Telegram Web Link
Tanda Amalan Diterima Allah
==========
1. Benar, tiada siapa yang mengetahui samada amalan mereka diterima Allah atau tidak. Namun sebahagian sarjana Muslim memberikan pandangan bahawa terdapat tanda-tanda amalan seseorang itu diterima. Antaranya ialah:

2. Pertama: Dia tidak kembali kepada maksiat. Ini adalah tanda yang paling utama. Seharusnya amalan seseorang menjauhkan diri mereka dari maksiat. Amalan tersebut menjadi sebati dalam dirinya, membentuk darah dagingnya sehingga menjadikan dirinya membenci maksiat.

al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin:

أما إذا تذكَّر الذنبَ ففرح وتلذَّذ فلم يُقبل، ولو مكث على ذلك أربعين سنة

“Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun.” (Ibn al-Qayyim, Madarij al-Salikin)

Dengan sebab itu al-Imam al-Hasan al-Basri menegaskan:

فإذا قبل اللهُ العبدَ فإنه يُوفِّقه إلى الطاعة، ويَصْرفه عن المعصية

“Sekiranya Allah menerima amalan seseorang, maka dia akan membimbingnya untuk melakukan ketaatan yang seterusnya dan memalingkan hambaNya dari maksiat.”

3. Kedua: Amal kebaikannya seharusnya menghasilkan kebaikan yang lain. Dalam perihal ini al-Imam al-Hasan al-Basri berkata:

إنَّ مِن جزاءِ الحسَنةِ الحسَنة بَعْدَها، ومِن عقوبةِ السيئةِ السيئةُ بعدها

“Salah satu pulangan amal soleh adalah, ia menghasilkan amal soleh yang lain. Dan sekiranya dia melakukan kejahatan, kejahatan tersebut akan menghasilkan kejahatan yang seterusnya.

Malah al-Hasan mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya kebaikanmu tidak memberikan pertambahan (amal), maka di situ pasti ada kekurangan (kesempurnaan amalan tersebut).

4. Ketiga, Istiqamah dengan Amal Soleh. al-Imam Ibn Kathir menyebut: Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia di mana Allah akan mencabut nyawa seseorang itu dengan amal yang dilakukan secara konsisten. Sekiranya seseorang konsisten melakukan kebaikan, maka dia akan mati dalam kebaikan. Sekiranya seseorang konsisten dengan kemungkaran, maka dibimbangi dia akan mati dengan perbuatan yang telah biasa dia lakukan.

Dengan sebab itu al-Bukhari merekodkan satu insiden yang menarik. Seorang sahabat telah meninggal ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram. Lalu Rasulullah meminta para sahabat mengkafankan beliau dengan pakaian ibadah tersebut. Sabda Rasulullah:

كفِّنوه بثوبيه؛ فإنه يُبعَث يوم القيامة ملبِّيًا

Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah Haji yang memuji Allah).

Moga Allah menganugerahkan kita pengakhiran yang baik.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Tips Istiqamah Selepas Ramadan
========
1. Ramadan telah meninggalkan kita. Apakah kita akan meninggalkan semua amalan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan ini? Kekuatan berpuasa 30 hari, tarawih lapan rakaat dan bacaan Quran yang banyak seharusnya diteruskan.

2. Beberapa hadis yang dinukilkan daripada Rasulullah ﷺ seharusnya menjadi pemangkin buat kita untuk terus konsisten dalam melakukan amal ibadah seusai Ramadan. Antaranya ialah:

3. Bagi bacaan al-Quran, Rasulullah ﷺ mengingatkan kita bahawa kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Lagi banyak di baca, lagi tinggi kedudukan kita. Justeru, bacaan al-Quran mesti diteruskan setelah Ramadan. Sabda Rasulullahﷺ:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا ) .

Sabda Rasulullah ﷺ: " Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Quran) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagai mana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”. (HR. Tirmizi dan Abu Daud)

4. Bagi amalan puasa pula, Rasulullah ﷺ dikatakan konsisten berpuasa tiga hari setiap bulan (selain Ramadan). Berpuasa tiga hari ini hanyalah 10% sahaja daripada jumlah puasa Ramadan kita sebanyak 30 hari. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah dalam sebuah hadis:

عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ "، قَالَتْ: "نَعَمْ"، فَقُلْتُ لَهَا: "مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ "، قَالَتْ: لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ

Maksudnya: Muazah pernah bertanya kepada Aisyah: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.”

Ini bermakna, Bagindaﷺ akan meneruskan amalan berpuasa ini sebanyak tiga hari setiap bulan, tidak kira hari apa pun. Yang penting konsisten meneruskan amalan berpuasa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini.

5. Manakala bagi amalan solat tarawih pula, kita boleh terus konsisten melakukannya dengan solat sunat witir setelah isyak. Saidina Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullahﷺ berpesan kepada beliau tentang tiga amalan yang tidak pernah beliau tinggalkan sepanjang beliau hidup iaitu “(1) Solat witir, (2) Puasa tiga hari setiap bulan dan (3) Solat Duha (HR al-Bukhari). Kata Abu Hurairah:

فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: " أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ: صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasih aku (Rasulullahﷺ) berpesan kepada aku tiga perkara (yang tidak aku tinggalkan sehingga aku mati) iaitu: Puasa tiga hari sebulan, Solat Duha dan Solat Witir sebelum tidur.

6. Salin hadith di atas, dan tampal ditempat yang mudah dilihat. Mudah-mudahan ia sentiasa menjadi peringatan buat kita untuk konsisten dan istiqamah melakukan amalan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadan.

Moga Allah membimbing kita untuk istiqamah setelah Ramadan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Adab Bertamu ke Rumah Orang
=====
1. Dalam hadis, terdapat beberapa panduan untuk kita yang menziarah rumah saudara-mara ketika berhari raya ini. Antaranya ialah:

a. Meminta izin sebelum masuk ke rumah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengingatkan bahawa andai sekiranya seseorang itu telah meminta izin, namun tidak dijawab oleh Tuan Rumah, maka hendaklah dia pulang. Sabda Rasulullah:

إِذَا اسْتَأْذَنَ أَحَدُكُمْ ثَلاَثًا فَلَمْ يُؤْذَنْ لَهُ فَلْيَرْجِعْ

Barangsiapa yang meminta izin sebanyak tiga kali, kemudian tidak dibenarkan, maka hendaklah dia pulang. (HR al-Bukhari)

b. Memilih Waktu Yang Sesuai. Ketika ingin menziarahi seseorang, kita hendaklah memilih waktu yang sesuai agar tidak menyusahkan Tuan Rumah. Kata al-Imam al-Nawawi:

وينبغي أن تكون زيارته لهم على وجه لا يكرهونه، وفي وقت يرتضونه

dan hendaklah ziarah tersebut dengan tujuan yang baik yang bukan mereka tidak suka, pada waktu yang mereka reda dengannya.. (al-Nawawi, Kitab al-Azkar)

c. Tidak Mengintai dan Menjaga Pandangan. Rasulullah mendidik para sahabat agar menjaga pandangan ketika melakukan ziarah. Baginda akan berdiri di sisi sudut pintu bagi menjaga pandangan agar tidak ternampak sesuautu yang tidak disukai oleh Tuan Rumah. Saidina Abdullah bin Busr menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ إِذَا أَتَى بَابَ قَوْمٍ لَمْ يَسْتَقْبِلِ الْبَابَ مِنْ تِلْقَاءِ وَجْهِهِ، وَلَكِنْ مِنْ رُكْنِهِ الْأَيْمَنِ، أَوِ الْأَيْسَرِ،

Sesungguhnya Rasulullah itu, apabila Baginda datang kepada pintu rumah seseorang, maka Baginda tidak berdiri menghadap pintu (secara terus), tetapi Baginda berdiri di bahagian sudut kanan atau kiri pintu.

d. Tidak Merosakkan Barang Tuan Rumah. Perkara ini ditekankan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid yang menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu ayah untuk memastikan anak-anak mereka tidak merosakkan barangan Tuan Rumah. Kata beliau:

ولا تترك أولادها يعبثون في بيت صاحبتها، ويخربون في الزيارة.

Dan janganlah dibiarkan anak-anak membuat rosak (sepah, sia-sia) di rumah pemiliknya yang mana mereka akan meruntuhkan (tujuan) ziarah itu.

e. Malah anak-anak juga perlu dididik dengan adab dan akhlak yang mulia ketika menziarahi rumah sanak saudara, menjaga tutur kata serta memelihara budi pekerti.

Semoga Allah membimbing kita

Dr Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Suami Menegur Isteri Yang Berjoget
======
1. Telah menjadi trend terkini ahli keluarga menari-nari lalu dimuat-naik di media sosial. Tambahan pula yang melakukannya itu adalah kaum wanita, lalu disaksikan oleh yang lelaki tanpa rasa malu.

2. Amat jelek sekali sekiranya suami sendiri reda si isteri melakukan tarian untuk dipamerkan pada khalayak. Rasulullah mendidik suami agar menegur isteri andai mereka melakukan kemungkaran. Sabda Rasulullah:

فَمَا الدَّيُّوثُ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الَّذِي يُيَسِّرُ لِأَهْلِهِ السُّوءَ

“Siapakah dia dayus itu? Maka Nabi ﷺ menjawab: (Lelaki) yang memudahkan buat ahli keluarganya melakukan kejahatan (maksiat).” (al-Baihaqi, al-Asma wa al-Sifat)

3. Begitu juga Rasulullah memerintahkan isteri Baginda agar memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda. Kata Rasulullah:

احْتَجِبَا مِنْهُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَلَيْسَ هُوَ أَعْمَى لاَ يُبْصِرُنَا وَلاَ يَعْرِفُنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ: أَفَعَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ

“Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi)

4. Bayangkan, dengan lelaki buta sekali pun, Rasulullah memerintahkan isteri Baginda memakai hijab dan menjaga penampilan, inikan pula dihadapan jutaan mata yang menonton di media sosial.

5. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video upacara sebegini menjadi perhatian kepada anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan.

6. Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran. Sabda Rasulullah:

وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كانَ عليه وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَن عَمِلَ بهَا مِن بَعْدِهِ

“Dan barangsiapa yang melakukan perlakuan jahat di dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (HR Muslim).

7. Nasihat ini hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah demi kebaikan sesama muslim. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
This media is not supported in your browser
VIEW IN TELEGRAM
Punya kejam, mereka bom sampai melambung saudara2 kita.
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
🚨 𝗚𝗔𝗭𝗔 𝗦𝗘𝗗𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗦𝗘𝗥𝗔𝗡𝗚

Israel mengkhianati gencatan senjata. Gaza sedang diserang kembali bertubi-tubi. Ikuti telegram ini untuk perkembangan terkini. Sebar-sebarkan.

𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗣𝗮𝗹𝗲𝘀𝘁𝗶𝗻 🇵🇸
www.tg-me.com/duniapalestin
Kelesuan Ibadah Setelah Ramadan
=========
1. Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah. Semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada Allah. Ia seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan. Dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:

إنَّ لِكُلِّ عملٍ شِرَّةً ، ولِكُلِّ شِرَّةٍ فترة ، فمنْ كان فترتُهُ إلى سنتي فقدِ اهتدى، ومَنْ كانَتْ إِلى غيرِ ذَلِكَ فقدْ هَلَكَ

“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)

2. Perhatikan disini bagaimana Rasulullah memahami tabiat jiwa manusia. Renungkan kembali bagaimana kesungguhan dan tenaga manusia beribadah dalam bulan Ramadan. Solat sunat dan puasa mereka dilakukan dengan konsisten. Namun, setelah berlalunya Ramadan, semangat itu semakin pudar dan kelesuan menyelubungi jiwa.

3. Titik kelesuan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis. Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunnahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam. Jangan pula seusai Ramadan, manusia kembali kepada maksiat.

4. Dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:

إن النفس لها إقبال وإدبار، فإذا أقبلت فخذها بالعزيمة والعبادة، وإذا أدبرت فأقصرها على الفرائض والواجبات

“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah). Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).

5. Begitu juga dari aspek dakwah. Adakalanya jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Namun akan datang satu tempoh (futur) dimana mereka merasa penat dalam perjuangan ini.

6. Maka tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipatrikan oleh Allah dalam al-Quran:

رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://www.tg-me.com/drahmadsanusiazmi
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
Ketika keluarga Yasir dan Sumayyah dizalimi, Rasulullah hanya mampu memberikan kata-kata doa dan semangat yang positif sahaja, menjanjikan syurga buat mereka. Namun setelah belasan tahun kemudian, jihad diperintahkan, perjuangan telah melalui fasa bersenjata.

Baca selanjutnya: https://duniapalestin.net/kolumnis/4117/

𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗣𝗮𝗹𝗲𝘀𝘁𝗶𝗻 🇵🇸
www.tg-me.com/duniapalestin
2025/07/13 01:28:35
Back to Top
HTML Embed Code: