Telegram Web Link
يشهد عبد الله بن عمر معهم (الستة)، وليس له من الأمر شيء، فإن أصابت الإمرة سعدا... فهو ذاك، وإلا... فليستعن به أيكم ما أمّر، فإني لم أعزله من عجز ولا خيانة

[Faidah]: Bagaimana Proses Mushawwarah Berlangsung

Saksi bagi mushawwarah tersebut ialah: Sidna ‘Abdullah bin ‘Umar, namun Sidna ‘Umar al-Khattab melarang anaknya daripada namanya sendiri dichalonkan.

Manakala, enam orang Sahabat itu ialah:
1. Sidna Uthman bin ‘Affan رضي الله تعالى عنه
2. Sidna ‘Ali bin Abi Tolib رضي الله تعالى عنه
3. Sidna al-Zubayr bin al-‘Awwam رضي الله تعالى عنه
4. Sidna ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf رضي الله تعالى عنه
5. Sidna Sa’d bin Abi Waqas رضي الله تعالى عنه
6. Sidna Talhah bin ‘Ubaydillah رضي الله تعالى عنه

Sidna ‘Abd al-Rahman meminta pada Sahabat untuk menchadangkan tiga chalon Khalifah, maka berikut merupakan nama-nama yang dichadangkan:

1. Sidna ‘Ali (beliau dichalonkan oleh Sidna al-Zubayr)
2. Sidna ‘Abd al-Rahman (beliau dichalonkan oleh Sidna Sa’d)
3. Sidna ‘Uthman (beliau dichalonkan oleh Sidna Talhah)

Akhirnya, Sidna ‘Abd al-Rahman menolak namanya daripada chadangan tersebut. Beliau berbay‘ah kepada Sidna ‘Uthman setelah melakukan mushawwarah dengan para Sahabat.

[KEEMPAT: Sidna ‘Ali bin Abi Talib]

Al-Imam Ibn Sa’d telah berkata:
بويع علي بالخلافة الغد من قتل عثمان بالمدينة، فبايعه جميع من كان بها من الصحابة رضي الله عنهم
Maksudnya: “Sehari setelah peristiwa pembunuhan Sidna ‘Uthman bin ‘Affan di Madinah, Sidna ‘Ali bin Abi Talib telah dibay‘ah sebagai Khalifah. Kesemua Sahabat telah berbay‘ah kepadanya.”

[Tanbih]: Memerintah Ketika Zaman Fitnah

Semasa Sidna ‘Ali bin Abi Talib dilantik sebagai Khalifah, telah berlaku fitnah yang dahsyat kepada umat Islam. Rentetan daripada itu, telah terjadi dua perang saudara yang besar iaitu:

i. Perang Jamal pada tahun 36 Hijrah (seramai 13,000 orang telah terkorban)
ii. Perang Siffin pada tahun 37 Hijrah dan berlarutan sehingga Peristiwa al-Tahkim
Sekalipun begitu, kita hendaklah menjaga lisan kita agar tidak berkata yang bukan-bukan kepada para Sahabat. Sesungguhnya, Shaykhuna sering menegaskan kepada kami bahawa: Kesemua Sahabat itu adalah adil dan merupakan Ahli Shurga.

[Faidah Tambahan]:

Di sini, kita nyatakan juga ringkasan manaqib bagi kesetiap al-Khulafa al-Rashidin (yang berjumlah seramai enam orang kesemuanya), sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Shaykh Nawawi al-Jawi bahawa:

1. Sidna Abu Bakr al-Siddiq رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama dua tahun dan enam bulan di Madinah, wafat pada 23 Jumada al-Akhirah 13 Hijrah, ketika berusia 63 tahun kerana dukachita dengan pemergian Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ.

2. Sidna ‘Umar bin al-Khattab رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama 10 tahun dan lima malam di Madinah, wafat pada 27 Zilhijjah 23 Hijrah, ketika berusia 63 tahun kerana ditikam oleh Abu Lukluah al-Majusiy.

3. Sidna ‘Uthman bin ‘Affan رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama 12 tahun kurang 12 hari di Madinah, wafat pada 18 Zilhijjah 35 Hijrah, ketika berusia 88 tahun kerana dibunuh oleh Ahli Mesir dan al-Khawarij.

4. Sidna ‘Ali bin Abi Talib رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama lima tahun di Kufah, wafat pada 17 Ramadhan, ketika berusia 65 tahun kerana ditikam oleh ‘Abd al-Rahman ibn Muljam

5. Sidna Hasan bin ‘Ali رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama enam bulan—kurang beberapa hari bagi menggenapkan tempoh 30 tahun (yang pernah disabdakan oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ), beliau memerintah di Kufah, wafat pada pertengahan Muharram 49 Hijrah, ketika berusia 47 tahun kerana sakit.

6. Sidna ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz رضي الله تعالى عنه: Memerintah selama dua tahun dan lima bulan di Dimashq, wafat pada 21 Rajab 101 Hijrah, ketika berusia 39 tahun dan beberapa bulan kerana sakit.

[Kesimpulan]

Tidak ada seorangpun dari kalangan al-Khulafa al-Rashidin telah dilantik sechara langsung oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ semasa hayat Baginda. Kesetiap daripada mereka telah ditabalkan sebagai Khalifah dengan chara yang pelbagai dan penuh berhikmah.
Menyandarkan perkataan “kronisme” dan “nepotisme” kepada Baginda ﷺ, sudah tentu akan membawa konotasi yang jelik, menyimpang dan menyeleweng. Nyata sekali, sudutpandang yang dangkal itu adalah berdasarkan kepada kefahaman yang batil.

Dengan keberkatan bulan Ramadhan, kita bermohon kepada Allah ﷻ agar kita semua diberikan adab pekerti yang mulia terhadap Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ, Ahli Keluarga Baginda dan kesemua Sahabatnya رضي الله تعالى عنهم.

-Rasyid al-Kinti

Hari 1517—Pedu, Kedah
15 Ramadhan 1446/
16 Mac 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
MENOLAK DAJJAL DENGAN MANTIQ

Mawlana al-Imam Prof. Dr. ‘Ali Jum’ah حفظه الله تعالى menyebutkan di dalam al-Toriq ila Allah bahawa:

والله جل شأنه كامل، وهذا ناقص، فالمسيح الدجال أعور، فإذا كنت تنزل المطر وتطلع الشجر، فأصلح عينك!

Maksudnya: “Adapun, perihal Allah ﷻ itu adalah sempurna. Sedangkan, Dajjal pula serba-serbi dengan kekurangan. Dajjal itu buta sebelah matanya. Jika kamu (Dajjal) mampu menurunkan hujan dan menumbuhkan pokok, maka sembuhkanlah matamu terlebih dahulu!”

Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
((إني لأنذركموه، وما من نبي إلا وقد أنذره قومه، ولكن سأقول لكم فيه قولا لم يقله نبي لقومه، وإنه أعور، وإن الله ليس بأعور))

Maksudnya: “Sesungguhnya aku ingin memberi peringatan kepada kamu semua tentang Dajjal. Tidak ada seorangpun daripada kalangan Nabi, melainkan mereka akan mengingatkan tentang Dajjal kepada kaum masing-masing. Namun, aku ingin katakan kepada kamu semua sebuah perkataan yang tidak pernah diuchapkan oleh para Nabi yang terdahulu kepada kaumnya. Sesungguhnya, Dajjal itu buta sebelah mata. Sedangkan, Allah tidaklah buta sebelah mata.”
.
.
.
Kebetulan pada keesokan harinya, ketika Shaykhina membachakan Sahih al-Bukhariy, kami telah melalui sebuah Hadith di dalam Kitab al-Maghazi. Ma’nanya seakan-akan sama dengan Hadith yang dinukilkan oleh Mawlana al-Imam ‘Ali Jum’ah. Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

((…أن ربكم ليس بأعور، وإنه أعور عين اليُمنى، كأنّ عينه عنبة طافية))

Maksudnya: “Bahawasanya Tuhan kamu semua tidaklah buta sebelah mata. Sesungguhnya, Dajjal itulah yang buta sebelah mata kanannya, seakan-akan matanya itu seperti sebiji anggur yang tersembul.” (Sahih al-Bukhariy, 4402)

Selain itu, Al-Imam al-Bukhariy رحمه الله تعالى turut menyebutkan dua Hadith lagi yang membawa ma’na yang serupa tentang Dajjal yang buta sebelah matanya. Ia boleh dilihat di dalam Kitab al-Tawhid, di bawah bab mengenai ayat Mutashabihat pada Surah Toha dan Surah al-Qamar.
.
.
Kemudian, kita berikan perhatian kepada petikan Hadith tadi:
((إنه أعور، وإن الله ليس بأعور))

Dengan Hadith tersebut, kita dapat menolak da’waan Dajjal yang mengaku-ngaku sebagai Tuhan. Melalui qa’idah Mantiqiyyah, kita boleh menggunakan dua bentuk al-Qiyas untuk mengeluarkan natijah yang tuntas—iaitu al-Qiyas al-Iqtiraniy dan juga al-Qiyas al-Istithnaiy.

[PERTAMA]: Al-Qiyas al-Iqtiraniy

Sebelum itu, konsep asas bagi al-Qiyas (silogisme) adalah sebagaimana berikut:

i. Muqaddimah Sughra: Setiap A ialah B
ii. Muqaddimah Kubra: Setiap B ialah C
iii. Natijah: Setiap A ialah C

Itu merupakan chontoh bagi al-Shakl al-Awwal. Adapun, antara chontoh asas bagi al-Shakl al-Thani pula ialah:

i. Muqaddimah Sughra: Setiap A ialah B
ii. Muqaddimah Kubra: Tiada suatupun daripada C itu ialah B
iii. Natijah: Tiada suatupun daripada A itu ialah C

Maka, aplikasi al-Shakl al-Thani bagi menolak Dajjal ialah:
الدجال أعور
والله ليس بأعور
فالدجال ليس هو الله

Maksudnya:
i. Muqaddimah Sughra: Dajjal itu buta sebelah mata
ii. Muqaddimah Kubra: Allah itu tidak buta sebelah mata
iii. Natijah: Maka, Dajjal itu bukanlah Allah

[Soalan]: Mengapakah tiada lafaz Kulliyyah pada chontoh tadi, sedangkan antara sharat bagi al-Shakl al-Thani ialah: Muqaddimah Kubranya hendaklah berbentuk Kulliyyah? Ini seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Akhdhariy di dalam al-Sullam al-Munawraq bahawa:
والثاني أن يختلفا في الكيف مع # كلية الكبرى له شرط وقع

Maksudnya: “Al-Shakl al-Thani itu pertamanya mestilah berbeza pada segi al-Kayf serta, keduanya, Muqaddimah Kubranya mestilah Kulliyyah sebagai sharat baginya.”

Jawab Shaykhuna, kalimah “Allah”, mahupun “Dajjal” di dalam chontoh tadi tidak memerlukan kepada lafaz Kulliyyah—samaada كل ataupun لا شيء. Ini kerana, terdapat sebuah qa’idah yang menyebutkan bahawa:

‎الشخصية في قوة الكلية
Maksudnya: Lafaz individu itu mengambil kedudukan lafaz Kulliyyah
.
.
.
[KEDUA]: Al-Qiyas al-Istithnaiy

[Jalan Pertama]: Menafikan Allah itu sebagai Dajjal

إن كان الله دجالا، فهو أعور
لكنه ليس بأعور
فقد ثبت نقيضه، فهو ليس بالدجال

Maksudnya:
i. Jika Allah itu ialah Dajjal, maka Dia itu buta sebelah mata
ii.
Sedangkan, Allah itu tidaklah buta sebelah mata
iii. Justeru itu, thabitlah lawannya, maka Allah bukanlah Dajjal

[Jalan Kedua]: Menafikan Dajjal itu sebagai Allah

إن كان الدجال هو الله، فهو ليس بأعور
لكنه أعور
فقد ثبت نقيضه، فهو ليس بالله

Maksudnya:
i. Jika Dajjal itu ialah Allah, maka Dajjal itu tidak buta sebelah mata
ii. Sedangkan, Dajjal itu buta sebelah mata
iii. Justeru itu, thabitlah lawannya, maka Dajjal bukanlah Allah
.
.
.
[Soalan]: Apakah نقيض (lawan/perchanggahan) bagi “buta sebelah mata”?

Sebelum kita menjawab persoalan itu, hendaklah kita memahami, نقيضان (dua perkara yang saling berlaku perchanggahan) itu adalah:

لا يجتمعان ولا يرتفعان
Maksudnya: Dua perkara yang tidak akan berhimpun serentak dan juga tidak akan terangkat sechara serentak.

Chontohnya: Hitam dan bukan hitam. Kita tidak boleh mengatakan bahawa, sesuatu itu hitam dan bukan hitam serentak. Kita juga tidak boleh mengatakan bahawa, sesuatu itu hitam pun tidak, bukan hitam pun tidak sechara serentak.

Demikianlah bagi “buta sebelah mata”.

Guru Yang Mulia, Shaykhuna telah memberi sebuah tanbih bahawa: Sebahagian orang mungkin akan menyangka, lawan bagi “buta sebelah mata” itu ialah: “celik kedua-dua belah mata.” Sedangkan, itu sama sekali tidak benar bagi Allah!

Apa yang dikehendaki bagi “buta sebelah mata” itu ialah serba kekurangan. Lawan baginya ialah kesempurnaan—iaitu sifat yang selayaknya bagi Allah Ta’ala. Bukannya menthabitkan dua biji mata kepada Allah pula, kerana mustahil aqal bagi Allah itu berjisim dan mempunyai panchaindera.

Sebahagian kelompok ada yang menyebutkan seperti: “Allah mempunyai mata, tetapi mata yang selayaknya bagi Allah; mata yang tidak sama seperti mata makhluq”. Shaykhuna berkata, pegangan sebegini bukanlah tafwidh, sebaliknya ia merupakan salah satu bentuk takwil juga—namun takwil tersebut batil!

-Rasyid al-Kinti

Hari 1522—Pedu, Kedah
21 Ramadhan 1446/
21 Mac 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
NASIHAT SEMPENA PULANG BERAYA

Sebelum ini Shaykhuna tidak pernah buat begini, kerana santri tidak pernah balik selama empat tahun.

Adapun, ini merupakan kali yang pertama Santri ‘Aliyyah, serta kesemua Santri dan Santriwati Thanawi Zawiyah Nasiriyah akan balik ke kampung.

Guru Yang Mulia, Shaykhuna menyampaikan beberapa pesanan:

Jangan abaikan ibadah kepada Allah; tetaplan hadir solat tarawih, membacha al-Quran. Ibadah bukan hanya di Zawiyah. Ini kerana, Allah yang kita sembah, tetap memerhatikan kita walau di mana sahaja kita berada.

Justeru itu, jangan menjadi orang yang lain ketika balik ke kampung. Bantulah ibu ayah sepanjang berada di rumah.

Nasihat Shaykhuna, sebagaimana pesan Allah dan Rasulullah, hendaklah para santri menjaga batas dalam pergaulan. Menjaga akhlaq antara mahram dan juga bukan mahram. Mesti kenal dengan siapa kita boleh bersalaman dan sebagainya.

Jangan tertukar tempoh berchuti. Sebagaimana waktu permulaan chuti telah diberikan, maka tepatilah waktu ketika hendak kembali ke Zawiyah kelak.

Hafazan, pengajian Nahu Sorof, matan-matan seperti Sofwah al-Zubad jangan diabaikan selama 11 hari. Tempoh cuti ini bukan tempoh kemerdekaan; seperti seseorang yang bebas dari penjara. Namun, sebaliknya kita sedang keluar ke lapangan dari pusat tarbiyyah.

Tatkala pulang, apabila hendak membuat sesuatu, ingat kembali pesanan Shaykhuna. Jangan terus berseronok. Jangan datang ke Zawiyah dalam keadaan kosong, semacham kali pertama belajar.

Telefon dan seumpamanya, jangan sewenang-wenangnya. Jika diketahui melakukan sesuatu hal yang melampaui batas, maka Shaykhuna akan mengambil tindakan yang tegas. Nama mereka akan disebarkan sebagai hukuman. Jika tidak mahu malu, maka jangan dibuat. Kalau tidak perlu bermain telefon, maka itu lebih baik.

Jangan bermain telefon, sehingga mengabaikan panggilan ibu bapa.

Mercun dan seumpamanya, jika tidak perlu main, maka itu lebih baik. Ramai orang dimasukkan ke hospital kerana merchun. Berhati-hati; bukan dalam ertikata “mainlah merchun dengan elok-elok”, sebaliknya tinggalkanlah terus!

Santriwati, jangan hanya menjadi ‘santriwati’ tatkala berada di Zawiyah. Kekalkan nama sebagaimana begitu, sekalipun sudah balik ke rumah. Akhlaq dan ilmu hendaklah terus dijaga. Pakaian juga perlulah dikekalkan sopan seperti biasa.

Masalah hubungan dengan ibu bapa, hubungan dengan lelaki perempuan, hubungan dengan mahram—kesemua itu hendaklah dijaga dengan bersungguh-sungguh.

Jadilah matang, bukan dengan maksud duduk bersembang-sembang dengan orang tua semata-mata. Sebaliknya, matang dari segi akhlaq dan perilaku kita.

Bukan mahram itu maksudnya orang tersebut boleh kita kahwini. Maka, tidak boleh bersentuh-sentuh, berchuit-chuit, bertepuk-tampar; kita kena ada perasaan malu. Santri dan santriwati semua, bukanlah anak kechil lagi.

Anak dara, berakhlaqlah. Tidak perlu melampau-lampau dalam berhias. Sampaikan ada yang bergincu, sehinggakan orang tertukar antara bibirnya dan punggung babun! Santriwati semua sudah segak tanpa perlu melakukannya.

Santri, jangan dibuang kopiah dan songkok dari kepala. Teruslah memakainya walau di mana sahaja santri berada.

Orang yang belajar, perlu mengetahui bagaimanakah hukum-hakam bermuamalah, berhias dan sebagainya. Ada orang berkata: Kalau begitu, baiklah saya tidak belajar dan kekal dalam kejahilan. Jika saya tahu, maka saya kena buat banyak perkara!

Shaykhuna menjawab: Orang yang jahil itu dalam keadaan berdosa, sebab tidak mahu menuntut ilmu. Tidak sama keadaan orang yang berilmu dan tidak berilmu. Bahkan, orang yang mengamalkan ilmunya, akan dikurniakan dengan tambahan ilmu daripada Allah Taala.

Shaykhuna memohon ampun jika ada tersilap dan salah. Beliau menguchapkan salam ‘Ayd al-Fitri serta menyampaikan salam kepada seluruh ahli keluarga.

Semoga dengan berkat Ramadhan, Allah Taala mengampunkan kita, dan mengurniakan kita semua dengan akhlaq yang terpuji.

Hari 1529–Pedu, Kedah
27 Ramadhan 1446/
28 Mac 2025
PAHALA YANG MENGALIR

1. Dalam kalangan santri pondok, terdapat kisah-kisah yang tidak didendangkan. Kekal tersembunyi, kerana itulah yang lebih aman pada natijah amal. Mereka tidak sesekali melakukannya dengan tujuan mendapatkan pandangan manusia, kerana ilmu, telah meluruskan niyyatnya menjadi begitu.

2. Namun, kita sebutkan sebahagian kisahnya sahaja, tanpa disebutkan siapakah pelaku-pelakunya. Dengan tujuan, dapatlah kita semua mengambil i’tibar daripadanya, sekaligus membantu dalam perjuangan memperkasakan pondok pesantren. Ataupun, lebih khusus lagi tempat yang kita kasihi, Zawiyah Nasiriyyah Institute, di bawah pimpinan Guru Yang Mulia, Shaykhuna Nazrul Nasir حفطه الله تعالى.

3. [Pertama]: Ada dari kalangan santri, yang telah berjaya mengkhatamkan tilawah al-Quran kurang dari masa seminggu dalam Ramadhan kali ini. Mungkin itu biasa sahaja bagi sebahagian orang, namun ketahuilah, hal ini telah dilakukan oleh santri-santri di peringkat Thanawi Zawiyah Nasiriyyah. Bahkan, dalam tempoh kurang dari dua minggu, ada dari kalangan mereka, yang berjaya mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam kali! Malam mereka dipenuhi dengan amal ibadah, saling berlumba dengan teman-temannya.

4. [Kedua]: Kemudian, ada dari kalangan santri kechil, walaupun usinya masih muda, tetap bersungguh-sungguh mengikuti pengajian bersama dengan santri dewasa. Berapa ramai yang telah berkorban jiwa dan raga, berenggang dengan ahli keluarganya yang terchinta, semata-mata mahu berteleku menuntut ilmu di hadapan guru. Mereka melakukannya, dengan pengorbanan rasa dan air mata.

5. [Ketiga]: Seterusnya, ada dari kalangan santri, yang siang dan malamnya tidak pernah lelah dalam menchurahkan khidmat—tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripada sesiapa. Sungguhpun mereka menchuba sebaik mungkin untuk menyembunyikan amal mereka, terkadang dizahirkan juga oleh Allah sebagai pengajaran buat orang lain. Ada dari kalangan mereka yang mencuci mangkuk tandas, seawal pukul tiga-empat pagi. Tatkala, orang ramai, masih lagi lena diulit mimpi.

6. [Keempat] Bukan itu sahaja, ada dari kalangan santri(wati)—penuntut ilmu yang datang dari luar, tidak kiralah berapapun usia mereka; tidak pernah putus himmahnya untuk hadhir ke Zawiyah untuk menuntut ilmu. Ada yang datang dari Kuala Nerang, ada yang datang dari Alor Setar, ada yang datang dari Selama Perak, ada yang datang dari Kuala Lumpur dan ramai lagi. Mereka tetap hadhir walau berjauhan. Ada yang hadhir pada setiap hari, atau sekali setiap minggu. Atau sekurang-kurangnya, tetap istiqamah setiap kali Shaykhuna menjalankan dawrah ketika bulan Ramadhan menjelma.

7. Namun, ramai orang menyangka, dengan berdirinya Masjid di pondok, maka selesailah keperluan utama di pondok. Sedangkan, masih terdapat banyak lagi urusan pendidikan, kebajikan, pengurusan dan pembangungan yang memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai. Sekalian Tuan Guru di pondok, tetap sahaja mengajar, walaupun tidak mendapat sebarang imbalan. Mereka terus memasharakatkan adab dan membudayakan ilmu.

8. Sehingga ke hari ini, santri Thanawi masih lagi menetap di tingkat atas Ribat Agung al-Shaykh Ahmad, kerana belum mempunyai sebarang bangunan asrama yang khusus. Sedangkan, ranchangan asalnya, tempat tidur mereka itu sepatutnya dijadikan sebagai Kutubkhanah Zawiyah Nasiriyyah (yang dinamakan sebagai Ribat Al-Shaykh Usamah).

9. Kemudian, santriwati Thanawi pula menetap di dalam Dewan Dalail al-Khayrat, juga kerana tiada sebarang asrama yang khusus lagi buat mereka. Sebelumnya, ia merupakan rumah Shaykhuna. Lalu, dijadikan sebagai tempat pengajian bagi Santri ‘Aliyyah. Kini, menjadi asrama dengan pantuan Mak Teh Rosita Rashid sebagai satu-satunya warden santriwati.

10. Itu belum lagi kita bicharakan tentang hal-hal yang lain. Sehingga kini, Unit Media Zawiyah masih belum mempunyai sebarang bilik studio yang khusus. Dahulunya pernah ada sebuah, kemudian sebagai memberi laluan kepada Kuttab Zawiyah Nasiriyyah, ia telah dikosongkan untuk tujuan kelas pengajian.

11.
Bahkan, Kuttab sendiri, hampir setahun mereka telah menumpang di bangunan-bangunan lain sechara berasingan, sebelum diwujudkan kelas mereka sechara khusus. Begitulah Santri ‘Aliyyah, hampir dua tahun mereka telah duduk di rumah sewa—yang dinamakan sebagai Bayt al-Santri, sebelum berpindah ke asrama mereka sechara khusus di Ribat Al-Shaykh Yusri. Kesemua ini, telah berjalan dengan falsafah pendidikan yang dihasratkan oleh Shaykhuna iaitu; al-Insan Qabla al-Bunyan (pembinaan insan itu didahulukan sebelum daripada pembinaan bangunan).

12. Kemudian, tentang waqaf kenderaannya dan bangunannya; seperti premis TokoZawiy dan Resam Coffee House, sehingga ke hari ini, sejumlah besar kosnya masih lagi tidak dapat diselesaikan. Lalu, bagaimanakah fasa pembangunan yang seterusnya dapat dilaksanakan, sekiranya fasa terdahulunya masih lagi berjalan? Sesungguhnya, bukan sedikit usaha yang perlu dikerahkan bagi menchapai sebuah chita-chita yang besar.

13. Akhirnya, dengan keberkatan malam 29 Ramadhan ini, dapatlah kita bersama-sama menyumbang buat dana pembangunan di Zawiyah Nasiriyyah. Alangkah besarnya pahala yang mengalir, lebih-lebih lagi sekiranya, waktu ini bertepatan dengan Malam Yang Lebih Agung dari Seribu Bulan. Tatkala dimuliakan malamnya, begitulah siangnya juga diberikan kedudukan yang agung.

Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan yang bermurah hati, bolehlah disalurkan kepada: Dar Nasiriy Marketing, Bank Islam, bernomborkan 02075010057894. Semoga Allah ﷻ memberkati segala sumbangan tersebut dan memurahkan rezeki para penyumbang dengan berkat Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ.

-Rashid al-Kinti

Hari 1530–B. Gajah, Perak
29 Ramadhan 1446/
29 Mac 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
MENGAPA KITA MEMUJI BAGINDA ﷺ?

Seorang bertanya, “Bagaimana kita mahu memahamkan orang lain, ketika diajukan dengan persoalan seperti: Mengapa kita memuji Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ? Bukankah, sudah memadai kita memuji Allah ﷻ, lantaran Allah ﷻ satu-satunya yang layak untuk mendapatkan pujian?”

Guru Mulia al-Shaykh Hairul Nizam al-Azhariy حفظه الله تعالى ketika mensharahkan muqaddimah bagi kitab Fath al-Qarib al-Mujib; iaitu pada perbahathan bagi perbezaan ال pada kalimah الحمد, beliau telah menjawab persoalan tersebut dengan tersusun sebagaimana berikut:

[Pertama]: تخلّق بأخلاق الله iaitu kita beramal sebagaimana akhlaknya Allah ﷻ dalam memuji Kekasih-Nya Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ.

Al-‘Allamah al-Shaykh Sa’ad bin Sa’ad Jawish al-Husayniy رحمه الله تعالى (wafat tahun 2019) telah menyebutkan bahawa, Allah ﷻ sendiri telah memberikan pujian yang agung kepada Baginda ﷺ. Ini sebagaimana yang tersebut di dalam Surah al-Qamar ayat yang keempat:

(((وإنك لعلى خلق عظيم)))
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, kamu wahai Nabi Muhammad ﷺ, benar-benar di atas akhlak yang sangat agung!”

[Kedua]: Tidak sama antara perihal memuji Allah ﷻ dan perihal memuji Baginda ﷺ. Adapun, berikut merupakan perinchian sebab kita memuji kedua-duanya:

1. Kita memuji yang pertama tadi kerana Allah ﷻ merupakan asas bagi segala kebaikan yang wujud.
2. Kita memuji yang kedua tadi kerana Baginda ﷺ merupakan makhluk yang paling bertaqwa, Kekasih Allah ﷻ dan telah berlalu sepotong Hadith bahawa:

((من لم يشكر للناس، لم يشكر لله))
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak bershukur kepada manusia, maka dia tidak bershukur kepada Allah ﷻ”

Kemudian, tentulah tidak ada manusia yang lebih layak untuk dizahirkan rasa shukur, melainkan orang tersebut tentulah Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ. Tanda keshukuran kita terhadap Baginda ﷺ itu pula, merangkumi dua hal yang utama iaitu:

1. Mengikuti Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ
2. Memuji Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ

Lalu, ketika seseorang berkata, “Jangan melampau-lampau dalam memuji Baginda ﷺ!” Maka, apakah jawapan bagi perkataan tersebut? Bagaimana kita hendak mengetahui sempadan bagi ‘melampau-lampau’ itu?

Al-‘Allamah al-Shaykh Yusri Rushdiy al-Hasaniy حفظه الله تعالى telah menjawab bahawa, tidak ada masalah hendak memuji Baginda ﷺ, selagimana seseorang itu tidak menshirikkan Allah ﷻ. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Busiriy رحمه الله تعالى di dalam Burdah bahawa:

دَع ما ادّعته النصارى في نبيّهم # واحكم بما شئت مدحاً فيه واحتكم

Maksudnya: “Tinggalkanlah pujian sebagaimana sebutan Nasrani dalam mendewa-dewakan Nabi mereka (sehingga menganggapkan Nabi Isa عليه السلام mithalnya sebagai Tuhan). Kemudian, terserahlah kepada kalian untuk memuji Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ sesuka hatimu!”

[Faidah]: Sepanjang Masa Bersolawat Tanpa Putus

Al-Imam Shams al-Din Muhammad bin Qasim رحمه الله تعالى memulakan penulisan bagi kitab Fath al-Qarib al-Mujib dengan menguchapkan Solawat:

وأصلّي وأسلّم على أفضل خلقه محمد سيد المرسلين القائل: ((من يرد الله به خيرا يفقهه في الدّين)) وعلى آله وصحبه مدّة ذكر الذّاكرين وسهو الغافلين

Kemudian, kita perhatikan pada sebutan "مدة ذكر الذّاكرين وسهو الغافلين…" yang terletakndi penghujung Solawat tadi. Ia bermaksud: “…sepanjang tempoh orang yang mengingati Allah ﷻ dan tempoh orang yang lalai dalam mengingati-Nya.”

Guru Mulia al-Shaykh Hairul Nizam al-Azhariy حفظه الله تعالى menyebutkan apa yang dikehendaki di dalam Solawat tadi adalah, seolah-olah al-Imam Ibn Qasim ingin mengatakan bahawa:

“Saya terus memohon Solawat dan Salam kepada Baginda ﷺ—tanpa putus, kerana pada setiap waktu, pastinya akan terdapat orang yang mengingati Allah dan juga orang yang lalai dalam mengingati-Nya!”

Jika kita melihat kepada semua kemungkinan (antara jumlah الذاكرون dengan الغافلون), maka, di sana boleh wujud empat keadaan sama ada:

1. Semua orang (100%) dalam keadaan mengingati-Nya
2. Jumlah orang yang berzikir itu lebih ramai daripada orang yang ghaflah
3. Jumlah orang yang ghaflah itu lebih ramai daripada orang yang berzikir
4. Semua orang (100%) dalam keadaan ghaflah
Kesemua empat kemungkinan ini, telah terangkum di dalam Solawat al-Imam Ibn Qasim tadi.

Bahkan, lebih awal sebelum al-Imam Ibn Qasim lagi, iaitu al-Imam Muhammad bin Idris al-Shafi’iy رحمه الله تعالى telah menyebutkan sebuah Solawat semithal tadi di dalam kitab al-Risalah:

‎صلَّى اللهُ على نبينا كُلَّمَا ذكرَه الذَّاكِرُون، وغَفَل عن ذِكْره الغافلون

Kebiasaannya di penghujung majlis pengajian akan dibachakan:

اللهم صل أفضل الصلاة على أسعد المخلوقات سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم، عدد معلوماتك ومدادك لما ذكرك الذاكرون وغفل عن ذكرك الغافلون

Inilah sebagaimana yang diamalkan di hujung pengajian bersama dengan Mashayikh di al-Azhar dan orang Melayu sendiri, telah mengamalkannya semenjak sekian lamanya di dalam tartib bagi amalan Tahlil Arwah.

[Nota Hujung]: Guru Mulia al-Shaykh Hairul Nizam al-Azhariy حفظه الله تعالى akan membachakan kitab Fath al-Qarib al-Mujib, sharah bagi Matan al-Taqrib (atau lebih dikenali sebagai Matan Abi Shuja’). Ia akan berlangsung pada setiap hari Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima di Surau Taman Seroja, Kuala Kangsar, Perak.

-Rasyid al-Kinti

Hari 1538–Lojing, Kelantan
7 Shawwal 1446/
6 April 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
DIBERI TANDA SEBELUM MENINGGAL

Alhamdulillah, dapat menziarahi pusara al-Marhumah Nenda yang dikasihi, Wan Asmah binti Muhamed رحمها الله تعالى buat kali yang pertama—setelah beliau meninggal dunia pada tiga tahun yang lepas. Beliau dikebumikan di hadapan kawasan Masjid Ladang, Kuala Terengganu.

Pusara beliau terletak berhampiran dengan tempat bersemadinya al-Marhum Datuk, Ki Haji Mohamed Noor bin Haji Awang Omar رحمه الله تعالى. Bahkan, tidak jauh dari situ, terdapatnya Maqam al-‘Allamah al-Shaykh ‘Abdullah Tok Pelam رحمه الله تعالى (wafat 1819M), salah seorang daripada Wali Allah di bumi Terengganu.

Berita tentang kewafatan al-Marhumah Nenda, telah hamba terima dengan penuh kedukaan di saat sedang mengikuti pengajian bersama dengan Guru Yang Mulia Shaykhina bagi kitab Risalah Adab Suluk al-Murid, karya al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رحمه الله تعالى. Hamba masing ingat, kala itu, bertepatan dengan waktu Dhuha di dalam bulan Ramadhan yang berkat.

Dicheritakan oleh ahli keluarga bahawa, khususnya dari Ayahanda Baba Mohamed Kamel bahawa, al-Marhum Nenda meninggal dunia dalam keadaan yang sangat indah. Bahkan, sekitar seminggu sebelum beliau wafat, beliau telah diberikan dengan tanda yang besar; iaitu Nenda telah dilupakan daripada mengingati ayat 128-129 dari Surah al-Tawbah.

Sedangkan, ayat tersebut sering diamalkan oleh Nenda semenjak usia mudanya. Alhamdulillah, Guru Yang Mulia Shaykhuna juga telah berpesan kami untuk mengamalkannya setiapkali setelah solat, khususnya solat Fardhu.

Tartibnya, dibachakan dahulu Ayat al-Kursiy. Kemudian, disambung dengan dua ayat terakhir dari Surah al-Tawbah. Setelah dibachakan ayat tadi, maka susulilah dengan menyebutkan sebanyak tiga kali Solawat ini:

صلّى الله عليك يا رسول الله

Sesungguhnya, kita tidak akan mengetahui bilakah kita akan meninggal dunia sechara pasti, kerana itu temasuk di dalam rahsia-rahsia ketentuan Allah ﷻ. Namun, di sana terdapat daripada kalangan orang yang soleh, yang diberikan tanda-tanda untuk mengetahui waktu ajalnya.

Hujjah al-Islam Al-Imam Muhammad bin Muhammad al-Ghazaliy رحمه الله تعالى sendiri mithalnya, sebelum beliau wafat pada waktu Dhuha, beliau telah berpesan kepada ahli keluarganya untuk mempersiapkan kain kafannya. Beliau wafat pada tahun 505 Hijrah dalam keadaan penuh kesediaan dan berwuduk.

Hal ini tidaklah mustahil untuk berlaku. Bahkan, Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ sendiri telah bersabda bahawa:

((يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا))

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, ambillah manasik Haji kalian semua, sesungguhnya aku tidak tahu, adakah aku tidak sempat menunaikan Haji lagi selepas dari tahun ini (iaitu tahun kesepuluh Hijrah).”

Sebagaimana yang kita semua telah ma’lum, benar sekali apa yang disebutkan oleh Baginda ﷺ. Itulah Haji Baginda ﷺ kali yang pertama dan juga yang terakhir. Baginda ﷺ akhirnya, wafat pada bulan Rabi’ al-Anwar tahun ke-11 Hijrah di Madinah.
.
.
[Warith Santri Yang Meninggal Dunia]

Berikut merupakan sebahagian warith Santri yang telah meninggal dunia sepanjang tempoh empat tahun bagi pengajian peringkat ‘Aliyyah:

1 Al-Marhum Mat Isa bin Awang Kechik (2021)
2 Al-Marhumah Nik Amnah binti Nik Ismail (2021)
3 Al-Marhum [Tok Yan] Mohamed Isa bin Mohammad Idris (2022)
4 Al-Marhumah [Wan] Asmah binti Muhamed (2022)
5 Al-Marhum Ahmad bin Saad (2024)
6 Al-Marhum [Tok Uda] Omar bin Mohammad Idris (2024)

Kebanyakkan daripada arwah semasa mereka dikebumikan, tidak sempat ditemui oleh Santri. Memandangkan, mereka menetap di luar negeri, sedangkan, sharat bagi pengajian Santri ‘Aliyyah pula tidak boleh pulang selama empat tahun.

Namun, shukur Alhamdulillah, kesemua usul yang paling hampir dengan Santri—iaitu ibu dan bapa, masing-masing dipanjangkan umur oleh Allah ﷻ. Setidak-tidaknya, kita tidaklah diuji, sebagaimana besarnya ujian yang dipikul di atas pundak bahu sebahagian daripada teman kita.

Mithalnya, al-Ustaz Ikram Zulkifli al-Azhariy حفظه الله تعالى dan al-Ustaz Rizwan al-Yamaniy حفظه الله تعالى.
Kedua-duanya tidak sempat bertemu dengan Ayahanda mereka yang terchinta. Ini kerana, pada waktu tersebut, masing-masing sedang menuntut ilmu di Mesir dan Yaman—bahkan sehingga ke saat ini pun, mereka masih kekal menuntut ilmu di luar negara.
.
.
[Kisah: Tidak Sempat Hadir Pengebumian Anak]

Al-Shaykh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah رحمه الله تعالى telah menyebutkan sebuah riwayat di dalam kitab Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama (hal. 31) bahawa:

رَوَى محمد بن قدامة، قال: سمعت شجاع بن مَخلَد، قال: سمعت أبا يوسف يقول: "مات ابنٌ لي، فلم أحضر جهازه ولا دَفْنَه، وتركته على جيراني وأقربائي، مخافة أن يفوتني من أبي حنيفة شيءٌ لا تذهب حسرته عني"

Maksudnya: Al-Imam Muhammad bin Qudamah رحمه الله تعالى telah meriwayatkan bahawa: Saya telah mendengar daripada al-Imam Shuja’ bin Makhlad رحمه الله تعالى telah berkata: Saya telah mendengar al-Imam Abu Yusuf رحمه الله تعالى berkata:

“Tatkala anakandaku meninggal dunia, saya tidak menghadiri ke urusan menyiapkan janazahnya dan bahkan tidak terlibat dalam urusan pengebumiannya. Saya meninggalkannya kepada jiran-jiranku dan sanak-saudaraku. Ini kerana, saya bimbang (jika sibuk mengurusan janazah) terlepas sekelumit masa dari majlis pengajian bersama dengan al-Imam Abi Hanifah رحمه الله تعالى; yang tidak akan hilang penyesalanku terhadapnya.”

Demikianlah para Ulama yang agung, mereka telah mengorbankan keseluruhan hidup mereka, semata-mata untuk menuntut ilmu. Tidaklan ada rasa kasih yang sangat besar setelah ibu bapa dan guru, melainkan kepada isteri dan anak-anak. Hatta, sehingga ke saat yang sebegitu besarpun sanggup mereka korbankan.
.
.
Adapun, keterangan sechara ringkas bagi kesetiap warith Santri tadi adalah sebagaimana berikut:

[Pertama]: Al-Marhum Mat Isa bin Awang Kechik wafat pada tanggal 30 Jun 2021. Beliau merupakan datuk Mu’allim Wildaan dari sebelah ibunya. Beliau meninggal dunia pada hari Rabu di Hospital Yan, Kedah. Sedangkan, ketika itu Santri Wildaan masih mengikuti rombongan Shaykhuna dan pulang ke Pedu pada hari Khamis.

[Kedua]: Al-Marhumah Nik Amnah binti Nik Ismail wafat pada tanggal 21 Ogos 2021. Beliau merupakan datuk Santri Wan Muhammad Afiq dari sebelah ibunya. Ketika itu masih dalam fasa kuarantin akibat Covid-19 dan para Santri masih menetap di Bayt al-Santri (rumah sewa milik al-Marhum Pak Ndak Yusuf).

[Ketiga]: Al-Marhum Tok Yan Mohamed Isa bin Mohammad Idris (1942-2022). Beliau merupakan datuk saudara hamba dari sebelah Bonda. Anak keenam dari 13 adik-beradik. Abang kepada Atok (Alias bin Mohammad Idris).

[Keempat]: Al-Marhumah Wan Asmah binti Muhamed wafat pada hari Rabu yang berchahaya tanggal 4 Ramadhan 1443, bersamaan dengan 6 April 2022. Beliau merupakan nenek hamba dari sebelah Ayahanda Baba Mohamed Kamel bin Haji Mohamed Noor.

[Kelima]: Al-Marhum Ahmad bin Saad wafat pada tanggal 18 Julai 2024. Beliau merupakan datuk Santri Amirul Harris Aiman dari sebelah ayahnya. Ketika itu, sedang berlangsungnya pengajian kitab al-Iqna’ bersama dengan al-‘Allamah al-Shaykh ‘Abd al-Rashid Musliyar al-Malibariy حفظه الله تعالى.

[Keenam]: Al-Marhum Tok Uda Zubir @ Omar bin Mohammad Idris (1939-2024). Anak kelima dari 13 adik-beradik. Beliau juga ialah abang kepada Atok.

Semoga mereka semua dilimpahkan rahmat dengan seluas-luasnya oleh Allah ﷻ dengan berkat Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ.

-Rasyid al-Kinti

Hari 1539–Ladang, Terengganu
8 Shawwal 1446/
7 April 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
SANAH HELWAH SHAYKHANA

Guru Yang Mulia Shaykhuna Nazrul Nasir telah banyak jasabaktinya kepada ummah, lantas, uchapan yang penuh dengan kelompangan ini, hamba kiranya, tidaklah setanding dengan segala apa yang beliau telah curahkan.

Sechara ringkasanya perjalanan di Zawiyah Nasiriyyah, telah Shaykhuna putuskan setelah melakukan istikharah dan istisharah bersama dengan Mashayikh, semenjak pemergian Ayahanda Pak Teh Nasir رحمه الله تعالى buat selama-lamanya.

Taqdir Ilahi juga telah menetapkan bahawa, kami yang berjumlah seramai 14 Santri ‘Aliyyah menumpangteduh di bawah naungan pentarbiyahan beliau.

Sehinggalah salah seorang daripada kami; Santri Afifuddin, mengambil keputusan untuk menyambung ke Yaman—tentulah itu merupakan antara saat yang terberat perlu ditanggung oleh Shaykhina dan kami semua.

Kemudian, sepanjang-panjang empat tahun, berlalu pantas begitu sahaja, akhirnya tibalah detik perpisahan sebahagian daripada kami, pulang ke kampung halaman masing-masing—walau dengan berat hatinya.

Insan pertama yang mendirikan rumahtangga di antara kami; Santri Amirul Harris telah memilih untuk bersama dengan pilihan hatinya. Sekali lagi, air mata Shaykhuna jatuh tumpah ke bumi. Melihat, dengan matanya, semua yang berlari dengan pantas.

Seterusnya, hamba pula, walau dengan segala kekurangan adab dan perilaku, tetap sahaja Shaykhuna dan rombongan sanggup menchemarduli, dengan niyyat untuk menyerikan hari yang bahagia buat salah seorang santrinya.

Jauh dari Kedah Darul Aman bermusafir, tiba di bumi Terengganu Darul Iman lewat tengah malam walau dengan segala kesibukan.

Shaykhuna memberi pesan-pesan dengan lafaz yang singkat, tetapi penuh dengan ma’na yang halus, sewaktu majlis keshukuran pernikahan hamba dan isteri.

Pesan-pesan yang dititipkan itu, bahkan dapat dimanfa’atkan oleh kesemua hadhirin—tidak kiralah sama ada mereka yang baru hendak berkahwin, ataupun bakal berkahwin, ataupun mereka yang telah berkahwin.

Walaupun dengan serba-serbi kekurangan di dalam majlis, Shaykhuna tetap bersabar dalam menyampaikan ilmu. Faham sahaja, dengan karenah awam, yang masih lagi perlukan suluhan adab yang tidak sedikit—bahkan penuntut yang telah bergelumang dalam ilmu.

Tanpa adab, lemah-gemalailah ilmu yang dituntut.

Shaykhuna berpesan, muliakanlah kedua-dua ibu bapa mertua, sebagaimana dimuliakan ibu bapa kandung sendiri. Isteri perlu memahami, suaminya masih punya ibu dan ayah. Kemudian, suami juga memahami, ibu bapa mertuanya juga wajiblah ditinggikan.

Nasihat ini, membuatkan hamba terimbau dengan pesan yang pernah dititipkan oleh al-Marhum al-‘Allamah Abuya Tuan Guru al-Shaykh Fahmi Zamzam al-Banjariy al-Nadwiy al-Malikiy رحمه الله تعالى kepada kami.

Seorang lelaki yang telah berkahwin itu, baginya terdapat tiga orang ayah yang wajib untuk dimuliakan, iaitu:

1. Ayahnya pada nasab ilmu, iaitu gurunya yang mendidiknya
2. Ayahnya pada nasab keturunan, iaitu ayah kandungnya
3. Ayahnya pada sebab perkahwinan, iaitu ayah mertuanya

Akhirnya, hamba yang kechil masih bertatih-tatih ini, ingin menguchapkan Selamat Hari Lahir, buat Guru Yang Mulia Shaykhuna حفظه الله تعالى. Mudah-mudahan, beliau dan seisi keluarga dimurahkan rezeki dan dilapangkan segala urusan yang mendatang.

Semoga Allah Ta’ala melimpahkan rahmat-Nya yang luas buat beliau dengan berkat Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ.

-Rasyid al-Kinti

Hari 1550–Kemaman, Terengganu
19 Shawwal 1446/
18 April 2025

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti
2025/06/29 04:01:06
Back to Top
HTML Embed Code: