khir 1442/
17 Disember 2020
Sanah Helwah diucapkan buat Guru Mulia yang Pertama dalam kehidupan, Bonda Asmawati Alias حفظها الله تعالى🌹.

Semoga Ibu dipanjangkan umur di dalam restu Allah ﷻ, dimurahkan rezeki, dileraikan segala simpulan, dilepaskan dari segala kesusahan, dikabulkan segala hajat, tercapai segala keinginan, diberi Husnul Khatimah dan dicurahkan hujan rahmat dengan berkat Sayyiduna Nurul Musthofa Rasulullah ﷺ.

Sekaligus, Ibu mendapat kebahagiaan di dunia dan khususnya di akhirat insya-Allahu Ta'ala.

Amin.

14 Jamadil Awal 1442/
29 Disember 2020
NASIHAT PENTING BAGI PENUNTUT ILMU (3)

Telah disampaikan beberapa pesan-pesan yang sangat penting oleh Tuan Guru Shaykh Tirmizi Taha Ptbr ḥafiẓahuLlāh dengan penuh kasih sayang bagi seluruh penuntut ilmu. Nasihat tersebut telah disampaikan ketika kami menziarahi ke rumah beliau.

Lokasinya terletak di Batu Rakit, Terengganu. Ia telah disampaikan pada waktu petang Rabu yang bercahaya, 4 November 2020. Kami telah membahagikan nasihat yang berharga tersebut kepada 10 bahagian agar memudahkan kita untuk mengambil faedah-faedah.

[ NASIHAT PERTAMA : SAMBUNG BELAJAR ]

Ilmu mudah untuk didapati hari ini, cuma tinggal berkat atau tidak sahaja. Sijil itu juga penting, ia boleh diibaratkan seperti "lesen". Atas jalan raya, kalau hebat macam mana pun seseorang itu memandu, kalau dia tiada lesen, maka akan ditahan oleh pihak JPJ juga.

Nasihat Guru Mulia : Kita kena menjadi pakar bidang. Belajar sampai habis, tetapi ia tidak menghalang kita untuk bernikah – hatta sampai ke peringkat yang paling tinggi sekalipun seperti PhD. Namun, kita jangan pernah berasa kagum dengan sijil yang diperolehi, kerana itu hanyalah sekadar lesen sahaja. Paling penting, mesti ada ikhlas.

Kalau berasa lemah, pergi jumpa pensyarah dan ambil semangat daripada mereka. Dengarlah nasihat daripada mereka, insya-Allah akan terbuka jalannya. Kalau kita lemah untuk sambung belajar, tiba-tiba naik golongan pakar dari kalangan orang yang tidak memahami Islam. Dia mungkin mempunyai PhD bidang Pengajian Islam, tetapi tidak berjiwa Islam. Maka, rosak habis masyarakat.

Tidak ada alasan untuk kita tidak menyambung belajar. Sebenarnya mudah sahaja. Penyelia Tesis ( Supervisor ) akan beri lulus kepada kita, sebab itu sebenarnya markah kepada mereka juga. Lagi cepat kita lulus, lagi besarlah markah mereka. Maka, mereka akan membantu kita untuk lulus.

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti

[ NASIHAT KEDUA : MANFAATKAN INTERNET ]

Dunia baru, kita boleh tengok apa sahaja yang orang terdahulu tidak dapat tengok. Contohnya berapakah jarak di antara Jeddah ke Makkah. Bagi pandangan al-Imam Ibn Hajar rahimahullah, ia tidak cukup dua Marhalah. Beliau bercakap berdasarkan apa yang diketahui pada waktu tersebut. Pada hari ini, kita boleh ukur dengan menggunakan Google Map.

Sekarang, kebanyakkan ilmu yang diajarkan di pondok dan universiti, ada dalam YouTube. Dengar sehingga habis, kemudian apabila selesai pergi jumpa Tuan Guru dan beritahu, “Saya telah belajar kitab sekian-sekian ( daripada rakaman Tuan Guru ) sehingga khatam, apakah pesanan yang Tuan Guru ingin sampaikan kepada saya?”

YouTube ialah lembah ilmu dan maksiat. Ia merupakan jalan ke Syurga ataupun Neraka. YouTube ialah alat bagi kita mendapatkan ilmu pada hari ini. Kitab Bahasa Melayu, Bahasa Arab semua ada. Pengajian kitab Ihya Ulumuddin, Alfiyah, Ashmuni, Mantiq, ringkasnya semua kitab ada.

Internet ada yang baik dan buruk. Hendak belajar sekarang cukup mudah. Ni'mat besar Allah Ta’ala beri kepada kita, sebab iman kita lemah sekarang. Allah Ta’ala beri kepada kita sebuah alat yang memudahkan kita untuk mendapatkan ilmu. Kalau tidak, sudahlah fitnah akhir zaman cukup kuat, ilmu pula kurang – maka, rosaklah kita.

Ada orang berkata : “Mana boleh belajar daripada YouTube.”

Baik, persoalannya sekarang : Tok Guru izinkan tidak orang lain merakam suaranya semasa mengajar? Kalau tak diizinkan, maka perakam itu ialah orang yang jahat ( kerana merakam sesuka hati ). Kalau diizinkan, maka untuk siapakah rakaman itu dipertontonkan? Adakah kepada orang yang hadir di dalam majlis ataupun orang luar?

Kemudahan yang ada, kita ambil. Maka, tidak timbul isu masa terlalu sibuk. Kita sendiri boleh susun jadual waktu belajar. Contohnya pukul 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari, masa kita belajar melalui rakaman para Guru dengan YouTube. Otak manusia lazimnya 45 minit yang pertama sahaja 'fresh', maka susunlah jadual dengan baik.

Pengajian di Timur Tengah dan dunia antarabangsa hari ini, semuanya menggunakan sistem pengajian atas talian. Mereka berbincang lumat tentang sesuatu perkara sehingga "rapat ke dinding" dan mereka me
mbaca banyak kitab termasuklah makhṭūṭah ( manuskrip asal ) dari seluruh dunia. Ia suatu perkara yang sangat mengkagumkan.

[ NASIHAT KETIGA : KUASAI BAHASA ]

Apa-apa bidang ilmu yang kita pelajari, ada bahasanya. Contohnya Bahasa Arab bagi Pengajian Islam dan Bahasa Inggeris bagi Perundangan. Maka, kita perlu kuasai bahasa. Bahasa mesti kena kuat sungguh, mesti faham, bercakap dan menulis.

Sekarang sudah ada WhatsApp dan lain-lain, kita boleh bergaul dengan orang mana pun pada setiap hari. Jangan jadi seperti orang Arab yang mana mereka sendiri tidak boleh bercakap dengan bahasa al-Quran. Bagi mereka, bahasa Arab Fushah sangat memenatkan, seperti kitalah duduk di kampung, kemudian berkata,

“Bapa awak mahu ke mana?” ( Orang Terengganu patut akan menyebut : Pok mung nok gi mana? – ia lebih memudahkan. )

[ NASIHAT KEEMPAT : JADILAH HURUF "T" ]

Dalam belajar, kita hendaklah menjadi seperti huruf "T". Padanya terdapat keluasan pada garisan melintang ( horizontal ) dan kedalaman pada garisan menegak ( vertikal ).

Keluasan itu sebenarnya ialah Fardu 'Ain yang wajib dikuasai. Bezanya pelajar Pengajian Islam perlu mengetahui lebih lagi. Tidak timbul isu seorang doktok hospital yang tidak pandai mengambil wuduk. Manakala, kedalaman itu ialah kepakaran kita.

[ NASIHAT KELIMA : MESTI BANYAK MEMBACA ]

Membaca kitab-kitab Arab, maka bahasa kita mesti gagah. Terdapat bacaan ilmu dan bacaan "hurroh" ( bebas ). Membaca merupakan baja untuk otak. Setiap hari kena membaca, jangan ditinggalkan. Ada waktu, bahagikan juga masa untuk membaca sejarah, itu tabi'at orang yang membaca.

Mulakan dengan membaca sesuatu yang kita minat. Jika minat kartun, maka bacalah kartun. Jangan lawan hobi kita, bacalah komik Ujang, Anak-Anak Sidek sebagai misalnya, supaya tidak putus 'selera' kita. Dalam masa yang sama, mesti bertalaqqi dengan para Guru, membaca juga jangan ditinggalkan.

Suatu hari, ketika al-Imam al-Shafie raḥimahuLlāh ingin pulang ke Makkah, beliau meminta izin daripada al-Imam al-Syaibani raḥimahuLlāh untuk memasuki ke dalam perpustakaannya semalaman. Keesokannya, al-Imam al-Shafie mengucapkan syukur kerana semua buku telah diingati di dalam kepalanya – ini tanda beliau tidak tidur pada malam tersebut kerana membaca.

Tuan Guru Shaykh Tirmizi Taha ḥafiẓahuLlāh sendiri sepanjang masa masa membaca. Nasihat Guru Mulia : Kalau orang tidak bercakap dengan kita pun tiada masalah. Sebab, apabila kita membaca, kita sebenarnya sedang 'berbual' dengan tuan kitab.

Kita seperti sedang berdialog, “Guana ni?”, lalu tuan kitab pun menjawab, kita pun senang hati sambil berkata, “ Gini rupanya...”. Disebutkan oleh pepatah Arab bahawa,

(( الكتاب صديق وفي ))

Maksudnya : “Kitab ialah teman setia kita.”

[ NASIHAT KEENAM : MEMILIH TEMAN YANG SOLEH ]

Kemudian, kita mesti ada teman yang soleh. Kehidupan kita seperti piramid – semasa kecil ( di lapisan bawah ) keadaannya luas, apabila semakin dewasa ( di lapisan atas ) menjadi semakin sempit.

1. Status orang bujang : anak orang sahaja.
2. Status orang berkahwin : anak orang, suami/ isteri orang, menantu orang, ipar orang, biras orang.
3. Status isteri mengandung : apabila mendapat anak, ditambah lagi menjadi ayah/ ibu orang, kemudian dia juga berkerja, masanya menjadi semakin sempit dan sempit.

Apabila berkahwin, cabarannya semakin besar. Apabila isteri tidak 'sekepala', maka kehidupan akan menjadi semakin tersekat. Hatta seorang wanita yang solehah sekalipun, secara fitrahnya mereka tetap adalah seorang perempuan.

Maka, sekiranya tidak ada kawan-kawan yang soleh, kita akan terputus hubungan dengan ilmu sebab terlalu sibuk. Namun, teman yang soleh itu, sama ada kita sibuk atau tidak – mereka tetap memberi semangat kepada kita untuk sambung belajar. Sekarang lagi mudah, kita ada kumpulan WhatsApp, maka kita mesti memiliki teman yang soleh.

Selain itu, kita juga hendaklah mempunyai :

1. Guru Murabbi sebagai pembimbing kita.
2. Doa daripada orang tua kita, apa-apa masalah dalam kehidupan, kena pergi tanya dekat orang tua kita. Walaupun mereka tiada sijil, kita tetap kena dapatkan doa d
aripada mereka. Insya-Allah berkat.
3. Amalan sunat dan zikir yang dijaga. Mesti kena buat selalu, mesti banyakkan berdoa agar diberikan kelapangan oleh Allah Ta'ala.
4. Kesihatan tubuh badan yang baik.
5. Jadual waktu yang tersusun.

[ NASIHAT KETUJUH : MENYUSUN JADUAL HARIAN ]

Setiap waktu ada ibadatnya yang tersendiri, supaya kita tidak berasa jemu. Contohnya, selepas solat Asar kita tidak dibenarkan untuk mendirikan solat sunat. Selepas Asar ialah waktu berehat dan bermain. Kita boleh bahagikan malam yang pertama kita antara Maghrib dan Isya' sebagai waktu khusus untuk beribadah.

Al-'Allamah Shaykh Mahmood Khalil al-Husary raḥimahuLlāh menunaikan solat Maghrib dan Isya' secada berjemaah dengan anak-anak isteri di rumah. Kemudian, beliau sendiri akan mengajar al-Quran kepada mereka.

Seterusnya, selepas Isya' kita susun jadual agar dapat tidur awal supaya dapat bangun malam. Waktu Subuh, waktu yang berkat untuk belajar, mencari rezeki dan sebagainya. Selepas Subuh, mesti kena berzikir. Jangan sama sekali kita tinggalkan.

Kehidupan harian kita semuanya sama sahaja – apabila lapar; makan, apabila dahaga; minum, apabila busuk; mandi. Perkara yang membezakannya adalah bagaimana kita hendak meraih pahala.

[ NASIHAT KELAPAN : MENYAMBUNG MASTER DAN PHD ]

Sebenarnya, peringkat Master dan PhD mengajar kita untuk menuntut ilmu dengan sebenar, sekalipun seseorang itu bukan daripada Pengajian Islam. Ini kerana, mereka belajar tentang isu "KENAPA", bukannya tentang isu "APA". Contohnya, “Apa itu wuduk?” – ia hanya di peringkat rendah seperti yang dipelajari semasa 'First Degree'.

Contoh seterusnya : “Apabila terkentut, maka batallah wuduk. Kenapa batal?”. Ia mengajar kita untuk melakukan pembuktian. Asal penulisan tesis ialah Penyataan 1 akan dihuraikan oleh Penyataan 2, kemudian setelahnya dihuraikan pula oleh Penyataan 3. Ia melatih otak kita menjadi fokus. “Sebab apa kamu kata begini?”. Pada setiap ayat itu akan terdapat soalan kenapa.

(( قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ))

Maksudnya : “Katakanlah (Wahai Sayyiduna Muhammad): "Bawalah ke mari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” [ Surah an-Naml, Ayat 64 ]

Contoh seterusnya : “Ramai pelajar kini bermasalah,” maka buktikan bahawa, (1) yang dikatakan "RAMAI" itu sebenarnya diambil daripada mana dan (2) apakah kayu ukur yang mengatakan bahawa pelajar kini bermasalah.

Dalam pengajian Master ataupun PhD, sebenarnya kita hanya mengambil apa yang telah dibuat oleh orang. Cuma apakah hasil yang kita akan keluarkan. Ada orang hendak memasak lempeng, namun akhirnya menjadi jemput. Buat Master dan PhD tak mesti jadi alim, tetapi ia melatih otak kita menjadi betul.

[ NASIHAT KESEMBILAN : TANDA MULAI ROSAK ]

Apabila seseorang itu mula merasai ilmunya banyak, itu tandanya dia mula rosak. Kaedah ilmu ialah : Sejengkal yang pertama, kita bising ( kita rasakan orang kampung tidak belajar seperti kita dan rasa kita seorang boleh tetapi orang lain tidak boleh ).

Jengkal yang kedua, maka dia mula senyap. Jengkap yang ketiga, maka dia terus senyap. Orang yang banyak belajar, mereka tidak banyak bercakap sebab mereka tahu sesuatu perkara tersebut khilaf. Berbeza dengan orang yang baru bertemu, mereka tetap berkeras.

“Mana boleh, aku belajar macam ini!” – ini perkataan orang yang baru belajar. Semakin kita belajar, semakin kita boleh menerima pendapat yang pelbagai.

Bab-bab khilaf, kita tinggalkan daripada berkelahi antara satu sama dengan yang lain. Semuanya sudah lama diselesaikan dahulu. Jangan sampai ada orang kata, “Kalau tidak bergaduh, maka bukannya Ustaz!”, kerja tersebut tidak cerdik dan akhlaknya kurang. Keluar caci-maki, tetapi malangnya, pakai macam Tok Lebai.

Al-Imam al-Shafie raḥimahuLlāh ialah murid kepada al-Imam Malik raḥimahuLlāh. Mereka ada perbezaan pendapat yang banyak, sehingga wujud Mazhab yang suku. Selain itu, al-Imam Ahmad bin Hanbal raḥimahuLlāh pula ialah murid kepada al-Imam al-Shafie raḥimahuLlāh, masing-masing mazhab yang berbeza. Tiada apa-apa masalah.

Setiap ilmu, ada pakar bidangnya.
Maka tugas kita adalah senyap dan mengikuti mereka. Apakah nilai kita hendak 'menyemak' dalam Facebook pula. Moga-moga kehidupan kita bertambah ceria dan tidak menyerabutkan kehidupan orang lain.

(( فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ))

Maksudnya : “Maka bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikri jika kamu tidak mengetahui.” [ Surah al-Anbiya', Ayat 7 ]

[ NASIHAT KESEPULUH : JANGAN MATIKAN HOBI ]

Jangan sesekali matikan hobi kita, selepas Asar contohnya, jika kita suka berjalan-jalan, maka lakukanlah. Dengan hobi, jiwa akan menjadi segar kembali. Setiap manusia mempunyai waktu di mana, mereka menjadi "futur" dan lemah dalam pengajian.

Namun, jangan pula kita menjadi hamba kepada hobi. Minat memancing, sampai meninggalkan majlis ilmu itu tidak kena. Hobi kita perlu berpada-pada juga. Ada orang suka mengemas rumah, ada orang suka melihat sungai, maka lakukanlah mengikut kesukaan masing-masing.

Disebutkan oleh pepatah Arab bahawa,

(( ألا ليت الشباب يعود يوما فأخبره بما فعل المشيب ))

Maksudnya : “Alangkah baiknya kalau masa muda itu kembali pada suatu hari. Maka, aku akan sebut apa yang telah dilakukan oleh orang yang beruban.” ( Kredit terjemahan kepada anak al-Fadhil Tuan Guru sendiri, Guru Mulia Ustaz Pok Mang ḥafiẓahuLlāh ).

Nasihat Guru Mulia : Susahnya masa tua nanti, waktu itu baru hendak menyesal. Masa bujang, kita tengok sedapnya orang menikah. Apabila sudah menikah, barulah kita tengok sedapnya orang bujang. Masa tua, menyesal sebab masa muda disia-siakan.

Maka, masa yang kita sedang miliki sekarang, kita buatlah yang terbaik. Masa tersebut tidak akan berulang lagi buat kali yang kedua.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Ratus Sembilan Dua,
20 Jamadil Awal 1442/
4 Januari 2021
Sanah Helwah diucapkan buat Murabbi yang amat dikasihi, Guru Mulia Ustaz Haji Yussaine Yahya حفظه الله تعالى.

Semoga Guru kita dipanjangkan umur di dalam restu Allah ﷻ, dimurahkan rezeki, dileraikan segala simpulan, dilepaskan dari segala kesusahan, dikabulkan segala hajat, tercapai segala keinginan, diberi Husnul Khatimah dan dicurahkan hujan rahmat dengan berkat Sayyiduna Nurul Musthofa Rasulullah ﷺ.

Sekaligus, mendapat kebahagian di dunia dan khususnya di akhirat insya-Allahu Ta'ala.

Amin.

Pesan Guru Mulia : Niat ini satu benda yang pelik. Hanya kita dengan Allah ﷻ sahaja yang mengetahui. Dirahsiakan oleh Allah ﷻ apa yang ada di dalam hati kita. Maka, pastikan setiap apa yang kita buat ini ikhlas kerana Allah ﷻ. Apa yang kita niatkan, itulah yang kita akan dapat.

22 Jamadil Awal 1442/
6 Januari 2021
KITAB-KITAB KAMI SEPERTI ANAK PEREMPUAN

Perkara ini ditegaskan oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh di dalam Bait 172 kitab “Fath al-Muta'ālīy fī Adab al-'Ilm wa al-Talaqqī”. Disebutkan bahawa, “Kitāb kami bagai anak perempuan; Jika tak amanah kami tak serahkan ( 172 )”.

(( كُتُبُنا كَبَنَاتِنا ))

Maksudnya : “Kitab-kitab kami seperti anak-anak perempuan kami!”

Kalam itu akan ditulis besar-besar pada dinding Maktabah Zawiyah Nasiriyyah kelak insya-Allahu Ta'ala. Kali pertama kita mendengar hasrat Guru yang Mulia tersebut, semasa daurah sulung bagi kitab Fathul Muta'aliy secara atas talian ketika awal perintah berkurung.

Namun, pada waktu itu hanya disebutkan Maktabah peribadi secara umum ( sebab tidak menjangka lagi berkenaan penubuhan Zawiyah ). Kali kedua, semasa Kuliah Dhuha Jumaat di Zawiyah pada 1 Januari 2021, sewaktu Guru yang Mulia mensyarahkan kitab Tanbīh al-Alibbā'.

[ MAZHAB DALAM MEMINJAMKAN KITAB ]

Melalui perkataan tersebut, maka terbentuklah dua Mazhab dalam bab meminjamkan kitab, iaitu :

1. Mazhab tidak akan memberi pinjam kitabnya dengan sewenang-wenangnya kepada orang lain. Ini kerana, seorang ayah tidak akan bermudah-mudah dalam "meminjamkan" anak perempuannya kepada orang luar secara sembarangan.

Hal ini, seperti yang telah dipegang oleh al-'Allamah Shaykh Dr Ahmad Mamduh Sa'ad al-Shafie ḥafiẓahuLlāh. Beliau sama sekali tidak akan meminjamkan kitabnya kecuali hanya sebahagian kitab sahaja yang dipinjamkan kepada orang tertentu seperti Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh. Mereka berpandangan,

(( ولا محبوب يُعار ))

Maksudnya : “Kekasih yang dicintai tidak akan dipinjamkan!”

2. Mazhab yang hanya akan memberi pinjam kitabnya kepada orang yang dipercayai. Ini kerana, seorang ayah hanya akan "meminjamkan" anak perempuannya kepada bakal suami anaknya – lantaran si ayah sangat meyakini bahawa lelaki tersebut mampu untuk menjaga anaknya dengan baik dan penuh kasih sayang.

Mazhab tersebut berpendirian sunat untuk meminjamkan kitab kepada orang yang diyakini tidak akan memudaratkannya. Hal ini, seperti yang dipegang oleh al-'Allamah al-Imam Badr al-Din ibn Jama'ah raḥimahuLlāh ( wafat tahun 733H ), pengarang bagi kitab adab “Tazkirat al-Sami' wa al-Mutakallim” yang cukup berkat.

Hal ini juga, dipegang oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh. Hujahnya telah disebutkan pada Bait 169 kitab “Fathul Muta'aliy” bahawa, “Meminjamkan kitab itu adab mulia; Bantu-membantu tak bakhīlkan ni'matnya ( 169 )”. Hujahnya,

(( وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ))

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [ Surah al-Ma'idah, Ayat 2 ]

Namun malangnya, apabila diberi pinjam kepada segelintir manusia, masih ada yang tidak memulangkan kitab yang telah mereka pinjam sehingga ke hari ini. Bahkan jauh lebih malang lagi, ada yang terus menghilangkannya ( perkara ini cukup-cukup menyedihkan ).

[ TANBIH ] Sudahlah meminjam kitab orang lain, kemudian buat seperti kitab sendiri. Dia boleh pula kata bahawa, orang lain beri hadiah kitab kepadanya. Jangan menipu dalam pengajian, kitab hak orang jangan mengaku hak kita. Bahkan, kata Guru yang Mulia, ada orang yang "gila nama", seronok dan mahu orang lain menyebut-nyebutnya seorang sahajalah yang memiliki kitab-kitab itu.

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti

[ KISAH SEORANG LELAKI MEMINJAM KITAB ]

Guru yang Mulia juga telah menceritakan, sebuah kisah berkenaan meminjam kitab ( bagi Mazhab Kedua ). Ini seperti yang telah disebutkan oleh al-'Allamah al-Imam Badr al-Din ibn Jama'ah raḥimahuLlāh, di dalam kitab “Tazkirat al-Sami' wa al-Mutakallim”.

Terdapat seorang lelaki telah bertemu dengan Abu al-'Atāhiyah raḥimahuLlāh dan bertanya, “B
olehkah saya ingin meminjam kitab Tuan?”

Maka, jawab Abu al-'Atāhiyah, “Saya tidak menyukai akan perkara tersebut.”

Kemudian, lelaki tersebut langsung bertanya, “Tidakkah Tuan mengetahui bahawa, sesungguhnya tempat yang mulia ( Syurga ) dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai?”

Ditambah oleh Guru yang Mulia, seolah-olah lelaki itu mahu mengatakan kepada Abu al-'Atāhiyah bahawa,

(( الجنة حُفَّت بالمكاره، والنار حُفَّت بالشهوات ))

Maksudnya : “Syurga itu dikelilingi dengan perkara yang dibenci, manakala Neraka itu dikelilingi dengan perkara yang disukai.”

Mendengar jawapan tersebut, Abu Atahiyah terus meminjamkan kitab kepada lelaki tersebut.

[ ADAB MEMINJAM KITAB ]

Disebutkan oleh Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh di dalam kitab “Fathul Muta'aliy” pada Bait 165 sehingga kepada Bait 172 bahawa :

• Jika engkau pinjam kitab wahai akhi # Jagalah seperti nyawamu sendiri ( 165 )
• Jangan dikotorkan atau dirosakkan # Bukalah dengan cermat perlahan-lahan ( 166 )
• Jika lembaran qirtas ingin dibuka # Air liur pada jari jangan guna ( 167 )
• Serahlah kitāb yang telah engkau pinjam # Pada waktu jangan buat-buat pejam ( 168 )
• Meminjamkan kitab itu adab mulia # Bantu-membantu tak bakhīlkan ni'matnya ( 169 )
• Namun jangan ni'mat itu dipersia # Dihilangkan rosak kitāb yang empunya ( 170 )
• Catatlah nama peminjam kitābmu # Agar mudah ingatkan peminjam itu ( 171 )
• Kitāb kami bagai anak perempuan # Jika tak amanah kami tak serahkan ( 172 )

Kesimpulannya, berikut ialah sembilan adab apabila seseorang itu meminjam kitab, seperti yang telah disebutkan oleh Guru yang Mulia di dalam bait-bait tersebut ( manakala, dua adab yang terakhir seperti yang telah disebutkan di dalam syarahan Guru yang Mulia) :

1. Menjaga kitab yang dipinjam dengan sebaik mungkin.
2. Jangan kotorkan kitab yang dipinjam.
3. Jangan rosakkan kitab yang dipinjam.
4. Membuka dengan cermat kitab yang dipinjam.
5. Jangan gunakan air liur pada kitab yang dipinjam.
6. Memulangkan kembali kitab yang dipinjam.
7. Jangan hilangkan kitab yang dipinjam.
8. Hanya fotostat kitab pada kedai yang dikhususkan
9. Mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh tuan kitab

Semoga Allah Ta’ala memudahkan kita untuk mengamalkannya.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Ratus Sembilan Lima,
23 Jamadil Awal 1442/
7 Januari 2021
NASIHAT TERHADAP SISTEM PENGAJIAN

Suatu hari, Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh telah ditanya oleh beberapa ṭalib al-'ilm Acheh Darussalam, mengenai sistem pengajian Turath di Malaysia. Maka, berikut adalah beberapa nasihat daripada Guru yang Mulia :

1. Ulama' Tua jangan sesekali dikritik. Mereka jangan dianggap seperti budak-budak. Ini kerana, mereka sudah jauh lebih awal mengeluarkan hasil. Bahkan, mereka telah membuka pondok dahulu, sebelum orang muda sempat lahir ke dunia dan datang mengkritik mereka.

[ TANBIH ] Orang muda tidak boleh dilihat seperti mengajar orang tua. Contohnya, mengkritik pelajar pondok sepatutnya mengambil sijil seperti SPM, Ijazah sehingga ke peringkat PhD. Dikritik Ulama Tua' sepatutnya membuat begitu dan begini di dalam pengajian pondok.

Apa yang Ulama' Tua telah buat selama ini dikritik dan perlu diperbetul dengan segera. Di sana, mungkin terdapat kebenaran pada perkara-perkara yang dikritik, namun, ia pastinya akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan generasi lama.

2. Sebaliknya, Ulama' Tua hendaklah diziarahi oleh lapis-lapis muda untuk mengambil berkat dan doa daripada mereka. Perbincangan tetap perlu diadakan, namun itu hanya dilakukan dalam kalangan generasi pondok yang selapis dan sezaman pada hari ini.

3. "Pembaharuan Sistem" di pondok merupakan suatu perkara yang perlu digerakkan pada masa sekarang. Namun, itu bukanlah bermaksud "Pembaharuan Kitab". Pengajian kitab-kitab turath tetap dikekalkan, sama seperti dahulu sehinggalah kini.

4. Tempoh belajar perlu ditetapkan. Zaman sekarang bukanlah zaman "jangan ditanya bilakah akan habis belajar". Akhirnya, banyak masa dihabiskan tanpa hasil yang berkualiti. Pondok perlu menetapkan matlamat, seperti dalam satu jangka waktu yang khusus, mereka dapat menghasilkan sesuatu.

Contohnya, dalam masa beberapa tahun pengajian, pondok dapat melahirkan sekian-sekian pelajar. Dalam tempoh yang tertentu, dapat melahirkan pula generasi baharu dan tenaga-tenaga yang berkemahiran.

5. Pondok perlu mewujudkan Majlis Penasihat ( dalam kalangan Guru-Guru ) untuk menyusun berapa banyakkah pelajaran yang sepatutnya dihabiskan oleh Tuan Guru dalam sehari. Ringkasnya, pondok perlu mempunyai pelan dan rancangan mengajar.

Pondok tidak boleh membuat ikut suka; hari ini hendak membaca sehelai, kemudian keesokan harinya hendak membaca sebaris. Tidak boleh ikut suka-suka sahaja dalam mengajar, akhirnya pengajian tidak ada hala tuju yang jelas.

6. Pondok juga perlu mempunyai "Sistem Imtihan" ( peperiksaan ) untuk melihat sejauh manakah kemampuan pelajar. Contohnya, dijalankan pada setiap minggu. Perkara tersebut juga akan membuatkan para pelajar agar sentiasa bersedia dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

7. Pondok juga perlu mempunyai "Sistem Mu'idud Dars" ( معيد الدرس ), ataupun mereka juga disebut sebagai "Kepala Mutala'ah". Tugas mereka hanyalah mengulang kembali pengajaran Guru yang telah disampaikan pada sebelah siang.

[ TANBIH ] "Kepala Mutala'ah" sepatutnya tidak mengajar perkara yang baharu, seolah-olah mereka pula yang menjadi Guru. Mereka akan mengulang sahaja, tanpa menambah sedikit pun. Peranan mereka berbeza dengan Tutor. Perkara ini telah ditegaskan oleh al-'Allamah Shaykh Muhammad 'Awwāmah ḥafiẓahuLlāh di dalam kitab “Ma'ālim al-Irshādiyyah li Sinā'ah Thālib al-'Ilm”.

8. Pondok perlu mempunyai pengkhususan dalam penguasaan ilmu. Contohnya, dirangka dalam tempoh 4 tahun agar mereka menjadi "Musyarik" dengan ilmu. Selepas itu barulah mereka akan dilorongkan untuk menjadi "Mutakhassis" ( Guru yang menguasai dan boleh mengajar dalam sebuah bidang yang khusus sahaja ).

Pada masa yang sama, umat juga memerlukan "Mutafannin" ( Guru yang menguasai dan boleh mengajar dalam semua bidang ). Namun perkara itu, tidak semudah yang disangka.

https://www.tg-me.com/RasyidAlKinti

[ MEMAJUKAN PENDIDIKAN UMAT ]

Al-'Allamah Shaykh Wan Ahmad Wan Muhammad Zain al-Fathani raḥimahuLlāh telah menyebutkan di dalam kitab “Hadīqah al-Azhār wa al-Rayāhīn” ( diterbitkan kembali oleh Khazanah Fathaniyah ), beberapa pesanan penting agar umat Islam
maju.

Perkara pertama dan paling utama yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah memajukan pendidikan umat. Hal ini, telah dipelajari oleh Shaykh Wan Ahmad raḥimahuLlāh tatkala melihat contoh dari negara Mesir dan Turki. Antaranya :

1. Membina Madrasah dengan bantuan Raja
2. Guru dan murid dibantu dengan harta waqaf
3. Guru menunjukkan kehebatan murid pada hari Jumaat
4. Mengadakan pertandingan di antara murid
5. Murid yang menang akan dihadapkan kepada Raja

Kata Shaykh Wan Ahmad raḥimahuLlāh : “Raja-raja mereka itu ( di Mesir dan Istanbul ) membinakan, maka, mereka itu beberapa Madrasah yang besar-besar dan dihiasikan dengan segala hiasan yang sangat indah-indah pada segala mata, dan cenderung kepadanya oleh segala hati lagi jadi bersih dengan dia cerdiknya dan mekar segala aqal pada menuntutikan segala ilmunya.”

“Demikian lagi orang yang kaya-kaya membina mereka itu pada tiap-tiap kampung mereka itu satu-satu madrasah atau lebih, dan dihiaskan dia dengan segala hiasan yang elok.”

“Dan diwaqafkan baginya beberapa beberapa bumi atau rumah atau lainnya dan diambilkan sewanya dan manfaatnya dibelanja akan dia pada mashalat segala madrasah itu.”

“Dan digaji dengan dia akan segala Guru-Guru yang mengajar dengan kadar yang mencakup akan mereka itu dan disukakan dengan dia akan segala mereka yang menuntuti ilmu kecil dan besarnya.”

“Dan di dalam tiap-tiap Jumaat itu satu hari dicuba padanya akan tiap-tiap tilmiz daripada mereka itu, pada barang yang ia hafazkan dia, dan barang yang difahaminya, dan barang yang didapatinya daripada segala masalah, dan kepandaian, dan kebijakkan di dalam perhimpunan segala tuannya.”

“Maka, jika dapat dijawabnya nescaya bersungguh-sungguhlah ia hingga dapat, supaya tiada jadi malu ia antara segala kawan-kawannya.”

Kemudian, ditegaskan oleh Shaykh Wan Ahmad raḥimahuLlāh lagi, para murid juga perlu dipastikan agar mereka berkemahiran dalam beberapa berikut sepanjang pengajian di Madrasah, antaranya ialah :

1. Elok khat
2. Pandai menulis
3. Cepat berhitung ( Matematik )
4. Elok aturan surat kiriman ( Penulisan )
5. Baik lagu musika ( Seni Budaya )
6. Petah membuat syair
7. Fasih percakapan ( Bahasa Melayu )
8. Pandai bertutur dengan beberapa bahasa
9. Banyak hafaz
10. Bijaksana pada segala ilmu ( seperti Sejarah )

Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari hafizhahullah berkata : Guru dan murid perlu dibantu dengan harta waqaf. Mereka tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan pekerjaan lain lagi, selain daripada bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu sahaja.

Dahulu, ada sebahagian pelajar yang perlu berkerja terlebih dahulu. Mereka perlu mengumpulkan gaji selama tiga bulan sebagai misalnya. Kemudian, barulah mereka boleh belajar semula.

Namun, setelah kehabisan duit, mereka terpaksa berhenti belajar untuk kembali bekerja. Akhirnya, para pelajar tidak dapat memberi tumpuan dengan sepenuhnya terhadap pengajian.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Tiga Ratus Dua,
1 Jamadil Akhir 1442/
14 Januari 2021
Seorang Tua di Birih Pantai
Oleh : Rasyid Al-Kinti


Duduk bersendirian, sambil mendengar nyanyian ombak laut dan desiran bayu angin di Pantai Pandak, sudah cukup membuatkan hati seorang pemuda itu terasa sedikit tenang daripada segala masalah dunia yang sedang menghempapnya. Ini bukanlah soal masalah cliché tentang hati. Hati tisu muda-mudi seringkali remuk akibat cinta monyet, ataupun percintaan yang bertepuk sebelah tangan seperti yang dialami oleh kebiasaan darah muda.


Kisah yang berlaku terhadap anak muda yang malang ini berbeza dengan sekalian kisah yang lain. Bertalu-talu ujian yang perlu ditelan oleh Latif. Berat yang bukan kepalang sekali beban dipundaknya itu kali ini. Lebih-lebih lagi setelah mendapat khabar berita tentang kematian ibunya, satu-satunya tempat dia berkongsi kasih dan mengadu rasa, lantaran dia sendiri sudah bergelar sebagai anak yatim
semenjak berusia dua tahun lagi.


Demikianlah pantai menjadi tempat kebiasaan untuk melepaskan perasaan yang berkeceramuk lagi gundah-gulana. Pantai Pandak duduknya itu hampir sekali dengan Pantai Rusila. Kurang lebih tiga minit sahaja dengan bermotor kapcai EX5 antara sekalian pantai itu. Kedua-duanya terletak di negeri Terengganu, cuma bezanya yang pertama itu masyhur sekali namanya dengan makanan ‘ikang celuk tepung’, atau pendeknya disebut sebagai ‘ICT’.


Manakala yang kedua itu cukup terkenal dengan Masjid Rusila yang sangat sinonim dengan nama Ayah Chik, mantan Menteri Besar di negeri itu lewat tahun 1999 sehingga 2004. Seorang tokoh negarawan tarbawi yang berjiwa murabbi, pantas sekali beliau dihormati oleh orang, baik yang muda manis ataupun yang tual kerepot, baik yang berlebai lembik ataupun yang bersongkok keras.


Latif terasa seolah-olah hidupnya sudah sampai kehujung matlamat, walaupun cuba disangkalnya dengan nasihat agama. Dia tahu bahawa ujian yang pernah menimpa Ammar bin Yasir itu jauh lebih berat berbandingnya. Setidak-tidaknya kematian ibu Latif yang ditikam golok oleh penyamun itu berlaku dibelakang mata Latif, itu jauh lebih ringan berbanding dengan kematian Sumayyah yang dirodok betul-betul dihadapan mata anaknya sendiri.


Apatah lagi jika mahu dibanding-bandingkan dengan ujian yang pernah menimpa keatas Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda). Latif tahu itu semua, namun pahit sekali untuk menelan takdir yang baru sahaja berlaku ke atasnya. Latif tahu itu semua, namun perit sekali untuk berpisah dengan orang yang tersayang...


Ketika tragedi hitam itu berlaku, Latif tidak berada di rumah bersama dengan ibunya lantaran sedang menyambung pengajiannya ke bumi Mesir untuk mencicip ilmu. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan ibunya di kampung keseorangan. Namun sebagai seorang anak yang soleh, Latif tetap mentaati permintaan daripada ibunya sendiri untuk melunaskan wasiat terakhir dari arwah bapanya.


Masih terngiang-ngiang direlung akalnya akan pesanan ibunya, “Latif belajarlah bersungguh-sungguh di tempat orang, sebelum bapamu meninggal dunia, sering sahaja dia bercita-cita mahu melihat anaknya yang seorang ini mengaji di Mesir. Hasrat arwah bapamu begitu, maka begitulah juga hasrat ibumu ini…”
AMALAN SELAWAT YANG MAKBUL

Sewaktu mengikuti rombongan ziarah ke rumah Maulana Shaykh Abdullah Bukhari ḥafiẓahuLlāh, Guru Mulia Sidi Tengku Yusuff ḥafiẓahuLlāh bertanya apakah amalan yang baik untuk dilakukan.

Jawab Maulana Shaykh Bukhari :

“Selepas Asar pada setiap hari Jumaat, berselawatlah sebanyak 80 kali. Kemudian, kamu berdoalah kepada Allah Ta’ala. Doa tersebut akan makbul insya-Allah.”

Tambahan: Antara ṣīghah selawat yang sangat baik untuk diamalkan pada waktu tersebut ialah Selawat Ummi seperti mana berikut:

(( اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى آله وصحبه وسلم تسليما ))

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkan selawat ke atas Sayyiduna Nabi Muhammad ﷺ hamba-Mu, Rasul-Mu, Nabi yang Ummi dan ke atas keluarganya, para sahabatnya dan limpahkan salam sejahtera kepadanya.”

[ Tertib Amalan ]

1. Dibaca selawat sebanyak 80 kali
2. Dibaca setiap hari Jumaat
3. Dibaca selepas Asar
4. Berdoa

[ Faedah ]

1. Amalan ini juga seperti yang selalu dipesan oleh Guru Mulia Ustaz Pok Mang ḥafiẓahuLlāh agar diamalkan, seperti yang tersebut di dalam kitab “al-Durar al-Naqiyyah”. Ia merupakan wirid bagi tariqah Syazuliyyah Yusriyyah yang dikarang oleh al-'Allamah Shaykh Dr. Yusri Rusydi Jabr al-Hasani wa al-Husayni ḥafiẓahuLlāh.

2. Bahkan, dikhususkan sebuah bab tentang (( أذكر ما بعد عصر الجمعة )) di dalam kitab “al-Khulasah” yang disusun oleh al-'Allamah al-Habib Umar bin Hafiz ḥafiẓahuLlāh. Disebutkan bahawa, Selawat Ummi dibaca sebanyak 80 kali atau 100 kali. Antaranya lagi ialah:

i) Selawat Ibrahimiyah (seperti yang selalu dibaca ketika tahiyat akhir)
ii) Selawat Tajiyah Sidi Shaykh Abu Bakar Salim raḥimahuLlāh
iii) Wirid Sidi Shaykh Abu Bakar Salim raḥimahuLlāh

3. Di dalam Muqaddimah bagi kitab “Dalail al-Khairat”, al-Imam Muhammad Sulaiman al-Jazuli raḥimahuLlāh ( wafat 1465 M ) ada menyebutkan bahawa, Sayyiduna Rasulullah ﷺ telah bersabda,

(( من صلى عليَّ يوم الجمعة مئةمرة، غفرت له خطيئة ثمانين سنة ))

Maksudnya: “Barangsiapa yang berselawat ke atas aku pada hari Jumaat sebanyak 100 kali, diampunkan baginya kesalahan selama 80 tahun.”

[ AMALAN KEDUA ]

Seterusnya, Maulana Shaykh Bukhari ḥafiẓahuLlāh juga ada menyebut:

“Pada setiap malam, iaitu sebelum daripada kamu tidur bacalah: (( سبحان الله )) sebanyak 33 kali, kemudian (( الحمد لله )) sebanyak 33 kali, kemudian (( الله اكبر )) sebanyak 33 kali, kemudian Ayat Kursi, kemudian Āmana al-Rasūl.”

Ataupun dibaca: Ayat Kursi dan Āmana al-Rasūl dahulu sebelum daripada berzikir. "Zikir Sayyidatuna Fatimah" ini berdasarkan sebuah hadis tentang amalan yang disebutkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ kepada anak perempuan Baginda ﷺ iaitu, Sayyidatuna Fatimah al-Zahra radhiaLlāhu anhā.

Tambahan: Āmana al-Rasūl yang dimaksudkan ialah dua ayat yang terakhir daripada Surah al-Baqarah.

Semoga Allah Ta’ala memudahkan kita untuk mengamalkannya.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

Hari Seratus Tujuh Satu,
16 Muharram 1442/
4 September 2020

https://www.tg-me.com/RasyidAlkinti
Jangan Bersedih, Allah Sentiasa Bersama Kita

Dalam kehidupan ini, kita sering dihadapkan dengan ujian dan kesedihan. Namun, janganlah kita bersedih, kerana Allah SWT sentiasa bersama kita. Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

_لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا_ (At-Taubah: 40)

"Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."

Ayat ini mengingatkan kita bahwa dalam setiap kesulitan, Allah SWT selalu bersama kita, memberikan kekuatan dan petunjuk. Setiap ujian yang kita hadapi bukanlah untuk menyiksa, tetapi untuk menguji keimanan kita dan mengajar kita hikmah yang berharga.

Rasulullah SAW juga bersabda:

"Sesungguhnya besarnya pahala itu sesuai dengan besarnya ujian. Sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang ridha, maka baginya keridhaan, dan barang siapa yang marah, maka baginya kemarahan." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Hadis ini mengajarkan kita untuk menerima ujian dengan hati yang tenang dan ridha. Sebab, dengan kesabaran dan ketabahan, kita akan mendapatkan pahala yang besar dari Allah SWT.

Dalam menghadapi ujian, marilah kita selalu berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan dan kesabaran:

_اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلًا_

"Allahumma la sahla illa ma ja'altahu sahla, wa anta taj'alul hazna idha syi'ta sahla."

(Maksud: "Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah, dan Engkau yang menjadikan kesedihan, jika Engkau kehendaki, menjadi mudah.")

Doa ini mengajarkan kita untuk selalu meminta kepada Allah SWT agar setiap kesulitan dan kesedihan yang kita hadapi dapat diubah menjadi kemudahan dan kebahagiaan.

Sebagai nasihat dan motivasi, ingatlah bahwa setiap ujian adalah bentuk kasih sayang dari Allah SWT. Ia menguji kita bukan karena Ia tidak sayang, tetapi karena Ia ingin melihat seberapa kuat keimanan dan ketabahan kita. Dengan kekuatan iman dan sabar, kita akan mampu menghadapi setiap ujian dengan hati yang teguh dan tenang.

Pagi cerah embun di daun,
Kicau burung menyapa dengan senyum.
Jangan bersedih hati yang pilu,
Allah bersama, bahagia selalu menunggu.
SALAM SELAMAT PAGI

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ.

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah." (HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah;

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a)  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan
b)  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan
c)  Diangkat untuknya sepuluh darjat
d)  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini
e)  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut
f)  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita mulakan awal tahun baharu Masihi 2024 ini untuk mengamalkan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita sentiasa mendapat kebaikan dan terpelihara dari sebarang keburukan dan dosa.
2024/05/10 20:49:50
Back to Top
HTML Embed Code: