Telegram Web Link
Sensitif Dengan Perkara Dosa
==========
1. Adalah menjadi suatu perkara yang membimbangkan apabila seorang mukmin sudah tidak sensitif lagi dengan perkara kemungkaran. Sehingga mereka merasakan melihat perkara dosa itu adalah suatu perkara biasa. Kita seharusnya sedar bahawa syaitan mempunyai agenda normalisasi yang berupaya menjadikan mukmin tidak merasa apa-apa apabila menyaksikan perkara dosa dan kezaliman.

2. Rasulullah pernah memberikan indikator yang mudah tentang hati orang yang beriman. Suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ:

مَا الْإِيمَانُ؟ قَالَ: إِذَا سَرَّتْكَ حَسَنَتُكَ، وَسَاءَتْكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنْتَ مُؤْمِنٌ

Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah ﷺ menjawab: Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad dan Nasai’e)

2. Hadis ini menggambarkan bahawa salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Apabila mereka melihat kemungkaran, hati dan jiwa seorang mukmin seharusnya berasa tidak tenang.

3. Dengan sebab itu dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR al-Bukhari)

4. Dalam era moden ini, lambakan kerosakan disajikan di dalam media sosial sehingga mukmin merasakan perkara itu sebagai suatu perkara yang biasa.

5. Sehinggalah agenda normalisasi ini suatu hari nanti akan merubah sistem nilai seorang mukmin, yang tidak lagi memandang sensitif soal dosa dan pahala menjadikan mereka semakain jauh dari apa yang telah digariskan oleh Rasulullah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Banyakkan Istighfar Selepas Kerja Haji
=====
1. Pada kuliah Subuh tadi, Dr Abdul Rahman mengingatkan kepada para jemaah Haji agar memperbanyakkan beristighfar setelah melaksanakan kerja-kerja haji. Ini selaras dengan firman Allah:

ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ

"Kemudian hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun)... (al-Baqarah: 199)

2. Menurut al-Imam Ibn Kathir, perintah beristighfar dan berzikir ini merupakan salah satu arahan yang paling banyak disuruh setelah seseorang itu melaksanakan ibadah. Kata beliau:

كَثِيرًا مَا يَأْمُرُ اللَّهُ بِذِكْرِهِ بَعْدَ قَضَاءِ الْعِبَادَاتِ

"Perkara yang banyak diperintahkan oleh Allah (iaitu beristighfar) dengan mengingatiNya setelah melaksanakan ibadah-ibadah."

3. Antara hikmah diperintah beristighfar setelah melaksanakan kerja ibadah ialah kerana sebahagian kita suka mengungkit-ungkit dan bercakap perkara yang tidak perlu yang mungkin menjejaskan Ibadah kita.

4. Sebagai contoh, apabila seseorang itu sudah melakukan sedekah, dia suka mengungkit dan berkata tidak baik lalu Allah berfirman:

ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى

...kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi).. (al-Baqarah, 262)

5. Oleh yang demikian, setelah melaksanakan kerja Haji ini, perbanyakkanlah beristighfar dan berzikir mengingati Allah. Hindari perkataan yang tidak baik yang boleh menjejaskan amal soleh yang telah kita lakukan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
[SEDANG BERSIARAN] Episod 4 My #HadithTime 2.0!

Tonton di YouTube: https://youtu.be/06hjDrCggq0

Antara yang menarik dalam episod ini:

1. Maksud akhlak Rasulullah adalah al-Quran
2. Rasulullah panggil sahabat dengan gelaran manja
3. Kisah Anas bin Malik diberi layanan baik oleh Rasulullah
4. Kisah sahabat peluk Islam kerana akhlak Rasulullah
5. Definisi sanad, musnad dan musnid dalam ilmu hadis
6. Kepentingan menyemak dan mengesahkan sumber hadis
7. Ayat 1-7 surah al-Qalam berkaitan akhlak Rasulullah

Jangan lupa tulis di ruangan komen, apa ilmu baru yang anda belajar dari episod ini.

#RasulullahSuriTeladan
Isteri Memasak Untuk Suami
=====
1. Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa para isteri Nabi memasak dan menyediakan makanan buat suami mereka, Rasulullah. Dalam sebuah hadis, Aisyah menceritakan bahawa beliau memasak untuk Rasulullah dan menghantarkan makanan kepada Baginda. Kata beliau:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِخَزِيرَةٍ قَدْ طَبَخْتُهَا لَهُ

"Aku telah datang kepada Nabi SAW membawa hidangan khazirah yang telah aku masakkan untuk Baginda. (Khazirah merupakan makanan yang diperbuat dari daging dan tepung)." (HR Abu Ya’la)

2. Manakala Barirah (pembantu Aisyah) pula menceritakan bagaimana adakalanya Saidatina Aisyah sampai tertidur ketika menguli makanan untuk ahli keluarganya. Kata Barirah:

تَنَامُ عَنْ عَجِينِ أَهْلِهَا، فَتَأْتِي الدَّاجِنُ فَتَأْكُلُهُ

(Aisyah merupakan seorang gadis muda) yang terkadang tertidur ketika sedang menguli tepung untuk keluarganya, lalu datanglah haiwan peliharaan dan memakannya. (HR Muslim)

3. Bukan sekadar Aisyah, Saidatina Safiyah turut menyediakan dan menghantar makanan kepada Rasulullah. Malah Aisyah memuji Safiyah dalam kemahirannya menyediakan makanan. Kata Aisyah:

مَا رَأَيْتُ صَانِعًا طَعَامًا مِثْلَ صَفِيَّةَ، صَنَعَتْ لِرَسُولِ اللَّهِ طَعَامًا فَبَعَثَتْ بِهِ

“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang pandai menyediakan makanan seperti Ṣafiyyah. Beliau telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW lalu mengutuskan makanan itu kepada Baginda.” (HR Abu Daud)

4. Begitu juga dengan Saidatina Ummu Salamah yang menghantar makanan kepada Rasulullah dan juga untuk para sahabat Baginda. Kata Aisyah:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّهَا جَاءَتْ بِطَعَامٍ فِي صَحْفَةٍ لَهَا إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابِهِ

“Daripada Umm Salamah, bahawa beliau datang membawa makanan di dalam satu bekas miliknya kepada Nabi SAW dan para sahabat baginda.” (HR al-Tahawi)

5. Perhatikan bagaimana para Ummahatul Mukminin menyediakan makanan untuk suami tercinta iaitu Rasulullah. Dan keluarga Nubuwwah ini merupakan teladan terbaik buat diri kita. Andai mereka memasak dan menyediakan makanan untuk suami, mengapa tidak kita?

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Nabi Ibrahim Sebagai Seorang Ayah
=====
1. Sedar atau tidak, ibadah korban yang kita laksanakan baru-baru ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan Sirah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

2. Peranan seorang ayah (iaitu Nabi Ibrahim) dalam menyantuni anaknya (Nabi Ismail) ketika perintah korban ini berlangsung sangat penting untuk direnungi oleh setiap ayah. Antaranya ialah:

(a) Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah sentiasa berdoa buat keluarganya. Salah satu doa Baginda yang popular ialah doa agar dikurniakan anak yang soleh. Inilah yang perlu dilakukan oleh setiap ayah pada hari ini. Nabi Ibrahim berdoa:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (Surah al-Saffat: 100)

(b) Bukan sekadar berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, Nabi Ibrahim turut mengajak anaknya untuk melakukan ibadah bersama. Inilah yang perlu dilaksanakan oleh setiap ayah pada hari ini, mengajak anak-anak mereka melaksanakan ibadah bersama. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail membina Baitullah iaitu Kaabah. Firman Allah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al-Baqarah: 127)

(c) Nabi Ibrahim turut dilihat kerap berdialog dengan anak Baginda. Dalam perintah korban, Nabi Ibrahim bertanya pandangan anaknya Nabi Ismail, begitu juga dalam urusan hubungan suami isteri, Nabi Ibrahim turut pernah menasihati Nabi Ismail.

(c.1) Ketika perintah korban diturunkan, Nabi Ibrahim tetap memulakan perbincangan bersama anaknya sekalipun perintah itu pada hakikatnya merupakan arahan dari Allah. Begitulah seorang ayah, perlu banyak berbicara dan berbincang dengan anaknya. Masa bersembang dengan anak perlu lebih banyak dari masa melihat telefon.

(d) Nabi Ibrahim juga merupakan seorang ayah yang penyayang. Sifat penyayang Nabi Ibrahim terzahir apabila Baginda berusaha mendoakan buat ayah (atau pakcik) Baginda agar diberikan keampunan oleh Allah. Lalu Allah memuji sifatnya Baginda dalam firmanNya:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌ

Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. (Surah al-Taubah: 114)

Selamat Hari Bapa.
Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Kesejukan Azab Neraka Yang Membunuh
==========
1. Selain kepanasan neraka Jahanam, Allah juga menjelaskan dalam al-Quran bahawa terdapat azab neraka yang sejuk, yang apabila diminum, bergugran terlerai kulit-kulit manusia kerana terlalu sejuknya azab air yang disediakan buat mereka. Firman Allah:

جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا فَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ هَٰذَا فَلْيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ

Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; maka seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka Jahannam; [57] Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka); (Surah Sad: 56-57)

2. Menurut al-Imam al-Baghawi, yang dimaksudkan dengan perkataan Ghassaq adalah kesejukan yang melampau sehingga terbakar keringnya kulit manusia. Kata Ibn Abbas:

هو الزمهرير يحرقهم ببرده ، كما تحرقهم النار بحرها

Ia adalah zamharir yang membakar dengan kesejukan yang amat dahsyat seperti mana api yang membakar dengan kepanasannya. Pandangan yang sama diutarakan oleh al-Imam Mujahid dan Muqatil.

3. Dahsyatnya azab kedinginan dalam neraka Jahannam ini memberikan seksaan kepada para penghuni neraka sehingga kulit-kulit mereka tertanggal. Dari Ka’ab, beliau berkata:

“Sesungguhnya di neraka adanya dingin iaitu Zamharir (dingin yang amat beku), yang membuat kulit-kulit tertanggal sehingga mereka(yang berada di neraka) meminta pertolongan pada panasnya neraka.”

4. Kesejukan azab yang menyeksa manusia ini juga disebutkan dalam hadis. Sabda Rasulullah:

اشْتَكَتْ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا فَقَالَتْ يَا رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِي الصَّيْفِ فَهْوَ أَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الْحَرِّ وَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الزَّمْهَرِيرِ

"Neraka menyampaikan keluh kesahnya kepada Tuhannya dan nerkata; "Wahai Tuhan, mengapa kami saling memakan satu sama lain?. Allah pun mengizinkan neraka untuk bernafas dua kali, bernafas ketika musim dingin dan bernapas ketika musim panas, kedua nafas itulah yang kalian dapatkan ketika panas menyengat dan dingin membeku."

5. Menurut al-Imam Ibn Hajar, yang dimaksudkan dengan zamharir dalam hadis ini adalah kesejukan yang amat sangat sehingga menyeksa penghuni neraka, menanggalkan kulit-kulit mereka.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
2025/07/13 16:41:14
Back to Top
HTML Embed Code: