Telegram Web Link
SYARAH KHULASAH FAHAM ILMU
(SIRI AKHIR)

Sebagai adab dalam memuliakan penulis buku, pada siri yang terakhir sekaligus sebagai penutup ini, Guru Mulia Ustaz Khalid Ismail hz telah mempersilakan Guru Mulia Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah hz untuk mengupas buku "Khulasah Faham Ilmu" kepada para penuntut ilmu.

1. Guru Mulia Prof. Madya Dr Wan Suhaimi hz memulakan perbicaraannya, dengan menerang secara sepintas lalu berkenaan ringkasan keseluruhan daripada buku. Buku tersebut adalah ringkasan kepada kitab pertama Ihya' Ulumuddin mengenani ilmu. Seolah-olah al-Imam Al-Ghazali rh ingin menyatakan bahawa, asas kepada setiap sesuatu mestilah bermula dengan ilmu. Kitab Al-Ilm agak tebal. Konteksnya relevan sehingga ke hari ini. Kemudian, kupasan buku "Khulasah Faham Ilmu" telah diringkaskan oleh Guru yang mulia, melalui bab kepada bab seperti berikut:

a) Bab pertama: Disebutkan kelebihan ilmu—di mana, ilmu tidak akan wujud tanpa mengajar, dan orang yang mengajar tidak akan berhasil tanpa ada pelajar. Namun, persoalan mengapa perlu ilmu, mengapa perlu belajar, mengapa perlu mengajar belum dijelaskan lagi di dalam bab ini. Kata Guru yang mulia bahawa, orang hanya nampak dalam sistem pengajian sekarang bahawa, karier sebagai pencapaian ilmu yang diperolehi melalui sijil dan kelulusan. Ringkasnya, orang belajar sebab hendak dapatkan kelulusan. Untuk dapatkan kelulusan, mesti kena belajar. Maka, hilanglah tujuan asal menuntut ilmu.

b) Bab Kedua: Setelah mengetahui berkenaaan kelebihan ilmu, maka akan timbul perasaan bagi guru hendak mula mengajar dan murid pula timbul perasaan hendak belajar. Maka, al-Imam Al-Ghazali rh mula menyusun Bab Kedua. Murid dan guru kena mengetahui, apakah ilmu yang sepatutnya dituntut dan diajar. Pada bab ini, diterangkan pula mengenai pembahagian ilmu.

c) Bab Ketiga: Setelah diketahui tentang klasifikasi ilmu, maka perlu pula untuk mengetahui mana satu ilmu yang terpuji dan terkeji supaya dapat dipilih dengan betul. Diterangkan juga bahawa, perkara yang tercela itu sebenarnya bukanlah ilmu, namun orang yang belajar. Oleh sebab itu, seorang murid kena sentiasa meminta nasihat daripada guru.

d) Bab Keempat: Apabila orang sudah mula belajar, maka akan wujud perdebatan dan kritkan di pertengahan jalan. Jika kita tidak mengetahui rujukan yang betul, maka kita tidak akan sampai kepada tujuan belajar. Dia akan berhenti separuh jalan apabila ada orang yang menegurnya.

e) Bab Kelima: Dinyatakan adab bagi orang yang sudah terlepas dengan ujian khilaf, supaya mereka dapat mencapai tujuan belajar. Ramai yang menekan tentang adab murid, namun, guru sendiri tidak menjaga. Sedangkan, seorang guru itu membentuk adab murid. Hakikatnya, guru sendiri tidak mengetahui adab guru. Walaupun disebutkan oleh al-Imam Al-Ghazali rh bahawa, adab murid itu terdapat sepeluh (10) dan adab guru pula terdapat lapan (8), namun kata Guru yang mulia, kesemua lapan belas (18) adab tersebut saling berkait rapat antara satu sama yang lain.

f) Bab Keenam: Diterangkan risiko ilmu—semakin dipelajari, semakin besarlah cabarannya. Jika tidak sedar, maka perjalanannya akan terbantut lagi di situ. Kalau terlepas, maka dia akan mendapat manfaat yang sangat besar. Ulama' Akhirat dan Ulama' Su` merupakan cabaran yang lebih halus. Setelah seseorang itu alim dan mencapai tahap ilmu yang tertentu, apakah dia akan termasuk dalam kalangan Ulama' Akhirat atau sebaliknya.

g) Bab Ketujuh [Perihal Kemuliaan, Hakikat dan Pembahagian Aqal]: Dalam masa yang sama, pada bab yang terakhir diceritakan kemuliaan aqal. Guru dan murid perlu menyedari bahawa, di dalam diri mereka terdapat nilai yang sangat besar—yakni, perkara tersebutlah yang menjadikan dirinya mulia. Pada Bab Pertama sehingga Bab Keenam, hanya diterangkan perihal luaran, manakala pada Bab Ketujuh ini pula diterangkan perihal dalaman. Dijelaskan apakah kelebihan aqal yang kita semua miliki.

2. [Pada Menjelaskan Kemuliaan Aqal]. Sebagai mukaddimah bagi Bab Ketujuh, Guru yang mulia telah melontarkan beberapa buah persoalan. Adakah beraqal itu diukur melalui umur dewasa atau pencapaian sijil s
emata-mata? Adakah belajar, guru dan pelajar itu dapat menjadi mulia, kalau tidak ada aqal? Semua kemuliaan itu berasas kepada aqal. Kalau kita boleh terima bahawa ilmu, belajar, guru dan pelajar itu mulia, maka, kita juga sepatutnya boleh menerima bahawa aqal itu mulia.

3. Al-Imam Al-Ghazali rh telah menyebutkan perkaitan antara ilmu dan aqal. Ringkasnya, kedua-duanya saling berkait seperti buah dan pohon. Di akhirat, nilai kebahagiaan akan bergantung kepada aqal. Orang Alim dihormati kerana aqal. Namun, kita dirosakkan dengan khayalan palsu; orang mengangkat manusia berdasarkan harta, kedudukan dam rupa paras. Sedangkan, penilaian yang sebenar di sisi Allah ﷻ ialah aqal. Ahli debat boleh berlatih untuk bercakap dengan fasih, walaupun kedudukan aqalnya masih rendah. Kedudukan jawatan boleh dikejar. Cantik itu subjektif, ada orang menjadi cantik apabila orang mengangkat dia naik ke atas. Sedangkan, kedudukan aqal tidak boleh dibuat-buat.

4. Oleh sebab itu, jangan mengambil mudah dengan aqal. Tradisi pengajian dalam kalangan umat Islam, mereka telah meneroka ("explore") pelbagai ilmu, termasuklah ilmu daripada orang bukan Islam. Pembangunan ilmu itu sangat tinggi dalam tamadun Islam, sebab mereka mengetahui untuk meletakkan aqal pada tempat yang sepatutnya. Kalau buat sesuatu dengan sebab ikut-ikutan—bukan dengan sebab ilmu, maka ia tidak boleh dinilai sebagai baik. Sesuatu amalan dinilai berdasarkan aqal juga. Nilai-nilai kerohanian dalam ibadat itu bukan terletak pada jasad, tetapi pada dirinya sendiri, iaitu aqal. Berkata Guru yang mulia, ramai orang bergaduh tentang macam mana amalan zahir seperti cara solat Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Namun selalunya, orang tidak berbincang pula macam mana hendak khusyuk dalam solat.

5. [Pada Menjelaskan Hakikat Aqal dan Pembahagiannya]. Aqil baligh mempunyai beberapa indikator fizikal yang disebutkan oleh Ulama' untuk memudahkan kita. Tanda-tandanya disebut seperti keluar darah haid atau air mani dalam lingkungan umur sembilan hingga 15 tahun. Ada orang yang berumur 10 tahun sudah 'datang', ada orang yang berumur 20 belum matang lagi. Sepatutnya, ketika aqil baligh, seseorang itu sudah mampu untuk menanggung dosa-pahala sendiri. Ketika itu, dia sendiri yang akan memilih sama ada mahu menjadi seorang Muslim ataupun sebaliknya. Namun, pada hari ini kata Guru yang mulia, daya berfikir kanak-kanak sangat rendah. Kebanyakkan disebabkan oleh pengaruh pesekitarannya. Berbeza dengan para sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين, pada umur belasan tahun sudah mampu menjadi panglima perang. Sedangkan kita, umur 20-an masih lagi merempit.

Empat makna aqal ialah:

a) [Aqal Sebagai Pembeza di Antara Manusia dan Binatang—makna aqal yang pertama]. Ini adalah aqal yang umum yang ada pada semua manusia yang waras. Ini hanyalah potensi (daya) yang menyebabkan manusia boleh berfikir dan belajar. Kalau tidak diaktifkan, maka potensi akal itu akan kenal dalam keadaan pasif. Mumayyiz ialah orang yang boleh membezakan di antara perkara yang baik dan buruk. Contohnya apabila kita memberikan dua jenis makanan yang bersih dan kotor kepada seorang kanak-kanak. Jika dia memilih yang kotor, bermaks dia masih belum mumayyiz lagi. Akal pertama ini juga disebut sebagai Aqal al-Hayulani. Dalam ilmu kalam, ia dikenali sebagai Gharizi.

b) [Aqal Adalah Ilmu Daruri—makna aqal yang kedua]. Jika potensi aqal itu digerakkan untuk berfikir, maka ia akan menjadi seperti sepasang mata yang dibuka. Ketika itu, matanya barulah boleh melihat. Contoh ilmu daruri, apabila seorang budak yang sudah mumayyiz itu disembunyikan barang ke belakang badan, mereka pasti tidak akan menangis lagi. Ini kerana, dia sudah mampu untuk menanggapi bahawa tidak mungkin barang itu hilang begitu sahaja. Berbeza dengan budak yang belum mumayyiz. Mereka akan menangis kerana aqal mereka tidak dapat menerima bahawa barang itu hanya disembunyikan. Tambah Guru yang mulia, definisi Aqal Daruri itu adalah; seseorang mengetahui keharusan sesuatu yang harus dan kemustahilan sesuatu yang mustahil.

c) [Aqal Adalah Ilmu yang Berasaskan Pengalaman—makna aqal yang
ketiga]. Pembangunan aqal yang berlaku secara berterusan. Ia berubah berdasarkan kepada pengalaman.

d) [Aqal Adalah Daya Dalaman yang Menanggapi Akibat dan Kesan Sesuatu Perkara—makna aqal yang keempat]. Ia merupakan peringkat yang paling tinggi. Bukan sekadar ilmu, bahkan ia menjadi kekuatan untuk mengawal tindakan seseorang. Kata Guru yang mulia, jika dilihat pada makna aqal yang keempat ini, maka ramailah yang akan dikira sebagai "tidak beraqal"—selagi mana dia tidak mampu untuk menahan syahwatnya. Nilai orang yang beraqal di dalam Islam itu bukan sembarangan. Aqal bukannya semata-mata merujuk kepada makna yang pertama dan kedua sahaja. Justeru itu, banyak ayat di dalam al-Quran yang menyebutkan bahawa "adakah kamu tidak berfikir" ( افلا تعقلون ) berulang-ulang kali. Aqal keempat ini juga disebut sebagai tadbir. Dia akan berfikir panjang, sebelum daripada melakukan sesuatu. Nasihat Guru yang mulia, cuba letakkan makna keempat ini pada diri kita. Barulah kita akan menyedari betapa jauhnya kita dengan hakikat makna orang yang beraqal. Ringkasannya, aqal pertama dan kedua bersifat tabi'i. Manakala, aqal ketiga dan keempat bersifat usaha.

6. [Perihal Kepelbagaian Tahap Manusia dari Segi Aqalnya]. Aqal yang keempat mempunyai perbezaan dan kepelbagaian tahap pada setiap manusia. Ada orang yang diuji dengan cabaran yang kecil pun sudah gagal ("fail"). Ada orang diuji dengan cabaran yang besar baru gagal. Ada orang kuat pada waktu pagi, tetapi tidak kuat pada waktu petang. Nasihat Guru yang mulia, peringkat pelajar universiti, mereka sudah mula cenderung kepada kepimpinan. Apabila keluar, mereka menjadi semakin teruk (kemaruk kepada kuasa). Semakin dewasa, menjadi semakin teruk. Ujian yang dihadapi oleh setiap orang juga berbeza dalam setiap keadaan, isu dan kecenderungan. Perbezaan umur membawa kepada perbezaan kecenderungan. Pesan Guru yang mulia, kalau kita lemah, kita mesti melihat, apakah faktor yang menyebabkan kita menjadi lemah? Orang yang banyak pengalaman, memiliki banyak pengetahuan. Kesannya, keupayaan aqalnya turut akan meningkat. Memahami tentang hakikat aqal, sangat penting dalam sistem pendidikan. Inilah realiti kemampuan manusia daripada segi aqal.

7. [Sufi dan Aqal]. Dua perkara ini sangat penting dan sering dihubungkan bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan yang dibawa oleh al-Imam Al-Ghazali rh dan Guru Mulia Professor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas hz. Persoalan yang sering ditimbulkan ialah, apakah sebenarnya aqal yanh ditolak oleh Sufi? Jawapannya, aqal yang mendorong manusia kepada debat dan pertelingkahan. Di dalam Wacana Prof. Al-Attas, aqal dibahagikan kepada dua (2) iaitu Rasio dan Intelektos. Aqal Rasio merujuk kepada aqal tahap bawah. Ia berlegar kepada persoalan yang diangkat melalui deria ("common sense"). Manakala, Aqal Intelektos pula ialah aqal yang dirujuk oleh Sufi. Aqal ini perlu dicapai oleh pancaindera batin setiap manusia. Bagi mencapai Aqal Intelektos, kita perlulah melalui Aqal Rasio terlebih dahulu. Al-Imam Al-Ghazali rh juga telah berpesan bahawa, kita jangan sesekali terpedaya dengan slogan-slogan yang mahu memisahkan shara' dan aqal. Kedua-duanya mestilah diseimbangkan.

8. Ramai orang telah salah faham dengan perkataan Barat yang menyatakan bahawa, semua orang itu sama dan semua orang boleh belajar semua benda yang sama. Sedangkan, dalam ilmu itu sendiri terdapat peringkat-peringkatnya yang tertentu. Ini merupakan sebuah penegasan yang sangat penting daripada Guru yang mulia. Kita perlu mengiktiraf bahawa, setiap manusia memiliki keupayaan yang berbeza dari segi ilmu. Jika kita menyedari akan hakikat ini, maka kita akan lebih berhemah apabila bercakap dengan seorang ilmuwan. Ada orang yang mendakwa mereka boleh memahami al-Quran seperti kefahaman para Nabi dan sahabat. Ini adalah contoh penyamarataan ("Leveling"). Sedangkan, keadaan tersebut sangatlah mustahil. Tiga kurun yang pertama Islam merupakan kurun yang terbaik, tiba-tiba pada kurun ke-21 ada pula orang yang boleh mendakwa mereka itu lebih baik atau sama baik.

9. Bab ketujuh telah menekankan bahawa, di dalam s
etiap diri manusia itu terdapat kualiti aqal yang berbeza-beza. Namun, hari ini orang telah menganggap semuanya sama. Sikap ini semakin ketara sehingga mereka sanggup untuk mengkritik tanpa adab dan mentohmah sumbangan ilmuwan terdahulu. Seolah-olah dia menolak tulisan kawannya pula. Sebagai contoh yang disebutkan oleh Guru yang mulia, kitab Ihya' Ulumuddin al-Imam Al-Ghazali rh sudah dimanfaatkan oleh umat Islam selama ribuan tahun. Tiba-tiba, ada orang yang membuang kitab Ihya', kerana 'berjaya' menthabitkan kedhaifan sesebuah hadith. Kitab Ihya' tidak akan hilang kalau pun dibuang. Ia tetap akan dibaca oleh orang lain dan sangat rugilah bagi sesiapa yang membuangnya. Nasihat Guru yang mulia, kita mesti insaf dengan penutup kepada Kitab Ilmu yang dikarang oleh al-Imam Al-Ghazali rh. Ini kerana, dalam bab kitab Ihya' yang berikutnya, akan disebutkan pula berkenaan peranan aqal di dalam aqidah yang bertajuk Qawaidul Aqaid.

10. Sebagai kesimpulannya, Guru yang mulia telah menyebutkan lima (5) perkara yang penting di dalam penutup bagi wacana bagi kitab Khulasah Faham Ilmu ini. Pertama, sinopsis ringkas perjalanan bagi setiap bab. Kedua, menjelaskan kemulian aqal. Ketiga, menjelaskan hakikat aqal dan pembahagiannya. Keempat, kepelbagaian tahap manusia dari segi aqalnya. Kelima, hubungan di antara Sufi dan aqal.

Nota Hujung: Jazakumullahu khairan Guru Mulia Prof. Madya Dr Wan Suhaimi hz dan Guru Mulia Ustaz Khalid Ismail hz atas segala curahan ilmu dan adab yang telah diberikan. Ucapan penghargaan ditujukan khusus juga kepada Akhi Mubarak Muhaimin Safaruddin hz dan Akhi Mubarak Faris Yusri hz, kerana sudi memperbaiki beberapa kesilapan yang terdapat di dalam tulisan yang terdahulu.

اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله
أسألك الجنة واعوذ بك من النار
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lima Tujuh,
20 Ramadhan 1441/
13 Mei 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
SYARAH ADAB MENUNTUT ILMU
(SIRI 2)

Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى menasihatkan bahawa, fasal berikut ini akan memuatkan bait-bait yang paling utama untuk diberikan perhatian. Apa sahaja yang yang berkait dengan ilmu, mesti menghadirkan niat yang ikhlas. Ia merupakan salah satu rahsia daripada rahsia-rahsia Allah ﷻ yang sangat sukar untuk dicapai.

[[Fasal: Pada Menyatakan Tentang Ikhlas Kerana Allāh Ta'ālā Ketika Menuntut Ilmu.]]

1. [Bait 20: "Ikhlaskan niatmu wahai saudara, di dalam menuntut ilmu-Nya yang mulia"]. Nasihat Guru yang mulia, Suatu hari, Sayyiduna Rasulullah ﷺ pernah ditanya oleh para sahabat tentang makna ikhlas, kemudian Baginda menjawab bahawa soalan tersebut akan ditanyakan kepada Sayyiduna Jibril عليه السلام. Kemudian, apabila Rasulullah ﷺ bertanya, Sayyiduna Jibril عليه السلام pula menjawab dengan jawapan yang serupa, dan soalan tersebut ditanyakan pula kepada Allah ﷻ. Setelah itu, Allah ﷻ memberitahu bahawa ikhlas itu termasuk di dalam sekalian rahsia-Nya.

2. Orang yang ikhlas, mereka akan melupakan terus apa yang telah dilakukan. Mereka buat benar-benar kerana Allah ﷻ. Pesan Guru yang mulia, kalau tidak boleh ikhlas pada permulaan menuntut ilmu, maka jangan berhenti daripada belajar, mesti teruskan belajar sehingga ikhlas. Berkata oleh al-Imam Badruddin Ibn al-Jama`ah رحمه الله تعالى bahawa, jangan dihalang mereka yang tidak ikhlas untuk datang belajar, teruskan untuk mengajar mereka. Perkara ini perlu diberikan perhatian dengan sebaik mungkin, kerana ia akan memberi kesan yang sangat besar kepada keperibadiannya pada masa akan datang.

3. [Bait 21 sehingga Bait 23: "Betapa ramainya orang yang binasa, hanya kerana niatnya yang tak sempurna (21). Ilmu ini lautan yang tak bertepi, jika mahu tempuhinya hati-hati (22). Jika tak cermati akan kemudiannya, bimbang tersesat dan karam di tengahnya (23)"]. Berkata oleh Guru yang mulia bahawa, orang yang hendak mencari ikan di tengah laut, perlu bersedia secukupnya kerana ombaknya besar. Ikan di tengah laut besar-besar. Ikan yang berada di tepi laut, sesuai dengan keadaannya yang kecil. Untuk ke tengah laut, perlu dapatkan bimbingan (guru), kemahiran dan kelengkapan. Mesti kena ada kapten yang mengemudikan kapal. Jika tidak dikemudikan oleh guru yang baik, tiada pengalaman dan alatan yang baik, maka dia pasti akan tenggelam. Suatu hari, Shaykh Murabbi kepada Fadhilatu As-Shaykh Hamza Yusuf حفظه الله تعالى telah berpesan bahawa,

"Dunia ini lautan. Ramai yang aku lihat telah karam, maka kamu jangan tenggelam."

4. Pesanan tersebut cukup ringkas, namun sangat mendalam akan maknanya. Para Ulama' sangat mengambil berat bab ikhlas, sehingga mereka telah memulakan karangan-karangan mereka dengan bab tersebut terlebih dahulu. Antaranya ialah al-Imam al-Bukhari رحمه الله تعالى telah menyusun hadith tentang niat pada permulaan kitab hadith Sahih beliau. Lalu, Allah ﷻ telah catatkan qabul pada kitab beliau. Begitu juga, al-Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى telah memulakan dengan hadith berkenaan niat dahulu. Berkata oleh para Ulama' bahawa, sunat meletakkan hadith tersebut dalam kitab sebagai hadith yang pertama untuk mengingati pengarang. Kemudian, sebagai peringatan agar perkara tersebut sangat perlu diberi perhatian. Seterusnya, agar dicatatkan qabul oleh Allah ﷻ.

5. [Bait 24 sehingga Bait 26: "Hai saudara hadirkanlah niatmu, tuntut ilmu cari redha Tuhanmu (24). Niatkanlah agar kejahilanmu, hilang berkat ikhlas niat sucimu (25). Juga kejahilan umat dihilangkan, bukan niat tunjuk pandai pada teman (26)"]. Niat yang pertama mestilah untuk mencari keredhaan Allah ﷻ. Jika diniatkan begitu, nescaya kita akan berusaha untuk membuat segala apa yang diredhai oleh Allah ﷻ dan perkara yang telah ditunjukkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Pada Bait 25, diterangkan niat yang kedua dalam menuntut ilmu; iaitu supaya kejahilan dapat dihilangkan. Kemudian pada Bait 26, diterangkan pula niat yang ketiga; supaya diangkat kejahilan daripada umat. Setelah belajar, dia akan balik untuk mengajar pula kepada umat. (Tanbih) Nasihat Guru yang mulia,

"Jangan bel
ajarnya tak, tapi 'kalut' nak memberitahu (mengajar)."

6. Tafaqquh bukanlah suatu perkara yang kecil. Ia perlukan kepada guru, tempoh waktu yang lama. Kemudian, barulah boleh balik hendak memberi inzar kepada umat. Ini merupakan masalah yang banyak berlaku kepada para penda'wah. Perkara yang khilaf, diperdebatkan. Suka membid'ah dan menyesatkan orang. Ini dalil kepada jahil yang sangat berat. Jangan sibuk hendak memberi inzar kepada orang, tetapi diri sendiri tidak diberi inzar. Jika tidak, dia sebenarnya sedang berlaku zalim, bahkan menjadi lebih bahaya kerana perbuat tersebut bercanggah dengan ayat Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ di dalam Surah at-Taubah pada ayat yang ke-122,

كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ

Maksudnya: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

7. [Bait 27 sehingga Bait 29: "Pesan Imam Az-Zarnūjī yang mulia, niat tuntut ilmu hidupkan agama (27). Juga buat kekal agama yang mulia, bukan hanya dengan semangat semata (28). Agama tak akan dapat dipertahan, dengan jahil bahkan ia meruntuhkan (29)"]. Penuntut ilmu mesti menghadirkan niat yang banyak. Senaraikan semua niat tersebut. Semoga salah satu daripadanya akan dinilai oleh Allah ﷻ. Bait 27 menjelaskan penyaksian daripada Ahli Ilmu sendiri bahawa, hanya ilmu sahaja yang akan menghidupkan agama. Orang yang tiada ilmu, akan menghancurkan agama. Contohnya ISIS, hasil daripada kejahilan, mereka telah bermula dengan lidah. Kemudian dengan tangan mereka menghancurkan umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Ini kerana, dalam kalangan mereka hanya terdapat para juhala' dan sufaha'.

8. Seterusnya, Bait 28 menerangkan perkataan al-Imam Az-Zarnuji رحمه الله تعالى bahawa, sesungguhnya Islam dapat berkekalan dengan ilmu ("innamā baqā'u al-Islām bi al-`Ilmi"). Kita tidak sepatutnya mengikuti sesuatu dengan semangat ("hamasah") semata-mata. Sepatutnya, ilmu yang dijadikan sebagai mi'yar dan imam. Bukannya, semangat yang diletakkan di hadapan ilmu. Kalau begitu, nescaya pergerakkannya akan menjadi pincang. Pada Bait 29, kita menjadi jelas bahawa, tiada seorang Nabi pun yang diutuskan dengan keadaan yang jahil. Bahkan, mereka ialah orang yang paling berilmu pada zaman masing-masing. Ilmu sangat sinonim dengan para Anbiya'. Kemudian, para Ulama' pula adalah pewaris para Anbiya'. Ulama' yang dimaksudkan ialah mereka yang yang mendidik umat Sayyiduna Rasulullah ﷺ, berpegang kepada mazhab yang mu'tabar dan beramal dengan ilmunya. Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah mewariskan kepada umat dengan para Ulama' seperti yang telah disabdakan oleh Baginda,

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak."

9. [Bait 30 sehingga Bait 31: "Jaga-jaga wahai saudaraku semua, tuntut ilmu jangan tujuannya dunia (30). Jika tujuannya untuk kemasyhuran, akan rosak dengan tipu daya syaitan (31)"]. Jangan belajar sebab ingin orang lain memuliakan kita. Apabila melihat para murid mencium tangan Tok Guru, maka jangan ada perasan ingin dimuliakan seperti itu juga. Nasihat Guru yang mulia bahawa, kita mesti ikhlas dengan bersungguh-sungguh dalam belajar, mesti kena betulkan niat selalu, mesti selalu koreksi niat. Orang yang mengejar kemasyhuran, apabila dia meliha
t kawannya lebih masyhur, maka dia akan menjadi marah. "Mengapa aku tidak diterima?". Walaupun dia tidak bercakap, tetapi dia akan menunjukkan dengan perbuatan.

10. Orang yang pernah dibimbing oleh para Masyaikh, insya-Allah apabila duduk dalam medan masyarakat, mereka akan menjadi baik. Kalau orang yang tidak pernah dibimbing, maka dia bukannya menghidupkan masyarakat, bahkan akan menghancurkan umat! Oleh itu, penting untuk melihat siapakah gurunya—dengan siapa dia belajar. Seorang doktor gigi akan menulis kelayakan bidang pengajiannya di klinik. Bukanlah menunjukkan dia tidak ikhlas, namun itu adalah sebuah keperluan agar orang menjadi yakin bahawa doktor itu sememangnya berkelayakan. Kalau dalam bab dunia pun perkara ini sangat penting, apatah lagi dalam bab akhirat.

11. Sebab itu pelik; jika ditanya kepada seseorang itu siapakah gurunya, dia tidak mahu memberitahu siapa. Sepatutnya dimaklumkan nama guru pada zaman inj lebih-lebih lagi. Zaman di mana terlalu ramai penda'wah, sehingga tenggelam yang hakikat. Umat tidak boleh disibukkan dengan perkara yang tidak sepatutnya. Bahkan, lagi pelik lagi; kalau dia memberitahu bahawa, dia tidak mempunyai guru. Lalu, dia sebenarnya belajar dengan siapa? Belajarlah di al-Azhar sekalipun, dia cuma boleh berbangga dengan sekadar digelar sebagai "lepasan al-Azhar", namun pada realitinya dia tidak memiliki sebarang kemuliaan ilmu tanpa berguru. Kata Fadhilatus As-Shaykh Ismail حفظه الله تعالى bahawa, setelah beliau selesai pengajian di peringkat ijazah, pada ketika itu barulah bermula pengajian beliau yang sebenarnya. Ia adalah kunci ("miftah") kepada ilmu yang sangat luas.

12. [Bait 32 sehingga Bait 34: "Kerosakan besar di dalam agama, disebabkan dua kelompok manusia (32). Orang alim tidak beramal ilmunya, melakukan bercanggah dengan agama (33). Lebih berat dari kelompok pertama, si jahil jadi panduan yang utama (34)"]. Rosak agama kerana dua golongan, pertama seperti yang telah disebutkan di dalam Bait 33. Maksud 'tidak beramal dengan ilmu' yang sebenarnya ialah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan agama—(tanbih) inilah kefahaman yang sepatutnya diluruskan oleh kita semua.

13. Telah berkata oleh al-Imam Abdul Wahhab as-Sha'rani رحمه الله تعالى bahawa, orang yang berilmu, mereka tetap akan mengamalkan ilmunya walaupun sedikit. Ini kerana, orang yang mengetahui juga sudah dikira sebagai beramal. Contohnya, ketika berpeluang melakukan zina, dia tidak melakukannya kerana dia mengetahui keburukan perkara tersebut dan dia memang berniat hendak meninggalkannya. Maka, baginya pahala. Golongan kedua yang disebutkan di dalam Bait 34, adalah lebih berat lagi. Orang jahil pula telah dianggap sebagai Ulama'. Sebab itu telah dikatakan sebelum ini pada Bait 10 bahawa, orang jahil pun seronok dianggap sebagai berilmu. Golongan ini lebih dasyat lagi daripada golongan pertama.

14. [Bait 35 sehingga Bait 36: "Kata Imam As-Sha'rānī yang berjasa, ikhlas perlu bimbingan dari ahlinya (35). Jika mahu perbahasan tentangnya, buka Mashāriqa al-Anwār kitabnya (36)"]. Berkata oleh Guru yang mulia, kitab tersebut sangat bermanfaat kerana setiap kali al-Imam As-Sha'rani رحمه الله تعالى menulis sesuatu perkara, pasti akan disusuli dengan pesanan bahawa, "perkara ini memerlukan kepada bimbingan guru". Dalam semua perkara, dalam bab ikhlas, hatta dalam cara makan sekalipun, di hujungnya akan disebut,

"Perkara ini memerlukan kepada bimbingan guru."

15. Pesan Guru yang mulia, sangat bagus sekali buat para penuntut ilmu, jika mereka dapat membaca Kitab Niat. Selain itu, al-Imam Abdullah Al-Haddad رحمه الله تعالى telah menyusun sebuah doa sebelum memulakan pengajian. Terdapat hampir 20 niat yang dapat dihadirkan sebelum belajar telah disenaraikan! Semuanya itu akan mendapat pahala. Elok sekali jika dapat menghafal doa itu terlebih dahulu.

[[Fasal: Pada Menyatakan Tentang Pemilihan Ilmu, Guru dan Teman.]]

16. [Bait 37: "Mulakanlah ilmumu dengan Al-Quran, bukan sekadar baca tapi hafalan"] . (Tanbih) Ini merupakan sebuah bait yang telah disyarahkan dengan sangat panjang oleh Guru yang mulia kerana belia
u telah mendengar perkataan-perkataan sinis yang bercakap kepada Ahli Al-Quran. Pesan beliau, penuntut ilmu mesti berusaha untuk menghafal Al-Quran dan mempunyai niat untuk menjadi seorang hafiz al-Quran. (Tanbih) Ini kerana, ada sebahagian orang yang menganggap bahawa Al-Quran itu tidak penting, sedangkan ia adalah jalan para Salafussoleh. Sistem di negara Arab, kanak-kanak sebelum berumur tujuh tahun dan seawal berumur lima tahun sudah mula menghafal Al-Quran. Sebelum masuk ke sekolah menengah, mereka sudah menghafal sebuah Al-Quran.

17. Pada peringkat usia kanak-kanak tersebut, mereka telah dibimbing oleh ibu bapanya sendiri. Kanak-kanak tidak dirosakkan dengan diberi bermain telefon. Mereka tidak dimasukkan ke asrama lagi, sebaliknya dihantar ke tadika ("hadhonah"). Tadika pula sangat penting untuk memiliki tenaga guru daripada kalangan perempuan, kerana mereka bersifat keibuan. Perkara ini juga telah disebutkan oleh al-Imam Ramli رحمه الله تعالى bahawa, perlu ada Muaddibah untuk mendidik Al-Quran kepada kanak-kanak. Tambah, Guru yang mulia, apabila mereka sudah dewasa barulah pelajar lelaki diajarkan pula oleh guru lelaki.

18. Nasihat Guru yang mulia, Al-Quran itu lebih 'sakan' daripada seekor kijang hidup yang ditangkap di dalam hutan. Kalau tidak diikat dan tidak disimpan elok pada tempat yang sepatutnya, nescaya ia akan hilang. Sama seperti emas, jika tidak dikunci pada tempatnya yang elok, maka ia pasti akan hilang. Alanglah ajaibnya, apabila dibuat perbandingan orang menghafal Matan Alfiyah itu lebig hebat berbanding dengan orang yang menghafal Al-Quran. Ajaib apabila kita mengangkat orang yang menghafal Kalam Bashar, melebihi daripada orang yang menghafal Kalam Allah ﷻ. Justeru itu, jangan sesekali memandang sinis kepada penghafal Al-Quran!

19. Orang yang menghafal Kalam Allah ﷻ, jika tidak faham pun masih mendapat pahala. Sekiranya difahami tentu dapat lebih lagi. Sedangkan ibu bapa kepada seorang penghafal Al-Quran pun sudah mendapat anugerah yang sangat hebat di akhirat nanti. Lalu, bagaimana pula keadaan orang yang menghafal tersebut? Sudah tentulah lebih hebat lagi. Sahabat kepada Guru yang mulia, iaitu Shaykh Sobri حفظه الله تعالى mengulang-ulang hafalan Al-Quran beliau sebanyak lima (5) juzuk sehari! Itu baru bacaan ketika di luar solat, belum dicampur lagi dengan bacaan dalam solat. Cukup enam hari, khatam sebuah Al-Quran. Beliau mengulang-ulang sambil membancuh kopi, sambil bersiap-siap ke tempat kerja dan sebagainya. Umur beliau bahkan 10 tahun lebih muda daripada Guru yang mulia. Jiwa beliau sangat bersih, baca tiga kali sahaja sudah dapat menghafal. Nasihat Guru yang mulia,

"Kalau tak dapat hafal 30 juzuk sekalipun, sekurang-kurangnya hafal juzuk 30 pun jadilah. Itu sudah memada."

20. Fadhilatus As-Shaykh Dr. Yusri Jabr al-Hasani حفظه الله تعالى mendapat hidayah untuk menghafal Al-Quran sewaktu pengajian beliau di kota Paris. Ketika itu, beliau mengikuti program pertukaran pelajar jurusan perubatan di universiti pada tahun yang ketiga. Setiap hari, beliau akan mengulang-ulang bacaan Shaykh Mahmud Khalil al-Husary رحمه الله تعالى dan Shaykh Basit رحمه الله تعالى, di samping merakam bacaan sendiri dan mendengarnya berulang-ulang kali. Sehinggalah Allah ﷻ memberi pembukaan ("futuh") kepada beliau dengan Al-Quran. Pada bulan Ramadhan, beliau akan khatamkan Al-Quran sebanyak tiga (3) kali di dalam solat sahaja! Beliau mendirikan solat tarawih bermula dari waktu Isyak, sehinggalah kepada hampir-hampir waktu Subuh baru selesai solat tarawih! Maka, jangan terkejut apabila kita membaca kisah Sayyiduna Tamim Ad-Dari رضي الله تعالى عنه yang mengkhatamkan Al-Quran dalam sekali solat. Ataupun kisah Sayyiduna Uthman Al-Affan رضي الله تعالى عنه yang mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran dalam satu rakaat! Oleh sebab itu, terdapat para Masyaikh yang mencium tangan kanak-kanak yang menghafal Al-Quran.

21. [Bait 38: "Sunnah para Salaf jangan diabaikan, setelahnya barulah menghafal matan"]. Penuntut ilmu mesti dahulukan menghafal Al-Quran sebelum matan ilmu yang lain. Suatu hari, ketika dalam perjalan pulang ke Sabi
' di dalam kereta, Guru yang mulia pernah bertanya kepada Fadhilatu As-Shaykh Prof. Dr. Sa'ad Jawish حفظه الله تعالى, apakah kitab hadith yang perlu dihafal setelah menghafal Matan Arba'in al-Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى? Lalu dijawab oleh beliau bahawa, hendaklah menghafal Al-Quran terlebih dahulu. Guru yang mulia juga ada menceritakan karamah Shaykh Sa'ad حفظه الله تعالى, dalam sebuah kisah di mana beliau bersama dengan Guru Mulia Shaykh Hairul Nizam Al-Azhari حفظه الله تعالى dan seorang sahabat lagi ketika datang meziarahi rumah guru mereka dan dihidangkan dengan botol yang berisi air paip. Di mana perkara tersebut, sudah menjadi kebiasaan bagi orang di Mesir. Shaykh Sa'ad mendengar perbualan antara mereka, walaupun secara adatnya; manusia biasa tidak dapat mendengar dalam kedudukan yang sangat jauh. Rentetan daripada peristiwa itu, Guru yang mulia mendapat suatu faedah yang sangat besar iaitu; makanlah apabila Tok Guru menghidangkan makanan kepada kita, serta niatkanlah sebagai Shifa' (ubat).

22. Ada seorang ibu datang bertemu dengan Guru yang mulia dan memberitahu bahawa anaknya sangat minat untuk mendalami ilmu agama, lalu dia ingin menghantar anaknya ke tempat sekian-sekian (yang mana sudah tersedia maklum oleh semua orang sebagai pusat pengajian yang melahirkan ramai yang berfahaman Wahabi). Perkara tersebut sangatlah tidak dipersetujui oleh Guru yang mulia. Lebih-lebih lagi ketika ibu tersebut ditanya, mengapa tidak dihantar anaknya ke Mesir? Lalu dijawab olehnya sebab negara tersebut sudah terdapat terlalu ramai pelajar. Jadi dia mahu menghantar ke tempat yang sedikit pelajar, supaya dilihat sebagai hebat. Perkara tersebut sangat tidak bertepatan sekali dengan kehendak menuntut ilmu. Kata Guru yang mulia, kalau dahulu ramai Ulama' telah dihantar ke Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah, kerana itulah pusat pengajian ilmu suatu ketika dahulu. Namun, pada hari ini, pusat pengajian ilmu ialah di negara Mesir (namun, jika sibuk dengan perkara lain juga tiada guna). Akhirnya, Guru yang mulia juga ada berpesan bahawa, jika seseorang itu memiliki anak yang masih kecil, maka niatlah untuk mereka menghafal Al-Quran. Selepas selesai menghafal, doronglah mereka pada guru yang alim.

23. Sebagai kesimpulannya, Guru yang mulia telah menyebutkan sekurang-kurangnya dua (2) perkara yang sangat penting pada Rauhah Asar kali ini. Pertama, menghadirkan niat ikhlas dalam menuntut ilmu, bukannya kerana tujuan dunia. Kedua, mendahulukan untuk mempelajari Al-Quran berserta menghafalnya, melebihi daripada seluruh ilmu yang lain. Wallahua'lam.

اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله
أسألك الجنة واعوذ بك من النار
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lima Lapan,
21 Ramadhan 1441/
14 Mei 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
اللهم صل على سيدنا محمد ❤️

Guru Mulia Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas حفظه الله تعالى (ISTAC), Guru Mulia Professor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud حفظه الله تعالى (RZS-CASIS), Guru Mulia Dr. Adian Husaini حفظه الله تعالى (INSISTS), Guru Mulia Ustaz Dr. Hilmi Ramli حفظه الله تعالى (RZS-CASIS).
SYARAH QASIDAH LAILATUL QADAR

Qasidah ini telah disusun oleh Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى pada tanggal 21 Ramadhan 1440 yang lalu. Kemudian, ia disyarahkan sendiri oleh Guru yang mulia bertepatan pada tanggal 21 Ramadhan 1441, sebelum memulakan pengajian yang keempat bagi kitab "Fathul Muta'aliy" (Adab Penuntut Ilmu).

Guru yang mulia telah menyiapkan karangan ini ketika berada Mansurah, Mesir pada tahun lepas. 17 bait yang terkandung di dalam Qasidah Lailatul Qadar itu boleh dibaca dengan Bahar Basit, seperti kaedah membaca Burdah karangan al-Imam Al-Busiri رحمه الله تعالى. "Malam Mulia" pada Bait 1 itu, merujuk kepada Lailatul Qadar.

"Dua Imam terkemuka" pula merujuk kepada al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali رحمه الله تعالى dan al-Imam Abu Hasan As-Syazuli رحمه الله تعالى. Boleh dibaca sama ada dengan As-Syazuli mahupun As-Syazili. Perkara yang akan disebutkan di dalam bait-bait yang selanjutnya merupakan pengalaman ("tajribah") yang dilalui oleh para Ulama'. Ia bukanlah dalil al-Quran atau al-Hadith.

Kesemua perkara tersebut telah dilihat oleh para Ulama' secara berkali-kali. Lalu, ia disebutkan sebagai tanda Lailatul Qadar dan bukannya kaedah. Ada sebahagian Ulama' yang menyebutkan bahawa, Lailatul Qadar itu boleh berlaku pada mana-mana malam di sepanjang tahun.

Lailatul Qadar berdasarkan kepada hari pertama Ramadhan yang disebutkan pada Bait 4 sehingga Bait 14, dapat diringkaskan kepada tiga pandangan. Mereka ialah al-Imam As-Shafie رحمه الله تعالى, al-Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى dan al-Imam As-Syazuli رحمه الله تعالى.

a) al-Imam As-Shafie rh.

• Jika mana-mana hari pun, maka Malam al-Qadar jatuh pada 21 Ramadhan secara mutlak. Disebutkan juga pada Bait 7, al-Imam As-Shafie رحمه الله تعالى berpesan agar siang dan malam al-Qadar sepatutnya diberi perhatian untuk melakukan ibadah. Pesan Guru yang mulia, jangan disebabkan menyesal sudah terlepas Malam al-Qadar, lalu siangnya dia sambung tidur lagi.

b) al-Imam Al-Ghazali rh.

• Jika Ahad, maka ia jatuh pada 29 Ramadhan
• Jika Isnin, maka ia jatuh pada 21 Ramadhan
• Jika Selasa, maka ia jatuh pada 27 Ramadhan
• Jika Rabu, maka ia jatuh pada 29 Ramadhan
• Jika Khamis, maka ia jatuh pada 25 Ramadhan
• Jika Jumaat, maka ia jatuh pada 27 Ramadhan
• Jika Sabtu, maka ia jatuh pada 23 Ramadhan

c) al-Imam As-Syazuli rh.

• Jika Ahad, maka ia jatuh pada 29 Ramadhan
• Jika Isnin, maka ia jatuh pada 21 Ramadhan
• Jika Selasa, maka ia jatuh pada 27 Ramadhan
• Jika Rabu, maka ia jatuh pada 19 Ramadhan
• Jika Khamis, maka ia jatuh pada 25 Ramadhan
• Jika Jumaat, maka ia jatuh pada 17 Ramadhan
• Jika Sabtu, maka ia jatuh pada 23 Ramadhan

Al-Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى dan al-Imam As-Syazuli رحمه الله تعالى berbeza pandangan pada hari Rabu dan Jumaat. Namun, mereka sepakat pada hari Ahad, Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu. Menurut al-Imam as-Syazuli رحمه الله تعالى, terdapat dua keadaan yang boleh berlaku Lailatul Qadar sebelum daripada 10 malam yang terakhir.

Sebahagian Ulama' juga ada menyebutkan bahawa, Malam al-Qadar jatuh pada 27 Ramadhan kerana berpandukan kepada Surah al-Qadar. Namun, ia hanyalah panduan dan bukannya qat`iy. Kalimah " هي " berada pada bilangan perkataan yang ke-27. Berdasarkan kepada ayat yang terakhir ini,

سَلَٰمٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ

Maksudnya: "Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Kata Guru yang mulia, para Ulama' Sufi telah diberi petunjuk oleh Allah ﷻ. Semoga dengan mengikutinya, maka kita mendapat Lailatul Qadar. Terdapat dua pesanan penting daripada Guru yang mulia pada Bait 16 dan Bait 17 iaitu:

a) Hidupkan setiap malam Ramadhan, kerana orang yang menghidupkan malam-malamnya, maka Allah ﷻ akan memudahkan bagi dia untuk mendapatkan Malam al-Qadar. Tambah Guru yang mulia, sekurang-kurangnya janganlah ditinggalkan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.

b) Berdoalah agar Allah ﷻ perkenankan permintaan kita untuk bertemu dengan Malam al-Qadar. Tambah Guru yang mulia, beramallah dengan doa yang telah diajarkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ kepada Sayyidatuna Aisyah
رضي الله تعالى عنها.

Bertanya oleh Sayyidatuna Aisyah رضي الله تعالى عنها, "Wahai Rasulullah, jika saya menjumpai satu malam merupakan Lailatul Qadar, apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?". Maka, jawab Sayyiduna Rasulullah ﷺ, ucapkanlah:

اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عني

Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka maafkanlah kami."

Semoga kita semua direzekikan oleh Allah ﷻ untuk bertemu dengan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan pada Ramadhan kali ini. Amin.

اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله
أسألك الجنة واعوذ بك من النار
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Lima Sembilan,
22 Ramadhan 1441/
15 Mei 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
MENGHARAPKAN DOA GURU

Walaupun Guru sebenarnya tidak mengharapkan agar mereka dihargai oleh murid, namun sebagai adab seorang murid, hendaklah mereka mengucapkan terima kasih sebagai penghargaan kepada Guru yang tidak pernah lelah dalam membimbing murid...

Faedah Berdoa Kepada Guru: Mendapat doa daripada Guru. Tiadalah perkara yang paling membahagiakan buat seorang murid, apabila didoakan kembali oleh Gurunya. murid mendoakan Guru itu sudah biasa, tapi apabila Guru mendoakan murid, maka doa tersebut sangatlah berkat...

Mendoakan Guru itu juga sudah menjadi sebahagian daripada adab seorang murid kepada Guru yang perlu ditunaikan. Nasihat Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى pada rangkap ke-133 Fathul Muta'aliy:

"Hadirkanlah dia di dalam doamu, Itu tanda syukurmu mendapat ilmu."

Lebih malang jika murid terlupa untuk mendoakan Guru, sebaliknya Guru pula yang mendoakan murid. Suatu hari di dalam majlis Tuan Guru Abuya Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi حفظه الله تعالى, beliau bertanya,

"Saya setiap malam mendoakan tuan-tuan semua... Adakah tuan-tuan mendoakan saya?"

Terlebih malang lagi, jika murid terlupa untuk mendoakan Mahaguru kepada segala Guru. Bagindalah yang telah membimbing umat untuk keluar daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya ilmu. Nasihat Guru Mulia Ustaz Yussaine Yahya حفظه الله تعالى kepada kami pagi tadi,

"Mudah-mudahan kita tidak melupakan Guru kita yang sebenar, iaitu Baginda Nabi ﷺ. Semoga Bagindalah suri tauladan dalam hidup kita di dunia ini..."

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan murid yang berusaha untuk menjaga adab dengan sedaya-upaya kepada Guru. Selalu mendoakan kebaikan buat mereka di dunia dan khususnya di akhirat.

Tiadalah perkara yang paling membahagiakan bagi seorang murid, apabila namanya berada dalam ingatan dan doa seorang Guru. Semoga kita juga dikurniakan juga oleh Allah ﷻ akan doa-doa yang sangat mulia tersebut...😭

Tanpa Guru yang mulia, nescayaku tidak akan mengenali Tuhan yang Maha Mulia.

Terima kasih wahai Guru-guru.

اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله
أسألك الجنة واعوذ بك من النار
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Enam Puluh,
23 Ramadhan 1441/
16 Mei 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
MENULIS KETIKA LAILATUL QADAR

Ratib Al-Haddad telah dikarang oleh al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad رحمه الله تعالى pada 27 Ramadhan 1071 Hijrah. Menariknya, Imam Al-Haddad menulis perkara tersebut, bertepatan dengan Lailatul Qadar.

Setelah hampir 370 tahun berlalu, Ratib Al-Haddad masih lagi diamalkan secara berterusan oleh umat Islam sehingga ke hari ini. Ia menunjukkan bahawa, hasil karangan itu sangat berkat dan diterima di sisi Allah ﷻ.

Terdapat ramai Ulama' yang mengambil faedah menulis dengan bersangka baik pada malam-malam yang berkemungkinan besar berlakunya Lailatul Qadar. Antaranya ialah:

1. Tuan Guru Abuya Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki حفظه الله تعالى. Beliau telah mengarang sebuah risalah yang dinamakan sebagai, "Doa Tolak Bala" pada 25 Ramadhan 1441 (semalam).

2. Guru Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari حفظه الله تعالى juga telah menyiapkan sekurang-kurangnya tiga (3) buah karangan yang sangat bermanfaat iaitu:

a) Qasidah Lailatul Qadar yang dikarang pada 21 Ramadhan tahun lepas. Ia mengandungi 17 bait yang menceritakan tanda Lailatul Qadar, berdasarkan tajribah yang dilalui oleh para Ulama'.

b) Kitab yang membicarakan Isra' dan Mi'raj Sayyiduna Rasulullah ﷺ. Ia telah dikarang pada 21 Ramadhan 1441. Kitab tersebut mengandungi sebanyak 113 bait dan dibaca secara Bahar Basit.

c) Kitab Irsyadu al-Ikhwan, yang membicarakan hukum-hakam binatang. Ia telah dikarang pada 23 Ramadhan 1441. Kitab tersebut mengandungi sebanyak 313 bait dan dibaca secara Bahar Rajaz.

3. Guru Mulia Ustaz Adnan Fadzil حفظه الله تعالى juga telah menyempurnakan dua risalah pada 10 malam Ramadhan yang terakhir iaitu:

a) "Lailatul Qadar Menurut Al-Quran dan Al-Hadis". Risalah tersebut telah disiapkan pada 20 Ramadhan 1441. Ia menerangkan tanda-tanda Lailatul Qadar dan apakah amalan yang sepatutnya dilakukan pada malam tersebut.

b) "Risalah Zikir dan Doa Syifak". Risalah tersebut telah disiapkan pada 24 Ramadhan 1441. Ia menerangkan sepuluh (10) amalan doa penyembuhan yang diamalkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ.

Bayangkan betapa besarnya pahala yang mengalir ke atas mereka, jika tulisan-tulisan tersebut bertepatan dengan Lailatul Qadar. Seolah-olah mereka telah menulis selama 1000 bulan lamanya.

Semoga Allah ﷻ melimpahkan rahmat ke atas para Ulama' dan memanjangkan manfaat penulisan mereka buat umat.

اشهد ان لا اله الا الله استغفر الله
أسألك الجنة واعوذ بك من النار
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عنا يا كريم
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Enam Dua,
26 Ramadhan 1441/
18 Mei 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
2025/07/13 20:33:08
Back to Top
HTML Embed Code: