab Muqaddimah al-Hadramiah dan Matlaʼ al-Badrain telah dibacakan oleh Guru Mulia Ustaz Muhammad Adlin Nasri al-Azhari حفظه الله تعالى.

Rakaman berjumlah sebanyak lima siri. Ia telah bermula daripada hari Jumaat, 26 Jun 2020 sehinggalah berakhir pada 6 Zulkaedah 1441 bersamaan dengan 27 Jun 2020.

(SIRI 1)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=922592361542697&id=380508015376954

1. Pengenalan kitab dan pengarang
2. Amalan tanpa ilmu akan ditolak dan tidak diterima
3. Unsur yang terdapat dalam taqwa
4. Asal perkataan "Udhiyah" yang berkait dengan waktu
5. Definisi bagi korban (Udhiyah)
6. Lima jenis binatang ternak (al-An'am)
7. Pendapat yang membolehkan ayam sebagai korban
8. Asal perkataan "korban"
9. Asal perkataan "Nahri" dan pensyariatannya
10. Tiga sebab terjadi Sunat Muakkad
11. Hukum wajib bagi korban di sisi Mazhab Hanafi
12. Faedah: Tiga amalan yang wajib di sisi Rasulullah ﷺ, tetapi ia menjadi sunat di sisi kita
13. Faedah: Tujuh perkara yang menjadi Sunat Kifayah

(SIRI 2)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3176962015676605&id=380508015376954

1. Hukum ibadah korban
2. Empat cara terjadinya nazar (korban wajib)
3. Lima perbezaan korban sunat dan wajib
4. Tempoh waktu ibadah korban
5. Cara mengira waktu matahari naik segalah
6. Masalah: Adakah waktu malam boleh dibuat korban?
7. Kesilapan yang biasa orang awam selalu cakap
8. Helah mengelak daripada tersilap menjadi korban wajib
9. Masalah: Mengapa ahli waris tak boleh makan daging korban yang diwasiatkan?
10. Masalah: Adakah boleh dibuat korban binatang kacukan seperti Selembu?
11. Masalah: Bagaimana mahu menentukan umur dan bahagian korban kacukan dua haiwan berbeza (yang dibolehkan untuk korban) seperti kambing dan lembu?

(SIRI 3)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=282616009745126&id=380508015376954

1. Tujuan ibadah korban
2. Binatang yang paling afdhal
3. Warna yang paling afdhal
4. Cara bacaan ketika menyembelih
5. Faedah: Binatang juga tunduk kepada Rasulullah ﷺ
6. Faedah: Sebab turutan warna yang paling afdhal
7. Jantina yang paling afdhal
8. Beza antara kaedah "Zabhu" dan "Nahar"
9. Dhobit bagi binatang yang tak boleh korban
10. Masalah: Adakah sah korban bagi binatang yang mempunyai telinga yang terputus setengah?

(SIRI 4)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=615122222543286&id=380508015376954

1. Niat ibadah korban
2. Orang yang paling utama melakukan korban
3. Faedah: Orang yang pandai menyembelih dan orang yang boleh mengurus jenazah
4. Hukum bagi orang perempuan menyembelih
5. Tiga golongan yang disunatkan untuk mewakil orang lain
6. Perbuatan sunat bagi orang yang mewakilkan
7. Masalah: Adakah wanita haid boleh menyembelih?
8. Tiga perkara yang perlu diingati ketika mewakilkan:
a) Wakil untuk menyembelih
b) Wakil untuk membeli binatang
c) Wakil untuk tukang agih daging
9. Kaedah bagi mewakili orang yang hidup dan mati
10. Beza antara niat sedekah pahala dan niat korban
11. Persamaan antara bernazar dan talak
12. Hukum bermain-main dalam ibadah
13. Hukum memakan semua daging korban sunat
14. Sekurang-kurang bilangan sedikit bagi daging korban sunat yang perlu disedekahkan
15. Masalah: Apakah yang perlu dilakukan sekiranya termakan semua daging korban sunat?
16. Beza antara aqiqah dan korban
17. Hukum korban haiwan yang bunting
18. Hukum orang yang menjual daging korban
19. Hukum memberi upah kepada tukang sembelih
20. Persamaan antara sembelih nazar dan sembelih dam
21. Hikmah tidak mencabut bulu dan memotong kuku
22. Masalah: Orang yang buat korban lebih daripada sehari
23. Perbahasan mengenai bab aqiqah

(SIRI AKHIR)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1785607541586837&id=380508015376954

1. Masalah: Berkongsi niat yang berbeza bagi seekor haiwan korban
2. Masalah: Apakah dibolehkan memberi daging korban kepada orang kafir?
3. Fatwa yang mengharuskan memberi daging kepada orang kafir
4. Syarat bagi seorang penyembelih
5. Masalah: Ahli kitab yang boleh dikahwini
6. Binatang yang jinak untuk disembelih
7. Masalah: Kanak-kanak yang menunaikan umrah
8. Urat binatang yang wajib dan sunat untuk dipotong
9. Masalah: Apakah perkara yang haram untuk dilakukan ke atas haiwan sembelihan?
10. Masalah: Apakah tanda-tanda bagi "Hayatu al-Mustaqirah" seekor binatang?
11. Hukum melakukan "stunning" ke atas haiwan
12. Masalah: Apakah hukum menyembelih dua kali?
13. Hukum bangkai bagi kematian haiwan yang bukan disebabkan oleh sembelihan

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم
ZIARAH MAKAM SULTAN, ULAMAʼ & AULIYAʼ

Kesultanan Negeri Perak, para Ulamaʼ dan Auliyaʼ di sana juga kaya dengan khanazah sejarah. Alhamdulillah kami berpeluang menziarahi beberapa makam di sekitar Taiping dan Kuala Kangsar.

Lokasi secara khususnya terdapat tiga, iaitu: Masjid Lama Taiping (ataupun dikenali sebagai Masjid Melayu), Kampung Lubok Merbau (Kuala Kangsar) dan Makam Diraja Al-Ghufran Bukit Chandan (bersebelahan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar).

Ziarah Makam 1️⃣: Al Marhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PAS yang ketiga (Masjid Lama Taiping)
Ziarah Makam 2️⃣: Al Marhum Dato Meor, Mahaguru Silat Gayung Malaysia (Masjid Lama Taiping)
Ziarah Makam 3️⃣: Al Marhum Tuan Guru Haji Mat Saman Kati (Masjid Lama Taiping)
Ziarah Makam 4️⃣: Al Marhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Sultan Perak yang ke-34 (Makam Diraja Kuala Kangsar)
Ziarah Makam 5️⃣: Al Marhum Raja Ashman Shah, Raja Kecil Sulong Perak (Makam Diraja Kuala Kangsar)
Ziarah Makam 6️⃣: Al Marhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang mengarang kitab Tauhid, Sultan Perak yang ke-30 (Makam Diraja Kuala Kangsar)
Ziarah Makam 7️⃣: Al Marhum Tuan Guru Shaykh Idris Al-Marbawi yang bersangatan alim (Lubok Merbau)
Ziarah Makam 8️⃣: Al Marhumah Ustazah Khadijah, isteri kepada Tuan Guru Shaykh Idris Al-Marbawi (Lubok Merbau)

Sebenarnya terdapat banyak lagi kerabat yang berada di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Antara makam Sultan Negeri Perak di sana ialah:

1. Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I, Sultan Perak Ke-28 (mangkat 1916)
2. Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah, Sultan Perak Ke-29 (mangkat 1918)
3. Sultan Abdullah Muhammad Shah II Waliullah, Sultan Perak Ke-26 (mangkat 1922)
4. Sultan Iskandar Shah Rahmatullah, Sultan Perak Ke-30 (mangkat 1938)
5. Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah, Sultan Perak Ke-31 (mangkat 1948)
6. Sultan Yussuf Izzuddin Shah Radziallah, Sultan Perak Ke-32 (mangkat 1963)
7. Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II, Sultan Perak Ke-33 (mangkat 1984)
8. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Ke-34 (mangkat 2014)

Ke atas mereka semua dicurahkan rahmat Allah ta'ala.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tiga,
7 Zulkaedah 1441/
28 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
AMALAN SOLAT HAJAT MAULANA ISA

Tuan Guru Maulana Haji Isa Mad Pie ḥāfiẓahuLlāh (berusia 83 tahun) telah mengijazahkan amalan Solat Sunat Hajat seperti mana yang beliau telah dapatkan daripada gurunya di India.

Waktu yang terbaik untuk mendirikannya adalah pada waktu tengah malam. Terutamanya, pada bulan Ramadhan. Kaifiyat untuk melaksanakannya adalah seperti berikut:

Pada rakaat pertama, setelah membaca Surah Al-Fatihah diituruti dengan Surah Al-Kafirun sebanyak tujuh (7) kali. Kemudian pada rakaat kedua pula, dituruti dengan Surah Al-Ikhlas sebanyak tujuh (7) kali.

Setelah selesai membaca tahiyat akhir dan memberi salam, maka pesan Maulana Isa agar kita kembali sujud. Di dalam sujud tersebut bacalah:

1. Selawat kepada Junjungan Mulia Rasulullah ﷺ sebanyak 10 kali dengan bacaan,

اللهم صل على سيدنا محمد

2. Membaca tasbih, tahmid, tahlil dan takbir sebanyak 10 kali dengan bacaan,

سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر

3. Membaca doa ini sebanyak 10 kali,

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار

4. Kemudian, niatlah segala hajat apa yang diinginkan sehingga selesai, barulah bangkit daripada sujud dan memberi salam.

(FAEDAH): Kami juga telah menerima ijazah daripada Guru Mulia Ustaz Haji Yussaine Yahya ḥāfiẓahuLlāh, seperti mana yang beliau telah terima daripada Tok Ayah Isa Gerik ḥāfiẓahuLlāh, khadim kepada Pak Da Eil raḥimahuLlāh.

Iaitu doa yang paling mustajab ialah (( ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار )). Cara bacaannya adalah seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 201, yakni secara wasal dan tanpa wakaf.

MAULANA ISA PERGI KE INDIA

Maulana Isa ḥāfiẓahuLlāh menyambung pelajaran ke Darul Ulum, India pada tahun 1961. Antara sahabat sepengajian beliau ialah Maulana Lambak ḥāfiẓahuLlāh (Terengganu).

Ketika beliau sampai di India, Tok Guru Nik Abdul Aziz raḥimahuLlāh baru sahaja menyelesaikan pengajian di Darul Ulum dan meneruskan permusafiran ilmu ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Antara kegemaran Maulana Isa adalah mempelajari sastera bahasa Arab Jahiliyah. Susunan syair mereka indah, tetapi sayangnya mereka bukan memuji Allah ﷻ. Sebaliknya, mereka telah memuja kekasih.

Beliau pulang ke Malaysia setelah lapan tahun menuntut ilmu di India. Kemudian pada tahun 1979, beliau telah diberi lantikan khas daripada Jabatan Agama Negeri Perak untuk mengajar.

Walaupun Maulana Isa sudah berusia 83 tahun, namun beliau masih bertenaga. Jika Tok Guru Nik Abdul Aziz raḥimahuLlāh masih lagi hidup sehingga ke hari ini, maka umur Tok Guru pula sudah mencecah 89 tahun.

NASIHAT MAULANA ISA

Himmah Maulana Isa dalam menuntut ilmu sangat tinggi. Antara perkara yang menguatkan azam dalam belajar seperti yang telah disebutkan oleh beliau ialah: Selagi beliau tidak alim, selagi itu beliau tidak akan berkahwin.

Selain itu, antara nasihat yang sangat muhim daripada Maulana Isa ialah: Jangan sesekali kita melupakan BAIAH KITA DENGAN ALLAH ﷻ (Surah Al-A'raf ayat 172). Oleh sebab itu, buat apa yang diperintahkan oleh Allah ﷻ sahaja. Jangan sesekali kita bercakap dusta.

Alhamdulillah kami juga telah khatam Hadis Arbain al-Imam an-Nawawi raḥimahuLlāh bersama Maulana Haji Isa Mad Pie ḥāfiẓahuLlāh di rumah beliau pada hari Isnin 22 Jun 2020 bersamaan dengan 30 Syawal 1441.

Antara guru beliau ialah al-Allamah Maulana Shaykh Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi raḥimahuLlāh (wafat 1982). Gambar kenangan adik bersama dengan cucu-cucu kesayangan Maulana di rumah beliau yang terletak di Parit, Perak.

Semoga Allah ﷻ memanjangkan usia Maulana buat umat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Lima,
9 Zulkaedah 1441/
30 Jun 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/05 08:44:06
Back to Top
HTML Embed Code: